Walaupun Istana Lin mempunyai kekuatan, mereka tidak setanding dengan Kumpulan Qing Yun. Ubat Jun Wu Xie ini ibarat serampang dua mata!
"Selain Tok Guru kamu, ada orang lain yang tahu kamu boleh hasilkan ubat ini?" tanya Jun Xian dengan serius.
Jun Wu Xie memandang ketiga-tiga orang lelaki di dalam bilik itu tanpa berkata apa-apa.
"Long Qi!" kata Jun Qing.
Long Qi tiba-tiba melutut sebelah kaki. "Saya tidak lihat atau dengar apa-apa hari ini." Setitik peluh mengalir di mukanya. Cik Muda mungkin tidak sedar yang peti-peti ubat di luar itu boleh mengakibatkan kekecohan besar.
"Kamu sudah bersama kami sejak kecil lagi. Saya percayakan kamu. Ingat, apa saja yang kamu dengar dalam bilik ini hari ini, simpan sahaja sampai mati. Jangan sebut hal ini langsung atau Keluarga Jun akan musnah!"
"Ya, saya faham."
Jun Wu Xie kebingungan melihat betapa ketiga-tiga orang lelaki ini sangat berhati-hati dnegan perkara ini.
Serius sangatkah hal ubat ini?
Dia sebenarnya merancang menghasilkan ubat yang mempunyai kesan yang lebih hebat tapi tak mampu melakukannya kerana kekurangan herba. Kenapa Pak Cik dan Datuk begitu serius tentang pil yang tak seberapa ini?
"Wu Xie, Tok Guru kamu ini sangat berkuasa dan penuh misteri. Dia tidak risau kehandalannya dalam bidang perubatan ini diketahu. Berkenaan dengan kamu pula, Datuk tahu kamu ambil berat tentang Istana Lin. Tetapi ilmu kamu tentang penghasilan pil ini perlu dirahsiakan. Hanya kamu dan Tok Guru kamu yang perlu tahu tentang resipi pembuatan pil ini. Faham?" Jarang Jun Xian bercakap dengan serius terhadap Jun Wu Xie.
"Wu Xie faham." Jun Wu Xie bersetuju sahaja dengan permintaan itu walaupun dia bingung dengan keresahan mereka,
"Kita hantar pil itu ke berek?" tanya Jun Qing sambil mengerutkan keningnya.
"Ya, hantar ke sana. Ayah percaya tidak ada seorang sekalipun anggota Tentera Rui Lin yang akan mengkhianati Keluarga Jun, walaupun mereka berdepan dengan maut." Jun Xian mempunyai kepercayaan penuh terhadap Tentera Rui Lin. Dia berpusing ke arah Ling Qi dan berkata, "Saya serahkan hal ini pada kamu. Jangan beritahu apa-apa tentang ubat ini pada Tentera Rui Lin, suruh mereka makan sahaja. Arahkan mereka untuk tidak menyoal atau membincangkan sebarang kesan yang disebabkan oleh pil ini. Jangan kata apa-apa pada orang luar. Setelah makan pil ini, lupakan saja tentangnya."
"Jangan bimbang, Tuan. Arahan Tuan akan dilaksanakan." Long Qi bersumpah, hatinya penuh keazaman. Dia mengangkat pandangannya dan merenung tepat pada Jun Wu Xie.
Jun Wu Xie bakal menjadi pemimpin mereka dan Tentera Rui Lin sanggup berkorban nyawa untuknya. Ini pasti!
Memandangkan kargo itu amat penting, Jun Xian mengarahkan sebahagian besar pengawal-pengawal di Istana Lin pergi mengiringi Long Qi. Kereta-kereta kuda yang diisi penuh dengan peti-peti ubat meninggalkan Bandar Diraja pada waktu malam. Tiada siapa yang tahu kereta-kereta kuda yang kelihatan biasa saja ini membawa pil ubat yang akan mengakibatkan pergolakan yang hebat!
Bermula malam itu, Tentera Rui Lin akan mengalami perubahan.
Tiga orang ahli Keluarga Jun berbual-bual sehingga lewat malam. Jun Wu Xie lebih banyak mendengar dari bercakap.
"Wu Xie, kalau kamu mengantuk, pergi rehat." pujuk Jun Xian. Dia memikirkan kepenatan Jun Wu Xie menghasilkan seratus ribu pil itu. Jun Xian juga perasan lingkaran hitam yang terbentuk pada mata cucunya itu, menandakan dia kurang tidur.
"Baik, Datuk." Jun Wu Xie bangun. Dia tahu ada sesetengah perkara yang Jun Xian dan Jun Qing tidak mahu bincangkan di hadapannya. Jun Wu Xie memegang kucing hitam kecil itu dan berjalan keluar.