"Ya ke?" Liang Shaoqing bergerak ke hadapan lalu menjenguk di luar. "Kenapa saya tak nampak pun?"
"Kalau awak boleh nampak, budak tiga tahun pun boleh nampak." Chu Qiao memutarkan matanya tidak sabar, berfikir sejenak sebelum merungut, "Awak tak pelik ke? Kalau keluarga Zhan tak begitu berkuasa, pegawai atasan tak perlu susah-payah menyambut mereka. Tapi kenapa tokoh-tokoh terhormat dari serata daerah ke sini?"
"Mungkin ada masalah lain agaknya."
Chu Qiao yang langsung tidak termakan dengan kata-katanya itu lantas menggumam sendirian, "Mereka tak berani muncul di sini dan berjaga-jaga supaya tak kelihatan begitu mesra. Maksudnya keluarga Zhan ada kuasa juga tapi disebabkan hal tertentu, pegawai-pegawai itu tak berani nak melebih-lebih. Maksudnya…"
"Oh, saya tahu," Chu Qiao terduduk tegak lalu berkata kepada Liang Shaoqing. "Keluarga Zhan tinggal di Tang Jing. Mereka pasti ada musuh yang berkuasa di sini jadi pegawai di sini tak boleh nak memihak kepada sesiapa sebab itulah terjadinya hal ini. Keluarga Zhan pasti pernah menjadi salah sebuah keluarga bangsawan di Empayar Tang tetapi mereka telah diusir keluar oleh sebab-sebab tertentu dan mereka berpindah ke Empayar Xia. Mereka masih dianggap sebagai keluarga bangsawan di sini sehingga kini, jadi patutlah mereka tak terkenal di Empayar Xia tetapi dilayan dengan baik sekali di Empayar Tang. Pengembaraan mereka kali ini bukan sahaja untuk mengucapkan tahniah kepada Putera Tang malah untuk pulang ke tanah air juga. Sebab itulah mereka bawa ramai orang gaji, hamba dan juga adik-beradik pasangan mereka bersama. Sungguhpun keluarga Zhan nampak kaya tapi sebenarnya mereka tiada apa-apa sangat dan sebab itulah mereka beli semua hamba ini dengan harga yang murah di pasar."
"Memandangkan awak nampak bersemangat sangat, apa kata awak pergi ke luar dan nikmati matahari itu, Xiaoqiao?" Liang Shaoqing berdiri dan membetulkan pakaiannya. Dia memakai pakaian seorang hamba tetapi caranya menjaga pakaian itu seolah-olah ia pakaian diraja yang diperbuat dari sutera. "Awak tahu tak yang awak cuba siasat latar belakang keluarga orang? Orang yang tak kenal pasti akan berfikir yang awak ada niat tersendiri."
"Niat apa? Mari sini saya bedah kepala awak! Manalah tahu kalau-kalau ada air ke rumput ke dalam kepala awak itu!" Rungut Chu Qiao sambil berdiri. Lukanya masih terasa pedih tetapi keadaannya sudah semakin baik jika dibandingkan beberapa hari lepas.
"Awak okey tak? Sakit sangat ke?"
Chu Qiao menyampuk tidak sabar. "Awak nak saya tikam awak ke supaya awak dapat rasa sakit macam ini?"
"Tak perlulah." Liang Shaoqing tertawa. "Saya tahu ia memang sakit. Saya takkan mampu bertahanlah."
Dek itu terasa dingin jadi, dan apabila Chu Qiao keluar dari pintu kabin, dia terasa cergas semula. Pada masa yang sama, loceng yang menandakan waktu makan tengah hari berbunyi. Selama beberapa hari ini, dia hanya menjamu selera di dalam kabin sahaja dan setelah dia mampu berjalan semula, dia mengikuti Liang Shaoqing ke dewan makan untuk manjamah bersama hamba-hamba yang lain.
Dewan makan itu bukanlah seperti dewan makan. Di dek belakang, ramai orang gaji yang sudah berbaris menunggu giliran mereka untuk mencedok rangsum. Chu Qiao yang bersandar pada sisi kapal terduduk sambil memerhatikan Liang Shaoqing yang sedang beratur di belakang sekumpulan hamba yang lain. Walaupun dengan latar belakang kehidupannya yang mewah, dia kelihatan seperti dia mampu menyesuaikan diri dengan situasi itu dengan mudah. Orang-orang di hadapannya menoleh ke belakang dan menegur sapa dengannya dan Chu Qiao hanya mampu tersenyum setelah melihat pemandangan itu. Sudah lama dia tidak berasa sebebas ini, kemudian gadis ini menyandar ke belakang sambil mendongak dan memerhatikan sekumpulan burung yang berterbangan di langit. Bunyi cicipan burung-burung itu seperti muzik di telinganya.
Tiba-tiba, kepalanya terasa sejuk lantas dia segera bangun dan ternampak beberapa orang lelaki bertubuh sasa berdiri di hadapannya. Salah seorang daripada mereka sedang memegang sebuah mangkuk sambil menatap matanya dengan kejam. Dialah yang sudah menuangkan semangkuk air di atas kepalanya.
