"Negeri Tasik Utara dirahmati dengan begitu banyak pulau-pulau kecil sehingga ada yang tidak pernah dilihat oleh mata manusia," ujar seorang lelaki tinggi dan gagah berperawakan kasar. "Semakin jauh kita belayar ke arah timur, semakin buas iklim di sana. Begitu juga dengan pulau-pulaunya. Lebih dahsyat lagi, saya tidak dapat bayangkan sedahsyat mana pulau-pulau yang berada di hujung dunia itu."
"Jadi awak pun tidak pernah sampai sana?" tanya Tilly. "Kata orang, awak penjelajah handal. Hanya awak seorang yang berani melintasi Pulau Selar Api dan meneruskan pelayaran ke arah timur."
"Hahahah!" Lelaki itu ketawa besar. "Itu khabar angin melampau namanya. Sebenarnya ada ramai lagi orang Negeri Tasik Utara yang berani-berani belaka pergi ke arah timur setiap tahun, tetapi mereka sukar menerokai sebarang tempat baru. Ada-ada sahaja ribut taufan atau kabus tebal yang menghalang perjalanan mereka."