アプリをダウンロード
2.31% AKU AKAN MENGUNCI SYURGA / Chapter 17: Biar Aku Bergantung Pada Diri Sendiri!

章 17: Biar Aku Bergantung Pada Diri Sendiri!

編集者: EndlessFantasy Translation

Meng Hao tercegat sambil merenung tajam pada Wang Tengfei. Tiba-tiba, dia dapat merasakan pandangan semua pengikut di medan itu tertumpu kepadanya. Pertapa yang paling dekat dengan dia menjauhkan diri dan membuka ruang luas di sekeliling Meng Hao.

Hatinya sayu dan dihambat kesunyian, seolah-olah seluruh dunia telah meminggirkannya. Seolah-olah satu perkataan dari mulut Wang Tengfei menjadikan dia tidak layak untuk hidup lagi.

Segalanya senyap-sunyi. Pengikut Kelas Luaran lain memandang Meng Hao tanpa sebarang kata. Wang Tengfei terlampau masyhur. Kata-katanya bergema dalam hati setiap orang di situ.

Tiada siapa yang terkejut dengan apa yang terjadi sekarang; berita tentang kejadian semalam telah tersebar dan kebanyakan orang sudah dapat meneka apa yang bakal terjadi hari ini.

Orang kanan sekolah masih tercegat di atas pelantar tinggi dan memandang Meng Hao dari atas.

"Undang-undang sekolah menyatakan apa yang kita ambil akan menjadi milik kita," kata Meng Hao, sepatah demi sepatah. Dia tahu kalau dibandingkan dengan Wang Tengfei, kata-katanya hanya akan dibalas hilai tawa dan ejekan, malah dia mungkin akan diserang. Namun, dia masih mahu bersuara.

Dia tahu sekiranya dia mengeluarkan labu air jadeit itu dan menyerahkannya kepada Wang Tengfei kemudian merayu-rayu memohon maaf, Wang Tengfei tentu akan menerima permohonan maafnya. Dia terpaksa berbuat demikian di hadapan semua orang ini. Mungkin dia masih akan menghukum Meng Hao tetapi dia tidak akan mengusik asas Pertapaan Meng Hao.

Mungkin jika dia melutut dan merayu-rayu, menangis dan mengakui semua kesilapannya, kemudian memohon agar dia dihukum ataupun memalukan dirinya sendiri, Meng Hao boleh selamat.

Sungguhpun begitu, jangan harap Meng Hao akan berbuat begitu! Memang dia bodoh atau gila tetapi dia tidak akan sesekali meminta maaf!

Walaupun dia berhadapan dengan maut sekalipun, dia tidak akan sesekali merayu. Dia tidak akan memalukan dirinya sendiri, dia tidak akan melutut dan merayu minta dikasihani. Tidak sesekali!

Ini soal maruah, soal harga diri. Di dunia ini, ada benda lain yang lebih penting daripada hidup atau mati, dan benda itu tidak boleh dikorbankan atau diperkotak-katikkan. Itulah namanya maruah!

Sebab itulah dia membuka mulutnya dahulu dan bertutur sepatah demi sepatah. Walaupun lawannya itu ialah manusia sehebat Wang Tengfei. Sungguhpun dia berhadapan dengan maut. Walaupun seluruh dunia telah mengabaikannya. Walaupun dia bersendirian, tanpa sesiapa untuk bergantung harap. Walaupun dengan semua ini…dia masih mempunyai maruah dan harga diri. Dia mengangkat kepalanya lalu bersuara.

Inilah dia Meng Hao!

Kata-katanya seperti angin yang meniup bara tenaga dalam tubuhnya. 'Kematian? Apa itu kematian? Peduli apa jika hayat aku sampai setakat sini sahaja? Kau boleh malukan aku, kau boleh lumpuhkan Pertapaan aku. Tetapi kau tidak akan sesekali buat aku tunduk. Kau tidak akan buat aku patah semangat!'

