Unduh Aplikasi
5.02% MMORPG: Kelahiran Semula Pelindung Legenda / Chapter 43: Tapak Suci untuk Berlatih

Bab 43: Tapak Suci untuk Berlatih

Editor: EndlessFantasy Translation

Selepas dia terjaga daripada tidur yang nyenyak, Zhang Yang log masuk ke permainan video ini dengan penuh bertenaga dan bersemangat. Dia membuka Senarai Kenalannya, ternampak Han Gemuk berada atas talian, dan menyedari yang dia hanya berada pada Tahap 15! Rendahnya! Ratusan Tembakan juga berada di atas talian dan dia berada pada satu tahap lagi rendah daripada Han Gemuk!

Zhang Yang meneliti Papan Penarafan Tahap dan menyedari yang Bola Api Terapung berada pada Tahap 19 manakala tiga lagi pemain berada pada Tahap 18, dan pemain Warna Jernih pula pada Tahap 17. Ratusan Tembakan dan Han Gemuk berada pada tahap yang rendah! 

Zhang Yang tiba-tiba terfikirkan satu idea. 'Aku tahu satu tempat yang bagus untuk mendapatkan penarafan yang cepat!' Dia menghantar pelawaan untuk memasuki pasukannya kepada mereka dan Han Gemuk serta-merta menerima pelawaan itu.

Ratusan Tembakan turut menerima pelawaannya. Dia telah mengekalkan hubungan baik dengan Zhang Yang dengan kekal berhubungan dan berbual sejak beberapa hari yang lepas.

"Kawan-kawan, aku jumpa tempat yang bagus untuk grind!" ujar Zhang Yang melalui saluran pasukan. "Jom, jom, jom!" jerit Han Gemuk dengan bersemangat.

"Sekejap! Aku nak pelawa dua lagi pemain!" Zhang Yang menghantar pesanan kepada Si Salji, "Aku jumpa tempat yang bagus untuk berlatih, nak ikut aku? Aku perlukan seorang penyembuh dan seorang penyerang." Selepas beberapa ketika, Si Salji akhirnya menghantar jawapan, "Si kurus, apa yang kau nak buat dengan aku ni?"

"Ish! Ya atau tak. Aku boleh saja cari orang lain!" Zhang Yang tahu dia perlu berlagak kuat.

"Ya! Mestilah aku nak! Sekejap, aku hubungi Drizzler!" Dia kemudian terus log keluar. Tidak lama selepas itu, dia log masuk semula dan menghantar pesanan peribadi kepadanya, "Hantarlah pelawaan untuk menyertai pasukan kepada Drizzler dan aku!" dan mereka turut dimasukkan ke dalam pasukannya.

Han Gemuk sangat teruja apabila dia melihat nama mereka. "Wah! Gadis cantik!" Ratusan Tembakan hanya tertawa melihat gayanya. "Kau belum tengok orangnya lagi, macam mana kau tahu mereka cantik hanya kerana mereka berdua perempuan?" Han Gemuk cuba mengenakan Ratusan Tembakan.

"Gadis-gadis, lelaki ini cakap kau berdua tak cantik! Patut ke aku tumbuk muka dia?"

Drizzler tertawa dan berkata, "Tumbuk dia! Aku memang seorang gadis cantik yang tak lama lagi akan menjadi ratu cantik dan akan menggoda ribuan lelaki di sekeliling aku!"

Si Salji pula sengaja mengenakan Drizzler, "Budak nakal. Kau tu baru bangun tidur, apa yang kau nak berlagakkan ni? Kau belum gosok gigi lagi tu!"

"Han Yin Xue! Berani kau cakap kuat-kuat! Aku tengah sedap tidur masa kau masuk bilik aku dan kacau aku! Hmph! Hmph!"

Han Gemuk cuba untuk meneruskan perbualan mereka, tetapi yang dia katakan hanyalah benda tidak munasabah, "Eh? Salji cantik ni juga bernama Han. Kebetulan, nama aku pun Han! Ini memang takdir kita!"

"Semua, berkumpul di arah Utara Bandar. Aku akan ketuai perjalanan selepas semua sampai!" Zhang Yang tidak dapat menahan dirinya daripada menambah satu lagi ayat, "Drizzler, tolong pastikan orang yang bodoh dalam mencari arah tu berjalan di jalan yang betul!"

