Benua Naga Tersembunyi itu luas dan kaya dengan pelbagai sumber. Ada banyak gunung-ganang yang tinggi, sungai dari pergunungan yang tiada penghujungnya, lautan yang tidak terbatas luasnya, dan tasik juga diselubungi
Tanah Belantara ialah dataran yang terletak di luar sempadan Empayar Bayu. Terdapat hutan yang luas dan satu tasik besar di dataran itu. Namun, itu bukan perkara yang penting. Nama Tanah Belantara itu diberi kerana banyak binatang semangat yang tinggal di situ. Binatang-binatang semangat ini sangat berbeza dari segi kekuatan mereka.
Seperti bulatan bersarang, Tanah Belantara itu terbahagi kepada tiga lapisan: pinggir, dalam dan tengah. Kekuatan binatang semangat yang bertebaran dalam setiap lapisan itu berbeza. Lebih hampir mereka dengan lapisan tengah, lebih kuatlah binatang semangat itu... Ada khabar angin yang mengatakan binatang semangat kelas kesembilan tinggal di tengah-tengah Tanah Belantara.
Oleh itu, kawasan tengah Tanah Belantara dikenali sebagai kawasan larangan bagi manusia. Santo Pertempuran kelas ketujuh sekalipun tak berani masuk ke kawasan itu. Di hadapan seekor binatang semangat agung kelas kesembilan, Santo Pertempuran manusia tak ada beza dengan seekor semut.
Pinggiran Tanah Belantara.
Dengan beberapa siri letupan, taufan tiba-tiba muncul dan memusnahkan pokok-pokok di kawasan sekeliling itu. Tiga kelibat bergerak pantas di sebalik pokok-pokok itu sambil melepaskan tenaga ganas.
Di sebalik taufan itu, dua susuk tubuh sedang berlari ke arah binatang semangat di depan mereka untuk cuba mengepungnya. Binatang semangat itu sedang cuba melarikan diri.
Binatang semangat itu berlari dengan sangat laju dan auranya begitu berkuasa. Itu ialah binatang semangat kelas keenam. Kuasa elektrik memancar di badannya sambil ia berdesis. Bila ia memecut di kawasan itu, terdapat bau hangit di udara.
"Abang Ngah! Babi Semangat Api Kilat sudah semakin perlahan! Kita tak boleh biarkan ia terlepas!" Satu suara yang jelas dan lemah lembut kedengaran sambil aliran daya tulen meletus dan menghentam Babi Semangat Api Kilat yang berlari di hadapan mereka.
Dengan bunyi ngauman, Babi Semangat Api Kilat itu berlari lebih laju dan menumbangkan satu pokok besar. Satu lengkok elektrik melonjak dari badannya dan membakar pokok yang tumbang itu.
Seorang lelaki berpakaian hijau dengan rambut yang panjang mengurai sedang mengejar binatang semangat itu sambil berdiri di atas pedang terbang. Dia tersenyum kecil dan dia memandang ke arah babi yang sedang berlari itu sambil berkata, "Junior perempuanku, tak perlu tergesa-gesa. Walaupun Babi Semangat Api Kilat itu ialah binatang semangat keenam, hanya pertahanannya saja yang kuat. Kebolehan bertarung, kelajuan dan staminanya lemah. Tak lama lagi ia akan berhenti."
Di sebelah lelaki yang kacak itu, ada seorang perempuan muda yang comel dengan mata yang galak. Dia sedang memerhatikan babi itu dengan teruja. Senyumannya menyebabkan lesung pipitnya timbul di pipi.
Lelaki itu tiba-tiba terperanjat sambil dia memandang jauh di depannya dengan rasa hairan.
Babi Semangat Api Kilat itu juga berhenti berlari. Ruang kosong di hadapannya tiba-tiba herot-benyot. Tak lama kemudian, taufan meletus keluar dari ruang itu. Percikan cahaya terang memancar dalam taufan itu.
Boom!
Dengan letupan yang kuat, taufan itu terbelah dan satu kelibat bertubuh langsing muncul dalam susunan magik yang terbina oleh cahaya.
Babi itu mengaum marah dan berlari laju sambil ia menyerang kelibat itu. Ia merupakan binatang semangat kelas keenam. Walaupun kebolehan bertarungnya lemah, kesan serangannya masih boleh meninggalkan kesan buruk.
"Hmm? Apa benda ni?" Kelibat yang sedang bingung itu berkata dengan selamba bila terlihat seekor babi sedang berlari ke arahnya.
