Unduh Aplikasi
1.87% TAK MUDAH MENJADI LELAKI MENGEMBARA KE MASA DEPAN / Chapter 13: Kereta atau Pesawat?

Bab 13: Kereta atau Pesawat?

Editor: EndlessFantasy Translation

Baru-baru ini, Lan Luofeng berbelah bagi untuk berasa bahagia atau tidak. Beberapa hari ini, bayinya tidak lagi hanya makan dan tidur.

Walau bagaimanapun, dia tidak dapat berasa gembira dengan lama, kerana ada konflik baharu. Bayinya asyik tidur dalam posisi mengerekot yang pelik.

Lan Luofeng tidaklah terlalu risaukan tentang posisi tersebut...tetapi apabila dia melihat anaknya memeluk dua kaki kecilnya seperti bantal peluk dan merapatkannya pada kepalanya, Lan Luofeng merasakan seolah-olah tulang-tulangnya yang sakit. Posisi ini bukan sesuatu yang dapat dilakukan Lan Luofeng di usia begini.

Jika bukan kerana Ling Lan tersenyum sepanjang masa, membuatkan Lan Luofeng faham yang posisi tersebut tidak sukar untuk seorang bayi, dia benar-benar akan menyelamatkan kaki kecil tersebut daripada dipeluk tangannya yang gebu.

Nasib baik Ling Lan tidak tahu apa yang sedang difikirkan oleh Lan Luofeng, jika dia tahu, pasti dia akan menangis. posisi ini tidak semudah yang dianggap oleh ibunya. Ini bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan, walaupun untuk seorang bayi. Lebih menyedihkan lagi,ini hanyalah posisi pertama iaitu yang paling mudah. Lapan posisi seterusnya lebih sukar daripada ini, setiap posisi akan menjadi lebih sukar daripada yang sebelumnya. Sekarang ini, Ling Lan benar-benar tidak tahu jika dia benar-benar boleh mempelajari kesemua sembilan posisi dalam tempoh setahun.

Dia mengimbas kembali amaran Jurulatih Nombor Sembilan. Jika dia tidak dapat menguasai sembilan posisi dalam masa setahun, dia akan dikenakan hukuman. Sudah tentu, jika dia selesai mempelajari semua posisi dalam masa yang diberikan, dia akan mendapat ganjaran - lebih cepat dia mempelajari semuanya, lebih hebat ganjarannya.

Sewaktu di dalam ruang minda itu, Ling Lan merasakan melakukan sembilan posisi tersebut agak mudah, dan agak terkejut apabila Jurulatih Nombor Sembilan memberikannya masa selama setahun. Dia dengan angkuhnya percaya yang dia akan dapat menyelesaikan tugas tersebut dalam masa sebulan. Sekarang, dia sedar yang dia telah memandang rendah kursus-kursus di ruang pembelajaran...semuanya benar-benar gila.

Sebenarnya, melakukan posisi tersebut tidaklah begitu susah, tetapi yang paling sukar ialah mencapai ketepatan posisi yang sempurna. Setiap lengkung dan sudut otot perlu tepat. Beberapa hari ini, Ling Lan sudah berulang kali berlatih posisi pertama, tetapi dia masih belum dapat mencapai kedudukan paling tepat dengan serta merta. Sebaliknya, dia perlu perlahan-lahan memperbetulkan posisinya untuk mencapai ketepatan. Ini tidak memenuhi jangkaan jurulatihnya, iaitu melakukannya dengan sempurna dalam masa satu saat.

Walau bagaimanapun, Ling Lan tidak berasa cemas. Dia meneruskan rutinnya berlatih posisi itu dengan badan fizikalnya sewaktu berjaga, dan berlatih dengan diri rohaninya di ruang minda sewaktu sedang tidur. Walaupun berlatih dalam ruang minda tidak memberikan impak pada badannya, ini membolehkannya untuk mengasah gerak hatinya. Maksudnya dia akan berupaya menilai sama ada dia telah mencapai posisi yang tepat dengan serta-merta.

Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Selepas lebih dua bulan, ketika Ling Lan hampir berusia sembilan bulan, dia berjaya mencapai tahap di mana badannya akan bertindak balas dengan serta-merta. Dalam sekejap mata, dia boleh mencapai posisi yang ideal. Secara rasminya, ini menandakan penguasaan Ling Lan bagi posisi yang pertama.

Sebaik Ling Lan mahu mula berlatih posisi kedua, satu berita yang menarik telah menghentikan latihan Ling Lan buat seketika. Ibunya akhirnya memutuskan untuk membawanya keluar seharian untuk membeli-belah.

Hakikatnya, golongan bangsawan serta keluarga yang kaya seperti keluarga Ling biasanya mempunyai seorang pengurus untuk mengendalikan segalanya mengenai hal rumah tangga. Sebagai Puan dalam keluarga tersebut, Lan Luofeng tidak perlu keluar membeli apa-apa. Walau bagaimanapun, Lan Luofeng merasakan yang memandangkan Ling Lan sudah mula mengenali orang dan objek, dia patut keluar supaya boleh meneroka persekitarannya dengan lebih banyak lagi.

Walaupun pengurus keluarga Ling, Ling Qin, merasakan yang rancangan itu tidak kena pada masanya, dia tidak mungkin akan melawan keputusan Lan Luofeng, maka dengan pantas Ling Qin menguruskan apa yang perlu.

Oleh itu, Ling Lan dapat melangkah keluar dari rumah buat pertama kalinya untuk melihat dunia 10000 tahun di masa depan.

Melepasi dewan besar dan keluar dari pintu, Ling Lan segera disambut dengan bau yang menyegarkan. Dia nampak padang rumput yang sangat luas.

Ya, di luar pintu depan bukanlah tangga marmar seperti yang Ling Lan jangkakan, atau jalan bersimen yang luas. Sebaliknya, terdapat satu padang rumput yang menghijau. Ling Lan sebenarnya tidak dapat melihat penghujungnya, menunjukkan betapa besarnya padang tersebut. Berapa besar sebenarnya rumah keluarganya?

Ling Lan tidak sempat untuk berasa kagum dengan segalanya sebelum sebuah kereta terbang masuk dari jauh. Ya, terbang. Kenderaan ini kelihatan seperti kereta tetapi juga bukan seperti kereta. Reka bentuknya seperti kereta sport yang wujud pada zaman Ling Lan. Tidak ada sesiapa di dalam kenderaan itu. Terdapat satu tempat duduk di hadapan, satu lagi di belakang. Tiada stereng dan tiada roda di bawahnya, hanya permukaan yang rata.

Adakah ini kereta atau pesawat tanpa pemandu? Tolong maafkan ketidakpastian Ling Lan. Dia sendiri tidak tahu kenderaan jenis apa ini walaupun dia merasakan yang ia lebih menyerupai sebuah kereta.

Kenderaan tersebut berada kira-kira 3 meter di udara, tetapi semakin mendekati mereka, kenderaan tersebut turun semakin rendah. Akhirnya sewaktu berhenti di hadapan Ling Lan, kenderaan itu terapung hanya 50 sentimeter dari permukaan tanah. Ketinggian ini sesuai untuk menaiki dan menuruni kenderaan itu.

Pintu kereta dibuka secara automatik, mengejutkan Ling Lan yang tidak bersedia. Namun perhatian Lan Luofeng dan Ling Qin pada ketika ini bukan pada Ling Lan, jadi mereka tidak perasan perubahan ekspresi muka Ling Lan yang aneh.

"Puan, sila masuk ke dalam kereta!" kata Ling Qin dengan penuh hormat.

Ke dalam kereta? Bingo! 10000 tahun di masa depan, pengangkutan biasa masih lagi dipanggil kereta. Jadi Ling Lan tidak perlu risau yang dia akan mengatakan sesuatu yang salah secara tidak sengaja pada masa akan datang.

Sambil mendukung Ling Lan, Lan Luofeng terus duduk di belakang, manakala Ling Qin duduk di kerusi depan.

Ling Qin memberi arahan, "Ling-Kosong-Tujuh, masuk mod tutup sepenuhnya."

