"Perlawanan akhir latihan ini," kata Orang Lama Ouyang, sambil memandang Meng Hao dengan penuh semangat. "Meng Hao dan Wang Tengfei. Pemenang akan dinaikkan pangkat ke Sekta Dalaman."
Semua orang merenung Meng Hao ketika dia melompat naik ke atas platform. Wang Tengfei membuka matanya dan melangkah dengan bersahaja. Perbualan tercetus di kalangan pengikut Sekta Luaran.
"Meng Hao benar-benar berani melangkah ke platform. Asas Pertapaannya cukup baik, dan dia telah membunuh Han Zong, tetapi lawannya ini Abang Wang. Meng Hao benar-benar tidak tahu batasnya."
"Pastinya akan ada halangan untuk menuju kejayaan. Ini hanya halangan kecil yang perlu ditempuhi oleh Abang Wang untuk naik ke puncaknya."
"Aku masih ingat ketika dia merampas barang ajaib yang diberikan oleh Abang Wang kepada seseorang sebagai hadiah. Apabila Abang Wang mengambilnya kembali, Meng Hao menjadi seperti semut di hadapannya." Perbualan mengisi udara, penuh dengan ejekan. Bukannya semua orang memusuhi Meng Hao tetapi sebaliknya mereka merasakan Abang Wang sesorang yang tidak patut diganggu.
"Jika dia mati di tangan Wang Tengfei, susahlah aku mahu dapatkan beg saktinya," fikir Shangguan Xiu sambil mengerut. Dia memandang Meng Hao.
Walaupun semua orang kedengaran mengejek Meng Hao, sekali lagi membuatkan dia menentang dunia, tiba-tiba kedengaran suara yang nyaring dan jelas.
"Meng Hao boleh! Kamu pasti akan menang! Kamu pasti jadi pengikut Sekta Dalaman yang seterusnya!" Si Gempal menjerit dari bawah di dataran dengan suara serak remajanya.
Suara seraknya didengari Meng Hao, tetapi suara itu kedengaran sayup-sayup. Dia berdiri dengan tenang, merenung Wang Tengfei dengan dingin. Meng Hao sedar semenjak dia memasuki dunia Pertapaan sehingga sekarang, dia tidak pernah menghadapi lawan yang lebih kuat. Ini akan menjadi pertempuran yang paling sukar baginya.
Tetapi dia tidak akan mengundurkan diri. Dia akan bertempur. Dia akan menyerang. Ada beberapa perkara dalam kehidupan ini yang wajib dilakukan oleh seorang lelaki, demi maruah.
Kejadian tempoh hari terus bermain di kepalanya, dan secara tidak sedar dia menggosok beg saktinya.
Di dalam beg itu terdapat sepuluh kuku dengan kesan darah yang dicabutnya dari telapak tangannya.
Wang Tengfei berdiri dengan tenang, sambil memandang Meng Hao dengan dingin. Matanya tenang, seolah-olah dia memandang rendah pada seekor serangga. Dia kelihatan sama seperti dirinya pada tahun itu.
Dia mengibaskan tangan kanannya seolah-olah dia menghalau pepijat, dan di hadapannya muncul putaran puting beliung, kira-kira setinggi seseorang. Puting beliung itu berpusing ke arah Meng Hao.
Mata Meng Hao berkilau. Tidak ada apa yang hendak diperkatakan kepada Wang Tengfei. Dia boleh menyampaikan kata-katanya melalui pedang dan sihir. Ini pertempuran paling sengit dalam 18 tahun hidupnya.
Dia melangkah ke hadapan, mengangkat tangan kanannya dan mengeluarkan Bilah Angin yang berteriak ke arah putaran puting beliung itu. Bilah Angin itu mengeluarkan angin yang membadai sambil terbang ke depan.
Pertarungan!
Dia menampar beg saktinya, dan dua puluh bilah pedang terbang bergerak dalam satu baris. Sesetengahnya kelihatan bengkok, tidak dapat terbang dengan lurus, tetapi mempunyai aura pedang yang berkilau-kilauan. Dia mengangkat jari di tangan kanannya dan menunjuk. Dua puluh pedang terbang itu kelihatan seperti pelangi ketika semuanya ditembak ke arah Wang Tengfei dengan kuasa yang kuat.
Pertarungan!
Aura pedang yang menyilaukan itu kelihatan seperti hujan, dan saat kuasa gabungan pedan-pedang itu ditembak ke arah Wang Tengfei, puting beliung itu datang menghempas. Letupan bergema di udara ketika puting beliung itu terbelah. Pedang terbang yang kini bergerak tanpa sebarang arah, tiba-tiba disedut ke dalam puting beliung. Dari kejauhan, kelihatan seolah-olah puting beliung itu telah berubah menjadi pusaran pedang. Tetapi puting beliung itu menjadi semakin lemah, dan kelihatan seolah-olah akan musnah pada bila-bila masa.