"Hati-hati!" Walaupun lelaki berbaju hijau itu tak faham macam mana lelaki yang bertubuh langsing itu boleh muncul, dia masih memberi amaran kepadanya.
Perempuan berlesung pipit yang mengikuti di belakangnya pucat lesi kerana takut. Dia menutup matanya dengan tangan kerana tak berani melihat tragedi yang akan berlaku...
Lelaki berbaju hijau itu tak sangka yang seseorang akan muncul di hadapan babi itu. Walaupun ia tak handal bertarung, kuasa pertahanannya sangat menakutkan. Dengan kulitnya yang kenyal dan otot yang tebal, Maharaja Pertempuran kelas keenam pun boleh cedera teruk dengan serangannya. Kalau orang itu orang biasa, dia pasti habis dilenyeknya.
Namun, apa yang berlaku seterusnya menyebabkan ekspresi lelaki itu kaku dan matanya penuh tanda tanya.
Walaupun berdepan Babi Semangat Api Kilat, lelaki itu langsung tak terkejut. Ekspresinya pun tak berubah dan matanya tenang seperti air. Lelaki berbaju hijau itu hanya nampak dia memegang pisau dapur biasa di tangannya.
"Biar betul… Kenapa kau bawa keluar pisau dapur sedangkan kau berdepan Babi Semangat Api Kilat?" Itu perkara pertama yang terdetik dalam hatinya bila dia nampak pisau dapur yang dipegang lelaki itu.
Namun, sesuatu di luar jangkaannya telah berlaku. Babi Semangat Api Kilat itu tetap berlari laju dan pisau dapur yang dipegang lelaki itu mula memancarkan cahaya keemasan yang terang. Lelaki berbaju hijau itu tak mampu membuka matanya kerana menahan silau.
Selepas cahaya itu hilang, keadaan menjadi senyap sunyi.
Bila lelaki berbaju hijau itu nampak apa yang berlaku, mulutnya ternganga dan wajahnya penuh ketakutan dan rasa suram. Budak perempuan di sebelahnya menjerit dengan terpegun dan mata besarnya itu terbuka lebih luas.
Babi Semangat Api Kilat itu terbelah dua hidup-hidup. Badan gergasinya jatuh ke tanah dan darahnya tumpah di sekelilingnya. Masih ada daya elektrik yang melonjak pada darah itu.
Pemuda itu menyimpan pisaunya dan berjalan ke arah Babi Semangat Api Kilat sambil membawa satu bungkusan. Dia bertinggung di sebelah babi itu dan mengamati bangkainya.
Lelaki berbaju hijau dan budak perempuan itu segera beredar tanpa membuat sebarang bunyi. Disebabkan lelaki itu boleh membunuh Babi Semangat Api Kilat itu dengan sekali hentam, dia sudah pasti seorang pakar yang hebat.
Entah-entah, dia seorang Santo Pertempuran kelas ketujuh!
"Mengagumk... Senior, hebat sungguh pergerakan tu! Kamu dapat membunuh Babi Semangat Api Kilat dengan satu hentaman! Memang menakjubkan." Lelaki berbaju hijau itu tersenyum bila dia bercakap dengan pemuda yang sedang meneliti bangkai Babi Semangat Api Kilat itu.
Pemuda itu mengangkat kepalanya tanpa perasaan dan memandang sekilas ke arah lelaki berbaju hijau dan perempuan berlesung pipit di belakangnya. Dia mengangguk acuh tak acuh dan bangun.
"Daging babi ni mempunyai unsur-unsur kilat dan api. Ia bahan memasak yang agak bagus. Sayangnya, ia tak sebagus apa yang aku harapkan." Pemuda itu menggumam kepada dirinya. Namun, kata-kata itu kedengaran seperti guruh di telinga lelaki berbaju hijau itu.
"Wah… Dia mesti seorang pengamal! Kalau Babi Semangat Api Kilat kelas keenam pun tak cukup bagus untuk dia, adakah dia nak mencari binatang semangat kelas ketujuh?" Lelaki berbaju hijau itu berkata dalam hatinya.
"Hmm… Siapa nama kamu berdua? Apa yang kamu buat di sini?" Pemuda itu bertanya kepada lelaki berbaju hijau itu dengan ekspresi yang sama.
"Senior, saya Tang Yin, murid Sekta Cakerawala Rahsia. Ini junior perempuan saya, Lu Xiaoxiao. Boleh saya bertanya nama Tuan?" Tang Yin berkata dengan hormat. Selepas meneliti secara dekat, dia menyedari yang pergerakan daya tulen dalam badan pemuda itu tak begitu kuat. Paling tinggi pun, dia berada di tahap Semangat Pertempuran kelas keempat. Walaupun begitu, dia masih bercakap dengan penuh hormat.