"Siapa yang bodoh tu?!" ujar Si Salji.

"Siapa yang jawab, dialah yang bodoh!" Zhang Yang tertawa sambil dia menjawab soalan itu. "Dah, cepat dan jangan bazir masa lagi! Kita kena melalui penarafan hingga ke Tahap 20 hari ni juga!" Drizzler seakan-akan meragui kebolehan mereka dan cuba membantah keras idea itu.

"Tahap 20? Zhan Yu, kau dah gila ke? Pada Tahap aku sekarang, aku memerlukan paling kurang 1,000,000 mata Nilai Pengalaman dan walaupun aku habiskan masa seharian untuk grind, aku hanya boleh naik satu tahap. Sepupu aku dan aku hanya pada Tahap 13. Lagipun aku rasa kau pun takkan dapat capai Tahap 20!"

"Haha! Sebab tulah aku panggil kau semua untuk grind di Tapak Suci untuk Berlatih!"

"Oh? Memang ada ya tempat tu?" Drizzler mula meragui dirinya sendiri kerana Zhang Yang berkata-kata dengan penuh keyakinan. Apabila dia memikirkan yang lelaki ini pernah menewaskan bos yang sukar dikalahkan, Unduin, Si Penderita… dia pasti mempunyai rahsia atas kejayaannya! "Jom kita cuba!"

Selepas mereka akhirnya bertemu, mereka meneruskan perjalanan melalui tasik berwarna biru langit dan dataran yang damai sebelum memasuki Hutan Labah-labah. Ia sangat gelap dan suram yang penuh dengan labah-labah yang merayap ke sana sini dan meninggalkan sawang dengan bangkai binatang sebagai hiasan hutan itu. Ada gumpalan putih yang merupakan telur labah-labah di bawah pokok yang menggelikan sesiapa yang melihat. 

"Eww…" kedua-dua Si Salji dan Drizzler terkejut melihat keadaan itu. Han Gemuk berdiri di depan mereka dan berkata, "Jangan risau, gadis cantik, Si Gemuk ni akan lindungi kau!"

"Ikut aku!" Zhang Yang terus mengetuai mereka dan membawa keempat-empat mereka masuk ke kawasan dalam hutan itu. Mereka membunuh beberapa makhluk suruhan dalam perjalanan mereka dan akhirnya tiba di jalan masuk sebuah gua.

"Jom masuk!"

Si Salji dan Drizzler yang tidak suka kegelapan memaksa diri mereka meneruskan perjalanan memandangkan mereka telahpun sampai di situ dan ia satu pembaziran untuk berpatah balik! Mereka mengikut rapat di belakang Zhang Yang sementara Han Gemuk dan Ratusan Tembakan mengawasi bahagian belakang. Sambil mereka meneruskan perjalanan, mereka membunuh beberapa labah-labah kecil dan akhirnya tiba di bahagian paling dalam gua itu. Ia mempunyai ruang yang besar dan ada dua labah-labah sebesar bangunan dua tingkat yang sedang duduk dalam sawang mereka dan memenuhi hampir separuh keluasan ruang iu. Kelapan-lapan kaki mereka lebih besar daripada kaki gajah dan bulu yang tumbuh di kaki mereka lebih menyerupai pisau belati. 

[Ibu Pengeram] (Bos Tembaga Hijau)

Tahap: 20

HP: 60,000

Si Salji berbisik, "Hei, kau rasa kita akan dapat naik ke Tahap 20 dengan membunuh raksasa ini ke?" Zhang Yang tertawa dengan kuat. "Mestilah tak!"

Dalam permainan video, bercakap dengan kuat tidak akan membangkitkan atau menarik perhatian mana-mana raksasa kecuali jika pemain berada dalam jarak aggro raksasa itu.

"Yang Kecil, mana tapak latihan yang kau kata tu?" Han Gemuk nampak seperti dia kekeliruan dan tidak mempunyai keyakinan kepada Zhang Yang. "Kita dah sampai!" kata Zhang Yang dengan bersahaja.

