Si Gempal merenung Meng Hao sambil mengalirkan air mata. Dia bergegas ke hadapan, meraung-raung.
"Awak belum mati, Meng Hao, awak belum mati!" Si Gempal menangis sambil memeluk Meng Hao. "Saya sangat takut sejak beberapa hari ini. Semua orang kata awak sudah mati, dan saya sangat sedih. Awak satu-satunya sahabat saya. Apa yang akan saya lakukan jika awak mati?
"Saya fikir untuk melarikan diri dari sekolah. Saya sampai hilang keinginan untuk mengasah gigi saya. Tetapi jika saya lari, bagaimana saya hendak membalas dendam? Jadi saya membuat keputusan untuk tidak lari dan bersumpah akan mencari cara untuk membalas dendam untuk awak..."
Si Gempal memandang Meng Hao dengan penuh keikhlasan, dan setelah bercakap sebentar, air matanya berhenti mengalir. Mereka berdua duduk di tebing sungai dan Meng Hao memberitahunya tentang semua perkara yang telah berlaku di gunung hitam, kecuali perkara yang berkaitan dengan Naga Hujan Bersayap dan Wang Tengfei. Si Gempal mendengar dengan cemas, dan apabila dia mendapat tahu Meng Hao telah mencapai peringkat keenam Pemekatan Qi, dia tersentak dan terpegun.
"Peringkat keenam Pemekatan Qi..." Si Gempal kelihatan sangat teruja. "Biar betul, kamu sudah mencapai peringkat keenam Pemekatan Qi! Tahun lalu sewaktu Kakak Xu membawa kita ke sini, dia berada di peringkat ketujuh. Meng Hao, awak ibarat dewa! Jadi, awak boleh terbang? "
"Terbang..." Meng Hao menutup matanya, membayangkan gambaran tentang Hikmat Meringankan Badan dari manual Pemekatan Qi. Sudah tentulah lebih mudah untuk melakukan teknik ini pada peringkat keenam berbanding ketika dia berada di peringkat kelima. Namun setelah mencuba beberapa kali, yang terbaik dapat dilakukannya ialah terapung di udara seketika sebelum turun semula. Sambil mengumam, dia terus mencuba selama beberapa ketika, kemudian dia makan pil ubat. Akhirnya, dia dapat terapung lima inci di udara. Si Gempal memandang dengan mata yang terbeliak.
Meng Hao tiba-tiba membuka matanya, dan matanya bersinar terang. Dia berdiri dan membuat beberapa pusingan di sekitar kawasan itu sambil bergerak seperti angin. Si Gempal memerhati sambil menarik nafas dalam.
Selepas bergerak seperti ini beberapa kali, Meng Hao mula selesa dan terbiasa dengan teknik ini. Dia menampar begnya dan sepantas kilat, sebatang pedang terbang muncul. Pedang itu bergerak ke arah kakinya, dan kemudian Meng Hao meluru ke arah langit. Si Gempal kelihatan terkejut, seolah-olah dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
"Awak terbang..." bisik Si Gempal.
Meng Hao berasa sangat teruja. Dia menggunakan Hikmat Meringankan Badan untuk terbang dengan pedang sambil angin meniup ke arah wajahnya. Selepas tempoh tiga puluh nafas, dia mula berasa tidak stabil, kemudian mula kehilangan keseimbangan. Setelah itu terjadi, fikiran Meng Hao mula berputar, dan satu mnemonik muncul dipikirannya.
Mnemonik itu tidak terdiri daripada kata-kata, kelihatan penuh misteri dan muncul di fikirannya seperti naluri. Ketika itu, tiba-tiba tenaga rohani mula beredar di dalam tubuhnya. Dia melambaikan tangan kanannya secara tidak sedar, seperti sedang mengibaskan sayap. Tiba-tiba, Bilah Angin muncul di hadapannya!
