'Apa masalahnya sekiranya aku sendiri perlu melalui tribulasi guruh yang dahsyat seperti yang dilalui oleh Su dari Puak Enam Belas dalam proses pertapaan ini? Jadi apa masalahnya jika aku melalui proses yang paling teruk sekalipun?
'Aku tidak perlu beritahu jawapannya.
'Sekalipun ada banyak bahaya, walaupun ada segala macam kesusahan, walaupun aku mungkin terbunuh pada bila-bila masa.
'Bagaimanakah kehidupan biasa dapat dibandingkan dengan kehidupan yang begitu indah ini?
'Confucius berkata, "Setelah mendengar kebenaran pada waktu pagi, seseorang mungkin mati dengan hati yang tenang pada waktu petang."
'Ya, aku mungkin mati dalam keadaan yang tenang!'
Dia tidak akan melepaskan peluang itu. Tiada siapa yang akan melepaskan peluang itu melainkan jika dia menjadi mayat hidup atau seorang pengecut.
❄️❄️❄️
Beberapa orang ahli sedang berbual dalam sembang grup itu.
Bulu Lembut memberitahu Pertapa Bebas Sungai Utara tentang pengalamannya di Bandar J, tentang bagaimana dia bertemu dengan Tuan Song serta bagaimana dia menemui Tokong Lampu Berhantu. Akhir sekali dia memberitahu bagaimana dia berjaya menangkap roh hantu itu.
Song Shuhang berasa lebih yakin apabila dia melihat Bulu Lembut sedang berada dalam talian.
Mengetuk kekunci "Masuk" dengan kuat, dia menyampaikan mesej pertamanya di Kumpulan Nombor Satu Sembilan Wilayah itu.
Tertekan dengan Timbunan Buku: "Hai, Semua."
Itu sapaan biasa, tetapi sebagai ahli baharu, sapaan itu masih dikira sebagai baik, bukan?
Bulu Lembut Pulau Roh Kupu-kupu: "Tuan ini ahli pertapa lama yang mana? Hai Tuan."
Bulu Lembut sedang berada dalam talian, dan semua orang dalam kumpulan itu ahli lama baginya, kecuali Su dari Puak Enam Belas.
"Oh? Tertekan dengan Timbunan Buku?" Pertapa Bebas Sungai Utara agak terkejut.
Dia masih teringat kira-kira sepuluh hari yang lalu, pemilik kumpulan yang bernama Raja Agung Gunung Kuning menambah seorang lelaki biasa ke dalam kumpulan ini secara tidak sengaja. Bagaimanapun, orang itu tidak menghantar sebarang mesej, jadi Pertapa Bebas Sungai Utara hampir terlupa tentang kewujudannya dalam kumpulan itu.
Dia fikir orang itu akan keluar dari kumpulan itu. Lagipun, ahli-ahli dalam kumpulan itu ialah pertapa. Selepas dia melihat kandungan perbualan sembang grup itu, pasti dia akan berfikir dia telah dimasukkan ke dalam kumpulan orang gila dan kemudian keluar dari sembang grup itu sepantas yang mungkin.
Dia tidak menyangka Tertekan dengan Timbunan Buku telah berada di dalam kumpulan ini selama ini. Dan sekarang, dia memanggil ahli kumpulan lain sebagai Tuan. 'Adakah lelaki ini sudah tahu apa yang istimewa mengenai kumpulan itu?'
Tertekan dengan Timbunan Buku: "Hai, Tuan Sungai Utara. Bulu Lembut, terima kasih kerana telah menghantar dua bungkusan ramuan ubatan itu!"
"Eh? Eh?! Tuan Songlah!!! " Bulu Lembut segera menyedari dan dia bersorak. Dia tidak dapat meneka siapa di dalam kumpulan itu yang mempunyai nama manusia biasa 'Song Shuhang'. Dia juga terkejut kerana Tuan Song berada dalam talian hari ini.
Tertekan dengan Timbunan Buku: "Bulu Lembut, panggil saya Shuhang. Saya hanyalah seorang lelaki biasa yang dimasukkan ke dalam kumpulan ini oleh Raja Agung Gunung Kuning secara tidak sengaja. Semuanya berlaku kerana nombor akaun sembang saya hanya satu digit berbeza dari anda. Itulah sebabnya Raja Agung Gunung Kuning menambah saya dengan tidak sengaja sedangkan dia sebenarnya mahu menambah anda ke dalam kumpulan ini."