Suaranya bergema memecah keheningan, kuat dan jelas, namun kedengaran sayu dan hiba. Apabila dia bercakap, kesayuan itu jelas kedengaran tetapi mungkin Meng Hao seorang yang boleh memahaminya. Dia menggenggam tangannya. Tiada siapa dapat melihatnya tetapi kata-kata Wang Tengfei diiringi sejenis serangan halimunan yang memaksa Meng Hao untuk tunduk.

Badannya terasa ibarat mahu hancur dan tulang-temulangnya saling bergesel. Dia dapat merasakan satu tekanan hebat yang memaksa dia untuk melutut. Tubuhnya menggeletar tetapi dia menggagahkan diri untuk tetap berdiri dan tidak mengendahkan kesakitan yang bersarang dalam sum-sum tulangnya.

"Barang sakti itu milik saya," kata Wang Tengfei dengan lemah-lembut sambil tersenyum. "Saya menghadiahkannya kepada seseorang jadi ia sudah jadi milik orang itu. Saya tidak memberikannya kepada awak jadi awak tak ada hak untuk merampasnya." Kata-katanya kedengaran mesra tetapi ancaman di sebaliknya memang jelas didengari semua orang. Wang Tengfei mula melangkah ke hadapan sambil tersenyum. Dia mengangkat tangannya dan melambai satu jari ke arah Meng Hao.

Angin menderu-deru di medan itu, berpusar seperti taufan hebat sehingga membuat jubah semua penonton melayang-layang. Meng Hao masih tercegat seolah-olah angin taufan itu umpama tali yang mengikat tubuhnya. Dia tidak dapat bergerak seinci pun. Tiba-tiba, sekalung jed merah jambu meluncur keluar dari dalam jubahnya dan terapung di hadapan Meng Hao. Sebuah perisai merah jambu muncul dan melindungi Meng Hao sepenuhnya.

Wang Tengfei masih kelihatan ramah seperti biasa. Pergerakannya lemah-gemalai dan sambil dia melangkah buat kali kedua, jarinya melambai buat kali kedua.

Satu bunyi dentuman kedengaran sebaik sahaja lambaian jari itu berhenti. Perisai itu meleding dan menggeliang-geliut, ia berkedip selama tiga kali dan kemudian pecah berderai dengan bunyi letupan yang memekakkan telinga. Kalung jed yang dihadiahkan Kakak Xu kepada Meng Hao sudah retak seribu. Darah memancut dari mulut Meng Hao dan tekanan ke atas badannya semakin meningkat. Dia mengetapkan gigi dan masih enggan mengalah. Dia masih berdiri, badannya menggigil tetapi dia tetap tidak mahu berputus asa.

Matanya kini dipenuhi rasa marah membara dan dia menguatkan genggaman tangannya. Kuku jarinya kini terbenam dalam isi tapak tangannya.

Dengan senyuman mesra, Wang Tengfei melangkah ke hadapan buat kali ketiga dan tiba betul-betul di depan Meng Hao. Dia melambaikan jarinya buat kali ketiga dan satu tenaga hebat bertiup kencang di hadapan Meng Hao, mengoyakkan jubahnya bagi mendedahkan botol labu air jadeit yang tergantung dari lehernya. Tenaga halimunan itu merampas labu air itu, merentapnya dari leher Meng Hao dan melayangkannya ke tangan Wang Tengfei.

Wajah Meng Hao bertukar pucat dan dia terbatuk lalu memuntahkan darah. Tubuhnnya menggigil tetapi dia tidak dapat bergerak. Urat darah timbul di bebola matanya dan tangannya digenggam kuat. Dia dapat merasakan kukunya menikam daging tapak tangannya. Darah mula mengalir keluar dari celah jari-jemarinya dan luruh ke tanah.

"Lumpuhkan asas Pertapaan awak. Potong sebelah tangan dan sebelah kaki. Tinggalkan sekolah ini." Senyuman Wang Tengfei tidak pernah lekang, suaranya masih sangat mesra dan didengari oleh semua orang di medan itu. Dia menghulurkan jari buat kali keempat dan menunjuk ke arah dada Meng Hao.

