Setelah kereta yang dinaiki melintasi pintu gerbang ajaib itu, mereka pun berpindah ke sebuah tempat. Berbeza dengan keadaan hutan tebal yang gelap dan menakutkan, tempat yang Aubree masuk sekarang ialah sebuah tempat yang dipenuhi dengan tumbuhan hijau.
Jika Aubree tidak tahu jika dunia yang didiaminya sekarang ini ialah dunia Elf, Aubree tidak akan pernah percaya dengan pemandangan yang ada di depan matanya.
Seluruh tumbuhan hijau yang dia nampak sangat berbeza dengan tumbuhan yang ada di bumi. Tumbuhan itu sama seperti yang muncul di cerita dongeng.
Perjalanan tidak dihentikan sehinggalah mereka tiba di sebuah istana di mana sebuah menara yang besar terbina di tengah-tengah istana itu.
Kerana tertanya-tanya, Aubree pun memandang ke arah menara itu dari arah dalam kereta.
Ketika kereta dihentikan di depan pintu masuk istana itu, di sanalah Aubree keluar dari kereta setelah melihat Elf yang lain juga keluar dari dalam kereta yang mereka naiki.
Sebelum Aubree melangkah masuk mengikuti rombongan Tuan Merrah memasuki pintu masuk, Aubree berhenti dan memandang dengan teliti bangunan istana yang berdiri megah di hadapannya.
Aubree tidak dapat berhenti daripada terus melepaskan keluhannya. 'Tidak hairan kenapa tiada Elf yang tahu tempat ini, pintu masuk menuju ke tempat ini hanyalah melalui pintu ajaib saja…'
Fourlin menoleh ke arah Aubree bila dia menyedari yang Aubree tidak pun berjalan mengikuti mereka dan hanya berdiri di sana dengan wajah kosong.
"Audrey, apa yang kau tunggu lagi? Semua Elf sudah menunggu kau di dalam. Cepat jalan, jangan buatkan yang lain menunggu terlalu lama!"
Aubree hanya merenung Fourlin dengan wajah kosong sebelum dia memandang ke arah Della dan White yang masih setia berdiri di belakangnya.
"Kau tak apa-apa, Aubree?" tanya Della, risau melihat Aubree yang tiba-tiba diam saja.
Aubree tersenyum mendengar soalan Della itu. "Ya, saya tidak apa-apa. Mari masuk ke dalam…"
Dengan Aubree di hadapan sebagai pemimpin, Della dan White berjalan bersama Aubree masuk ke dalam kawasan istana itu.
Mereka masuk ke sebuah dewan separuh terbuka di mana dewan itu sudah pun dipenuhi dengan para Elf, tidak kira sama ada mereka ialah tentera atau ahli sihir.
Ketika Aubree masuk ke dalam dewan itu bersama dengan seekor Harimau Bertanduk, hampir kesemua Elf ternganga tidak percaya. Mereka sudah sedia maklum jika seorang pemilik Kristal Kehidupan mempunyai seekor Haiwan Sakti yang akan sentiasa menemani mereka tapi tiada yang akan menyangka jika Haiwan Sakti yang dimiliki oleh Aubree adalah Haiwan Sakti yang bersaiz besar.
Sedangkan Puteri Meliani, pemilik Kristal Kehidupan yang lain juga memiliki Haiwan Sakti namun berukuran kecil sedikit. Haiwan Sakti yang dimiliki oleh Puteri Meliani ialah seekor Kucing Bersayap.
Suara bisikan mula terdengar di dewan itu dan hampir kesemua Elf yang ada di sana mula berbisik tentang Aubree.
Selain Fourlin, Elf yang lain yang datang bersama Aubree menunduk hormat ke arah seorang Elf yang memegang sebatang tongkat permata di tangan kanan. Setelah itu, mereka pun bergerak ke tepi.
Elf yang memegang tongkat itu ialah Ahli Sihir Yang Tertua yang menjaga Kristal Kehidupan.
Fourlin membawa Aubree sehingga ke depan Ahli Sihir Yang Tertua. Dia juga ikut menunduk hormat ke arah Ahli Sihir Yang Tertua itu dan diikuti oleh Aubree dan Della. Hanya White saja yang berdiri di sebelah kiri Aubree tanpa bergerak sedikit pun.