Semangat Pertempuran kelas keempat… Bagaimana seseorang dengan tahap pertapa sebegitu berani masuk ke Tanah Belantara? Jelas sekali… tak mungkin seorang Semangat Pertempuran kelas keempat boleh membunuh binatang semangat kelas keenam dengan satu hentaman pisau dapur.
"Oh, nama saya Bu Fang. Saya seorang cef. Saya dari… err, Empayar Bayu." Bu Fang juga memperkenalkan dirinya bersungguh-sungguh.
"Eh… Ah? Seorang cef? Betul ke Tuan perkenalkan diri sebagai seorang cef?" Tang Yin berkata dalam hatinya.
Air muka kedua-dua Tang Yin dan Lu Xiaoxiao nampak pelik. Mereka mengaku yang kadangkala sukar untuk memahami hobi orang-orang berkuasa ni. Mahaguru mereka sendiri, ketua ketiga Sekta Cakerawala Rahsia, banyak menghabiskan masa membuat penyelidikan kulinari di dapurnya juga.
"Senior, boleh tak jualkan Babi Semangat Api Kilat kepada kami? Saya dan junior perempuan saya datang ke Tanah Belantara hanya untuk menangkap babi ini..." Tang Yin berkata sambil membuat tabik genggam.
Bu Fang berfikir seketika sebelum memandang sekilas ke arah bangkai babi itu. Mulutnya tersenyum sambil dia berkata, "Ambillah sebab saya tak perlukan bahan ni. Selain untuk memasak, saya memang tak gunakan daging babi ni untuk benda lain. Kamu berdua cef juga ke?"
Anak mata Tang Yin mengecil sambil rasa kagumnya terhadap Bu Fang semakin membuak-buak. Seperti yang dijangka daripada seorang senior! Dia dapat meneka niat mereka menangkap Babi Semangat Api Kilat dengan sekilas pandang! Betullah tekaannya! Mereka memang datang mengumpul bahan-bahan untuk mahaguru mereka!
"Tak apalah. Tak penting sama ada kamu cef atau tak. Saya ingin bertanya sesuatu kepada kamu berdua." Bu Fang berkata sebelum Tang Yin sempat membalas, "Kamu tahu tak kalau ada bahan yang lebih hebat daripada Babi Semangat Api Kilat di kawasan ni?"
Soalan Bu Fang langsung tak dijangka Tang Yin kerana ia tak munasabah.
Babi Semangat Api Kilat itu ialah binatang semangat kelas keenam dan sudah dikira paling kuat di pinggiran Tanah Belantara. Kalau nak dibandingkan dengan yang lain, ia juga antara bahan bergred paling tinggi. Kalau mereka mahu mencari bahan yang bergred lebih tinggi daripada Babi Semangat Api Kilat, mereka perlu masuk ke bahagian dalam Tanah Belantara.
Lapisan dalam Tanah Belantara sangat berbahaya bagi mereka. Tang Yin merupakan Maharaja Pertempuran kelas keenam sementara Lu Xiaoxiao hanyalah Raja Pertempuran kelas kelima. Kalau mereka masuk ke lapisan dalam dengan tahap mereka sekarang, peluang mereka untuk selamat agak tipis kalau bertemu mana-mana binatang semangat.
Ini kerana binatang semangat yang paling lemah ialah kelas keenam, sementara binatang semangat kelas ketujuh dan kelapan mungkin sekali sekala akan muncul.
Bila Bu Fang perasan yang ekspresi Tang Yin agak pelik, dia sedar yang Tang Yin tahu di mana dia boleh dapat bahan yang berkualiti lebih tinggi.
"Kalau kamu beritahu saya maklumat mengenai bahan itu atau bawa saya ke sana, saya akan masak untuk kamu secara percuma." Bu Fang berkata bersungguh-sungguh.
Tang Yin tertawa mendengar kata-kata Bu Fang dan tidak menganggap dia serius. Kalau tak kerana Tang Yin berasa kagum dengan Bu Fang tadi, dia mungkin sudah berlalu pergi dengan Lu Xiaoxiao. Sangat berbahaya untuk dia bawa Bu Fang ke lapisan dalam itu. Dia tak rasa yang masakan Bu Fang lebih berharga daripada nyawanya sendiri.
