Untuk seketika, Huo Mian tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan itu.
"Emm. Saya tidak begitu mengenali dia." Huo Mian tidak menyentuh hal itu kerana tidak mahu menimbulkan kekecohan.
Mendengarkan jawapannya, ketiga-tiga orang jururawat lain itu berasa sedikit kecewa.
Sementara Jabatan OB/GYN tidak begitu sibuk, Huo Mian melawat bilik VIP untuk menjenguk adiknya.
Namun, ketika dia tiba di pintu itu, dia bertembung dengan keluarga pesakit tempoh hari. Dia merupakan emak kepada seorang budak lelaki lain yang tercedera dalam kemalangan berantai itu. Dia seorang wanita pertengahan usia yang tembam berpakaian gaun merah yang menjolok mata.
"Hei, tunggu sekejap."
"Apa dia?" Huo Mian memalingkan kepalanya untuk berhadapan dengan wanita itu.
"Saya dengar kamu tidak mahu menyelesaikan masalah ini secara peribadi. Betul kah?"
"Ya."
"Adakah mereka tidak memberi kamu wang yang cukup? Berapa banyak yang diberikan mereka kepada kamu?" Mata wanita pertengahan usia itu bersinar licik. Dia nampaknya mahu Huo Mian mendedahkan beberapa maklumat yang dapat memberi manfaat kepadanya. Tapi, Huo Min bukannya bodoh.
"Tidak. Saya tidak terima pampasan itu."
"Tidak menerima pampasan? Kenapa tidak? Kamu tidak dapat membuat persetujuan? Biar saya beritahu kamu. Kamu patut ambil peluang ini dan minta lebih lagi. Saya dengar kecederaan adik kamu di bahagian kepala? Kamu boleh membesar-besarkan hal ini. Beritahu mereka yang adik kamu menderita kerosakan kekal dan mungkin menjadi cacat atau dia sudah tidak dapat menjaga dirinya sendiri lagi. Mereka akan beri kamu lebih banyak wang kalau begitu." Kemudian, wanita itu sengaja merendahkan suaranya. "Kamu tahu tak? Saya dengar yang ibu bapa budak itu bekerja di Kementerian Kewangan. Mereka bukan sahaja kaya, malah mereka berkuasa."
"Saya akan mengambil tindakan undang-undang dan saman dia. Saya tidak akan menerima sebarang pampasan. Pesalah itu perlu bertanggungjawab." Dengan itu, Huo Mian berpusing dan melangkah masuk ke bilik VIP tersebut. Dia tidak mahu meneruskan perbualan mereka.
Wanita pertengahan usia itu ditinggalkan terkedu buat seketika. Kemudian, dia membalikkan bola matanya dan mencaci, "Adakah kepala budak perempuan ini sudah berkarat atau apa?"
-Di dalam bilik VIP-
Sejak dia sedar, kesihatan Jing Zhixin agak baik meskipun dia masih kelihatan pucat kekuningan.
Huo Mian mengupah seorang penjaga yang bergilir menjaga adiknya dengan emak mereka. Huo Mian sendiri kerap kali datang melawat.
"Kamu nampak lebih baik dari semalam." Huo Mian tersenyum sambil berjalan masuk.
"Kakak." Jing Zhixin membalas senyuman itu selepas terpandang Huo Mian.
"Bukankah kamu sedang bertugas? Kenapa kamu datang ke sini?" Nada suara emak mereka masih dingin.
"Jabatan saya tidak sibuk hari ini. Jadi, saya ambil sedikit masa untuk datang menjenguk. Macam mana keadaan kamu Zhixin? Ada apa-apa yang tak kena hari ini?" Huo Mian menyentuh dahi adiknya.
Jing Zhixin menggelengkan kepalanya. "Tidak, saya sihat. Jangan bimbang, Kakak."
"Apa yang mereka cakap mengenai pampasan itu? Saya dengar orang-orang itu menghubungi kamu." Yang Meirong bertanya sambil mengait.
Huo Mian terjeda seketika sebelum membalas, "Mak, saya tidak ambil pampasan itu. Kita sudah ada wang yang cukup untuk pembedahan itu dan pembedahan Zhixin sangat berjaya. Jadi, saya tidak menerima pampasan itu. Saya mahu ke mahkamah supaya pesalah itu akan menerima hukuman selayaknya. Kalau tidak, dia akan menguruskan kita dengan wang dan berterusan mengelakkan diri daripada undang-undang. Adik lelaki saya hampir mati. Setiap kali saya memikirkan hal itu, saya tidak boleh melepaskannya begitu sahaja."
Huo Mian menyangkakan yang emaknya akan mencaci makinya. Lagi pun, peguam itu menawarkan pampasan yang besar kepadanya.
Namun, dia terkejut apabila emaknya tidak berbuat begitu. Dia hanya memandang Huo Mian dengan geram dan bertanya, "Bukankah mereka katakan lelaki itu ada latar belakang yang berkuasa? Jika kita saman dia dan kalah, bukankah kita akan lebih rugi?"
"Tidak, kita tidak akan kalah. Pesalah itu berlumba di dalam kawasan kampus universiti. Malah, dia mabuk dan memecut laju. Sudah jelas dia salah kerana menyebabkan kejadian yang sangat serius. Kita tidak akan kalah melainkan hakim itu buta. Apa-apa pun, jika keluarganya ada kuasa yang cukup untuk mendiamkan kejadian itu sekali pun, saya sentiasa boleh bergantung pada pihak media atau memuat naik hal ini ke dalam forum atas talian. Secara kasarnya, apabila kejadian ini mendapat perhatian orang awam, pihak berkuasa tidak akan berdiam diri dan membiarkan perkara ini terjadi. Saya percaya, tidak kiralah betapa berkuasanya mereka, mereka tidak boleh mengawal semua benda."
Selepas Huo Mian menghabiskan bicaranya, Jing Zhixin memberikannya senyuman lebar. "Kak, Kakak sangat pandai. Kakak sudah fikirkan semua perkara."
Yang Meirong sebaliknya membalikkan bola matanya pada Huo Mian. "Jika kamu sudah membuat keputusan, uruskan hal ini." Katanya. "Tapi…bagaimana kamu akan bayar balik wang yang kamu pinjam? Bukankah sayang jika tidak mengambil langsung pampasan itu? Dengan gaji kecil kamu, entah bila lah kamu akan boleh membayar balik wang itu? Kamu memang pandai menghuru-harakan keadaan. Biar saya beritahu kamu sekarang. Saya tidak akan berikan kamu satu sen pun. Kamu tahu keluarga kita bagaimana. Kita ini fakir miskin. Perkara yang kamu boleh lakukan sekarang ialah pergi minta bapa kandung celaka kamu itu untuk beri kamu pinjam sedikit wang. Tapi itu mustahil. Kamu tahu betapa bencinya dia pada kamu."