Jantung berdegup macam nak terkeluar dari sangkar rusuk aku ni. Muka berpeluh. Entah kenapa rasa sejuk datang memeluk secara tiba-tiba. Takut? Mungkin, sebab sekarang ni aku tak rasa ada kotak yang boleh potong mangga dan kopak pintu semata-mata nak duduk dekat atas karpet rumah aku.
Aku bergerak mendekati suis lampu yang berada berdekatan dengan rak kasut yang berada di sebelah kiri. Lampu ruang tamu dihidupkan. Cahaya mula menyinari segenap ruang dalam rumah aku. Aku buta sementara waktu, menunggu bebola mata aku untuk menyesuaikan diri dengan kecerahan sekeliling. Aku perhati semula barangan dalam rumah sambil mendekati kotak di atas lantai tu. Betul lah, bila aku tengok perabot apa semua dekat ruang tamu, tak ada yang hilang. TV dalam bilik nanti aku check, sebab kotak ni lagi menarik minat aku.
Bila aku perhati semula, kotak ni bersaiz sederhana besar, tak ada label tapi yang paling pelik kotak ni berwarna hitam. Eh? Warna hitam? Shit! Ni… ni mesti kerja Amin! Ah, aku dah agak dah budak tu confirm nak buat hal dengan aku. Aku tahulah aku singgah TF lama tadi, tapi tak tahu pulak Amin sempat nak letak kotak hitam ni. Tapi… kurang ajar jugak budak tu, nak prank agak-agak lah, sampai pintu rumah aku kena kopak, apa cerita? Biar lah, esok aku setel budak tu.
Aku memerhatikan kotak hitam itu. Tak ada benda yang mysterious sangat, tapi mungkin sebab kulit dia warna hitam tu kot yang buatkan aku rasa tak selesa. Aku duduk melutut sebelum mengangkat kotak hitam tu ke atas riba aku. Berat jugak kotak ni, benda la yang Amin letak? Eh…
Bila aku angkat kotak tu, ada rasa benda melekit. Lantai rumah tu aku tatap balik dan ternyata ada semacam lopak cecair berwarna hitam dekat lantai. Tangan kanan aku angkat untuk lihat warna cecair tu dengan lebih jelas. Jantung berdegup kencang. Peluh mula merenik di dahi. Aku mula rasa macam nak pengsan. Cecair di tangan aku berwarna merah darah!
"Fuck! Benda apa dia kasi dekat aku ni sial…" Dengan tidak sabar aku buka penutup kotak hitam itu dan dengan serta-merta, leteran aku terus terhenti apabila bebola mata aku melihat 'benda' yang berada di dalam kotak itu. Kotak hitam itu tercampak dari pangkuan aku. Isi di dalam kotak itu bergolek keluar. Sebaik sahaja pandangan aku menangkap sekilas objek itu, ketakutan menguasai diri aku. Diri ini tak mampu nak menjerit kerana jeritan itu sudah tersangkut di kerongkong aku. Isi perut aku mendesak ingin keluar. Aku berlari ke tandas bilik aku lalu aku terus muntahkan segalanya. Kepala aku terasa pening. Jantung aku rasa macam dah nak berhenti berdegup.
Kaki aku ayunkan perlahan menuju ke ruang tamu. Aku harapkan yang semua benda yang aku nampak tu hanya sekadar khayalan. Apabila aku berdiri di muka pintu bilik aku, aku nampak 'benda' tu sudah berada di luar kotak. Aku terjatuh, terduduk di atas lantai rumah dengan degupan jantung yang menggila. Kini, 'benda' tu sedang memandang aku dengan bebola matanya yang terbeliak.
Kepala Amin yang sudah terpisah dari badan sedang memandang aku!
..............................…
< ??? >
Aku perhatikan keadaan sekeliling. Tak ada orang melainkan aku dan lelaki yang sedang berjalan dalam lorong gelap tu. Aku berjalan perlahan untuk mengelakkan sebarang bunyi terhasil. Semuanya berjalan lancar sehinggalah kaki aku tersepak satu botol plastik. Lelaki itu ternyata terkejut dan apabila lelaki itu menoleh, matanya tidak sempat menangkap pergerakan aku kerana aku sudah pun terlebih dahulu bersembunyi di belakang satu tong sampah besar.