"Oh? Tuan Song, saya baru sahaja menyedari nombor akaun kita hanya satu angka berbeza. Ini satu kebetulan!" Bulu Lembut kelihatan gembira dengan maklumat yang dia baru ketahui itu. Nampaknya tidak mudah baginya melupakan pertapa yang selesa dipanggil "Tuan Song" itu.
Selepas melihat mesejnya, Pertapa Bebas akhirnya tahu 'Tuan Song yang baik hati dari kumpulan' itulah yang bertemu dan membantu Bulu Lembut di Jiangnan. Lelaki yang bernama Tertekan dengan Timbunan Buku.
Jadi sebab itulah dia memanggil ahli kumpulan lain sebagai 'Tuan'.
"Rakan mudaku Shuhang, memandangkan anda telah menghantar mesej dalam kumpulan, saya rasa anda telah menemui sesuatu yang istimewa mengenai kumpulan ini dari Bulu Lembut." Pertapa Bebas Sungai Utara menambah simbol 😄.
'Nampaknya teknik ramalan Raja Agung Gunung Kuning benar-benar baik. Berjuta kali lebih baik daripada ramalan Tukang Tilik Tembaga Tiga Simbol Abadi yang bodoh itu. Dia benar-benar ditakdirkan untuk menyertai kumpulan itu. Tetapi kenapa Raja Agung Gunung Kuning tidak memberitahu kita tentang hasil ramalan itu?'
Bulu Lembut Roh Pulau Kupu-kupu: "Apa yang Tuan Song dapat dari saya?"
Tertekan dengan Timbunan Buku: "Sebenarnya, semuanya berkait dengan Bulu Lembut. Ketika saya membantu dia mencari Tokong Lampu Berhantu, saya merasakan yang dia agak berbeza daripada orang biasa. Tetapi, yang paling penting dua kotak herba perubatan untuk menyiapkan 'cecair penguat badan mudah' yang saya terima dari dia hari ini. Saya baru saja mencuba formula pil dari Mahaguru Ubatan dan saya telah meminum cecair ubat itu sebentar tadi."
"Oh? Adakah anda berjaya menapis cecair penguat badan itu?" Pertapa Bebas Sungai Utara sangat terkejut. Seorang lelaki biasa yang mendapat ramuan ubat dari Bulu Lembut, mengikut arahan dalam formula pil cecair penguat badan dan berjaya mencipta cecair pil itu tanpa bimbingan sesiapa pun?
Sejak bila penapisan pil menjadi sebegitu mudah?
Atau, adakah kerana Song Shuhang bernasib sangat baik? Nasibnya sangat baik sehingga Tuhan sendiri pun akan cemburu?
Nasib itu sesuatu sangat misteri dan bersifat esoterik, tetapi anda tidak boleh menafikan ia wujud. Pertapa Bebas Sungai Utara kenal dengan seorang lelaki yang sangat bernasib baik sehingga boleh membuat Tuhan berasa cemburu. Lelaki itu tidak melakukan apa-apa sepanjang hari. Jika dia memerlukan wang, dia akan keluar dan berjalan, kemudian dia akan mencari wang di mana-mana dan dia hanya perlu mengambilnya. Pendapatan dari perjalanan sambil mengutip wang itu dapat membuatkan dia hidup senang selama beberapa hari.
Walaupun dia sangat bernasib baik, lelaki itu tidak mempunyai bakat untuk pertapaan. Jika tidak, Pertapa Bebas Sungai Utara pasti akan menjadikan dia sebagai pengikutnya.
Bulu Lembut juga terkejut. "Tuan Song, saya rasa ramuan ubat itu tiba pada Tuan pada waktu tengah hari ini? Mungkin pada masa sekarang Tuan hanya dapat membuat satu relau ubat sahaja. Adakah Tuan telah berjaya pada percubaan yang pertama?"
"Saya tidak tahu sama ada saya berjaya atau gagal... walaupun saya telah mengikuti kesemua langkah-langkah yang tertulis di situ, terdapat kemalangan kecil apabila saya memasukkan herba ke-41." Song Shuhang kemudian berkata, "Akhirnya, saya hanya mendapat kira-kira lima sudu cecair penguat badan dan saya cuba meminumnya. Ternyata tubuh saya telah menjadi sangat kuat. Dari segi penglihatan saya, keupayaan fizikal, ketahanan atau kekuatan, semuanya menjadi lebih kuat.
