Bunyi gemuruh kedengaran di seluruh Bandar Diraja. Orang ramai terjaga dari tidur dan memandang ke luar tingkap dalam keadaan mamai. Mereka nampak langit malam disinari cahaya merah.
Mereka tidak tahu kenapa langit menjadi merah dan merasakan pemandangan ini cantik. Seluruh keluarga berkumpul menyaksikannya dengan kagum.
Sebaliknya, para pegawai di situ langsung tidak mahu menikmati pemandangan langit malam yang berwarna merah. Ini kerana cahaya merah dan bunyi gemuruh itu tidak asing bagi mereka.
Setiap kali mereka mendengar bunyi ini dan nampak langit yang merah, hanya satu sahaja maksud di sebaliknya. Pertumpahan darah akan berlaku.
Isyarat Awan Melayang telah diaktifkan! Panggilan untuk menggerakkan seluruh angkatan Tentera Rui Lin!
Minda mereka terkejut dan hati mereka dipenuhi rasa takut.
Suatu kejadian yang besar akan terjadi malam ini! Perubahan bakal berlaku.
Di Istana Diraja, Maharaja yang sedang berada di kamar baginda menjerit terkejut mendengarkan bunyi deruman itu. Baginda bergegas keluar untuk melihat kekecohan yang berlaku sambil menyapu peluh sejuknya. Tetapi sebaik baginda memandang punca bunyi itu, baginda terpegun dan hanya terlopong memandang langit. Warna merah langit itu amat baginda kenali. Baginda menelan air liur saat hatinya seperti dibakar api ketakutan.
Siapa? Siapa yang melancarkan Isyarat Awan Melayang?
Dalam kegelapan malam, gegaran dapat dirasakan apabila kuda-kuda berlari pantas mendekati Bandar Diraja.
Para pegawal di Bandar Diraja mengecilkan mata mereka dan merenung dalam kegelapan berbekalkan api obor yang meliuk-liuk. Mereka terlihat sepasukan askar berkuda yang memakai perisai bersimbol Qilin. Penampilan askar-askar ini menggerunkan dan mata mereka kelihatan ganas. Para pengawal itu merasakan kaki mereka menjadi lembik dan mereka berundur sambil memandang regimen askar yang muncul di hadapan mereka.
Tentera Rui Lin!
Ini Tentera Rui Lin!
Anggota tentera ini menunggang kuda mereka yang hebat dan menuju ke arah Istana Lin. Pergerakan mereka seperti tiupan angin sewaktu mereka melepasi pengawal-pengawal yang masih lagi terpegun.
Malam itu semua orang di Bandar Diraja tidak dapat tidur.
Di Istana Lin, Jun Wu Xie berdiri tegak seolah-olah sedang berfikir. Angin malam bertiup dan api obor yang meliuk-liuk itu menyinari wajahnya yang jelita. Namun ekspresi wajah Jun Wu Xie serius dan dingin.
Sebaik Tentera Rui Lin tiba di Istana Lin, mereka turun dari kuda mereka. Setiap seorang memakai baju perisai berwarna perak yang mempunyai simbol Qilin. Mereka terus melutut sebelah kaki secara serentak sewaktu berkumpul di hadapan Jun Wu Xie.
Long Qi berada di barisan paling hadapan. Dia melutut dengan serius dan berkata, "Cik Muda."
Jun Wu Xie memandang angkatan tentera paling elit di seluruh Kerajaan Qi. Kedinginan dalam matanya digantikan dengan api yang membara.
"Wu Xie! Apa niat kamu?" Jun Qing yang sedang duduk di dalam dewan memandang resah ke arah Jun Wu Xie yang sedang berdiri di muka pintu.
Jun Wu Xie berpusing dan memandang Jun Qing dengan matanya yang penuh niat membunuh.
"Saya mahu Maharaja turun takhta." Maharaja dungu! Berani betul dia!
Jun Qing terkejut dan matanya terbeliak. Memaksa Maharaja turun takhta? Jun Wu Xie sudah hilang akalkah?
Li Ran yang dalam keadaan terperanjat dengan kejadian yang silih berganti, sedang menggigil di tepi dinding. Lututnya berasa lembik. Dia tidak percaya apa yang baru sahaja didengarinya.
Cik Muda Istana Lin mahu Maharaja turun takhta? Li Ran berpeluh sejuk sehingga bajunya basah.
"Hitam Kecil." Jun Wu Xie memanggil dengan nada suara yang dingin. Satu bayang besar berwarna hitam berjalan masuk ke dalam dewan itu dengan sangat hebat. Masih ada kesan darah di taringnya.
"Hapuskan dia."Jun Wu Xie mengecilkan matanya.
Hati Li Ran dapat merasakan satu firasat yang buruk. Tapi sebelum dia sempat berbuat apa-apa, dalam sekelip mata sahaja seekor binatang yang besar dan hitam sudah mendekatinya.
Satu jeritan yang nyaring dapat didengari. Tetapi seketika kemudian keadaan menjadi senyap.
Jun Qing memandang tanpa perasaan pada mayat Li Ran yang dicampakkan ke lantai oleh binatang hitam itu. Binatang itu kemudian kembali ke sisi Jun Wu Xie.
Di luar pintu pagar Istana Lin, angkatan Tentera Rui Lin telah menyaksikan kejadian yang mengerikan ini. Mereka mengenali Jeneral Li Ran, tetapi tidak mengetahui bagaimana lelaki itu telah membuatkan Cik Muda mereka marah sehingga lelaki itu dibunuh.
Mereka hanya memandang dingin tanpa berkata apa-apa.
Tentera Rui Lin patuh sepenuhnya dengan Keluarga Jun.