Keempat-empat pemain itu menunjukkan kekeliruan mereka. 'Ini bos Tahap 20 dan walaupun ia bos Tembaga Hijau, nilai pengalaman yang akan diagihkan selepas membunuhnya tetap rendah! Satu-satunya cara untuk meningkatkan tahap mereka ialah sekiranya bos ini tiada had untuk muncul semula dan boleh dibunuh dalam 40 hingga 50 kali!'

Zhang Yang yang tidak dapat dijangka itu menunjukkan dua batu yang terletak di bahagian kiri mereka dan berkata, "Nanti aku akan bagi isyarat untuk bersembunyi. Han Gemuk, Ratusan Tembakan, dan Si Salji, kau semua mesti berdiri di tengah-tengah batu tu sementara Drizzler dan aku akan pertahankan bahagian depan."

"Kenapa?" soal Drizzler.

"Nanti kau akan tahu! Sedia, aku nak mulakan pertarungan ni!" Zhang Yang kemudian menghunuskan pedangnya dan menggunakan <Serangan>.

'-133!' Serangan normal.

Ibu Pengeram pulih daripada kesan pemegunan yang berterusan selama sesaat itu dengan cepat dan kemudian menggerakkan salah satu kakinya yang panjang itu untuk menikam Zhang Yang.

'<Hadangan>!'

'-78!' <Hadangan> menunjukkan kerosakan.

'-178!' <Hentakan Perisai>!

Zhang Yang menjerit "Mulakan serangan!" selepas dia memastikan yang aggro itu tetap padanya. Si Salji dan yang lain-lain masih lagi keliru dengan rancangan Zhang Yang, tetapi mereka tetap mematuhi arahannya dan mula menyerang.

95%, 83%, 71%… HP bos itu terus menurun pada kadar yang banyak.

Dalam masa dua minit, Ibu Pengeram itu hanya tinggal 15% HP. "Berhenti! Sampai masa untuk bersembunyi!" Zhang Yang memberi arahan dengan kuat. Disebabkan ahli pasukan itu memandang tinggi kemampuan profesionalnya, Si Salji dan lain-lain mematuhi rancangannya walaupun mereka masih mempunyai sedikit keraguan. Mereka berdiri di antara batu-batu itu dan perlu berdiri mengiring disebabkan ruang yang sempit untuk mereka bertiga. 

14%, 12%, 11%, 10%!

Ibu Pengeram itu menjerit, tidak mempedulikan Zhang Yang, dan memanjat sawang itu ke arah telurnya. Dengan satu hayunan kakinya, 4 labah-labah kecil melompat dan cuba menyerang Zhang Yang.

'Ding! Ibu Pengeram mengeluarkan Anak Labah-labah!'

Dengan bunyi notifikasi sistem itu, Zhang Yang berundur ke arah batu itu bersama Drizzler. Dengan setiap seorang mengambil satu bahagian, mereka berdiri dan mempertahankan Si Salji dan lain-lain. Anak labah-labah itu tidak henti-henti keluar dan mula mengerumuni mereka. 

[Anak Labah-labah yang Dieram] (Normal)

Tahap: 15

HP: 300

"Bunuh yang kecil-kecil tu!" jerit Zhang Yang sambil dia menghayun pedangnya dan menggunakan <Sambaran Mendatar> yang menyebabkan banyak teks kerosakan dalam lingkungan 286 ke 302 muncul. Beberapa anak labah-labah itu berjaya dibunuh sementara yang lain-lain hampir mati. Rantai <Amarah Bayangan>nya berkali-kali diaktifkan dan terus-menerus mengeluarkan teks "-20".

'Ding! Anda dan ahli pasukan anda telah membunuh Anak Labah-labah yang dieram. Menerima 110 mata Nilai Pengalaman (50 mata bonus pasukan)!'

'Ding! Anda dan ahli pasukan anda telah membunuh Anak Labah-labah yang dieram. Menerima 110 mata Nilai Pengalaman (50 mata bonus pasukan)!'

'Ding! Anda dan ahli pasukan anda telah membunuh Anak Labah-labah yang dieram. Menerima 110 mata Nilai Pengalaman (50 mata bonus pasukan)!'