Setelah beberapa minit berlalu, aku mengeluarkan kepala aku untuk memerhatikan di mana lelaki itu berada. Lelaki itu masih berjalan perlahan sambil kepala ditundukkan ke bawah. Dia barangkali sedang menggunakan telefon pintarnya. Aku menunggu peluang aku muncul semula. Apabila aku yakin yang lelaki itu tidak akan menyedari kehadiran aku, aku terus menyelinap keluar dari tempat persembunyian aku sebelum berlari anak ke arah lelaki itu.
Lelaki itu berjalan perlahan namun dia kini sudah hampir berada di hujung lorong. Aku mempercepatkan pergerakan. Pisau belati yang berada di poket kanan sweater aku, digenggam kemas. Apabila jarak antara aku dengan lelaki itu kurang dari sepuluh langkah, aku melompat sebelum menikam belakang badannya dan aku cabut pisau itu dengan cepat sebelum menikam lelaki itu buat kali kedua. Lelaki itu sempat menarik mask yang aku pakai sebelum terjatuh ke lantai jalan sambil mengerang kesakitan. Telefon pintarnya entah ke mana. Darah mula membasahi belakang badan lelaki itu. Apabila lelaki itu menoleh memandang aku, dia menunjukkan reaksi terkejut, sama seperti aku.
"Kenapa kau…"
Belum sempat lelaki itu menghabiskan ayatnya, aku terus menyepak mukanya dengan kaki kanan aku. Lelaki itu rebah menyembah bumi. Wajahnya mencium jalan tar di lorong yang gelap itu. Aku mengheret lelaki itu jauh ke dalam lorong untuk mengelakkan perbuatan aku dilihat orang. Apabila aku melihat tiada orang di kawasan itu, aku membaringkan lelaki itu di atas jalan sambil pisau yang tajam berkilat itu aku letakkan di bahagian kanan lehernya. Dengan satu pergerakan perlahan tetapi cekap, aku memotong lehernya dengan menarik pisau itu ke bahagian kiri lehermya. Darah merah likat memancut keluar, tersembur dan sebahagiannya terkena muka aku.
Aku hanya mengabaikan cecair merah yang sedang mengalir menuruni wajah aku. lelaki yang sedang terbaring itu pula menggelupur kesakitan dalam lopak darah yang dibuat oleh dirinya itu. Nampaknya aku tersilap langkah kerana kepalanya tidak dipotong habis. Dengan pisau yang sama, aku melakukan olah gerak itu sekali lagi dan kali ini aku berjaya memotong kepala lelaki itu sehingga habis. Aku terduduk kepenatan dengan kepala itu di tangan kiri aku.
Aku langsung tak sangka bahawa target aku tu adalah kenalan aku. Andaikata aku tak tikam dia atau dia tak nampak muka aku, aku tak perlu nak bunuh dia. Lepas ni aku kena beli topeng la agaknya. Apabila aku sudah menghembus nafas lega, tiba-tiba aku ternampak seorang lelaki dari penghujung lorong sedang memandang ngeri ke arah aku. lelaki itu menjerit sebelum lari lintang pukang. Oh fuck, here we go again.
...............................
Kepala lelaki yang kedua itu aku letakkan di sebelah kepala mangsa pertama. Aku mengeluh kepenatan. Tadi punyalah penat aku berlari nak kejar lelaki yang ternampak aku tu. kalau ikutkan, budak yang first tu dah cukup, tapi sebab ada orang lain dah nampak aku, nak tak nak kena lah bunuh. Aku memandang siling rumah sebelum mata aku tertancap pada kipas siling yang berputar perlahan. Nampaknya kuota aku dah lebih sorang. Nak claim duit ke?
Aku menoleh ke arah kanan, di mana meja kecil aku berada dan kini aku sedang memandang ke arah wajah mangsa pertama. Kalau tak silap aku, aku pernah jumpa budak ni. apa ya nama dia? Aku menunggu buat berapa ketika, sel-sel otak sedang berhubung untuk mencari nama lelaki itu. Akhirnya ingatan itu kembali bersama nama kepada kepala itu. Oh, mamat ni kalau tak silap, nama dia Amin!
