"Oh, masuklah. Beri saya satu minit. Saya mahu membersihkan diri." Huo Mian membuka pintu untuk membenarkan Ning Zhiyuan masuk.
Apabila Ning Zhiyuan berjalan masuk ke dalam, dia perlahan-lahan mengamati rumah kecil itu. Dadanya dipenuhi perasaan yang bercampur baur.
Dia masih ingat betapa terujanya dia ketika kali pertama dia berpindah masuk dengan Huo Mian. Walaupun mereka tidur di dalam bilik berasingan, kenyataan mereka boleh bersama daripada pagi hingga petang sudah membuatkan dia cukup gembira. Jika bukan kerana kejadian yang berlaku semasa pertemuan kembali sekolah tingginya, mungkin mereka sudah pun berkahwin.
Ning Zhiyuan benar-benar bencikan bekas teman lelaki Huo Mian itu. Mereka sudah berpisah bertahun-tahun yang lalu. Jadi, kenapa dia perlu datang kembali dan mengganggu mereka?
Jika dia begitu kaya, kenapa dia tidak pergi mencari teman wanita lain? Kenapa dia perlu berterusan mengejar Huo Mian?
Huo Mian bersiap-siap, kemudian menuju ke bilik mandi untuk membersihkan diri. Apabila dia keluar, dia ternampak Ning Zhiyuan sedang duduk di atas sofa sambil membaca surat khabar.
"Ada apa kamu mahu jumpa saya?" Sambil mengeringkan rambutnya, Huo Mian berjalan masuk ke ruang tamu.
"Terima kasih kerana mengikat jamin saya semalam." Ning Zhiyuan berkata-kata dengan kekok.
Huo Mian segera mengetahui apa yang dicakapkannya dan hanya membalas dengan tenang, "Ia perkara kecil sahaja."
"Mian, sebenarnya, saya tidak begitu pada kebiasaannya. Mood saya tidak baik semalam. Saya sibuk memikirkan tentang masa lalu kita. Kemudian, saya pergi minum. Selepas saya mabuk, ada wanita yang membawa saya keluar dari bar itu. Saya sebenarnya tidak ingat pun apa yang berlaku selepas itu. Kamu perlu percayakan saya."
"Kamu tidak perlu menerangkan semua ini kepada saya. Teman wanita kamu sekarang adalah He Man." Huo Mian mengingatkannya.
"Mian, kamu tahu saya masih ada perasaan pada kamu. Selama beberapa tahun, kamu dan saya…"
"Zhiyuan, apa yang kamu cuba cakapkan?" Huo Mian memotong percakapannya, terus menuju kepada hal yang sebenar.
"Mian, kali ini saya silap. Kamu bersusah payah mengambil saya malam semalam dan menghantar saya ke hotel. Saya rasa saya telah melakukan kesalahan kepada kamu. He Man dan saya hanya berseronok. Ia bukan hubungan sebenar. Hanya kamu yang masih saya sayang. Mari lupakan semua perkara buruk, okey? Saya tidak akan lagi mengungkit mengenai kamu yang masih berhubung dengan bekas teman lelaki kamu. Saya yang buat salah kali ini. Ambil kira juga perkara dengan He Man itu. Kita kini sama. Mari kembali seperti biasa, macam sebelum ini, okey?"
Huo Mian meletakkan tualanya. "Zhiyuan…adakah kamu fikir yang kehidupan ini satu permainan? Kamu buat masalah dan kemudian kamu boleh mula daripada awal semula?" Dia bertanya sambil merenung ke mata Ning Zhiyuan dengan serius.
"Bukan itu yang saya fikirkan. Kita sudah mengambil masa yang lama dan menggunakan banyak usaha untuk menjadi sepasang kekasih. Memandangkan kita ada perasaan pada satu sama lain, kenapa kita perlu saling menyeksa?"
"Zhiyuan, kamu tahu manusia jenis apa yang paling saya benci?"
"Apa?" Ning Zhiyuan bertanya.
"Penipu."
"Saya tidak menipu, Mian. Semalam kali pertama saya buat masalah. Saya tidak akan ulanginya."
"Tetapi anggota polis di balai polis beritahu saya yang kamu pernah dibawa ke balai sebelum ini. Ini bukan kali pertama kamu bersama pelacur. Kamu merupakan pesalah berulang."
Apabila Huo Mian selesai bercakap, wajah Ning Zhiyuan kehilangan warna.
Selepas seketika, dia tergagap-gagap berkata, "Jangan dengar cakap si polis busuk itu. Mereka semua makan rasuah. Mereka hanya tahan orang untuk duit. Mereka perangkap saya."
"Zhiyuan, itu bukan perkara sebenarnya. Perkara sebenarnya, kita tidak boleh kembali bersama."
"Kenapa? Kamu masih mahu bersama dengan bekas teman lelaki kamu kan? Hanya kerana dia ada lebih banyak duit daripada saya?" Ning Zhiyuan mula marah.
"Jangan kaitkan dia dalam hal ini. Ini tidak ada kena-mengena dengan dia."
"Saya tidak percayakan kamu. Kamu memang masih cintakan dia. Kamu tidak boleh lupakan dia, kan?" Ning Zhiyuan menyoal.
"Zhiyuan, saya sudah terangkan. Kamu tahu saya tidak pernah menipu. Inilah hal sebenarnya."
"Jadi, tiada peluang kita bersama kembali?" Ning Zhiyuan bertanya, tidak keruan.
Huo Mian kekal diam.
"Baiklah, saya faham." Dengan itu, Ning Zhiyuan membawa sejumlah wang keluar dari begnya dan meletakkannya di atas meja kopi.
"Saya dengar kamu gunakan dua ribu yuan untuk ikat jamin saya semalam dan seribu yuan untuk bilik hotel itu. Semua sekali, tiga ribu yuan. Ambillah. Saya tidak mahu berhutang apa-apa dengan kamu. Kita sama sekarang. Huo Mian, saya beri kamu amaran. Memandangkan kamu sudah membuat keputusan kamu hari ini, jangan menyesal. Kalau budak lelaki kaya itu tidak mahukan kamu lagi, apabila dia sudah puas bermain dengan kamu, jangan datang merayu pada saya untuk terima kamu kembali. Saya sudah berikan kamu peluang. Kamu yang mensia-siakan peluang ini."
Huo Mian kehilangan kata-kata mendengarkan ayat ini.
Selepas Ning Zhiyuan habis berbual, dia berpusing dan membuka pintu untuk beredar.
"Hei. Kamu belum ambil barang kamu lagi."
"Saya tidak mahukannya. Buang sahaja." Ning Zhiyuan mendengus sebelum menghempas pintu di belakangnya.
Kali ini, ia memang benar-benar berakhir, kan? Huo Mian berfikir.
Kemudian, telefon bimbitnya berdering. Huo Mian berpusing untuk mengambilnya.