'Ding…'

Si Salji dan lain-lain sangat terkejut dan gembira. "Dah faham dah?" soal Zhang Yang sambil dia tersenyum. Han Gemuk kemudian bertanya, "Anak labah-labah ni… mereka muncul tanpa henti ke?"

"Ya, selagi kau tak bunuh bos tu, mereka akan terus-menerus muncul!" dan rahsia itu akhirnya terdedah. Berdasarkan mekanik bos itu, mempunyai HP yang kurang daripada 10% memaksanya menyeru makhluk suruhannya untuk bertarung. Cara yang terbaik ialah dengan bertarung sehingga ia mati, tetapi kepandaian pemain tiada hadnya. Seseorang telah memikirkan cara untuk menggunakan mekanik sebegini untuk meningkatkan tahap mereka dengan cepat! Selagi ada dua pemain kelas yang mempunyai pertahanan yang tinggi yang menghalang batu itu dan selagi penyembuh dapat memulihkan mereka, mereka boleh grind tanpa henti atau apa-apa masalah!

Namun, sebaik sahaja cara ini didedahkan kepada orang ramai, pemaju permainan ini cepat-cepat mengubah mekanik bos ini iaitu ia hanya boleh menyeru sepuluh anak labah-labah sahaja dan sekaligus membuang cara kemunculan tanpa had itu. Memandangkan Zhang Yang mula bermain permainan video ini agak lewat, dia tidak dapat merasai cara penarafan ini. Dia hanya terdengar cara itu daripada yang lain-lain sambil mereka bergurau tentang 'Keajaiban Tuhan'. 

Selain daripada Si Salji, Zhang Yang dan ahli pasukan yang lain sedang menyerang dengan sepenuh tenaga. Dua penyerang jarak dekat menhalang apa-apa serangan yang datang manakala penyerang jarak jauh menembak daripada belakang. Si Salji menjalankan tugasnya dengan memulihkan Zhang Yang dan Drizzler. Sambil mereka menghalang batu itu dengan separuh tubuh mereka, hanya 10 anak labah-labah yang menyerang pada waktu yang sama. Kebanyakan aggro ditahan oleh Zhang Yang dan dengan 70 mata pertahanannya, anak labah-labah itu hanya mampu menyebabkan 4 mata kerosakan setiap serangan. Ini sangat mudah! Selamat, pantas, dam dengan kemunculan tanpa had raksasa itu, inilah cara paling mudah untuk meningkatkan tahap! 

Kuasa Serangan Zhang Yang yang menggerunkan itu betul-betul membolehkannya membuat yang terbaik di sini! Memandangkan bilangan raksasa itu tinggi, <Hadangan> yang menyebabkan kerosakan boleh dianggap kemahiran menyerang pelbagai sasaran. Setiap kerosakan boleh menyebabkan tiga hingga empat teks kerosakan '120 dan ke atas'. Di samping itu, <Sambaran Mendatar> juga menggerunkan. Dengan kerosakan serangan asas yang tinggi, ia boleh terkumpul menjadi sehingga 5,000 mata kerosakan setiap kali digunakan dalam menentang 10 raksasa!

Drizzler tidak mempunyai kemahiran pelbagai sasaran, jadi jumlah output kerosakannya iaitu 30% itu sangat jauh berbeza dengan output Zhang Yang iaitu 74%.

Han Gemuk mula berasa teruja, "Bagusnya! Tengoklah palang EXP aku!" Ratusan Tembakan turut menyatakan penghargaannya, "Zhan Yu, kau ni memang hebat! Kau boleh jumpa cara yang hebat untuk penarafan ni!"

Kedua-dua mereka berjaya menaikkan tahap mereka ke satu tahap lebih tinggi. Walaupun ia agak perlahan untuk penarafan Zhang Yang, dia hanya mengambil masa 20 minit untuk naik ke Tahap 19! Sejam kemudian, Si Salji dan Drizzler berjaya melalui penarafan ke Tahap 14. 


