AUBREE berhenti setelah dia jauh dari tempat pertarungan itu. Dia duduk di tepi sebatang pokok untuk berehat seketika. Aubree memandang anak panah dan busur di tangannya.
Aubree terus membuang senjata itu jauh darinya. Aubree tidak percaya kalau dia masih dapat menggunakan senjata panah itu walaupun dia sudah berpindah ke dunia baru.
Di kehidupan sebelum ini, Aubree belajar bermacam-macam jenis senjata, tidak kira yang moden atau yang lama. Aubree memastikan yang dia sudah mahir dengan suatu senjata sebelum dia berpindah ke senjata baru.
Oleh itu, bagi Aubree, senjata panah ini hanyalah kacang saja untuk dia.
Cuma yang membuatkan Aubree terkesan ialah, kelajuan panah lima kali lebih laju dari yang pernah dia buat. Ini pertama kalinya dia melepaskan panah yang laju, ataupun itu kerana Aubree sudah mempunyai tubuh baru.
Aubree memandang tangannya. 'Erm, nampaknya saya kena latih badan ini supaya jadi bentuk tubuh badan saya semasa saya masih jadi manusia. Jika bentuk badan saya kuat itu kembali, saya tidaklah perlu risau kalau ada orang yang mahu melukai saya...'
Aubree berdiri setelah lama berehat. Baru dia sedar yang tubuh yang dia miliki sekarang ini lebih lemah dari yang dia sangka. Hanya dalam 2 kilometer saja, Aubree sudah merasa penat.
Aubree pun mengambil jalan untuk kembali ke kota kecil tempat dia tinggal. Aubree mempunyai ingatan yang kuat jadi dia senang mengingati jalan yang dia ambil untuk kembali ke kota kecil itu.
Aubree segera kembali ke rumah sewa mereka. Ketika itu, matahari sedang terbenam, menimbulkan cahaya merah dan jingga yang indah di dada langit.
Julie kembali tepat pada malamnya dengan sebuah bakul makanan di tangannya. Ketika dia sampai, Aubree sedang terbaring di atas katil dan sudah mandi.
Julie menyediakan makanan untuk Aubree dan sementara Aubree makan, Julie masuk ke bilik mandi.
Aubree makan makanan malamnya sambil berfikir tentang kumpulan Elf kaya yang dia tolong tadi. Melihat kepada cara pemakaian lelaki itu, Aubree tidak yakin kalau lelaki itu hanyalah berasal dari keluarga orang kaya.
Aubree berharap agar kumpulan lelaki Elf itu tidak datang mencari dia kerana Aubree hanya ingin menolong mereka. Aubree tidak mahu masalahnya bertambah. Lebih baik jika dia menghindar dari bahaya sebelum jadi apa-apa.
Julie datang kembali ke tempat Aubree dan mula memakan makan malamnya. "Kau sudah semakin sembuh, Aubree? Kalau tidak saya akan panggil doktor Elf periksa kau."
'Oh, mereka pun panggil doktor di sini?'
"Saya baik-baik saja. Saya hanya mengalami sakit kepala tadi. Besok saya sudah boleh kembali bekerja," kata Aubree dan meminum airnya.
Julie mengangguk dengan jawapan Aubree.
Aubree berhenti sekejap sebelum dia memandang ke arah Julie. "Kau rasa, kalau kita keluar dari kita ini dan cari kerja lain, ada tak kerja lain kita boleh dapat?"
Soalan itu membuatkan Julie terdiam dan tidak tahu hendak berkata apa. Lama dia menatap wajah Aubree.
"Kenapa, kau tidak mahu menjadi pembantu Putera Ketiga lagi. Kau kan suka sangat dengan dia. Kalau boleh kau tidak mahu berpisah pun dengan dia?" balas Julie, dengan suara mengusik di sebalik ayatnya.
Aubree mencebik kecil sambil dia menopang dagunya ke atas meja dengan menggunakan tangan kanan. " Saya nak cuba pengalaman barulah. Sudah lama saya kerja di kediaman Putera Kilan. Sudah tiba masanya saya pergi dari sini dan menambah ilmu pengetahuan."
Wajah Julie menjadi lebih bingung dengan jawapan Aubree. Sepertinya, dia tidak percaya kalau Aubree betul-betul mahu tinggalkan kota kecil ini dan mengembara ke tempat lain.
