Unduh Aplikasi
64.72% Legenda Chu Qiao : Agen Puteri Divisyen Ke-11 / Chapter 189: Bab 189

Bab 189: Bab 189

Editor: EndlessFantasy Translation

Pemuda itu ingin menyentuh tangannya namun semasa dia hendak berbuat demikian, awan mendung berarak di atasnya dan melindungi bulan tersebut, menyebabkan suasana menjadi gelap. Yan Xun berdiri dengan kekok di sana bersama tangannya yang terhulur keluar sambil salji di atas tanah telah diterbangkan oleh angin ke atas mantelnya, kelihatan seolah-olah sebuah patung yang sedang berdiri di dalam salji.

Selama tiga hari ini, Chu Qiao langsung tidak pernah bertemu dengan Yan Xun walaupun kedua-dua mereka berada di kem tentera tersebut dan pemuda itu hanya bergerak dari sempadan itu pada hari keempatnya. Wanita muda ini sedang mengemas bagasinya ketika dia melihat Yan Xun yang terus berjalan masuk tanpa diundang dan tanpa seorang askar pun yang melaporkan hal itu kepada Chu Qiao. Cahaya mentari menyinari belakang badan pemuda itu yang memakai jubah hitam panjang yang disulami dengan corak naga emas, membuatkan matan Chu Qiao menjadi silau ketika dia berpaling. Yan Xun hanya menatap gadis itu sedalam-dalamnya tanpa berkata apa-apa.

Cahaya itu terlalu menyilaukan sehingga habuk di dalam khemah itu pun dapat dilihat berterbangan di bawah sinaran cahaya tersebut. Chu Qiao membalas renungan mata Yan Xun yang membuatkan dia terasa seperti mereka berada di Kediaman Yingge bertahun-tahun dahulu di mana pemuda itu baru sahaja kembali dari latihan seni mempertahankan diri, habis berpeluh satu badannya. Pemuda itu gemar berdiri di belakang gadis itu tanpa membuat sebarang bunyi dan hanya menantikan saat di mana gadis itu menemuinya. Pada masa itu, mereka berdua berasa kesepian kerana mereka hanyalah sebatang kara di dunia ini selain daripada sokongan dari satu sama lain dan bukanlah seperti kini di mana mereka berdua dikelilingi oleh sebegitu ramai orang, sekaligus terasa semakin menjauh dari satu sama lain. Chu Qiao lantas berdiri dan berniat untuk bersujud hormat kepadanya, namun wanita ini tidak mampu memanggilnya dengan gelaran "Tuanku". Yan Xun berjalan ke arahnya lalu memegang tangan wanita itu yang tidak menolak mahupun mendongak. Lantas, tubuhnya dipeluk ke dalam dakapan pemuda itu dan dahinya pula disandarkan pada dada bidang milik Yan Xun, sekaligus dapat mendengar degupan jantungnya yang kencang dan mengingatkannya kembali pada bunyi dentuman gendang di Bandar Beishuo. Langit kelihatan cerah menemani pemandangan yang dihiasi dengan warna emas terang sambil tirai khemah berkibar tatkala ditiup angin. Chu Qiao membeliakkan matanya seolah-olah dapat membayangkan rumput yang menghijau sewaktu musim menuai sementara hatinya pula telah menghanyut jauh, bukan lagi bersama Yan Xun.

"Ah Chu, awak nak pergi ke?" Yan Xun bertanya dengan nada yang rendah, namun soalan itu langsung tidak dijawab oleh Chu Qiao. Segera pemuda itu melepaskan tangannya untuk melihat renungan mata gadis itu yang kelihatan agak tidak senang. "Ah Chu?"

Chu Qiao mendongakkan kepalanya dan mengangguk. "Ya, saya akan pergi esok."

"Tak lama lagi tahun baru. Tinggallah dengan saya."

"Tak perlu. Saya ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan jadi saya perlu pergi."

Yan Xun berkeras, "Biarlah orang lain saja yang uruskan hal itu. Saya nak sambut tahun baru bersama awak."

"Rakyat Quanrong itu nak dapatkan Sempadan Meilin, jadi saya risau."