Riak wajah Wang Tengfei langsung tidak berubah. Dia berjalan ke depan, dan kekuatan asas Pertapaannya, yang berada pada puncak peringkat keenam Pemekatan Qi, meletus lalu membentuk tekanan rohani yang belum pernah berlaku sebelum ini. Jari-jemari tangan kanannya bergerak dalam pola mantera, dan sejalur air yang nipis dan berkilau ditembak ke arah Meng Hao.
Ini bukan merupakan teknik Sekta Reliance, sebaliknya teknik dari puak Wang Tengfei.
Melihat teknik ini, Meng Hao tanpa ragu-ragu memasukkan Teras Syaitan ke dalam mulutnya. Dengan tangan kirinya, dia memanggil semula pedang terbang dari dalam pusaran. Pedang-pedang itu terbang kembali kepadanya dalam keadaan goyah. Dengan tangan kanannya, dia membentuk pergerakan dengan jari-jarinya untuk memanggil Ular Sawa Berapi, sepanjang kira-kira dua belas meter atau lebih. Ular itu menyerang ke Benang Air, menderu dengan sangat kuat sehinggakan kedengaran seolah-olah ribut sedang melanda.
"Air-Angin, serang!" kata Wang Tengfei. Walaupun dia tidak kelihatan mencemuh, ekspresi tenangnya sama seperti pada hari ketika dia hampir melumpuhkan asas Pertapaan Meng Hao, yakin dan tanpa ada kebimbangan.
Sebaik sahaja melafazkan mantra itu, Benang Air yang berkilauan bergabung dengan puting beliung untuk membentuk lajur berputar laju yang besar, kemudian menyerang Meng Hao.
Dua puluh pedang terbang berputar untuk menghalang lajur yang menyerang, dan ledakan melantun saat pedang-pedang itu bertaburan. Sebahagian daripada pedang-pedang itu juga hancur. Meng Hao sudah berundur ke pinggir platform. Di hadapannya masih ada kesan air yang besar selebar tangan, kira-kira sembilan meter panjang dan kelihatan sangat menakutkan.
Satu garisan darah muncul di dahi Meng Hao. Perlahan-lahan darah itu mengalir ke hidungnya, memberinya penampilan yang lebih ganas.
Dua puluh pedang terbang telah dapat menggoncang Han Zong, tetapi ini adalah Wang Tengfei, dan dia belum lagi menggunakan apa-apa barang sakti, hanya beberapa teknik yang Meng Hao tidak pernah lihat sebelum ini. Syukurlah Meng Hao dapat mengelakkan kematian. Jika asas Pertapaannya berada di peringkat kelima Pemekatan Qi, dia tidak akan dapat mengelak.
"Wang Tengfei mempunyai bakat terpendam yang mendalam," kata Shangguan Xiu, "dan mempunyai banyak pengalaman menggunakan kuasa dan Pemekatan Qi yang tinggi, bahkan seseorang di tingkat ketujuh Pemekatan Qi akan mengalami kesukaran berdepan dengannya. Meng Hao pasti akan mati." Keningnya semakin berkerut ketika melihat Meng Hao, dan matanya bersinar seperti ingin membunuh. Walau bagaimanapun, dia masih tidak tahu bagaimana hendak mengambil beg sakti Meng Hao selepas dia mati.
Wang Tengfei nampak tenang seperti biasa ketika Meng Hao mengelak serangannya. Ini serangannya yang biasa. Jika seekor gajah ingin menghancurkan seekor semut, dan langkah pertama tersasar, yang kedua tidak mungkin tersasar juga. Dia memberikan senyuman yang acuh tak acuh yang menawan kemudian mengambil satu lagi langkah ke hadapan, menaikkan tangan kanannya dan melambaikan jarinya ke arah Meng Hao.
Sebaik sahaja dia melambaikan jarinya, Meng Hao mendengar dengungan daripada penonton di sekitarnya. Ini mengingatkannya pada kejadian tempoh hari ketika dia menentang dunia. Wang Tengfei telah menggunakan satu serangan jari untuk mengikatnya, satu untuk memusnahkan loket jednya, satu untuk mengambil botol labunya dan satu untuk cuba melumpuhkan asas Pertapaannya.
Semangat pertempuran yang kuat bersinar di mata Meng Hao. Dia telah dimalukan oleh serangan jari Wang Tengfei, tetapi dirinya kini berbeza. Walaupun dia tidak membuat keputusan untuk mendaftarkan diri bagi latihan Sekta Dalaman, dipaksa oleh keadaan, dia telah bersedia untuk melakukannya. bulan lalu, sebahagian besar waktunya telah dihabiskan untuk belajar bagaimana untuk mengorbankan sedikit ketangkasan untuk dapat mengendalikan sejumlah besar pedang terbang.
Ketika jari Wang Tengfei diturunkan, Meng Hao menampar beg saktinya, memakan Teras Syaitan, dan kemudian mengerakkan jari-jarinya dalam pola mantra. Tiba-tiba, sepuluh atau lebih pedang terbang yang tersisa mulai bergetar. Pedang-pedang itu kemudiannya terangkat dari tanah dan terbang kembali ke arahnya dari segala arah.