'Budak ni kan bodoh dan lembap. Macam mana dia boleh hidup di dunia luar kalau dia seorang yang bodoh? Kalau di sini dia masih lagi selamat sebab tiada siapa yang berani kacau dia walaupun dia sering dibuli,' gumam Julie dalam hati.
Aubree melihat mimik muka yang ditunjukkan oleh Julie kepadanya. Dia tahu apa yang Julie sedang fikirkan. 'Mesti dia fikir saya tak boleh hidup di dunia luar hanya sebab saya bodoh. Hei, ini bukan Aubree yang asli, okey! Walaupun nama kami sama tapi watak kami berbeza. Saya tidak akan jadi bodoh untuk tinggal di sini dan jadi pembantu biasa Putera tu selamanya.'
"Kau mahu ikut saya pergi kah? Saya yakin kau tidak akan mengalami kesusahan sepanjang perjalanan nanti," kata Aubree pula.
Akhirnya, satu tawa terkeluar dari mulut Julie. Dia sungguh tidak percaya gadis yang sebelum ini bodoh dan lembap ini boleh berkata seperti itu. Kenapa saya perlu percaya kata-kata dia sedangkan seluruh kota percaya yang dia ini seorang yang bodoh?
Aubree mengangkat keningnya melihat Julie ketawa. Dia hanya bersikap tenang saja di depan Julie dan tidak memberi reaksi apa-apa lagi.
"Saya faham maksud kau, Aubree. Saya tahu kau bermaksud baik tapi saya rasa saya mahu tinggal di sini saja. Saya selesa di sini dan saya mahu menghabiskan sisa hidup saya di sini."
Aubree hanya menjungkitkan bahunya mendengar jawapan Julie. Dia tidak memaksa pun kalau Julie mahu ikut dia atau tidak. Aubree hanya mahu pergi dari sini dan mencari pengalaman baru di tempat baru. Lebih-lebih lagi, Aubree sudah mendapat kehidupan kedua dan Aubree tidak akan mensia-siakan hidup ini dengan menjadi seorang pembantu biasa. Di mana dia mahu letak maruah dia sebagai seorang tentera yang kuat?
"Sudah malam, Aubree. Marilah tidur. Besok kita kena bangun awal dan pergi ke kediaman Putera Ketiga." Julie berdiri dan membawa semua pinggang dan gelas yang mereka gunakan.
Aubree tidak banyak cakap dan dia hanya bergerak ke katilnya. Setelah beberapa minit berbaring, akhirnya dia terlelap. Mungkin kerana hari ini dia penat sangat menolong Elf-Elf yang dalam bahaya itu.
Julie memeriksa lilin yang terpasang di ruangan itu. Dia memadam lilin yang lain sehingga hanya dua batang lilin lagi yang bernyala. Setelah itu, barulah dia pun berbaring di katilnya dan tertidur.
Keesokan harinya, sebelum matahari muncul, Julie sudah membangunkan Aubree.
"Aubree, mari bersiap. Nanti kita tidak terlambat lagi pergi ke kediaman Putera Ketiga," kata Julie.
Aubree tidak menunggu lama dan dia terus bersiap-siap. Setelah bersiap, dia dan Julie pun keluar dari rumah sewa mereka dan pergi ke kediaman Putera Ketiga.
Julie berjalan masuk ke kediaman itu melalui pintu belakang dan Aubree hanya mengikuti dari belakang. Mereka pun segera melakukan kerja mereka.
Melalui memori lama, Aubree bergerak menuju ke halaman rumah Putera Ketiga. Ketika Aubree masuk ke dalam kediaman ini, dia agak terkejut melihat kediaman itu.
Kediaman itu sangat luas dan ada banyak bangunan yang besar di kediaman itu. Kalau Aubree tidak mempunyai memori lama dalam badan lama ini, mesti Aubree sudah sesat di dalam kediaman ini.
Aubree mengeluh. Dia adalah salah satu dari pembantu kepada Putera Ketiga. Sudah tentulah Aubree akan pergi ke halaman kediaman Putera Ketiga untuk melayani Putera Ketiga itu.
Aubree tiba di depan pintu bilik Putera Kilan. Dia menghirup nafas panjang sebelum dia mengetuk bilik itu sebanyak tiga kali. Terdengar suara seorang lelaki menyuruh Aubree masuk.