"Mereka perlu raikan tahun baru juga," Yan Xun menatapnya dan berkata seolah-olah tiada apa-apa yang telah berlaku di antara mereka, jadi Yan Xun meneruskan kata-katanya, "Awak tak perlu selesaikannya secara peribadi. Saya akan hantar seseorang untuk selesaikan hal ini."

Chu Qiao hanya terdiam dan menundukkan kepalanya, melihat lingkaran cahaya kecil yang terbentuk di atas tanah seperti kekisi. Angin Yan Xun tiba-tiba berubah baik apabila dia berkata yang dia ingin membawa Chu Qiao ke Bandar Xiling untuk menyambut tahun baru. Bandar tersebut merupakan bandar terbaru yang telah dibina oleh pemuda itu dan ia sungguh makmur dan meriah. Yan Xun juga telah menyediakan sebuah rumah agam dan sebuah bilik peribadi buat Chu Qiao. Pemuda itu berulang kali menekankan dia sering makan makanan yang lazat sewaktu kecil dahulu, jadi selepas dia memulihkan segala konflik terbesar di Yan Bei, pemuda itu telah mencari tukang masak yang pernah menyediakan makanan itu untuknya. Namun, sebaik sahaja dia berjaya menjejaki tukang masak itu, Yan Xun mendapati tukang masak itu telah meninggal dunia disebabkan oleh sebuah konflik yang berlaku, nasib baiklah anaknya masih hidup dan telah mewarisi kemahiran memasak ayahnya. Kini, pemuda itu telah ditempatkan di dalam sebuah kediaman di Bandar Xiling. Yan Xun meneruskan percakapannya sehingga dia kedengaran seperti sedang berleter.

Agak lama juga Chu Qiao mendengar cerita Yan Xun itu sebelum dia mendongak dan berkata perlahan-lahan, "Yan Xun, saya tak nak tinggal di sini."

Yan Xun tergamam dan lidahnya terkelu. Kata-katanya yang ibarat sebuah kereta api yang bergerak tanpa henti sebentar tadi itu tiba-tiba terhenti begitu sahaja, dia hanya merenung Chu Qiao dan membalas setelah sekian lama, "Awak masih nak salahkan saya ke?"

Chu Qiao menggeleng kepalanya dan menjawab dengan tenang, "Saya hanya tak mahu tinggal di sini dan berpura-pura sudah berbaik dengan awak seolah-olah tiada apa-apa yang dah berlaku di antara kita. Selepas awak dah tenangkan fikiran awak dan betulkan segalanya termasuk syak wasangka awak itu, barulah saya akan datang balik ke sini."

Yan Xun tercegat dengan wajahnya yang terus berubah dingin, memandang Chu Qiao sedalam-dalamnya sebelum berpaling untuk beredar. Pemuda itu melangkah dengan pantas dan bayangannya terus melesap dalam sekelip mata.

Chu Qiao terduduk di atas katilnya dan tiba-tiba berasa letih, merasakan perang dingin seperti ini langsung tidak akan membawa apa-apa makna, tetapi dia tidak dapat mencari jalan keluar lain untuk dirinya sendiri. Rakyat Quanrong itu masih lagi mencari masalah di luar kawasan sempadan, apatah lagi apabila musim bunga akan tiba selepas tahun baru ini, jadi dia perlu mengambil langkah berjaga-jaga terlebih dahulu. Lagipun, dia mempunyai sesi pertukaran perdagangan pada musim bunga akan datang. Terdapat banyak perkara yang sedang menantikannya, tetapi dia berasa seronok pula untuk menjalankan tugasnya itu dan lantas wanita muda ini tersenyum kelat dan terus mengemaskan bagasinya. Kem tentera ini terlalu sesak, jadi dia tidak mahu terus tinggal di sini.

Yan Xun melabuhkan punggungnya di khemah utama sambil diapit oleh para jeneral di sebelah kiri dan kanannya. Keadaan di dalam khemah itu terasa tegang dan menyesakkan kerana angin jeneralnya tidak elok sehingga mereka tidak berasa seperti ingin menyambut tahun baru pun.