Meng Hao membalas jelingan Wang Tengfei. Sepanjang masa ini, dia hanya bercakap sekali sahaja dan tidak membuka mulutnya untuk menuturkan ayat kedua pun. Dia tidak menjerit mahupun meraung, tetapi tetap kekal membisu. Lebih banyak urat darah timbul pada bebola matanya dan dia menggenggam penumbuk dengan lebih ketat. Begitu kuatnya genggaman dia sehingga kukunya patah dan terbenam dalam isi daging tapak tangannya. Darah menitis umpama hujan lebat.

Keadaan menjadi senyap-sunyi sambil semua orang melihatnya dengan penuh kejian dan cemuhan. Penghinaan mereka membuatkan Meng Hao berasa terasing dari dunia ini, sehingga jiwanya seperti berada di luar tubuh hakikinya.

Namun, dia masih enggan mengalah! Apalah sangat setakat kesakitan pada tubuhnya?

Jari Wang Tengfei sudah hampir mahu jatuh lagi, tetapi sejurus sebelum itu suatu bunyi bergema dari puncak gunung berhampiran dan satu tangan halimunan yang lembut muncul di sebelah Meng Hao dan menghalang jari Wang Tengfei daripada memukulnya lagi.

Satu bunyi dentuman kedengaran. Wang Tengfei mengibaskan lengan jubahnya yang lebar dan mengalihkan pandangan ke tepi. Seorang orang tua yang memakai jubah kelabu panjang berdiri di tengah laman. Mukanya bercapuk-capuk dengan bintik perang dan walaupun dia agak tinggi dan besar, dia tidak kelihatan mengancam pun. Inilah orangnya yang sudah dua kali mengagumi Meng Hao dari kejauhan sebelum ini.

"Kamu sudah ambil balik barang sakti itu," kata orang tua itu. "Sudah-sudahlah." Sambil mengerut dahi, dia memandang Meng Hao yang tercegat tanpa kata-kata sambil darah menitis dari penumbuknya. Dia mengeluh lalu memandang kembali pada Wang Tengfei.

"Memandangkan Orang Tua Ouyang sudah masuk campur, saya sebagai pengikut lebih muda akan mengalah." Wang Tengfei tersenyum seolah-olah tiada apa yang terjadi. Sepanjang masa kejadian, dia hanya bercakap dengan Meng Hao sebanyak dua kali. Cahaya matahari melimpahi susuk tubuhnya, pada rambut panjangnya yang lembut serta wajahnya yang sempurna. Pada dia, Meng Hao tidak jauh beza daripada seekor serangga. Malah, sekarang pun dia sudah melupakan Meng Hao.

Meng Hao yang berlumuran darah ibarat seekor kutu yang mahu melawan seekor gajah yang boleh menghancurkan dia dengan sekali langkah sahaja.

Bagi Wang Tengfei, kejadian yang baru berlaku tadi tidak ada sebarang kesan kepada dirinya. Dia bukannya rasa marah atau benci pada Meng Hao. Dia cuma tidak ada sekelumit pun rasa peduli pada Meng Hao. Sambil tersenyum, Wang Tengfei berjalan semula ke arah khalayak ramai dan sambung bersembang santai seolah-olah tiada apa yang berlaku. Dia memberi nasihat pada pengikut peringkat rendah yang lain dengan penuh mesra.

Semua pengikut perempuan begitu tergila-gilakan dia. Pertapa lain memandangnya dengan penuh rasa hormat. Semua orang tidak mengendahkan Meng Hao, seolah-olah mereka sudah terlupa akan kewujudan dia.

Meng Hao dengan Wang Tengfei ibarat langit dengan bumi. Meng Hao kini berlumuran darah, berpakaian koyak-rabak dan kelihatan begitu menyedihkan.

Meng Hao dapat merasa tanggapan sebenar Wang Tengfei terhadap dirinya. Dia tidak membencinya, tetapi rasa endah tak endah. Setelah Wang Tengfei berlalu pergi, barulah Meng Hao berasa lebih lega walaupun badannya terasa seperti dipanggang api. Dia menggagahkan diri memberi salam tumbuk tanda hormat kepada Orang Tua Ouyang.