Bab 44: Penarafan Pantas

Editor: EndlessFantasy Translation

Gaya pertarungan tradisional yang biasa dan tidak berubah boleh membosankan sesiapa sahaja. Jadi, gaya penarafan yang pantas boleh menaikkan semangat sesiapa termasuk Si Salji yang seolah-olah telah berubah menjadi seekor naga dan membunuh raksasa hanya dengan satu serangan api yang laju! Sejam kemudian, semua orang kecuali Zhang Yang telah meningkatkan tahap mereka. 

Masa makan tengahari hampir tiba, tetapi tiada sesiapapun dalam pasukan itu yang berkata mereka akan log keluar untuk makan kerana meraka tahu peluang begini akan dipadamkan pemaju permainan pada bila-bila masa! Memikirkan kemungkinan itu, mereka semua gigih berusaha untuk tidak membazirkan peluang keemasan ini.

"Hei semua, macam mana kalau kita log keluar apabila semua dah capai Tahap 20?" soal Zhang Yang. Drizzler menjawab sambil membunuh labah-labah, "Aku anggap ini sebagai peluang untuk aku mengabaikan satu waktu makan. Aku pun tak nak berhenti lagi ni!" Si Salji cuba mengusiknya lagi.

"Budak manja! Kau tu dah memang kurus, dada kau boleh tenggelam ke belakang badan kau! Kalau kau hilang berat badan lagi, aku takut yang kau takkan matang langsung!"

"Han Yin Xue, kau tunggu! Aku nak letak Si Bunga Daisi atas katil kau masa kau tidur malam nanti!"

Wajah Si Salji berubah pucat kerana ketakutan. Dalam kekalutannya itu, dia berkata, "Kalau macam tu, aku akan bawa balik seekor kucing esok!"

Zhang Yang tertanya-tanya, "Um, Si Bunga Daisi tu tikus ke?"

"Tikus Belanda! Oh, Si Bunga Daisi sangat comel dan sedap dipeluk!" Drizzler mula bercerita tentang haiwan peliharaannya.

"Ew, gelinya!" Si Salji geli mendengar ceritanya.

Sejam kemudian, semua orang berjaya meningkatkan tahap mereka sekali lagi termasuk ZhangYang yang berjaya mencapai Tahap 20 dan satu mata nilai kemahiran. Dia terus mengagihkannya ke <Hadangan> untuk memendekkan tempoh bertenang kepada hanya 6 saat! Dia turut menukarkan pedang dan cincin yang digunakannya sekarang kepada [Pedang Kulit Perak] dan [Cincin Penderita] untuk meningkatkan serangannya berlipat kali ganda!

[Pemain: Zhan Yu]

Tahap: 20

HP: 1,600

Pertahanan: 70

Kekuatan: 106

Ketangkasan: 39

Tuah: 3

Kerosakan Jarak Dekat: 345-367 (Formula kerosakan: [Pedang Kulit Perak] kerosakan tertinggi dan terendah + 148 (nilai kekuatan)/ 2 (Setiap 2 mata Kekuatan akan meningkatkan 1 mata Kerosakan Sesaat) x 2.6 (Kelajuan Serangan Senjata)

Sela Masa Serangan: 2.6 saat

Kini dia cukup kuat untuk membunuh labah-labah itu dengan hanya satu serangan berbanding output kerosakannya sebelum ini yang memerlukan tiga serangan. Dia juga boleh menyebabkan 700 mata kerosakan dengan menggunakan <Sambaran Mendatar>! Memandangkan Zhang Yang telah memperolehi peningkatan pada kuasa kerosakannya, Si Salji dan lain-lain berjaya mendapatkan mata pengalaman dengan lebih laju berbanding sebelum ini, tetapi kelajuan peningkatan Zhang Yang sendiri lebih perlahan daripada siput!

Kedudukan terkini Zhang Yang telah melepasi Kedudukan pertama dalam Papan Kedudukan Tahap, Bola Api Terapung. Han Gemuk pula telah menggantikan Abradon di Kedudukan 10 dengan Tahap 17 dan 76% Nilai Pengalaman. Dia yang suka menunjuk-nunjuk itu sudah pasti tidak akan kekal hanya dalam bayangan. Sejam kemudian, Ratusan Tembakan berjaya memasuki senarai di kedudukan terakhir. Apabila Han Gemuk mencapai Tahap 18 dengan 57% Nilai Pengalaman, dia terus diletakkan di kedudukan ketiga teratas dan mengejutkan pemain lain!