Sebaik Bilah Angin itu muncul, pedang terbang di bawah kakinya bergetar. Bilah Angin meluru ke hadapan, ke arah hutan dan tiga baris pokok terpotong dua. Bunyi gemuruh bergema di dalam hutan dan Meng Hao jatuh ke tanah.
Si Gempal sangat terperanjat, dan memerlukan beberapa saat untuk kembali waras. Wajahnya kemerah-merahan dan dia menatap Meng Hao dengan pandangan penuh rasa hormat.
"Awak benar-benar berjaya melakukannya! Jika saya bersama dengan awak, siapa yang berani buli saya? Siapa yang berani mengganggu urusan kita!" Memikirkan hal ini, Si Gempal tiba-tiba tertawa terbahak-bahak.
Meng Hao menutup matanya dan berasa gembira memikirkan Bilah Angin itu. Dia seorang yang bijak dan menyedari hal ini kemungkinan besar berkaitan dengan mimpi aneh yang dialaminya serta Teras Syaitan. Mnemonik yang telah muncul di kepalanya juga ada kaitan dengan Teras Syaitan. Tiba-tiba, bayang-bayang Naga Hujan Bersayap muncul di tengah-tengah tasik teras. Meng Hao ingin menyuarakan tentang perasaannya mengenai Naga dan menjadi raja di langit, tetapi dia tidak berjaya melakukannya walaupun telah berusaha sepenuh tenaga.
"Oh, ya," kata Si Gempal yang tiba-tiba teringatkan sesuatu. "Latihan kenaikan tahap khas akan bermula dalam masa beberapa hari lagi. Saya dengar tempoh pendaftarannya sebulan. Awak patut sertainya! Awak pasti akan diterima. Nanti awak boleh menjadi pengikut Sekta Dalaman ketiga bagi Sekta Reliance! Awak akan jadi sangat terkenal!"
"Latihan kenaikan tahap khas?" Meng Hao kelihatan terkejut. Dia pernah dengar mengenainya sebelum ini, tetapi pada masa itu, asas Pertapaannya terlalu rendah, jadi dia tidak mempertimbangkannya. Tetapi segalanya berbeza sekarang. Di seluruh Sekta Reliance, hanya tiga orang berada di peringkat keenam Pemekatan Qi, termasuk dirinya sendiri. Yang lain adalah Wang Tengfei dan Han Zong. Han Zong mengalami kesukaran di peringkat kelima Pemekatan Qi untuk jangka masa yang lama, namun baru-baru ini telah berjaya naik ke peringkat keenam.
"Saya dengar mereka hanya akan menerima seorang pengikut dan semua orang mengatakan latihan ini dibuat khusus untuk Wang Tangfei. Tetapi sekarang, awak berada di peringkat keenam dan awak mungkin akan berjaya." Si Gempal benar- benar ingin Meng Hao bersetuju. Jika Meng Hao menjadi pengikut Sekta Dalaman, dia akan menjadi orang penting bagi Sekta Reliance.
Meng Hao ragu-ragu, tidak pasti apa yang sebenarnya ingin dia lakukan. Dia teruja dengan peluang ini. Dia tahu menjadi seorang pengikut Sekta Dalaman akan berbeza daripada berada dalam Sekta Luaran. Selepas menjadi pengikut Sekta Dalaman, tiada siapa yang akan sewenang-wenangnya menyinggung perasaannya, termasuk Orang Kanan Sekolah. Selain itu, terdapat lebih banyak peluang untuk mendapatkan Batu Rohani dan pil perubatan. Tetapi ini perkara yang penting, dan asas Pertapaan Meng Hao telah berkembang dengan pesat. Dia perlu mempertimbangkan apa yang akan difikirkan orang lain, atau tekaan yang mereka akan buat. Sekiranya dia menarik terlalu banyak perhatian, kerugiannya mungkin lebih besar daripada keuntungannya.