"Awak buat apa ini?"
"Tak ada apa pun?" Jawab lelaki itu acuh tidak acuh sahaja. "Saya nak duduk dan makan di sini. Ke tepilah."
"Xiaoqiao! Apa yang berlaku?" Sebelum sempat Chu Qiao membalas, Liang Shaoqing sudah meluru ke arahnya sambil bertanya, "Apa dah jadi?" Namun, sebelum sempat dia sampai, seorang lagi lelaki sudah memanjangkan kakinya untuk menghalang laluan Liang Shaoqing yang sedang membawa tiga mangkuk berisi makanan, dan lantas kedua belah tangannya terus hilang kawalan dan jatuh ke lantai sambil meronta-ronta kesakitan.
Chu Qiao segera membantu si cendekiawan malang yang sudah terlentang di lantai itu. "Kamu buat apa ini?" Dia kemudian menghamun mereka.
"Pemarahlah budak ini! Kenapa? Abang kamu yang tak reti nak berjalan dengan betul, ada hati nak salahkan orang lain pula."
"Yalah. Dengan penampilan selekeh macam ini, mereka pasti gigolo." Sekumpulan lelaki itu tertawa. Setelah itu, salah seorang daripada mereka menambah lagi. "Nampak saja macam kasar, tapi mesti lembik punya. Pakar sastera konon! Pergi jahanamlah! Ingat dah pandai sangat agaknya."
Chu Qiao mengecilkan matanya seperti seekor musang manakala Liang Shaoqing pula sedang membersihkan dirinya dengan perasaan marah tetapi amarahnya itu terus lesap sebaik sahaja melihat raut wajah Chu Qiao. Dia kemudian cepat-cepat berkata, "Xiaoqiao, dahlah. Saya okey. Jangan marah lagi."
"Budak kecil bodoh! Belajar daripada abang kamu itu dan sedar diri sikit. Mentang-mentanglah duduk dalam kabin yang elok, jangan ingat diri itu bagus sangat lebih daripada orang lain." Ujar sekumpulan lelaki itu sebelum beredar meninggalkan mereka.
Chu Qiao membantu Liang Shaoqing untuk berdiri. Habis kusut-masai dibuatnya lelaki itu. Serpihan kaca mangkuk yang pecah tadi telah terkena tangan Liang Shaoqing lalu darah pun mengalir keluar darinya. Liang Shaoqing mengetap giginya menahan kesakitan namun langsung tidak berkata apa-apa kerana risau dia akan membangkitkan amarah Chu Qiao.
"Itu Chen Shuang. Dia yang mengendalikan kereta kuda dan berada di bawah pimpinan Puan Besar. Dengan Pak Cik Qing pun dia pernah berbalah. Awak kena hati-hati lain kali sebab awak dah cari masalah dengan dia." Ujar Liang Shaoqing.
"Ada Puan Besar ke dalam keluarga ini?"
Liang Shaoqing mengangguk sambil berkata, "Ya. Dengar kata dia cantik cuma dingin saja. Kalau tak salah dia ada adik kembar tapi dia dah meninggal."
Chu Qiao kemudiannya tersenyum lalu menampakkan bibir merah dan giginya yang putih. Orang gaji itu pun terkejut. Chu Qiao membantu Liang Shaoqing berdiri sambil mengujar dengan nada yang rendah, "Ikut saya."
Liang Shaoqing memandang gadis itu dengan penuh kedukaan dan lantas berkata, "Xiaoqiao, saya tak makan lagilah."
Chu Qiao hanya menatap mata pemuda itu dan membawanya pulang ke kabin mereka. Setelah itu, dia mengeluarkan ubat yang diberikan oleh doktor tempoh hari dan duduk di atas katil untuk merawatnya.
Liang Shaoqing cuba mencari topik untuk berbual sementara menunggu Chu Qiao merawatnya, "Xiaoqiao, awak tak lapar ke?"
Chu Qiao berkerut sambil berkata, "Awak ini anak Liang Zhongtang, tuan muda keluarga Liang, kan? Kenapa awak berfikiran terbuka sangat dan terima saja semua makanan yang mereka sajikan kepada kita ya?"
"Habis kalau saya tak makan, apa yang saya boleh buat?" Liang Shaoqing menarik muka. "Saya tahulah makanan itu tak sedap tapi kalau tak makan, kebulurlah saya nanti."
Dengan bunyi berdebap, Chu Qiao melemparkan pembalut luka yang dipegang olehnya itu lalu berjalan keluar dari kabin. Liang Shaoqing terperanjat kerana dia berfikir Chu Qiao ingin membuat perhitungan dengan sekumpulan lelaki tadi. Jadi, dia pun segera berlari ke hadapannya lantas menghalang laluannya. "Xiaoqiao, seekor naga yang berkuasa tidak dapat menumpaskan seekor ular di tempat yang selalu dikunjunginya. Tak ada gunanya pun berkelahi dengan mereka itu sebab benda remeh macam ini. Kita pun tak lama di sini kan. Setelah tiba di Tang Jing, kita akan lawat kawan-kawan ayah saya dan kita boleh…"
"Saya nak pergi ambil makanan untuk awaklah." Ujar Chu Qiao. "Awak cakap awak lapar kan?"
