"Maafkan saya…" Huo Mian cepat-cepat meminta maaf.
Sewaktu kekecohan tersebut, seseorang menghulurkan sehelai tisu kepadanya yang digunakannya untuk mengelap hujung gaunnya. Apabila dia mengangkat kepalanya barulah dia tahu bahawa ia rupanya Qin Chu.
"Terima kasih," dia berkata dalam nada yang tidak mesra seolah-olah dia sudah melupakan seluruh kejadian yang berlaku pada masa lalu.
Qin Chu tidak memberikan sebarang reaksi. Dia sambung berbual dengan rakan sekelas yang lain dan kelihatan seperti sudah mengalihkan perhatiannya daripada Huo Mian.
Hal ini berterusan sehinggalah Liu Siying sengaja bertanya dengan suara yang kuat di hadapan semua rakan sekelas mereka. "Oh ya, Huo Mian! Saya dengar kamu akan berkahwin tidak lama lagi? Tunang kamu seorang doktor kan? Bagus lah begitu. Jangan lupa jemput kami semua ke majlis perkahwinan kamu. Lagipun, kita semua kan rakan sekelas."
Selepas kata-katanya, seluruh bilik tersebut menjadi sunyi. Semua orang memerhatikan reaksi Qin Chu.
"Belum lagi. Keluarga kami masih membincangkan perkara tersebut. Tapi saya akan maklumkan kepada semua orang apabila kami sudah memilih tarikhnya," Huo Mian berkata dengan senyuman tersipu-sipu.
Tiba-tiba, dia merasakan ada pandangan yang begitu tajam menikamnya.
"Kamu akan berkahwin?" selepas beberapa detik mendiamkan diri, Qin Chu akhirnya bercakap dengannya buat pertama kali.
Huo Mian mengangguk…disebabkan beberapa perkara, kerana takut atau gementar, dia tidak dapat menyebut walaupun sepatah perkataan 'ya'.
"Oh, tahniah." Wajahnya mengukir senyuman tetapi pandangannya sedingin ais.
"Terima kasih," kata Huo Mian dengan sopan dan sedikit janggal. Dia tidak berani untuk melihat terus pada Qin Chu kerana senyumannya yang dirasakan begitu memaksa. Dia sudah banyak kali membayangkan pertemuan mereka, tetapi dia tidak pernah menyangka mereka akan bertemu dalam situasi seperti ini. Sambil memikirkan perkara ini, Huo Mian sekali lagi berasa tidak selesa.
"Kasihannya. Dulu-dulu, Huo Mian antara gadis tercantik di sekolah. Saya selalu fikir kamu akan berkahwin dengan seseorang daripada keluarga yang kaya dan berpengaruh, tetapi saya tidak pernah menyangka kamu akan berkahwin dengan begitu cepat. Haha, ruginya. Kalau lah saya tahu ini akan terjadi, awal-awal lagi saya sudah ajak kamu keluar. Haha, apa kata kalau kamu pertimbangkan saya pula?" Wei Dong separa berjenaka. Dia selalu mencetuskan masalah di sekolah tinggi dan sudah pun minum beberapa gelas.
Wei Dong berasal daripada keluarga yang kaya-raya, dan ayahnya berada dalam industri pembinaan. Dengan industri hartanah yang berkembang maju beberapa tahun kebelakangan ini, dia tidak kurang hebatnya seperti ayahnya sendiri. Oleh itu, setiap kali berkumpul, dia sentiasa beryakinan walaupun sambil bergurau.
Zhu Lingling menjulingkan matanya ke atas meluat dengannya dan berkata, "Sudahlah. Kamu tak pernah ada peluang. Kamu sudah kalah dengan Putera Kacak Qin semasa kita di sekolah. Macam mana kamu nak menangi hati Huo Mian sekarang?"
Sebelum dia sempat menghabiskan kata-katanya, Zhu Lingling tiba-tiba sedar bahawa dia sudah menyentuh perkara terlarang. Dia segera mendiamkan dirinya.
Hubungan antara Qin Chu dan Huo Mian seolah-olah bertukar menjadi seperti jalan cerita filem yang dilakonkan oleh Jay Chou – Secret.
Qin Chu tidak menunjukkan sebarang reaksi dengan kata-kata Zhu Lingling. Dia sekadar meneruskan pandangan tajamnya pada Huo Mian.
Huo Mian tersenyum kekok sebelum berdiri. Dia berkata, "Umm, maafkan saya, saya perlu ke bilik air."
Sebenarnya, bilik peribadi yang digunakan oleh mereka lengkap dengan bilik airnya sendiri. Huo Mian sekadar mencari alasan untuk melarikan diri daripada situasi tersebut, atau lebih tepat lagi, daripada Qin Chu.
Selepas Huo Mian berjalan keluar daripada ruang makan tersebut, dia mula menghelakan nafas berat. Dia dapat mendengar jantungnya sendiri berdegup kencang.
Huo Mian tidak pernah menyangka bahawa dia akan kembali berjumpa dengan Qin Chu dalam keadaan sebegitu. Sudah tujuh tahun berlalu, dan kemunculannya secara tiba-tiba benar-benar memeranjatkan Huo Mian.
Selepas dia menenangkan dirinya di dalam bilik air, dia mengemaskan solekannya sebelum dia melangkah keluar dengan menundukkan kepalanya. Sebelum dia sedar apa yang berlaku, dia sudah ditolak ke dinding oleh sepasang tangan yang besar. Kemudian…bibir sejuk seperti ais itu tiba-tiba merapatinya. Kemunculan yang asing tetapi sudah dikenali dirinya itu menyebabkan minda Huo Mian terus menjadi kosong.