"Dengan kesemua ciri-ciri yang dinyatakan di atas, tidak ada keraguan lagi anda telah berjaya menghasilkan cecair penguat badan itu. Mungkin kualiti cecair penguat badan yang anda telah hasilkan itu tidak begitu baik memandangkan anda mengalami masalah kecil semasa menghasilkannya," kata Pertapa Bebas Sungai Utara.
Sebagai salah satu cecair ubatan yang paling asas, kesan cecair penguat badan sememangnya sangat mudah diasimilisasikan.
Oleh itu, tidak seperti pil peringkat tinggi, orang biasanya tidak akan mementingkan kualiti cecair penguat badan itu. Walaupun kualiti cecair yang ditapis itu tidak begitu baik, ia tetap mempunyai kesan yang sama jika seseorang mengambil lebih daripada kuantiti yang sepatutnya. Sebab itulah semua ahli kumpulan yang lain mengutamakan cecair penguat badan yang dihasilkan oleh Mahaguru Ubatan walaupun kesannya hanya separuh lebih baik daripada versi lama.
Sekiranya ia pil peringkat tinggi, perbezaan terkecil dalam kualiti akan memberi kesan yang besar dan sukar untuk mengumpul kesan ubat tersebut secara kuantiti. Lebih tinggi pangkat pil itu, semakin sukar untuk menyerap kesannya. Bagi pil peringkat tinggi, sedikit perbezaan kualiti perlu digantikan dengan seratus pil ber kualiti lebih rendah. Semakin banyak pil yang diambil, semakin sukar bagi mereka untuk menyerap kesan pil. Dan dari masa ke masa, pil peringkat tinggi tidak akan memberi kesan kepada seseorang pertapa.
"Sahabat mudaku Shuhang, sebenarnya, saya tertanya-tanya berapa banyak relau cecair penguat badan yang anda telah berjaya hasilkan? Berapa kali anda mencuba sebelum anda berjaya? " Pertapa Bebas Sungai Utara bertanya.
"Berapa banyak relau? Semestinya ada satu sahaja. Kerana, saya hanya mempunyai satu periuk elektrik." Song Shuhang menulis jawapannya dengan jujur.
Sebelum menghantar mesej ini, Bulu Lembut menjawab, "Kalau bercakap tentang masa, saya rasa Tuan Song hanya mencuba sekali. Kerana baru lima ke enam jam sahaja ubat itu sampai kepadanya.
'Dia hanya menggunakan satu relau dan berjaya dalam percubaan yang pertama?!' Pertapa Bebas Sungai Utara tiba-tiba merasakan kakinya menjadi lembik dan dia mahu menangis. Sebagai seorang pertapa bebas, dia terpaksa bergantung kepada dirinya sendiri semasa dia mula belajar tentang pertapaan.
Berapa banyak kali dia gagal ketika dia cuba untuk menyempurnakan cecair penguat badan pada masa itu? Dia tidak ingat! Bagaimanapun, dia telah gagal beberapa kali dan tidak memperoleh bakat untuk menapis cecair penguat badan sehingga dia hampir kehilangan semua harta kekayaannya. Walaupun pada masa itu dia sedang menyempurnakan cecair penguat badan versi lama yang lebih rumit. Tetapi, dia masih tidak suka membandingkan keupayaan dirinya dengan orang lain!
'Apakah yang dimaksudkan dengan 'periuk elektrik'? Satu jenis relau pil yang baharukah?
'Adakah Bulu Lembut menghadiahkan relau pil baharu kepada Shuhang? Adakah relau baharu itu dapat meningkatkan kadar kejayaannya?'
Dengan rasa ingin tahu, Pertapa Bebas Sungai Utara bertanya, "Shuhang, untuk periuk elektrik yang anda sebutkan itu, adakah ia sejenis relau yang baharu?"
"Oh? Adakah terdapat relau pil yang sebegitu?"Bulu Lembut bertanya dengan rasa ragu-ragu.
Selepas melihat jawapan Bulu Lembut, Pertapa Bebas Sungai Utara merasa pedih di dadanya. Dia merasakan jawapan Song Shuhang akan membuatnya menangis.
"..." Song Shuhang memandang ke arah periuk elektrik di dapur dan mengetuk papan kekunci, "Tidak, ini hanya periuk elektrik No. 12 yang dihasilkan oleh Syarikat Weizhen "
"Dapur elektrik, tetapi bukan dengan relau penapisan pil? Adakah dapur elektrik yang digunakan untuk memasak?" Pertapa Bebas Sungai Utara merasakan tekanan darahnya meningkat dengan mendadak.
Song Shuhang menjawab dengan ragu-ragu, "Ya."