Papan Kedudukan Tahap memang sentiasa menjadi pertandingan antara pemain. Ia tidak pelik jika ada pemain di kedudukan empat yang tiba-tiba jatuh ke kedudukan kelima atau keenam. Namun, Si Kurus dan Kacak ini memang mengagumkan kerana dia hanya mengambil masa sejam untuk naik daripada kedudukan terendah ke kedudukan ketiga! Ini memang sesuatu yang mengejutkan dan menakjubkan! 

Pertandingan penarafan itu masih berterusan!

Sejam kemudian, Si Salji dan Drizzler turut tersenarai dalam papan tersebut di kedudukan kesembilan dan kesepuluh!

"Aww bagus! Ini memang hebat! Si Gemuk ni di kedudukan kedua!" Han Gemuk tersenyum lebar sehingga matanya sepet habis. Bola Api Terapung kini berada di satu kedudukan di bawah Han Gemuk. Si Salji dan Drizzler turut berkongsi kegembiraan dengan wajah mereka yang merah padam dengan rasa bangga. 

"Malam ni, kita makan macam raja!" jerit Si Salji.

"Kau kena dapatkan minuman Susu Betik!" gurau Zhang Yang.

"Huh? Kenapa?" Mata Drizzler membulat seolah-olah dia sungguh-sungguh tidak memahaminya. 

"Um…" Zhang Yang terkedu. Dia tidak mahu merosakkan minda gadis muda yang baik itu.

"Jangan pedulikan dia. Dia ni budak kurus nakal! Nasihat apa yang dia boleh bagi?!" Salji Kecil merenung tajam ke arah Zhang Yang. Keningnya diangkat dan diturunkan dengan gaya menggoda, tetapi sayangnya dia melakukannya di belakang Zhang Yang, jadi dia tidak dapat melihatnya.

"Oh!" jawab Drizzler seperti dia memahaminya.

Dengan pertandingan penarafan tahap yang masih berlangsung, semua orang bertarung dengan bersungguh-sungguh. Cahaya keemasan bersinar antara mereka. Papan Kedudukan Tahap bagi pelayan China sentiasa berubah-ubah dan tidak pernah kekal. 

"Wah, tengoklah 4 pemain baru yang tersenarai dalam papan tu! Macam mana mereka lakukannya?"

"Si Kurus dan Kacak tu baru di Tahap 17 asalnya, tapi betul ke dia dah tersenarai di kedudukan pertama? Biar betul! Itu peningkatan tiga tahap dalam masa empat jam! Ini tak logik! Aku sendiri perlukan sehari untuk naik satu tahap!"

"Argh, mereka mesti gunakan program menggodam ni!"

"Takkanlah. Kau dah dimaklumkan berkali-kali yang 'Keajaiban Tuhan' ni tiada program menggodam!"

"Itu Si Salji dan Drizzler, kan? Pemain sama yang dapat papan pencapaian atas pembunuhan bos Perak Kelabu semalam?"

"Betullah! Dan itu Si Kurus dan Kacak dan Ratusan Tembakan yang dalam pasukan sama yang mendapat pencapaian Penyelesaian Pertama Mod Paling Sukar di Makam Bangar!"

"Mereka ni semua raksasa!"

"Hei, tak rasa ke mereka ni macam ambil selangkah ke belakang dan dua langkah ke depan?"

"Bawalah aku!"

Saluran pelayan sekali lagi dibanjiri dengan perbualan antara pemain. …

Apabila hampir pukul 5 petang, satu cahaya keemasan bersinar menyelubungi tubuh Drizzler menandakan yang dia telah naik satu lagi tahap. Dengan itu, semua pemain dalam pasukan Zhang Yang telah mencapai Tahap 20!

Dalam pasukan terkini, Zhang Yang berada pada Tahap 22, Han Gemuk dan Ratusan Tembakan pada Tahap 21, manakala Si Salji dan Drizzler pada Tahap 20! Memandangkan Zhang Yang tidak mahu disenaraikan dalam papan kedudukan penarafan, Han Gemuk dan lain-lain menduduki kedudukan pertama, kedua, ketiga, dan keempat dalam Papan Kedudukan Tahap. Bola Api Terapung, raja penarafan asal, telah ditolak ke kedudukan kelima!