Pedang-pedang itu berputar di sekeliling tubuhnya dan dia menurunkan tangannya, kemudian menunjuk ke arah Wang Tengfei. Pedang terbang ditembak dengan kelajuan yang sangat pantas, bertempik menuju Wang Tengfei.
Pada masa yang sama, lebih banyak pedang terbang muncul dari dalam beg saktinya, sehingga Meng Hao mencapai batasannya. Jumlah itu cukup untuk memecahkan tembok sebuah kota. Dengan kuasa yang menakutkan, pedang-pedang itu memenuhi langit, terbang ke arah serangan jari Wang Tengfei.
BOOM!
Satu letupan menggegarkan seluruh Sekta Luaran ketika dua puluh bilah pedang terbang bertembung dengan kuasa yang tidak dapat dilihat dari jari telunjuk Wang Tengfei. Di tengah-tengah letupan itu, dua puluh bilah pedang terbang berpusing, beberapa di antaranya hancur. Pedang-pedang itu berjaya menyekat serangan jari.
Darah mengalir dari mulut Meng Hao dan urat darah memenuhi matanya. Dia menggunakan satu lagi Teras Syaitan. Niat membunuhnya berkobar-kobar, tetapi dia masih belum mengucapkan satu perkataan pun. Itulah keperibadiannya. Semakin dia mahu membunuh seseorang, semakin dia menjadi marah, semakin dia diam.
Wang Tengfei kelihatan tenang seperti biasa, seolah-olah dia tidak memberi perhatian kepada Meng Hao yang berdiri di hadapannya. Hanya dia sahaja manpu bersikap angkuh dan tidak peduli dalam keadaan sebegini.
Melangkah ke hadapan, dia membuat serangan jari kedua.
Ini serangan yang telah menghancurkan loket jed Meng Hao. Meng Hao tidak ambil peduli untuk meludah darah keluar dari mulutnya. Dia menelannya. Jari berkilau dengan mantera, dia menghantar baki pedang terbang yang berselerakan ke arah Wang Tengfei dalam satu serangan lain. Kemudian, secara mengejut dia memotong pautan kawalannya dengan pedang-pedang itu, membiarkan semuanya terbang ke hadapan dengan menggunakan daya inersia.
Dia menampar beg saktinya, dan tiba-tiba lebih banyak aura pedang muncul, dua puluh bilah lagi, membentuk gelombang kedua yang bersiul ke depan. Ini hujan pedang yang mengandungi hampir 40 puluh bilah pedang terbang secara keseluruhannya!
Meng Hao tahu taktik ini mempunyai kelemahannya. Pedang terbang tidak cekap, hanya cepat dan tajam. Lawannya tidak akan mengalami kesukaran untuk mengelakkan serangan. Tetapi Meng Hao bertaruh memandangkan keangkuhan yang dimiliki lawannya, kemungkinan besar lawannya tidak akan cuba mengelak.
Walaupun dia cuba mengelak, Meng Hao telah bersedia. Dia sememangnya sudah mempertimbangkan kemungkinan ini dan telah bersedia.
Adegan yang berlaku hanya dapat digambarkan sebagai pertempuran epik. Bagi Pertapa yang mengamalkan Pemekatan Qi, ini sesuatu yang jarang dilihat. Di seluruh negara Zhao sejak beberapa ratusan tahun yang lalu, tidak pernah ada pertempuran antara dua orang yang berada di tahap keenam Pemekatan Qi!
Meng Hao mempunyai banyak pedang terbang. Selepas pengalamannya di atas gunung hitam, dia telah banyak memikirkan penggunaan sihir pertempuran. Dengan bantuan Bilah Angin, dia dapat mengendalikan sejumlah besar pedang terbang. Walau bagaimanapun, teknik ini memerlukan banyak kuasa rohani, dan dia hanya boleh memanggil dua puluh bilah setiap kali. Lebih-lebih lagi asas Pertapaannya hanya membolehkan dia membuat kawalan asas, cukup untuk menembak pedang terbangnya ke hadapan. Dia tidak dapat mengerakkan pedang-pedang itu ke udara, atau membuat pedang terbangnya menukar arah. Dia pada dasarnya mengorbankan ketangkasan pedang terbang dan lebih memokuskan pada kemampuan pedang itu untuk terbang.
Oleh itu, dia boleh menggunakan pedang terbang dalam jumlah yang banyak, dengan cara yang sama orang biasa mungkin membaling objek secara berturut-turut. Tetapi dia tidak menggunakan tangan sebaliknya menggunakan kuasa rohani untuk memastikan pedang terbangnya bergerak ke hadapan. Selagi dia memiliki pedang yang cukup dan kuasa rohaninya tidak habis, dia pasti akan berjaya.
Wang Tengfei tidak menggunakan teknik Sekta Reliance, kerana dia menghina Sekta Reliance dan teknik mereka. Dia menggunakan teknik-teknik milik puaknya yang berkuasa. Ini membolehkan dia mendapat kelebihan berbanding orang lain.