"Haha, saya langsung tidak terkejut dengan apa Tuan Song telah lakukan," Bulu Lembut mencelah.
"Bagaimana dengan kawah pil? Apakah jenis kawah pil yang anda gunakan?" Pertapa Bebas itu bertanya soalan yang lain secara bertubi-tubi.
"Uh, sekiranya perlu gunakan kawah pil, saya gantikan dengan periuk panas." Song Shuhang berasa agak malu. Semua barangan yang dia gunakan tidak sepadan dengan gaya Xianxia, jadi dia berasa malu.
"Periuk panas? Apa model kawah pil itu? Tidak... sekejap, biarkan saya tenangkan diri. Tolong beritahu saya yang anda tidak menggunakan periuk panas yang biasa digunakan untuk makan, bukan?" Pertapa Bebas Sungai Utara menaip ayat itu dengan bunyi nada yang lebih tegas.
"Ya, betullah itu alatannya." Song Shuhang mengesahkan pertanyaan Pertapa Bebas itu.
"…" Pertapa Bebas Sungai Utara menghantar simbol elipsis yang banyak ke dalam sembang grup itu.
Dia merasakan usahanya untuk menghasilkan ubatan selama bertahun-tahun hanya sia-sia sahaja. Percubaan pertama lelaki ini untuk menyempurnakan Cecair Penguat Badan telah berjaya walaupun hanya menggunakan dapur elektrik dan periuk panas. Sedangkan dia sendiri masih gagal dalam dua daripada sepuluh kali percubaan.
Selepas beberapa ketika, dia menulis, "Bolehkah saya sumpah-seranah dalam grup ini?"
"Celaka!" Pedang Berang Melulu Tiga mengeluarkan sumpah-seranah terlebih dahulu.
"Celaka!" Tukang Tilik Tembaga Tiga Simbol Abadi segera mengikuti jejak langkah Pedang Berang Melulu Tiga.
"Celaka!" Si Mabuk Rembulan Yang Arif menyambung sumpah-seranah itu. Si Mabuk Rembulan Yang Arif selalu muncul dan sangat aktif dalam perbualan sembang grup itu. Jadi dia pasti seorang ahli pertapa yang lama. Song Shuhang tidak tahu kenapa dia merasakan sesuatu seperti seseorang yang dia telah lama kenali setiap kali Si Mabuk Rembulan Yang Arif muncul dalam perbualan itu. Tetapi dia melupakan perasaan itu selepas beberapa ketika.
"Tak guna, anda semua telah menyumpah dahulu. Sekarang bagaimana saya hendak menulis celaka?" Pertapa Bebas menyambung perbualan dalam keadaan tidak berdaya, "Inilah hasilnya @Mahaguru Perubatan, sudah tiba masanya untuk anda keluar wahai sahabatku!"
"Saya ada di sini," Mahaguru Ubatan muncul. Rupa-rupanya dia telah membaca log perbualan mereka pada waktu itu.
Selepas beberapa ketika dia cuba menulis, dia berjaya menghantar satu ayat yang berbunyi, "Kawanku, bolehkah anda menerangkan proses penapisan pil anda? Terutamanya pada bahan ke empat puluh yang anda beritahu terdapat kesalahan kecil itu."
Mata Bulu Lembut bersinar, "Oooh! Tuan Song, saya juga ingin tahu tentang langkah ini. Saya telah gagal beberapa kali pada langkah ini!"
Dengan kehadiran Bulu Lembut, Song Shuhang menyertai perbualan dalam sembang grup Kumpulan Nombor Satu Sembilan Wilayah Nombor tanpa rasa janggal.
"Tiada masalah, saya akan terangkan secara ringkas." Song Shuhang menyambung, "Saya meletakkan hirisan ginseng terlebih dahulu kemudian menambah satu skup air minuman."
"Sebentar, anda tambahkan air?" Mahaguru Ubatan bertanya dengan rasa tidak sabar, "Kenapa perlu tambah air?"
"Jika tidak menambah air, hirisan ginseng akan direbus sehingga ia kering, bukan?" Tanya Song Shuhang, tetapi dia mula faham semua orang di dalam kumpulan itu tidak menambah air ketika membuat Cecair Penguat Badan itu.
"Oh, betul. Anda menggunakan dapur elektrik dan periuk panas." Pertapa Bebas Sungai Utara menghela nafas. 'Kenapa selepas mengetahui kebenaran, hati saya terasa lebih sakit dan pedih?'