Zhang Yang menggunakan <Sambaran Mendatar> untuk membunuh raksasa daripada dia dikerumuni dan menggunakan <Serangan> untuk meluru ke arah Ibu Pengeram bagi menyerang raksasa itu dengan pedangnya dan menyebabkan mata kerosakan yang tinggi. Bos itu tidak dapat bergerak atau membalas serangan kerana ia sibuk mengeram makhluk suruhannya. Dengan kuasa serangan Zhang Yang yang mengagumkan itu, HP bos itu menurun daripada 10% ke 3% sebelum Si Salji dan lain-lain tiba di sisinya. Bos itu kemudian ditewaskan dengan hanya beberapa serangan.

'Ding! Anda dan ahli pasukan anda telah membunuh Ibu Pengeram. Menerima 6,050 mata Nilai Pengalaman (50 mata bonus pasukan)!'

"Cepatlah, ganjaran! Ganjaran!" jerit Drizzler sambil dia meluru ke depan untuk mengambil wang hasil rampasan daripada bos itu.

'Ding! Anda telah menerima 5 perak selepas pengagihan!'

"Ish! Kedekutnya!" ujar Drizzler sambil dia mengira wangnya.

[Lembing Panjang Labah-labah] (Tembaga Hijau, Lembing Dua Belah Tangan)

Serangan senjata: 172 – 192

Sela Masa Serangan: 3.5 saat

DPS: 52

Keperluan Tahap: 20

"Budak manja, yang ni untuk kau!" Zhang Yang tertawa melihat Drizzler. Dia mencebik bibirnya apabila dia ternampak lembing berbentuk kaki Ibu Pengeram itu. "Eww! Gelinya!"

"Biar betul, benda ni memang buruklah!" Si Salji mengangguk tanda setuju.

Kebanyakan pemain lelaki akan memeriksa spesifikasi peralatan, tetapi pemain wanita selalunya lebih memberi perhatian kepada rupanya.

"Ambil sajalah!" Zhang Yang menolak untuk membaling dadu dan membuka bangkai untuk peralatan kedua.

[Plat Dada Kulit Ibu Pengeram] (Tembaga Hijau, Perisai Kulit)

Pertahanan: +4

Vitality: +23

Kekuatan: +5

Ketangkasan: +12

Keperluan Tahap: 20

"Gemuk, Ratusan Tembakan, baling dadu!" ujar Zhang Yang dalam saluran pasukan sambil dia menolak untuk membaling dadu untuk peralatan ini.

"Ratusan Tembakan, kau ambillah! peralatan aku sekarang lebih baik daripada kau!" Han Gemuk tahu yang Zhang Yang ingin mempelawa Ratusan Tembakan untuk menyertai pasukannnya, jadi dia memberi peralatan itu kepadanya.

"Haha! Aku ambil ya!" Ratusan Tembakan telah menyelesaikan Mod Paling Sukar hanya sekali sahaja, jadi peralatan terkininya bercampur aduk dan kurang hebat berbanding Han Gemuk. Dia perlu menukar peralatannya untuk mengelakkan daripada menjadi pemain paling lemah dalam pasukan itu. 

Bos ini memang sangat kedekut kerana ia hanya menggugurkan dua peralatan dan beberapa barangan rawak lain yang boleh dijual.

"Baik, malam ni, kita akan menyerang Makam Bangar dalam Mod Paling Sukar dan esok, kita akan menyerang Sarang Marzerway dan mendapatkan dua penyelesaian pertama daripada dungeon yang dijaga lima orang. Semua ok ke macam tu?" soal Zhang Yang kepada pasukannya yang terus dijawab dengan, "Setuju!"

"Baik, kita rehat dulu!" dan Zhang Yang mengoyakkan [Skrol Merentas Jarak].

"Ugh, laparnya aku!"