Walaupun White tidak menunduk hormat seperti yang lain, tiada yang merasa marah kerana mereka tahu sifat seekor Haiwan Sakti adalah mereka tidak akan menunduk kepada sesiapa kecuali tuan mereka sendiri.
Setelah melihat Aubree, Ahli Sihir Yang Tertua mengecilkan matanya untuk memeriksa Aubree dari bawah ke atas. "Ini ialah pemilik Kristal Kehidupan yang kedua?"
Fourlin segera memberikan pandangan laju ke arah Aubree untuk memberi isyarat kepada Aubree agar dia memperkenalkan dirinya kepada Ahli Sihir Yang Tertua.
Aubree tentu saja memahami apa yang Fourlin ingin dia lakukan. Jadi, Aubree pun meletakkan tangan kanannya ke dada dan menunduk sedikit lalu berkata, "Salam hormat, Yang Tertua. Nama saya ialah Audrey. Saya percaya saya dibawa ke sini adalah kerana saya disebut sebagai pemilik Kristal Kehidupan yang lain?"
Ahli Sihir Yang Tertua membuat bunyi 'hmm' sekejap dan tidak bertanya soalan untuk seketika.
Suasana dewan itu pun menjadi senyap tanpa ada sebarang suara dari para Elf. Yang terdengar hanyalah bunyi nafas. Mungkin jika ada sebatang jarum jatuh ke atas lantai, bunyinya masih boleh terdengar.
Setelah beberapa lama suasana sunyi yang sepertinya menyiksa semua Elf yang ada di dewan itu, akhirnya Ahli Sihir Yang Tertua berdiri dari tempat duduknya. Dia memandang Aubree dengan wajah serius. "Ikut saya!"
Suara yang tegas dan serius itu membuatkan Aubree secara tidak sedar merasa seram sejuk di belakang lehernya. Perlakuan Ahli Sihir Yang Tertua ini membuatkan Aubree teringat akan nenek garangnya yang ingin menghukumnya kerana satu kesalahan.
Mahu tidak mahu, Aubree berjalan mengikuti Ahli Sihir Yang Tertua dan masuk ke sebuah pintu yang terletak di kanan dewan itu.
Della dan White ingin mengikuti Aubree namun Fourlin menahan mereka daripada mengikuti Aubree.
"Ahli Sihir Yang Tertua hanya ingin memastikan identiti Audrey sebagai pemilik Kristal Kehidupan yang kedua, kamu berdua boleh menunggu dia di sini. Tidak akan ada apa-apa jadi dengan dia selama dia berada di tempat ini." Fourlin yang masih dengan wajah serius itu memandang Della dan White.
Kalau bukan kerana mereka berada di Menara Kristal di mana tempat ini dikira suci oleh para Elf, Della mungkin sudah lama memarahi Fourlin kerana berani menghalang jalan mereka. Ini kerana Della tahu siapa identiti Aubree yang sebenarnya sedangkan yang lain tidak tahu.
***
***
Aubree dibawa masuk ke satu ruangan yang agak luas di mana di sana, Aubree melihat ada sebuah Kristal Kehidupan yang melayang-layang beberapa inci dari meja altar.
Aubree terkesan melihat Kristal Kehidupan itu kerana selama dia hidup sebagai manusia di bumi, Aubree tidak pernah melihat suasana seperti ini. Tapi sekarang dia boleh melihatnya di depan mata dan bukannya melalui kaca televisyen.
Di ruangan itu, hanya ada dua orang Elf yang terlihat seperti pembantu. Mereka menunduk hormat ketika Ahli Sihir Yang Tertua masuk ke dalam ruangan itu bersama Aubree.
Ahli Sihir Yang Tertua berhenti di depan meja altar dan menoleh kembali ke arah Aubree yang terlihat membeku di tempah di berdiri.
"Datang kemari."
Aubree memandang ke arah Ahli Sihir Yang Tertua sebelum anak matanya berpindah semula ke Kristal Kehidupan tadi. Badannya bergerak tanpa sedar mendekati Ahli Sihir Yang Tertua.