"Kalau kita pergi berperang, berdasarkan kebolehan kita sekarang, Pasukan Tentera Kedua boleh menangani 100,000 hingga 150,000 orang tentera Xia. Kalau kita bernasib baik, kita akan dapat menahan serangan daripada lebih kurang setengah dari keseluruhan anggota pasukan tentera Xia selama dua hari. Tapi, kita kena pastikan yang komander barisan hadapan mereka bukanlah Zhuge Yue. Di Lembah Queshu dulu, dia telah membunuh lebih 2,000 orang kita, yang membuatkan semua tentera kita berasa gerun dengannya dan saya risau kalau semangat juang mereka jatuh merudum selepas pertarungan ini," Seorang jeneral menyatakan analisisnya.

Seseorang lagi berkata, "Berdasarkan laporan pengintip kita, Zhuge Yue tak berada di dalam kem tersebut buat masa sekarang ini. Nampaknya dia dah kembali ke Zhen Huang kerana katanya Maharaja Xia itu sudah tersangatlah gering. Sebagai sekutu Zhao Che, pemuda itu haruslah menyokong dia untuk menaiki takhta. Walau bagaimanapun, ada khabar angin yang menyatakan Maharaja Xia telah memutuskan pewaris yang layak untuk menaiki takhta, dan orang itu bukanlah Zhao Che."

"Tahun baru akan tiba tak lama lagi. Dari segi moral, tentera Xia masih lagi tak stabil. Zhuge Yue pun tiada. Kita boleh manfaatkan kesempatan ini untuk memecah masuk ke Sempadan Yanming. Tuanku, ini peta strategi ketenteraan yang Jabatan Strategi Ketenteraan kemukakan."

Yan Xun mengimbas peta itu dengan dingin, melihat segala jenis tulisan yang ditulis di atas kertas itu. Pasukan tentera berkuda di barisan depan, pasukan berperisai di belakang... Ia merupakan sejenis strategi untuk menyerang secara berhadapan sambil dibantu oleh pasukan rusukan yang membantu dari kedua-dua bahagian dah hanyalah strategi ketenteraan yang biasa. Yan Xun berkerut dan memandang komander yang berumur kira-kira 30 tahun itu lantas mempersoalkan dengan penuh dingin, "Ini ke strategi yang kalian tampilkan selepas bekerja sehari semalam selama 10 hari?"

Lelaki itu terperanjat dan peluh dingin mula mengalir di wajahnya. "Kami dah menganalisis kekuatan dan kelemahan pihak lawan dan diri kami sendiri, kami dahmenganalisis..."

"Cukuplah." Yan Xun mencelah dengan kasar dan menyambung kata-katanya, "Ada apa-apa perkara praktikal untuk dilaporkan lagi ke?"

Tiada sesiapa yang berani menyuarakan cadangan mereka setelah melihat awan mendung berarak di atas kepala Yan Xun. Dalam sekelip mata sahaja, semua orang di dalam khemah yang besar itu beredar, meninggalkan Yan Xun sendirian di situ bersama awan mendungnya itu.

Setelah itu, sebentuk susuk tubuh masuk ke dalam khemah tersebut dan melutut hormat di atas tanah. Pemuda tersebut merendahkan nada suaranya dan berkata, "Saya tak mahu kecewakan Tuanku. Saya ada sesuatu yang saya nak laporkan kepada Tuanku."

Matahari pada waktu siang itu terasa begitu terang tatkala ia menyinari lencana awan merah yang terdapat pada kolar lelaki itu. Simbol tersebut pernah menjadi lambang buat Garison Utusan Barat Daya. Tetapi kini, pemuda itu merupakan wakil daripada Pasukan Tentera Xiuli.