Lu Xiaoxiao memandang Tang Yin yang teragak-agak itu dan tiba-tiba berkata, "Abang Ngah, bukankah ada seekor binatang semangat dalam Lembah Phoenix Rebah? Mahaguru ada memberitahu yang kita patut cuba kalau kita mampu atau pilih saja Babi Semangat Api Kilat. Gred binatang semangat itu pasti lebih tinggi daripada Babi Semangat Api Kilat, bukan?"
Mata Lu Xiaoxiao melengkung seperti bulan sabit, sementara senyuman comelnya ditambah dengan lesung pipit yang menawan.
Tang Yin mengerutkan keningnya sambil memandang junior perempuannya. Dia tak sangka yang Lu Xiaoxiao akan sebut tentang binatang semangat di Lembah Phoenix Rebah itu.
"Hmm? Binatang semangat yang bergred lebih tinggi daripada babi itu? Baiklah, bawa saya ke sana untuk saya lihat." Bu Fang berkata tanpa perasaan.
Tang Yin cuba hendak menerangkan sesuatu, tapi baru saja dia hendak bersuara, Lu Xiaoxiao memaut lengannya dan menariknya sambil berjalan ke depan.
"Abang Ngah, dengan kebolehan senior ni, dia boleh bantu kita bunuh binatang semangat tu! Bila ia dah tak ada, kita boleh petik Herba Darah Phoenix dalam lembah itu! Nanti, barulah kita dapat selesaikan misi Mahaguru!" Lu Xiaoxiao berbisik kepada Tang Yin.
"Bukankah kita mengambil kesempatan ke atas senior? Kita tak boleh buat macam ni… Kita kena terangkan betul-betul kepada dia." Tang Yin berkata sambil mukanya berkerut dan memandang junior perempuannya yang nakal itu dengan rasa tak puas hati.
"Abang Ngah, macam mana kalau senior tak mahu pergi bila kita beritahu perkara sebenar? Dia memang sedang mencari bahan bergred tinggi, dan binatang semangat ini sudah pastinya lebih hebat daripada binatang Semangat Api Kilat tu!" Lu Xiaoxiao berkata sambil dia menarik lengan Tang Yin dengan penuh rasa risau.
Tang Yin teragak-agak dan perasaannya berbolak-balik. Akhirnya, dia mengeluh dan berkata, "Bila masanya tiba nanti, kita perlu bekerja keras dan membantu senior kita membunuh binatang semangat itu."
"Sudah tentu! Itu memang pasti!" Bila Tang Yin akhirnya bersetuju, Lu Xiaoxiao senyum dengan gembira dan lesung pipitnya muncul lagi.
Disebabkan Bu Fang mengikuti di belakang mereka sambil membawa bungkusannya, dia tidak menyedari perbualan itu.
Bangkai Babi Semangat Api Kilat itu sudah disimpan oleh Tang Yin. Sudah pasti dia membawa Alat Ruangan Semangat kerana dia berjaya menyimpan bangkai itu hanya dengan mengibaskan lengannya.
"Senior, binatang semangat itu terletak di Lembah Phoenix Rebah. Tempat ini dengan lembah itu agak jauh. Jadi kita perlu berjalan semalaman untuk sampai ke sana awal." Tang Yin berkata.
Bu Fang mengangguk tanpa ekspresi. "Baiklah. Kita hanya perlu sampai di sana pada tengah hari esok."
Sistem memberikan Bu Fang dua hari untuk menangkap bahan. Disebabkan kata-kata Tang Yin's words, Bu Fang tak rasa risau.
Ketiga-tiga mereka berjalan melalui hutan tebal itu begitu luas dalam Tanah Belantara. Sekali sekala, mereka akan terjumpa binatang semangat kelas ketiga dan keempat yang terus disembelih Tang Yin. Bu Fang langsung tak perlu membantu.
Setelah agak lama mereka merantau, mereka akhirnya berjalan keluar dari hutan tebal itu dan masuk ke kawasan hutan batu. Batu-batu kerikil bertebaran di atas tanah terbiar itu.
"Bila kita melepasi hutan batu ni, kita akan sampai di Lembah Phoenix Rebah… Senior, apa kata kita berehat di sini malam ni?" Tang Yin berkata kepada Bu Fang dengan senyuman.
Lu Xiaoxiao juga segera berkata, "Betul tu, senior! Mari kita rehat! Saya penatlah!"
"Tanah Belantara ni berbahaya pada waktu malam. Walaupun senior ni kuat, kita masih perlu berehat malam ni untuk keselamatan. Apa kata kita teruskan esok?"