..............................…
< REZA >
Dengan otak yang masih bercelaru, aku cuba untuk hadam apa yang sedang berlaku. Macam mana boleh ada kepala Amin? Ini mesti lawak kan? Tak kan lah dia betul-betul mati? Tak kan lah kes pasal 'kotak hitam' tu memang betul? Soalan yang dilontar kepada diri aku sendiri menemui dinding buntu. Kemudian, hati aku terdetik, bahawa ini semua mungkin seperti apa yang Amin cakap. Kotak hitam yang dihantar kepada aku ini ada maksudnya tersendiri. Mungkin kah ini petanda bahawa aku akan terlibat dengan benda yang lebih dahsyat?
RING! RING! RING!
Bunyi dari nada dering telefon mengusir aku dari lamunan. Aku terus mencari dari mana bunyi itu datang dan akhirnya mata aku terlihat akan sebuah beg plastik lutsinar di dalam kotak hitam itu. Aku pantas mengambil plastik lutsinar itu lalu membukanya. Sebuah Nokia 3310 hitam terhidang di atas tangan kanan aku. Tertera satu nombor tidak dikenali pada skrin telefon itu. Perlukah aku menjawabnya? Dengan rasa ingin tahu yang membuak, aku menekan butang hijau setelah berfikir panjang. Senyap. Tiada sebarang bunyi dari hujung talian. Apabila aku hampir menekan butang untuk mematikan talian, satu suara lelaki menyapa,
"Selamat malam. Nampaknya anda agak terkejut dengan apa yang terjadi bukan? Jangan risau, saya akan menerangkan segala-galanya. Pertama sekali, nama saya…"
"FUCK IT! KAU BUNUH KAWAN AKU! KENAPA! CAKAP, BANGSAT!", tengking aku. kemarahan kini meresap ke dalam diri aku.
"Sabar, saya harap tuan dapat bersabar agar saya boleh…"
"SABAR!? KAU BUNUH KAWAN AKU! LEPAS TU KAU NAK AKU BERSABAR!? FUCK YOU!!!" Aku terus mematikan panggilan. Telefon Nokia itu aku campak sekuat hati ke penjuru bilik. Nampaknya, pembunuhan Amin ni pembunuhan terancang. Aku kena buat report polis! Aku segera ke almari yang berada bersebelahan sinki, di mana aku menyimpan beg plastik. Aku ambil satu beg plastik berwarna hitam lalu aku masukkan kepala Amin ke dalam plastik hitam itu. Sewaktu aku ingin mengangkat kepala Amin, hanya tuhan yang tahu betapa ngerinya keadaan yang aku perlu harungi. Aku terpaksa mencengkam kuat kepala Amin kerana aku mengangkat kepalanya menggunakan satu tangan. Darah yang menitik ke lantai, biji matanya yang separa keluar dari soket mata dan darah yang mengalir dari hidungnya, semua aku tidak hiraukan.
Setelah berjaya membungkus kepala Amin di dalam plastik hitam itu, aku terus memasukkannya di dalam sebuah beg galas. Aku memakai selipar lalu terus berlari keluar menuju ke tempat parkir. Apabila aku menghampiri motosikal Yamaha aku, tiba-tiba cermin sisi kiri motosikal itu pecah secara tiba-tiba. Aku menghentikan larian aku.
BOOM!
Tidak sampai beberapa saat selepas cermin sisi itu berkecai, tayar hadapan motosikal aku meletup. What the fuck!? Mata aku terus meliar mencari punca kepada letupan itu. Pada bangunan yang bertentangan, aku dapat lihat, menerusi sebuah tingkap berwarna hitam, terdapat sesuatu yang bersinar dalam gelap. Aku terus berlari menuju ke belakang bangunan kerana tidak sedap hati. Aku tahu mungkin ini paranoid tapi aku rasa tayar motor aku mungkin meletup sebab ada orang tembak! Hati aku sudah tidak tenteram. Apa yang nak jadi dekat aku ni?! Adakah sebab aku bawak kepala Amin? Adakah aku akan dibunuh macam tu jugak? Apa yang akan jadi pada hidup aku?
Sedang persoalan-persoalan ini berlegar dalam minda aku, tiba-tiba aku disuluh dengan lampu yang maha cerah. Ada sebuah kereta Myvi hitam menghampiri aku dari bahagian parkir belakang bangunan. Aku terus melihat melalui cermin penumpang hadapan. Pemandunya melambai ke arah aku dengan senyuman ramahnya. Aku tersenyum kerana mengenal si empunya kereta. Auntie Zaleha!
— 次の章はもうすぐ掲載する — レビューを書く