"Jadi awak mendarat di sini semasa awak datang dahulu?" tanya Tilly sambil melihat muka cenuram yang sangat tinggi di hadapannya.
Setelah mereka mula nampak pesisiran pantai di kejauhan, Dayang Perawan belayar sepanjang pesisiran itu ke arah barat. Ashes tidak menyuruh mereka berhenti sehingga mereka bertemu barisan cenuram itu.
"Ya. Tengok di sana," kata Ashes sambil menunjuk ke sebuah puncak gunung.
Tilly melihat ke arah yang ditunjukkan Ashes dan dia nampak dua bendera jingga berkibar di udara.
"Semasa kami datang dahulu, semua pantai nampak sama sahaja tetapi dua bendera itu menunjukkan kita memang berada di tempat yang betul."
"Saya pun masih ingat itu juga," kata si kapten tua itu dengan paip di dalam mulutnya. "Tetapi pada masa itu awak guna sebuah bebola terapung gergasi untuk melintasi cenuram ini. Macam mana awak mahu pergi sekarang?"
"Sebuah bebola terapung gergasi?" Tilly mengulang semula dengan keliru.