Yan Xun tidak makan pada malam itu, namun telah mengumpul semua pegawai yang dipercayainya semalaman dan meninggalkan kem bersama-sama dengan 5,000 orang pengawal tanpa mengucapkan selamat tinggal kepada Chu Qiao. Apabila tenteranya melangkah keluar dari kem tentera tersebut, pedang Canhong yang diletakkan di atas meja itu terjatuh, lantas membuatkan Chu Qiao untuk menoleh ke belakang dengan penuh curiga dan hanya melihat asap yang keluar dari periuk setanggi itu. Dia berasa jantungnya berdegup kencang. Kemudian, dia menghirup secawan teh, merasakan cecair sejuk itu meluncur turun dari kerongkongnya, tetapi dia tidak mampu untuk menyejukkan perasaan panik yang terlintas di dalam hatinya.

Apa yang sedang berlaku? Dia berkerut sedikit. Salji bertiup dengan kencang di luar lalu menyebabkan suasana kelihatan sunyi sepi.

Pertempuran di Daping sudah pun berakhir apabila Yan Xun menerima khabar dan tiba di sana. Pasukan Zhuge Yue telah beredar, meninggalkan mayat dan juga berbilah pedang yang bergelimpangan di tempat kejadian sementara pasukan pembunuh upahan seramai 500 orang yang Yan Xun banggakan itu telah dihapuskan dan tiada seorang pun daripada mereka yang masih hidup. Setelah melihat mayat-mayat itu, Yan Xun berasa pelipisnya berdenyut.

"Tuanku," Cheng Yuan menunduk hormat lantas berdiri di sampingnya dan berkata dengan hormat, "Tuanku nak saya patah balik untuk kumpulkan lebih ramai orang ke? Dia berada dalam wilayah kita sekarang ini jadi mampu ke dia nak larikan diri?"

Renungan mata Yan Xun begitu mendalam apabila pemuda itu memerhatikan mayat-mayat yang matanya terbuka luas itu bertempiaran di seluruh bandar.

Cheng Yuan berdiri di sisinya dan berkata dengan tergesa-gesa, "Tuanku?"

"Kumpulkan orang dengan segera."

Setelah melihat Yan Xun menerima cadangannya itu, Cheng Yuan lantas mengangguk gembira sebelum bertanya, "Berapa ramai yang Tuanku inginkan?"

"Bawa seluruh Pasukan Tentera Helang Hitam ke sini."

"Hah?" Cheng Yuan yang merupakan seorang pakar dalam rancangan sulit itu terus terkejut apabila mendengar kata-kata Yan Xun, jadi dia bertanya dengan penuh terkejut, "Tuanku, pengambilan askar bagi Pasukan Tentera Helang Hitam dah ditutup. Kita ada 100,000 orang tentera manakala Zhuge Yue pula hanya mempunyai 300 orang. Ramainya ahli tentera yang diperlukan?"

Yan Xun mendengus tatkala pandangannya melirik ke arah musuh halimunannya yang terlindung di sebalik dataran bersalji yang meluas ini sebelum raja muda itu mengecilkan matanya dan dengan dinginnya dia menjawab, "Kalau kita bunuh dia, samalah macam kita penggal separuh otak Zhao Che dan anggota badan empayar Xia. Cara itu lebih berkesan dari membunuh 200,000 orang tentera Xia. Beritahu askar lain untuk bunuh Zhuge Yue kalau mereka jumpa dia. Orang yang berjaya memenggal kepalanya akan dianugerahkan dengan gelaran jeneral."

"Baiklah!" Cheng Yuan menyahut perintah Yan Xun dengan lantang sebelum berpaling dan beredar dengan menunggang kudanya.

Telapuk kuda itu memijak-mijak salji di tanah lalu membuatkan emping-empingnya bertaburan di sekeliling mereka. Yan Xun berdiri senyap di sana buat seketika sebelum berbisik, "Kali ini aku nak kau mati."