Suara yang elektronik menjawab dengan serta-merta, "Arahan diterima oleh Ling-Kosong-Tujuh." Selepas itu, keempat-empat pintu ditutup dan penutup lutsinar menutup bahagian atas. Ini menjadikan kenderaan tersebut sebagai sebuah kereta yang ditutup sepenuhnya. (Pada masa ini, di dalam ruang minda, Empat Kecil yang sedang tidur telah terjaga. Dia merasakan seperti mendengar suara saudaranya...)

Tidak lama kemudian, suara elektronik itu berbunyi lagi, "Sila pilih destinasi anda."

Kali ini Ling Qin tidak menjawab, tetapi berpaling untuk bertanya pada Lan Luofeng. Selepas berfikir, demi keselamatan, Lan Luofeng memutuskan untuk pergi ke bangunan komersil klasik khas untuk ahli yang berkelayakan.

Selepas menerima destinasi, kenderaan Ling-Kosong-Tujuh mula berlepas. Mungkin disebabkan kereta itu terapung di udara, hampir tiada pergerakan dapat dirasai. Jika bukan kerana pemandangan di luar melintas laju, Ling Lan pasti memikirkan yang dia hanya berada di dalam bilik kecil.

Kereta itu semakin mendekati pusat bandar yang sibuk, dan Ling Lan dapat melihat keadaan trafik buat pertama kalinya. Ling Lan nampak banyak kereta yang serupa dipandu di sekeliling mereka. Pada mulanya, dia fikirkan yang semua kereta dipandu pada ketinggian yang sama, tetapi pada hakikatnya tidak. Pada paksi menegak yang sama, Ling Lan nampak empat kereta yang berbeza terbang ke arah yang sama pada ketinggian yang berlainan. Semuanya bergerak pada kelajuan yang sama.

Ling Lan terpegun tetapi juga bingung. Dia tertanya-tanya bagaimana kereta-kereta ini menentukan ketinggian mereka. Tidak takutkah berlaku kemalangan?

Persoalannya terjawab apabila Ling-Kosong-Tujuh berkata, "Kereta apung di laluan perlanggaran dikesan. Jarak semasa 3 kilometer. Isyarat penyesuaian dihantar."

Nampaknya kereta terbang semua dioperasi oleh program berpusat dan juga mempunyai tahap kecerdasan tertentu. Ini cukup untuk mengesan masalah sebelum apa-apa berlaku dan mengambil tindakan pencegahan untuk mengelakkan kemalangan.

Seperti yang dijangkakan, kata-kata Ling-Kosong-Tujuh seterusnya menunjukkan yang kedua-dua kereta tersebut telah membuat pengiraan. "Turun satu meter! Dalam masa tiga saat, sila berjaga-jaga. "

Dalam masa tiga saat, kereta terbang mereka benar-benar turun satu meter, sementara kereta terbang satu lagi naik satu meter. Kemudian, kedua-dua kereta tersebut melintasi antara satu sama lain, dan semakin menjauhi sesama sendiri selepas mengubah laluan.

Fuh. Jantung kecil Ling Lan berdegup kencang. Dekatnya! Jarak di antara kedua-dua kereta tersebut mungkin tidak sampai 10 sentimeter, bukan?

Walau bagaimanapun, melihat muka tenang ibunya dan Ling Qin, Ling Lan tahu yang ini perkara yang normal di sini. Nampaknya dia masih perlu menyesuaikan diri.


Load failed, please RETRY

Hadiah

Hadiah -- Hadiah diterima

    Status Power Mingguan

    Rank -- Peringkat Power
    Stone -- Power stone

    Membuka kunci kumpulan bab

    Indeks

    Opsi Tampilan

    Latar Belakang

    Font

    Ukuran

    Komentar pada bab

    Tulis ulasan Status Membaca: C13
    Gagal mengirim. Silakan coba lagi
    • Kualitas Terjemahan
    • Stabilitas Pembaruan
    • Pengembangan Cerita
    • Desain Karakter
    • Latar Belakang Dunia

    Skor total 0.0

    Ulasan berhasil diposting! Baca ulasan lebih lanjut
    Pilih Power Stone
    Rank NO.-- Peringkat Power
    Stone -- Batu Daya
    Laporkan konten yang tidak pantas
    Tip kesalahan

    Laporkan penyalahgunaan

    Komentar paragraf

    Masuk