Bu Fang memandang ke atas dan nampak langit sudah gelap. Dia mengangguk dan berkata, "Mari kita rehat malam ni. Saya berjanji untuk masakkan kamu sesuatu kalau kamu tolong saya. Berikan sekeping daging tulang belakang babi itu."
Ketiga-tiga mereka menjumpai satu tempat sunyi yang sesuai di belakang batu tongkol.
Bu Fang masuk ke dalam hutan dan kembali dengan kayu api. Dia bertanya kepada Tang Yin, "Kamu pandai ke hidupkan api?"
Tang Yin agak terkejut seketika. Dia berkata dalam hati, "Ini… Senior ni memang betul-betul nak masak untuk kami ke?" Dia asyik berfikir yang Bu Fang hanya bergurau dengan mereka. Dia tak sangka yang Bu Fang akan betul-betul memasak.
Lu Xiaoxiao agak terperanjat juga dan dia terus rasa was-was. "Senior ni… Betul ke dia seorang cef? Dia bukannya cef yang tak boleh diharap macam mahaguru kami, bukan?"
"Kamu, hidupkan api dan berikan daging tulang belakang babi itu. Saya perlu memprosesnya." Bu Fang berkata tanpa ekspresi.
Tang Yin dengan segera membawa keluar daging tulang belakang Babi Semangat Api Kilat dari Alat Ruangan Semangatnya dan memberikannya kepada Bu Fang.
Bu Fang mengambil daging itu. Dia menjumpai seketul batu dan menggunakan daya tulen untuk membersihkan permukaannya. Bila batu itu sudah betul-betul bersih, dia mengambil labu yang berisi mata air dan membasuh daging babi itu. Dia membersihkan saki baki darah dan membiarkan tenaga semangat mata air itu untuk menyerap ke permukaan daging.
Selepas Bu Fang mengeringkan air di permukaan daging dengan daya tulen, dia menyeru Pisau Dapur Tulang Naga dengan mengibaskan tangannya. Pisau hitam legam itu berpusing di tangannya beberapa kali. Kemudian, Bu Fang menggunakannya untuk memotong daging itu kepada tiga bahagian besar.
Lu Xiaoxiao tak terkata apa-apa sambil memandang Bu Fang. Teknik pemotongan Bu Fang begitu menakjubkan sehingga dia terbayang-bayang dalam di dalam mindanya. Dia agak keliru dengan situasi itu. Adakah senior ini betul-betul seorang cef profesional?
Tang Yin pula sudah menghidupkan api berhampiran mereka. Dengan adanya Maharaja Pertempuran, amat mudah untuk menghidupkan api.
Bu Fang mengambil dahan kayu dan menajamkan hujungnya. Satu bau harum yang pelik terbit daripada rantingnya.
Selepas mencucuk kepingan daging dengan dahan pokok, Bu Fang membina rangka di atas api. Dia meletakkan daging yang dicucuk itu sambil ia dipanggang perlahan.
Tiga bahagian daging yang dicucuk dengan dahan pokok itu nampak kemas dan diletak di atas pemanggang.
"Senior… Pergerakan kamu nampak begitu mahir. Kamu nampak seperti seorang cef." Tang Yin berkata kerana tak tahu nak beri reaksi apa. Jadi, Bu Fang memang betul-betul hendak masak untuk mereka.
Bu Fang memandangnya sekilas dan berkata, "Saya seorang cef."
Selepas Bu Fang habis bersuara, dia membawa keluar pelbagai botol berisi perisa seperti garam, lada sulah, serbuk jintan dan macam-macam lagi.
Tang Yin and Lu Xiaoxiao terkesima melihat botol-botol itu. Mereka berkata dalam hati, "Jadi, kamu memang betul-betul seorang cef?"
"Seperti dijangka daripada senior kita… Kamu datang ke Tanah Belantara ini bagaikan hendak berpiknik untuk kamu. Siap sediakan bahan perisa." Lu Xiaoxiao berkata sambil tertawa kecil.
Bu Fang berkata, "Kalau tak kerana dilarang, saya dah bawa peralatan dapur lain. Barulah saya dapat masak dengan lagi sedap lagi. Kamu ni tak bernasib baik."
Lu Xiaoxiao dan Tang Yin hanya mampu terkesima memandang Bu Fang.
Buat seketika, tak ada siapa-siapa yang bersuara dan tempat itu menjadi sunyi sepi. Mereka hanya mendengar bunyi kayu api terbakar.
Dalam kesunyian yang menakutkan itu, bau harum daging mula memenuhi udara.