Unduh Aplikasi
14.28% Sfera / Chapter 6: Fantasi

Bab 6: Fantasi

Aku banyak menghabiskan masaku di Dr Love. Aku beruntung kerana Ally sedia mendengar, jadual kerjanya yang fleksibel membolehkan aku menghadiri 'sesi terapi' yang diberikannya secara percuma kepadaku. Walaupun dia bukan ahli psikologi yang bertauliah, tetapi aku percaya bercakap dengannya dapat membantu aku keluar sebentar dari pintu alam fantasi yang aku cipta untuk sekian lamanya.

"Hmm... Pintu alam fantasi yang kau cipta?" tanya Gina kehairanan apabila aku memberitahunya tentang apa yang aku bincangkan dengan Ally.

"Ya. Pintu alam fantasi!" jawabku dengan bersungguh-sungguh.

Selepas bercakap dengan Ally, aku cuba bertenang dan mengambil masa untuk mengenang kembali hubungan kami yang terjalin selama lapan tahun lamanya.

Secara zahirnya, hubungan aku dan Norman memang baik. Segala-galanya nampak indah. Malah, ramai yang kagum bagaimana kami boleh bertahan dalam tempoh masa yang begitu lama dengan hanya berikatkan janji. Tidak salah jika aku katakan yang ianya pernah menjadi sesuatu yang dicemburui ramai. Namun, dalam aku mengenang segala kata-kata, suara dan senyuman Norman yang pernah membuatkan aku bahagia, aku perlu akui satu kenyataan yang aku cuba nafikan untuk sekian lamanya.

"Apa dia Marina?" tanya Ally apabila melihat aku teragak-agak untuk meluahkan apa yang terbuku di dalam hati. Aku mengambil nafas dalam-dalam sebelum memulakan bicara.

"Segala yang indah antara aku dan Norman perlahan-lahan lenyap sejak tiga tahun yang lalu. Dalam kata lain, sepanjang tempoh lapan tahun tersebut, kemesraan antara kami hanya bertahan selama lima tahun sahaja. Selepas itu, hubungan kami sedikit berubah. Norman tidak lagi seperti Norman yang aku kenali dahulu."

"Baru sekarang kau menyedarinya?"

"Sudah lama sebenarnya. Aku sedar ada sesuatu yang tidak kena dengan kami sejak tiga tahun lalu. Namun, aku diamkan sahaja kerana aku menganggapnya sebagai satu perkara biasa. Aku menganggapnya sebagai satu cabaran bagi pasangan muda seperti kami. Aku cuba menjadi positif walau apa pun yang berlaku"

"Cuba menjadi positif... Hmm... Ianya bukanlah semudah yang disangkakan." kata Ally.

Ya. Ianya bukan sesuatu yang mudah. Namun apa yang membuatkan aku bertahan? Berkali-kali aku menyoal diriku. Aku tertanya-tanya bagaimana agaknya aku mampu bertahan dan kekal positif untuk bertahun lamanya? Apa sebenarnya yang membolehkan aku menempuhi saat-saat sukar dengan Norman yang sedikit sebanyak berubah menjadi seorang yang dingin dan kurang sensitif.

"Fantasi..." itulah perkataan yang terpacul dari mulutku setelah lama memikirkan kata-kata yang sesuai untuk menggambarkan situasi yang berlaku. "Jawapannya adalah fantasi Ally..."

"Maksud kau?"

"Apabila aku fikirkannya secara mendalam. Jawapannya adalah kerana aku suka hidup di dalam fantasi. Hidup dalam kenangan indah antara aku dan Norman"

"Contohnya?"

"Setiap kali ada yang tidak kena antara kami, aku akan kembali masuk ke dalam dunia kenangan yang agak melekakan yang kemudiannya membawa aku masuk ke dunia yang penuh dengan fantasi. Aku akan memberitahu diri sendiri yang segala-galanya akan okey dan saat indah yang pernah kami nikmati bersama akan muncul semula. Aku juga selalu memujuk diri sendiri. Aku kata, walau apa pun yang berlaku, aku perlu yakin ianya akan berakhir dengan baik. Tetapi..."

*****

"Hai Ally! Sibuk? Maaf mengganggu. Cuma hendak beritahu yang aku akan pulang ke JB hari ini okey. Bye!" aku meninggalkan pesanan suara untuk Ally kerana sejak dari pagi, hanya suara wanita parau yang menjawab panggilan-panggilan yang aku buat kepadanya.