Pada hari itu, tentera-tentera telah dikerahkan di medan perang di sebelah timur Yan Bei. Pasukan Tentera Helang Hitam yang telah dikumpulkan oleh Cheng Yuan itu adalah bertujuan untuk melibatkan diri dalam latihan perang gerila. Para pegawai Xia yang bertugas untuk mengawasi pasukan tentera Yan Bei serta-merta berasa bingung setelah melihat kejadian ini dan terus melaporkannya kepada bahagian strategi ketenteraan Xia yang menganalisis maklumat tersebut dalam tempoh masa yang panjang. Akhirnya, mereka telah menyimpulkan ribut salji tebal telah melanda Yan Bei dan mengorbankan ramai orang yang membuatkan Yan Bei tidak mempunyai pilihan lain selain mengerahkan tenteranya untuk menghulurkan bantuan. Kesimpulan ini sangat disenangi oleh para pegawai Xia apabila mereka bersorak gembira atas nasib malang yang menimpa Yan Bei. Di samping itu, telah kurangnya satu ancaman dari pasukan tentera yang sebesar itu, jadi mereka menghela nafas lega dan segera menyampaikan berita itu kepada barisan hadapan tentera Xia di khemah utama. Bagaimanapun, pegawai tentera Zhao Che merasakan perkara itu tidak penting. Walaupun dengan ketiadaan Pasukan Tentera Helang Hitam, kekuatan tentera barisan hadapan Xia tidak akan setara dengan Pasukan Tentera Pertama dan Kedua. Strategi Xia telah ditetapkan terlebih dahulu di mana mereka akan menunggu sehingga musim bunga tahun depan, selepas perang antara mereka dan Tang telah berhenti. Oleh itu, dia telah menahan berita "tidak penting" ini kerana berhasrat tidak mahu mengganggu Zhao Che yang sudah terbeban dengan hal lain.

Perkara seperti ini sering terjadi dan disebabkan orang-orang yang tidak penting inilah, sejarah telah berubah kerana mereka telah menyebabkan sesuatu perkara yang difikirkan tidak penting menjadi sesuatu yang besar. Misalnya pada masa ini, Zhao Che, satu-satunya orang yang mengetahui tentang rahsia perjalanan Zhuge Yue ke Yan Bei tidak menyedari tentang maklumat penting ini. Ini bermakna dia tidak akan dapat menghantar bantuan untuk membantu Zhuge Yue tepat pada waktunya. Walau bagaimanapun, rancangan Yan Xun tidak berjalan dengan lancar. Sehari kemudian, berita dari medan perang tersebar ke khemah utama dan memeningkan kepala jeneral-jeneral di situ.

Batalion berkuda dari pemisahan ketiga Pasukan Tentera Helang Hitam yang terdiri daripada 500 orang itu semuanya telah dihapuskan dan tiada seorang pun daripada mereka yang masih hidup.

Batalion berkuda dari pemisahan keempat Pasukan Tentera Helang Hitam yang terdiri daripada 500 orang telah dipanah sampai mati dalam serangan hendap dan mayat mereka kelihatan seperti manusia yang diayak-ayak.

Pasukan peninjau ke-17 daripada pasukan tentera berkuda pun turut hilang begitu sahaja. Persetujuan yang telah dicapai oleh Jabatan Strategi Ketenteraan ke atas 700 orang tentera ini adalah mereka telah hilang dalam ribut salji.

Enam bahagian peninjau kecil yang terdiri daripada 20 orang setiap satunya pun telah lesap selepas itu, tetapi tiada sesiapa antara mereka yang memberi isyarat kecemasan atau kembali hidup-hidup untuk melaporkan hal itu sendiri.


Load failed, please RETRY

Hadiah

Hadiah -- Hadiah diterima

    Status Power Mingguan

    Rank -- Peringkat Power
    Stone -- Power stone

    Membuka kunci kumpulan bab

    Indeks

    Opsi Tampilan

    Latar Belakang

    Font

    Ukuran

    Komentar pada bab

    Tulis ulasan Status Membaca: C189
    Gagal mengirim. Silakan coba lagi
    • Kualitas Terjemahan
    • Stabilitas Pembaruan
    • Pengembangan Cerita
    • Desain Karakter
    • Latar Belakang Dunia

    Skor total 0.0

    Ulasan berhasil diposting! Baca ulasan lebih lanjut
    Pilih Power Stone
    Rank NO.-- Peringkat Power
    Stone -- Batu Daya
    Laporkan konten yang tidak pantas
    Tip kesalahan

    Laporkan penyalahgunaan

    Komentar paragraf

    Masuk