'Ini yang dikatakan sebagai Kristal Kehidupan? Saya tidak sangka rupanya Kristal Kehidupan ni ternyata lebih cantik dari yang saya bayangkan…'
"Untuk mengetahui jika kamu adalah pemilik Kristal Kehidupan ini, kamu harus biarkan Kristal Kehidupan ini mengenali kamu sendiri…"
Itulah yang dikatakan oleh Ahli Sihir Yang Tertua. Dia mahu Kristal Kehidupan itu menentukan jika Aubree ialah pemilik Kristal Kehidupan yang mereka cari atau pun bukan.
Tapi tidak satu pun perkataan ahli sihir ini masuk ke dalam minda Aubree kerana saat ini gadis itu sedang berada di dalam dunianya sendiri. Aubree sedang sibuk memerhati Kristal Kehidupan tadi dan tidak mempedulikan suasana di sekeliling.
Perlahan-lahan, Aubree mengangkat tangannya. Ingin mencapai Kristal Kehidupan itu.
Saat jari-jemari Aubree menghampiri Kristal Kehidupan itu, Kristal Kehidupan itu terlihat bercahaya. Aubree tidak berhenti daripada terus menggerakkan tangannya ke arah Kristal Kehidupan itu.
Beberapa inci saja lagi, jari Aubree menyentuh permukaan Kristal Kehidupan itu, tiba-tiba Kristal Kehidupan itu mengeluarkan cas elektrik yang memenuhi seluruh permukaan Kristal Kehidupan itu. Cas elektrik itu semakin membesar dan beberapa darinya mengenai jadi Aubree tapi anehnya, Aubree tidak merasa sakit pun, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku pada tangannya.
Aubree berjaya menggenggam Kristal Kehidupan itu di tapak tangannya dan saat Aubree berjaya menggenggam Kristal Kehidupan itu, mindanya terus dipenuhi dengan berbagai-bagai imej asing.
"Arrgghh!"
Suara erangan kecil keluar dari mulutnya kerana Aubree merasakan sakit di kepalanya.
Imej pertama yang dia lihat ialah seorang wanita Elf yang sedang memegang Kristal Kehidupan itu…
Kemudian, imej berpindah lagi ketika wanita Elf tadi berasa di medan perang melawan Raja Kegelapan…
Imej kembali berpindah saat wanita Elf itu berpindah ke dunia manusia, menjadi manusia dan melahirkan anak…
Ketika Aubree sedang menahan sakit kerana imej-imej yang tidak dikenalinya muncul di mindanya, dia tidak tahu jika kesan daripada ini adalah lebih mengejutkan.
Aubree masih memegang Kristal Kehidupan itu ketika cahaya terang berwarna hijau terang muncul dari dalam Kristal Kehidupan itu. Cahaya hijau itu menyinari seluruh kawasan dan sekali gus membentuk sebuah cahaya lurus yang memancar ke langit.
Saat itu, semua Elf yang ada di Menara Kristal itu, walau di mana pun mereka berada, akan berhenti dan memandang ke arah cahaya hijau terang yang memancar keluar dari menara yang satu-satunya dibina di tempat ini.
Ahli Sihir Yang Tertua memandang Aubree dengan pandngan yang penuh dengan tanda tanya dan selebihnya, dia merasa terkejut. Dia tidak menyangka kesan daripada tindakan Aubree tadi akan menghasilkan gelombang kekuatan yang dahsyat.
Aubree terjatuh di atas lantai dengan keadaan lemah. Kepalanya masih terasa sakit kerana menerima imej asing. Dia mendapat sakit ini kerana Aubree belum bersedia sama sekali untuk menerima semua imej tersebut.
Ahli Sihir Yang Tertua memberikan arahan kepada dua orang Elf tadi untuk membantu Aubree.
Dua orang pembantu Elf tersebut segera melakukan tugas mereka dan menolong Aubree berdiri kembali.
Ahli Sihir Yang Tertua menjeling ke arah Aubree dengan wajah penuh komplikasi. "Hantar dia ke bilik dia dan biarkan dia berehat dulu…"
Hai, semua...
Akhirnya, setelah semua masalah selesai... Saya boleh kembali menyambung cerita ni...
Terima kasih kepada semua yang masih setia menunggu...
Saya minta maaf sekali lagi sebab lambat sangat update.
Anyway, enjoy the new chapter!