Aubree pun membuka pintu dan masuk ke dalam. Saat dia masuk ke dalam, Aubree melihat ada seorang lelaki yang tinggi (sekitar 189 cm) sedang berdiri di depan sebuah cermin yang diukir dengan kayu emas.
Lelaki Elf itu memandang ke arah Aubree. Saat melihat wajah lelaki itu Elf itu, Aubree tersentak. Makhluk apa ni? Cantik sangat! Betulkah ini lelaki?
Mata biru lelaki Elf itu sedang merenung Aubree yang masih tercegat di depan pintu. Melihat Aubree tidak bergerak di pintu, kening lelaki itu berkerut lembut, membuatkan wajah tampan itu boleh membuatkan sesiapa yang melihatnya boleh cair macam ais.
"Kenapa masih tercegat di sana? Cepatlah masuk dan tolong saya!" kata Kilan sambil masih memandang Aubree. Terdapat sedikit kesan kurang senang di wajahnya melihat gaya Aubree yang terdiam di pintu. 'Mesti dia masih terpegun melihat saya lagi.'
Aubree cepat-cepat berjalan ke samping lelaki itu. Dia melihat ada jubah berwarna merah tua dengan ukiran naga emas pada jubah itu. Aubree segera mengambil jubah itu dan menolong Kilan untuk memakai jubah itu.
'Hairan saya, kenapa nak pakai jubah pun mesti minta tolong. Tak boleh pakai sendirikah? Kenapa nak minta tolong juga? Pakai sendirilah, ada tangan tapi mahu menyusahkan orang saja.'
Setelah itu barulah Aubree menolong Putera Ketiga itu untuk mengikat tali jubah itu. Jadi dia terpaksa berjalan ke hadapan lelaki Elf itu. Aubree pun berganjak ke depan Putera Kilan dan mengikat tali jubah itu. Dia mengikat tali jubah itu tanpa mendongak ke wajah Putera Elf itu. Tangannya tangkas saja mengikat tali itu.
Putera Kilan hanya diam saja. Sekali-sekala dia memandang Aubree yang sedang menunduk di depannya. Entah apa yang pelik, Kilan merasakan ada sesuatu yang berlainan dengan Aubree hari ini.
Setelah siap, Aubree berundur dua langkah ke belakang dan dia menundukkan kepalanya. "Sudah siap, Yang Mulia."
Putera Kilan tidak menjawab malah dia hanya berjalan ke meja cermin. Dia duduk di bangku, menunggu Aubree untuk datang kepadanya. Aubree tahu apa yang perlu dia lakukan selepas ini dan dia terus mendekati Kilan. Dia mengambil sikat dan mula menolong mengikat rambut emas lelaki Elf itu yang panjangnya sehingga paras dada.
Sedang Aubree membuat kerja, sempat lagi dia membebel dalam hati. 'Hermm, kenapalah Aubree yang sebelum ini terima kerja macam ni. Boleh saja dia jadi penjual atau petani. Nak jadi pembantu biasa Putera ni?? Ah, lupa... Aubree yang sebelum ini kan bodoh dan lembap.'
Kilan merenung Aubree melakukan kerja melalui cermin di depannya. Dia melihat Aubree sedang sibuk saja membuat kerja tanpa memandang ke kiri atau kanan.
Tanpa disangka-sangka, mata Aubree turut memandang ke arah Kilan di cermin. Untuk beberapa saat, pandangan mereka bertemu sebelum cepat-cepat Aubree memfokuskan pandangannya ke kerja yang dia lakukan. Setelah siap, dia segera berundur ke belakang dan menundukkan kepalanya.
Kilan hanya diam saja. Hairan dia kerana ini pertama kalinya Aubree yang melarikan pandangan dari matanya. Selama ini, Kilan yang akan mengalihkan pandangannya ke tempat lain dan Aubree akan tetap memandang ke Kilan macam orang yang dilamun cinta.
Pemberitahuan mesra;
* (") untuk percakapan seperti biasa.
*(') untuk percakapan mereka dalam hati.
***
***
Saya tidak gunakan bahasa seperti beta atau patik atau hamba. Because I'm not very fond of that language. Walaupun sepatutnya saya patut guna bahasa tu sebab ada title Prince and King dalam cerita ini.
I hope everyone understand.
Have a nice day.