Mahaguru Ubatan mengangguk senyap, "Alasan yang munasabah. Teruskan. Menambah air semasa dalam langkah pertama sepatutnya tidak memberikan kesan yang keterlaluan selepas itu. "
Saat Song Shuhang memberikan penerangan, semua pertapa yang berada dalam kumpulan itu terasa seperti sedang melihat satu imej muncul dalam fikiran mereka.
Seorang lelaki bijak yang bernama 'Tertekan dengan Timbunan Buku' sedang duduk tegak di sebelah dapur elektrik. Kemudian dia meletakkan periuk panas di atas dapur dan memasukkan ramuan ubatan Cecair Penguat Badan ke dalam periuk itu. Dia menyediakan ramuan ubatan itu dengan gaya terpelajar sambil menunjukkan kemahirannya.
Kenapa mereka masih merasa janggal?
Kenapa proses penapisan pil perlu dibuat dengan menggunakan dapur elektrik dan periuk panas?!
Song Shuhang tidak banyak berfikir. Dia menerangkan langkah-langkah berikut secara ringkas sambil menambah beberapa bahagian yang dia sendiri pelajari terutamanya dalam proses kawalan api dan juga pemasaan. Pada masa yang sama, dia juga menerangkan masalah yang dihadapi ketika menyiapkan Cecair Penguat Badan itu.
Sambil memerhatikan gerak-geri Song Shuhang secara perlahan yang telah berjaya mengubah suai resipi itu, Mahaguru Ubatan merasa bersyukur tetapi pada masa yang sama dia berasa malu.
"Sehinggalah sewaktu saya sampai ke ramuan ubat yang keempat puluh satu, Cecair Penguat Badan di dalam periuk meletus sambil mengeluarkan bau yang sangat busuk. Cecair itu akan tersejat dengan pantas dan dalam sekelip mata, hanya ada satu per lima cecair yang masih ada," Song Shuhang menyambung penerangannya. "Pada langkah ini, saya tidak dapat memahami sebabnya. Saya cuma boleh meneka ini pemangkin ubatnya, bukan?"
"Saya berdepan dengan situasi yang sama, cecair ubat itu akan tersejat." Bulu Lembut menjawab.
"Situasi yang sama berlaku pada mahaguru abadi ini." Tukang Tilik Tembaga Tiga Simbol Abadi mengangguk. Mereka bukan pakar dalam penghasilan cecair, tetapi sebagai seorang pertapa, mereka sememangnya sudah biasa dengan penghasilan ubat-ubatan yang biasa.
"Semua ini berlaku kerana ramuan ubat ini ialah pemangkin. Jadi, apabila ia dimasukkan ke dalam periuk, maka bermulalah proses penulenan. Apabila kita mula membuat penapisan, kawalan haba dan masa tidak mencukupi dan seterusnya menyebabkan penyejatan apabila bahan ke empat puluh satu diletakkan. Jika anda ingin mengelakkan situasi ini, anda perlukan pengalaman yang cukup dan tidak ada jalan pintas untuk mendapat hasilnya," balas Mahaguru Ubatan.
Sama juga sekiranya keadaan seperti itu berlaku, ia hanya boleh diselesaikan melalui pengalaman dan pertimbangan yang bijak.
"Song Shuhang, bagaimana anda mengatasi masalah ini?" Mahaguru Ubatan bertanya dengan nada ingin tahu.
"Saya melihat cecair itu menyejat dengan pantas, jadi saya mulakan dengan menambah satu skup air untuk cuba memperlahankan kelajuan penyejatan." Song Shuhang teringat semula situasi itu saat dia bercakap.
"Anda menambah air lagi? Oh... jadi mungkin itu cara yang terbaik untuk mengurangkannya. Lepas itu? Menambah air hanya dapat mengurangkan penyejatan, ia dapat menyembuhkan gejala tetapi bukan penyakitnya." Mahaguru Ubatan bertanya. Pada masa yang sama, dia memikirkan tentang faedah apabila air ditambah ke dalam ramuan itu, tetapi dia berfikir semula. Sekiranya dia menghadapi keadaan yang sama, menukar air dengan cecair ubat-ubatan khas mungkin dapat mengurangkan masalah penyejatan dengan lebih baik.
"Kemudian, saya hanya memasukkan empat ramuan terakhir ke dalam cecair itu dan menaikkan api untuk memasaknya dengan kuasa maksimum. Akhirnya, penutup periuk terbuka dengan jumlah cecair sebanyak lima sudu yang masih ada daripada cecair awal sebanyak setengah periuk di dalamnya.