Dia telah menjadi pengikut Sekta Reliance selama hampir dua tahun sekarang, dan telah mengembangkan pemahaman mendalam tentang frasa "undang-undang hutan." Dia juga tahu untuk tidak menayangkan kekayaannya. Namun, dia belum membuat keputusan untuk tidak mengambil bahagian. Mungkin dia akan pergi. Walaupun bagaimanapun, selepas semua yang berlaku di gunung hitam, harta dan pil ubatnya telah hampir digunakan sepenuhnya. Dia perlu mengumpulkan harta kembali.
Dia tidak dapat menahan dirinya daripada memikirkan tentang dua ribu Batu Rohani.
Dua puluh hari berlalu dengan cepat, dan tempoh pendaftaran untuk latihan kenaikan tahap khas hampir berakhir. Tidak ramai yang mendaftar. Menurut Peraturan Sekolah, setelah mendaftar, seseorang tidak boleh meninggalkan dataran utama, tetapi dikehendaki duduk bermeditasi di bawah tiang ukiran naga. Tiada siapa yang dibenarkan mengganggu pendaftar.
Sebenarnya, latihan yang disebutkan itu ialah pertandingan pertempuran kuasa ajaib. Dikatakan bertahun-tahun yang lalu, para peserta perlu pergi ke hutan belantara untuk mencari harta karun. Tetapi akibat kemerosotan Sekta Reliance, satu-satunya cara untuk memilih siapa yang diangkat ke Sekta Dalaman dengan melihat siapa yang akan memenangi pertandingan pertempuran kuasa ajaib.
Dalam tempoh dua puluh hari itu, Meng Hao pergi ke Zon Awam Tahap Tinggi, tetapi ia benar-benar kosong. Memandangkan kemerosotan Sekta Reliance, Meng Hao dapat memahami mengapa hal ini berlaku. Sekali lagi, dia membuka kedai di luar Zon Awam Tahap Rendah.
Kemunculan semulanya menyebabkan kekecohan besar, dan tiada siapa yang berani mengganggu perniagaannya. Malah selama dua puluh hari, perniagaannya berkembang pesat dan dia memperolehi beberapa Batu Rohani. Hampir setiap hari dia mampu menggandakan barang-barang ajaib dan pil ubat, yang digunakannya untuk membina kembali simpanannya dengan perlahan-lahan.
Walaupun semua benda ajaib dan pedang terbang di dalam beg miliknya itu biasa sahaja, jumlah barang-barang itu hampir mencecah seratus. Memikirkan kembali pertarungannya dengan Lu Hong, dan peristiwa-peristiwa di gunung hitam, dia sekarang memahami dengan jelas kaedah terbaik untuk terlibat dalam pertempuran ajaib. Selepas berfikir seketika, matanya berkilauan. Dia baru saja mendapat idea untuk meningkatkan keberkesanan semua pedang terbangnya.
Selain menguruskan perniagaan, sebahagian besar masa terluang Meng Hao digunakan bagi meneliti kaedah untuk meningkatkan kuasa pedang terbangnya. Dia melakukan pelbagai ujian dan akhirnya menghasilkan beberapa teknik baru dan cara untuk mengawal lebih banyak pedang dalam masa yang sama. Salah satu perkara yang dia lakukan ialah mengubah bentuk pedang-pedang itu sebagai cara penyamaran. Ada yang dia calarkan dan tandakan, ada juga yang hujungnya dipatahkan. Pedang-pedang lain ada juga yang dicat dengan pelbagai warna.
Dia menghabiskan masa selebihnya untuk menghubungkan mindanya dengan minda penguasa langit iaitu Naga Hujan Bersayap. Walaupun dia tidak pernah berjaya, dia mendapati Hikmat Meringankan Badan miliknya meningkat dengan ketara, membuatkan dia secara beransur-ansur dapat menghampiri langit.