"Eh?" Liang Shaoqing membeliakkan matanya dengan seloroh. Setelah itu dia mengangguk dan membalas, "Oh, kalau macam itu, pergilah."
Langit sudah pun berubah gelap apabila Chu Qiao keluar dari kabinnya untuk ke dek namun setelah sampai di dek, semuanya telah habis dikemas dan tiada langsung makanan yang tertinggal. Apabila melihat kerisauannya itu, seorang lelaki yang berbual dengan mereka sebentar tadi menghampirinya dan lantas memberikan gadis itu dua mangkuk besar yang berisi makanan sambil tersenyum. "Saya tahu kamu berdua pasti tak makan lagi kan? Jadi saya simpan ini untuk kamu berdua."
Kedua-dua mangkuk itu telah berisi nasi putih bersama sayur-sayuran dan hirisan kecil ikan masin. Chu Qiao berasa terharu jadi dia pun menjawab dengan rasa bersyukur, "Terima kasih, Abang."
"Dahlah. Kita kan akan tinggal bersama nanti jadi memang patutlah kalau kita saling membantu. Lagipun saya perasan yang kamu berdua ini tak nampak macam hamba. Apa yang dah jadi? Keluarga kamu terdesak ke?"
Chu Qiao mengangguk dan membalas, "Tak boleh nak sorokkan apa-apa dari Abang nampaknya."
"Jangan risau." Lelaki itu menepuk dadanya dan berkata, "Saya tak boleh nak tolong benda lain tapi kalau lapar, cari saya. Saya kerja di dapur."
"Kalau begitu, terima kasih, Abang." Setelah mereka berpecah, Chu Qiao kembali ke kabinnya.
Namun, setelah dia tiba di penjuru dek, gadis itu terdengar sebuah suara yang biasa didengari di sebelah sisi dek yang lain, sekaligus Chu Qiao menghentikan langkahnya dan berjalan melalui tembok-tembok dek itu.
"Apa yang awak nyanyikan tadi?" Sebuah suara yang jelas berkumandang dari belakang gadis itu dan lantas Chu Qiao pun menoleh ke arah suara itu dan ternampak seorang lelaki yang sedang terduduk di atas sebuah kerusi roda kayu sambil memandangnya.
Chu Qiao terpegun sejenak sebelum bertanya, "Siapa awak?"
Lelaki itu berasa geli hati lalu tersenyum. "Kalau begitu, awak pula siapa?" Dia menggerakkan kerusi roda kayu itu dengan tangannya.
"Saya Xiaoqiao, orang gaji baru."
"Xiaoqiao?" Bisik lelaki itu. Setelah beberapa ketika barulah dia tersenyum sambil berkata, "Nama awak senang nak ingat." Senyumannya begitu menenangkan seperti angin musim bunga yang berhembus pada bulan Mac. "Saya Zhan Ziyu."
Chu Qiao terkaku kerana sesungguhnya dia tidak menyangka tuan keluarga ini seorang yang tempang. Dia kemudian segera menunduk hormat, "Tuan Pertama, saya minta maaf atas kebiadaban saya."
Zhan Ziyu mengangguk sebelum menoleh ke arah sungai.
Chu Qiao berdiri di kedudukan asalnya dan mula berasa janggal. Dia tidak tahu sama ada dia patut kekal di situ atau beredar sahaja. Sewaktu dia asyik berfikir tentang keputusannya itu, Zhan Ziyu tiba-tiba menyampuk. "Lagu itu sedap. Apa namanya?"
Chu Qiao tiba-tiba teringat yang dia secara tidak sedar telah mendengungkan sebuah rentak lagu, terus berasa malu lalu berkata, "Itu rentak lagu dari kampung halaman saya. Saya saja nyanyi."
"Kampung halaman?" Bisik Zhan Ziyu. "Kampung halaman awak di mana?"
"Kampung halaman saya jauh. Saya mungkin tak berkesempatan untuk pulang lagi."
"Oh." Zhan Ziyu hanya tersenyum dan tidak bertanya lagi selepas itu.
"Tuan Muda Pertama, di sini sejuk. Jom saya bawa awak masuk?"
Zhan Ziyu mendongak lalu tertawa. "Saya dah bersusah payah keluar ke sini, takkan awak nak tolak saya masuk balik?"
Cahaya dari belakang kapal bersinar di atas kepala Zhan Ziyu dan dari situlah Chu Qiao perasan rambutnya berwarna putih apabila dipantul cahaya. Dia yang tidak tahu apa yang patut dia balas hanya berdiam diri di situ.
"Awak tahu tunggang kuda tak?" Setelah beberapa ketika, Zhan Ziyu tiba-tiba menoleh dan bertanya. Chu Qiao berasa keliru tetapi masih menjawabnya. "Ya, saya agak cekap."
Zhan Ziyu tertawa dan berkata lagi, "Sewaktu muda, saya ada seekor kuda yang bagus. Itu hadiah daripada isteri saya."
Chu Qiao pun menjawab, "Kalau begitu, kuda itu tentu bagus sekali."