Ratusan Tembakan menghantar pesanan peribadi kepada Zhang Yang untuk menyatakan rasa penghargaannya secara rasmi, "Terima kasih, Zhan Yu! Satu hari nanti aku akan balas jasa kau!" Dia hanya seorang pemain biasa yang ingin melepaskan tekanan dengan bermain permainan video. Dia tidak pernah menyangka yang dia akan dapat disenaraikan dalam Papan Kedudukan Tahap. Lagipun, ini ialah satu permainan video dan tiada sesiapa boleh lari daripada pertandingan, ditambah pula dengan pelbagai papan pencapaian yang ada! Siapa yang tidak mahu tersenarai di tempat pertama? Bayangkan jika ada seseorang yang memakai peralatan suci dan memperolehi setiap pencapaian penyelesaian pertama di semua dungeon dan menjadi terkenal kerana itu. 

Zhang Yang dan Ratusan Tembakan asalnya tidak mengenali satu sama lain, tetapi selepas berkenalan semasa di dungeon Makam Bangar, sewaktu cabaran mereka dalam Mod Paling Sukar, serta semasa berjaya menyenaraikan diri dalam papan kedudukan, tiada kata yang mampu meluahkan rasa penghargaannya. 

'Pemain ini kini berada dalam genggaman aku!' Zhang Yang tersenyum kepada dirinya sendiri. Memikirkan yang dia akan menjadi Pemburu Naga satu hari nanti, ini salah satu bantuan terbesar yang boleh dia lakukan. Walaupun itu hanyalah satu spekulasi, sekiranya seseorang itu percaya dengan pasukannya untuk bertarung dalam liga profesional, dia tidak akan kecewa atau menyesali keputusannya! 

Sekembalinya dia di bandar, Zhang Yang menerima kiriman yang mengandungi 50 timbun [Plat Besi] daripada Pakar Perlombongan. Selepas dia membuat pembayaran, Zhang Yang menuju ke bank untuk mengeluarkan baki 10 keping [Bijih Tembaga Biasa] dan mula membuat 10 perisai di Kedai Pertukangan.

Selepas menyenaraikan satu perisai untuk dijual pada tetapan dan harga yang sama, dia sekali lagi membeli semua [Rumpai Brassica] dan [Bunga Gingko] daripada rumah lelong. Disebabkan tindakannya yang sama semalam, harga kedua-dua barangan itu naik daripada 20 perak ke 25 perak setindan. Ada yang dijual dengan harga 40 perak setindan. Zhang Yang tidak mempedulikan itu dan hanya membeli apa yang dijual pada harga berpatutan.

Kali ini, dia mengumpulkan 300 timbun herba dan hanya menggunakan 100 kepingan emas untuk membayar itu semua! "Bahan memang sangat murah sekarang ni. Nanti bila Sarang Marzerway dah popular…" Zhang Yang menggegeleng kepalanya. Dia kemudian menuju ke Kedai Alkimia dan membeli botol posyen kosong dan membuat beberapa posyen.

Dia selesai menggunakan semua bahan untuk membuat posyen itu pada pukul 6.30 petang. Zhang Yang kemudian cepat-cepat log keluar, membeli makanan, dan makan dengan begitu lahap sekali.


Load failed, please RETRY

Hadiah

Hadiah -- Hadiah diterima

    Status Power Mingguan

    Membuka kunci kumpulan bab

    Indeks

    Opsi Tampilan

    Latar Belakang

    Font

    Ukuran

    Komentar pada bab

    Tulis ulasan Status Membaca: C43
    Gagal mengirim. Silakan coba lagi
    • Kualitas Terjemahan
    • Stabilitas Pembaruan
    • Pengembangan Cerita
    • Desain Karakter
    • Latar Belakang Dunia

    Skor total 0.0

    Ulasan berhasil diposting! Baca ulasan lebih lanjut
    Pilih Power Stone
    Rank 200+ Peringkat Power
    Stone 0 Batu Daya
    Laporkan konten yang tidak pantas
    Tip kesalahan

    Laporkan penyalahgunaan

    Komentar paragraf

    Masuk

    tip Komentar Paragraf

    Fitur komentar paragraf sekarang ada di Web! Arahkan kursor ke atas paragraf apa pun dan klik ikon untuk menambahkan komentar Anda.

    Selain itu, Anda selalu dapat menonaktifkannya atau mengaktifkannya di Pengaturan.

    MENGERTI