"Hmm… sibuk memanjang si Ally ini…tidak tahulah apa yang dibuatnya pagi-pagi begini" bebelku sendirian.

Beberapa hari sebelumnya, aku baru sahaja berjumpa dengannya di Dr Love.

"Apa yang patut aku buat sekarang?" aku meminta pendapat Ally.

"Pertama kau perlu tahu apa masalah kau yang sebenarnya."

"Aku rasa itu sudah lama aku kenal pasti"

"Kau tidak perlu beritahu aku. Sekarang biar aku cuba rumuskan. Apa yang aku cakap ini adalah berdasarkan apa yang aku dengar dari kau. Masalah kau yang pertama adalah Norman dan yang kedua adalah kerjaya. Betul atau tidak?"

"Ya. Betul" aku mengangguk. Bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Ally.

"Baiklah. Apa yang perlu kau buat sekarang ialah menyelesaikan masalah kau yang pertama iaitu Norman"

"Ya. Kalau boleh aku ingin lupakan dia. Aku ingin keluarkan dia dari ingatan aku!"

"Kau tahu bagaimana caranya untuk kau lupakan dia?"

"Itulah masalahnya, semakin aku cuba untuk lupakan dia, semakin kuat ingatan aku pada Norman "

"Marina... Aku rasa ada baiknya kau terima realiti yang kau tidak mungkin dapat melupakan Norman. Walaupun kau sudah berusia lima puluh tahun nanti"

"Ha? Itu sahajakah yang perlu aku lakukan?" tanyaku. Kurang yakin dengan jawapan mudah yang diberikan oleh Ally.

"Ya. Terima kenyataan yang cinta pernah wujud antara kamu berdua tetapi ianya tidak kekal dan kamu berdua bukan ditakdirkan untuk bersama"

"Ianya mengambil masa Ally" kataku. Kemudian aku mengeluh.

"Betul Marina. Ianya memang mengambil masa. Dalam dua tahun pertama, kau pasti akan mengintip gerak geri dia dan kau juga ingin tahu perkembangan Norman"

"Kau betul... Kalau kau hendak tahu, aku masih lagi intip dia di Facebook dan Twitter" dalam senyum malu, aku membuat pengakuan.

"Ha! Aku sudah agak!" kata Ally sambil ketawa. "Tetapi aku percaya, kau pasti akan berjumpa dengan orang baru. Percayalah cakap aku. Sekejap sahaja. Kau tengok sahajalah nanti"

"Pandai-pandai sahaja kau ini Ally. Bagaimana kalau aku tidak dapat melupakan dia dalam masa lima, tujuh atau sembilan tahun akan datang? Bagaimana jika dalam tempoh itu, aku tidak juga berjumpa dengan orang baru? Parah!" entah kenapa, aku tiba-tiba menjadi panik apabila membayang kemungkinan yang bakal terjadi.

"Marina. Sekali lagi kau jadi panik dan negatif. Janganlah begini..."

"Okey. Maaf Ally. Aku akan cuba bertenang dan ambil nafas dalam-dalam"

"Okey. Masalah pertama sebenarnya mengambil sedikit masa untuk diselesaikan. Kau perlu terima kenyataan yang ianya telah berlaku dan jangan terlalu risau kerana apa yang kau alami ini adalah sesuatu yang normal. Ianya adalah simptom-simptom biasa orang baru putus cinta. Lagipun dia wujud dalam hidup kau dalam jangka masa yang agak lama. Lapan tahun! Kalau ianya seorang budak, dia sudah masuk sekolah darjah dua"

Aku tertawa mendengar kata-kata Ally.

"Oh ya! Bagaimana pula dengan masalah kedua kau?" tanya Ally.

"Kerja"

"Ya. Okey. Beritahu aku apa masalah kau sebenarnya? Sebab aku masih kurang jelas"

"Aku sebenarnya masih tertanya-tanya bidang kerja apa yang patut aku ceburi selepas ini. Bukan apa, aku tidak mahu menyesal di kemudian hari. Lebih-lebih lagi selepas mengalami pengalaman yang menakutkan dengan Markonah"

"Nampaknya selepas ini, kau perlu teliti betul-betul apa yang sesuai dengan kau. Buat masa sekarang, pada pendapat aku kau jangan kisah sangat kalau gajinya kecil. Yang penting peluang untuk berkembang itu ada. Sementara masih muda dan tiada apa-apa tanggungan dan komitmen, ada baiknya kau membina karier dari bawah dan belajar secara street"

"Ya. Kalau hendak diikutkan, banyak kerja yang ada di Kuala Lumpur ini. Tetapi aku masih keliru mana satu agaknya yang sesuai untuk aku Ally"

"Hmm.. Pada pendapat aku, kau perlu pilih sesuatu yang ada kena mengena dengan personaliti dan prinsip yang kau pegang"

"Aku setuju dengan kau. Tetapi dalam keadaan sekarang, pentingkah semua itu Ally?"