"Lima sudu, jika sudu itu bukannya jenis sudu yang digunakan oleh kanak-kanak, lima sudu itu sebenarnya agak banyak." Pertapa Bebas Sungai Utara menghela nafas. Biasanya, proses penapisan Cecair Penguat Badan hanya menghasilkan tiga sudu.
"Apa kekuatan ubat itu berbanding sebelum ini? Oh... Saya terlupa ini kali pertama anda menghasilkan Cecair Penguat Badan," Mahaguru Ubatan berkata dengan nada hampa. " Saya akan mula menggunakan kaedah anda dan saya akan beritahu pendapat saya selepas saya mendapat hasilnya."
Kemudian, Mahaguru Ubatan log keluar dari perbualan itu.
"Haha, Mahaguru Ubatan sering berkelakuan begitu apabila kita bercakap tentang penapisan ubat-ubatan. Kita akan berbual semula selepas dia menyelesaikan tugasnya. Mengikut apa yang telah dikatakan oleh Mahaguru Ubatan, mungkin kaedah anda akan menjadi kaedah pembuatan Cecair Penguat Badan Mudah yang baharu. Mulai sekarang, sesiapa sahaja dalam kumpulan ini yang menggunakan kaedah penapisan anda akan terhutang budi kepada anda. Budi baik yang telah anda curahkan itu tidak dapat dilupakan 😄." Pertapa Bebas Sungai Utara menjawab.
Kehadiran Song Shuhang dalam kumpulan ini bermakna dia ingin mendedahkan dirinya kepada 'pertapaan' yang sebenar. Hakikatnya, pada saat dia mula menghasilkan Cecair Penguat Badan dan kemudian meminumnya, dia telah berada satu langkah ke dalam dunia pertapaan.
"Jadi, Shuhang, selamat datang ke Kumpulan Nombor Satu Sembilan Wilayah," kata Pertapa Bebas Sungai Utara. " Sepatutnya perkara-perkara ini diterangkan kepada anda oleh Raja Agung Gunung Kuning. Lagipun, dialah yang memasukkan anda ke dalam kumpulan ini dan dia juga yang menyimpan anda. Semua itu dia lakukan kerana dia merasakan takdir akan menyatukan anda berdua. Memandangkan anjing rakasa dia itu sedang mengamuk, jadi saya akan melakukannya bagi pihaknya."
'Anjing raksasa Raja Agung Gunung Kuning sememangnya agak ganas, bukan?' Song Shuhang berfikir.
"Oleh kerana anda telah memutuskan untuk mencuba dunia pertapaan ini, ada beberapa perkara yang perlu saya beritahu. Laluan pertapaan ini tidak santai seperti yang anda fikirkan. Dalam laluan ini terdapat banyak malapetaka yang boleh membawa kepada kehancuran buat anda pada bila-bila masa.
"Saya tahu tentang itu. Saya pernah melihat Tribulasi Kilat di Bandar H dari jauh." Song Shuhang menjawab.
Bulu Lembut kemudian mencelah, "Kediaman Tuan Song terletak berdekatan dengan Bandar H dan Bandar J."
"Jadi anda juga tahu tentang Tribulasi Kilat Enam Belas. Nampaknya anda sudah memerhatikan kami sejak anda telah dimasukkan ke dalam kumpulan ini, betulkan?" Pertapa Bebas Sungai Utara bertanya dengan nada berjenaka.
"Haha." Song Shuhang menjawab dengan malu. Dia tidak boleh memberitahu mereka dia menjangka mereka menderita penyakit Chuuni. Lagipun, dia pernah mempermainkan mereka hanya kerana dia ingin menjadikan mereka sebagai bahan ketawa buatnya, betulkan?
"Oleh kerana anda sudah bersedia secara mental, maka saya akan bercakap tentang perkara yang penting." Pertapa Bebas Sungai Utara meneruskan, "Sejak Shuhang telah memutuskan untuk terus berada di dalam kumpulan ini, jelas sekali anda ingin mempelajari cara pertapaan daripada kami. Jadi, mengikut tradisi kumpulan ini, anda mempunyai dua pilihan sekarang. Menjadi pertapa bebas atau menyertai satu sekta pertapa tua dalam kumpulan ini.
Kumpulan ini mempunyai ahli yang sangat ramai. Jadi, akan ada beberapa kaedah untuk menangani pelbagai kes. Tetapi, inilah kes pertama yang melibatkan ahli baharu yang tidak mempunyai pengetahuan tentang pertapaan.