Tanpa sepatah kata, Meng Hao batuk dan meludah darah sekali lagi, mengetapkan gigi dan dengan perlahan-lahan dia berjalan pergi. Kakinya terasa seperti mahu patah bila-bila masa sahaja. Badannya bermandi peluh dan setiap langkahnya membuat tubuhnya terasa seperti disula batang berapi. Dia kelihatan seperti anjing yang baru diterajang bertalu-talu.

Sambil dia terhuyung-hayang membawa diri, Orang Tua Ouyang seakan-akan mahu berkata sesuatu, tetapi kemudian dia menukar fikirannya dan hanya memerhatikan Meng Hao pergi.

Meng Hao kembali ke Gua Dewa dan sebaik sahaja pintu utamanya tertutup, dia terjelepuk pengsan. Wang Tengfei sudah mencecah puncak peringkat keenam. Meng Hao tidak tertanding langsung dengannya. Meng Hao enggan mengalah dan melutut di hadapan Weng Tengfei, jadi sudah tentulah dia terpaksa dihukum dengan kecederaan dalaman.

Dia koma selama dua hari penuh. Apabila dia membuka mata akhirnya, tubuhnya terasa seperti disiat-siat. Dia berasa seperti separuh lumpuh tetapi dia tetap berusaha untuk duduk. Apabila dia meletakkan tangan ke atas tanah untuk membantu dirinya bangun, rasa sakit menjalar dari tangannya itu sehingga mencengkam otaknya. Dengan termengah-mengah, dia berjaya duduk dan berdiam diri seketika dalam Gua Dewa.

Seketika kemudian, dia menaikkan tapak tangannya ke muka. Sepuluh cebisan kuku tersembul keluar dari tengah tapak tangannya. Selepas koma selama dua hari, keruping sudah terbentuk atas luka-luka itu tetapi semasa dia berhempas-pulas mahu bangun tadi, keruping itu terkoyak dan kini ia berlubang sambil berdarah.

Meng Hao melihat tangannya tanpa sebarang emosi. Selepas beberapa saat, dia mula mengorek cebisan kuku dari tapak tangannya satu demi satu. Darah hitam mengalir keluar dari celah kulit tapak tangannya yang koyak-rabak, menitis-nitis ke tanah dan mengisi udara gua itu dengan bau hamis.

Sepanjang masa itu, air muka Meng Hao tidak berubah langsung. Bagaikan tangan itu milik orang lain. Wajahnya keras dan semangatnya tampak kental.

Dia melihat pada sepuluh cebisan kuku yang berdarah itu. Selepas beberapa ketika, dia mengumpulkan kesemuanya dan meletakkannya di sebelah katil batu dalam bilik. Dia akan melihatnya setiap hari untuk mengingatkan dia kepada keaiban yang telah dialami.

Satu hari nanti, dia bakal menebus malu ini sebanyak dua kali ganda!

Lidahnya kering kerana sudah lama tidak bercakap tetapi baru sekarang dia membuka mulut. "Mulai sekarang, biar aku bergantung pada diri sendiri saja!" Meng Hao sampai tidak kenal suara garau yang sampai ke telinganya itu.


Load failed, please RETRY

ギフト

ギフト -- 贈り物 が届きました

    週次パワーステータス

    Rank -- 推薦 ランキング
    Stone -- 推薦 チケット

    バッチアンロック

    目次

    表示オプション

    バックグラウンド

    フォント

    大きさ

    章のコメント

    レビューを書く 読み取りステータス: C17
    投稿に失敗します。もう一度やり直してください
    • 翻訳品質
    • アップデートの安定性
    • ストーリー展開
    • キャラクターデザイン
    • 世界の背景

    合計スコア 0.0

    レビューが正常に投稿されました! レビューをもっと読む
    パワーストーンで投票する
    Rank NO.-- パワーランキング
    Stone -- 推薦チケット
    不適切なコンテンツを報告する
    error ヒント

    不正使用を報告

    段落のコメント

    ログイン