"Penting Marina. Ini bukanlah sesuatu perkara yang boleh diambil mudah sebab kita menghabiskan lebih dari separuh masa kita dalam sehari dengan kerja"

"Okey. Aku setuju dengan apa yang kau cakap. Tetapi bagaimana untuk kita tahu sama ada sesuatu itu ada kena-mengena dengan personaliti dan prinsip yang kita pegang? Kedengaran senang tetapi ianya agak kompleks apabila difikirkan"

"Jawapannya mudah Marina. Lihat kembali ke belakang"

"Maksud kau?"

"Begini. Aku percaya kebanyakkan kita tidak sedar bahawa banyak benda yang berlaku kepada kita adalah hasil dari perbuatan kita sendiri. Dalam minda yang tidak sedar, kita yang menjadi punca ianya berlaku. Bagi aku, apa yang berlaku pada seseorang itu adalah hasil dari tindakannya sendiri. Jika kita menginginkan perubahan, tetapi kita masih dengan pemikiran dan perangai yang sama, tiada benda baru yang akan kita perolehi. Kita akan dapat benda yang sama. Dalam diri setiap orang, pasti ada sesuatu yang menjadi prinsipnya. Kebanyakkannya datang hasil dari masa silam dan pendedahan yang kita terima. Dalam tidak sedar, ianya mengawal diri kita dalam menjalani kehidupan seharian" terang Ally panjang lebar.

"Jadi apa kaitannya dengan masa silam?" aku sedikit keliru.

"Masa silam kita yang membentuk kita pada hari ini dan aku percaya itulah yang mempengaruhi keputusan dan tindakan kita pada hari ini. Pendedahan awal yang banyak mempengaruhi siapa kita pada hari ini. Tetapi, masa silam yang aku maksudkan tidak semestinya berlaku pada sepuluh atau dua puluh tahun yang lalu. Mungkin ianya perkara-perkara yang berlaku tiga, empat atau pun lima tahun yang lalu. Mungkin juga lima bulan yang lalu," kata Ally diakhiri dengan tawa kecil yang begitu menghiburkan.

Aku benar-benar kagum dengan apa yang keluar dari mulut Ally. Aku tidak pernah terfikir yang dia boleh berfikir hingga ke tahap itu. Dia seperti bercakap melalui pengalamannya.

Truttt. Trutt. Telefon bimbitku berbunyi.

"Helo Tia...." kawan karibku yang aku kenal sejak sekolah menghubungiku.

"Marina. Kau ada di mana sekarang?" pantas Tia bertanya.

"Masih lagi di dalam bas."

"La... Aku ingat kau sudah berada di JB. Boleh juga kita jumpa sekejap"

"Belum lagi. Kurang dua jam lagi sampailah aku "

"Okeylah kalau begitu. Nanti kita jumpa bila-bila kalau ada masa nanti ya... Kau cuti lama bukan?"

"Ya Tia. Betul. Kita jumpa nanti ya. Kalau aku rajin, aku datang ke rumah kau esok atau lusa"

"Bagus... Sayang kau! Okey Marina! Bye!"


next chapter
Load failed, please RETRY

Status Power Mingguan

Rank -- Peringkat Power
Stone -- Power stone

Membuka kunci kumpulan bab

Indeks

Opsi Tampilan

Latar Belakang

Font

Ukuran

Komentar pada bab

Tulis ulasan Status Membaca: C6
Gagal mengirim. Silakan coba lagi
  • Kualitas penulisan
  • Stabilitas Pembaruan
  • Pengembangan Cerita
  • Desain Karakter
  • Latar Belakang Dunia

Skor total 0.0

Ulasan berhasil diposting! Baca ulasan lebih lanjut
Pilih Power Stone
Rank NO.-- Peringkat Power
Stone -- Batu Daya
Laporkan konten yang tidak pantas
Tip kesalahan

Laporkan penyalahgunaan

Komentar paragraf

Masuk