Waktu berlalu dan kini hanya tinggal dua hari sahaja bagi tempoh pendaftaran untuk latihan kenaikan tahap khas. Meng Hao duduk di gerainya di Zon Awam Tahap Rendah sambil memerhatikan Si Gempal menjual barang dagangannya dengan penuh semangat. Tiba-tiba, dia berpaling dan memandang sesuatu. Jauh di kaki gunung, dia melihat seseorang berjalan ke arahnya.
Setiap langkah membawa orang itu maju beberapa meter, jadi dia tiba di dataran tinggi dengan sangat cepat. Dia kelihatan berusia dua puluh tujuh atau dua puluh lapan tahun dan kelihatan bangga dan angkuh. Di hadapannya, selembar kertas kuning terapung di udara, di mana telah ditulis pelbagai tokoh dunia magik. Gumpulan asap hitam memancar dari permukaan kertas itu, berlingkar di sekitar lelaki muda itu.
"Azimat..." mata Meng Hao berkelip ketika dia menelitinya. Dia telah membaca tentang kertas kuning jenis ini di dalam manual Pemekatan Qi. Ini merupakan benda ajaib yang kuat, dan boleh digunakan beberapa kali.
Lelaki muda yang mendekati Meng Hao itu orang kedua paling berkuasa di Sekta Luaran, Han Zong, yang berada di peringkat keenam Pemekatan Qi. Sebaik sahaja dia muncul, dia menyebabkan kekecohan di dataran tinggi kerana semua orang memberikan tanda hormat dengan memberikan tabik genggam.
"Meng Hao," katanya dengan dingin. Dia tidak mempedulikan orang lain dan merenung Meng Hao. "Tuan Guru Shangguan mempunyai beberapa perkara yang beliau ingin bincang dengan kamu. Sila ikut saya untuk berjumpa dengannya."
Meng Hao mengerutkan dahi. Tuan Guru Shangguan bukan orang asing. Sama ada melalui kehadirannya semasa Pengedaran Pil Individu atau menyertai Wang Tengfei dalam memerangi ular sawa syaitan, jelas dia bukan sekadar orang biasa.
"Apa yang dia mahu dengan aku?" fikir Meng Hao sambil perlahan-lahan berdiri. "Adakah dia merasakan sesuatu tentang aku?" Dia tahu lelaki itu salah seorang Orang Kanan Sekolah. Oleh kerana dia dari Sekta Luaran, dia tidak boleh menolak dan perlu patuh. Sekiranya dia berbuat demikian, perbuatannya akan kelihatan mencurigakan.
Sambil menggumam, Meng Hao melihat Han Zong yang berwajah dingin. Dia menyangkakan jika kebenaran tentang peristiwa hari itu didedahkan, Wang Tengfei orang pertama yang akan datang mencarinya. Mungkinkah panggilan ini mempunyai kaitan dengan perkara itu?
Wajah Meng Hao tenang, tetapi kepalanya berputar dan dia tertawa dingin kepada dirinya sendiri. Sambil memandang Si Gempal sepintas lalu, dia berjalan ke hadapan.
Bergerak bersama Han Zong, mereka segera sampai ke Gunung Barat. Di puncak gunung, tenaga rohani amat tebal. Meng Hao melihat sebuah kediaman yang indah, di dalamnya ada sekumpulan kanak-kanak lelaki sedang menanam Rumput Roh.
Tidak lama kemudian mereka berhenti di hadapan bangunan tiga tingkat. Han Zong memandang Meng Hao, dan kemudian suara Shanguan Xiu kedengaran dari dalam.
"Masuklah Meng Hao. Han Zong, kau pergi ke Gunung Selatan." Satu kepingan jed tiba-tiba terbang ke tangan Han Zong. Dia memandang Meng Hao sambil tertawa dingin, kemudian berpaling dan berlalu pergi.
Hati Meng Hao mula berdebar. Ini tidak betul. Shangguan Xiu memberi Han Zong kepingan jed dan menghantarnya ke Gunung Selatan...