Unduh Aplikasi
9.61% Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 74: Projek Pembinaan Kapal

Bab 74: Projek Pembinaan Kapal

Editor: EndlessFantasy Translation

"Apa? Apa maksud kamu, kita tidak mampu?" Roland sedang duduk dalam bilik bacaan sambil memegang dokumen permohonan dalam tangannya untuk mengambil lebih ramai pekerja dan membeli kapal layar.

Barov berdehem dan menjawab, "Betul, Tuanku. Kita tidak mampu. Harga sebuah kapal bertiang layar dua ialah di antara 80 ke 120 keping emas, tetapi itu baru kos pembinaannya sahaja. Harganya jadi lebih tinggi apabila dimasukkan dengan kos tenaga kerja. Jumlah keseluruhannya dianggarkan sebanyak lebih 200 keping emas."

"Beta sudah kata, kita tidak perlu kelasi dan jurumudi. Kita tidak perlu nakhoda juga. Kita hanya perlu sebuah kapal," suara Roland meninggi sambil dia menghentak tangannya ke atas meja. Dia ada Wendy, dia tidak perlu kelasi untuk mengendalikan kapal layar. Kebanyakan kapal sungai pendalaman belayar secara lurus. Kapal jenis ini mudah dikendalikan, semudah menaikkan dan menurunkan bendera. Sebab itu dia tidak memerlukan pengayuh serta kelasi, dan mana-mana jurumudi boleh melakukannya. Lagipun dia tidak perlu risau sama ada kapal akan bergerak ke hadapan mengikut tiupan angin, bukan?

"Tuanku, cara berniaga seperti itu tidak wujud, sekurang-kurangnya tidak di Bandar Raya Willow," Barov mula menjelaskan dengan berhati-hati. "Mungkin Tuanku tidak begitu arif dengan industri ini. Biasanya, nakhoda sesebuah kapal ialah pemilik kapal itu sendiri, mungkin seorang ahli perniagaan atau seorang orang bangsawan. Nakhoda akan memilih anak kapal sendiri untuk berniaga atau mengangkut kargo antara bandar dan pelabuhan besar. Anak kapalnya pula akan melantik seorang timbalan nakhoda untuk belayar bersama mereka sebagai menggantikan tempat nakhoda. Anak kapal juga bukan dibayar gaji bulanan, tetapi sekali setiap satu hingga tiga tahun."

"Selalunya kapal dan anak kapal datang sekali. Jika Tuanku membeli kapal daripada nakhoda tanpa anak kapal yang disediakan nakhoda, dia akan kerugian gaji yang dia bayar kepada anak kapal itu. Walaupun mereka orang bangsawan, 80 keping emas bukan jumlah yang kecil bagi mereka. Sekarang, termasuk perdagangan batu permata belum dicanai dengan Bandar Raya Willow sejak awal bulan ini, Dewan Perbandaran kini sudah ada 315 keping emas. Jika Tuanku menghabiskan kebanyakan daripadanya membeli sebuah kapal, Tuanku tidak akan dapat membayar gaji angkatan tentera awam bulan hadapan." Pembantu menteri Barov menjelaskan satu-persatu tanpa berhenti, sekalipun untuk menarik nafas dan hanya sesudah itu, barulah dia mengangkat cawan berisi ale ke mulutnya.

"Tadi kamu kata, selalunya…"

"Benar, Tuanku," Barov mengangguk. "Ada dua keadaan sahaja di mana kapal boleh dijual tanpa anak kapal. Pertama, jika seseorang saudagar terdesak memerlukan wang sehingga dia menjual semua harga bendanya. Dia akan melepaskan semua anak kapal dan menjual kapal itu secepat mungkin. Kedua, jika pemiliknya mahu membeli kapal baru. Itu mudah difahami. Tetapi Patik merasakan kedua-dua kejadian ini sangat jarang berlaku."

"Nanti." Dahi Roland berkerut. "Kamu kata jika mereka mahu beli kapal baru. Dari mana mereka beli kapal baru?"

"Sama ada Pelabuhan Air Bening, Daerah Bayu Laut, atau Titik Jangkau Jauh. Hanya negara berdekatan laut sahaja mempunyai limbungan kapal dan boleh membina kapal baru."

Jadi itu maksud Barov apabila dia berkata "cara berniaga seperti itu tidak wujud, sekurang-kurangnya di Bandar Raya Willow". Roland terdiam sebentar. Terlalu jauh untuk dia pergi ke limbungan kapal untuk membeli kapal. Jika dia tidak mengupah anak kapal pula, bagaimana dia mahu membawa kapal itu pulang? "Baik, Beta akan fikirkannya lagi."

Sebaik sahaja pembantu menteri itu keluar, otak putera itu ligat berputar.

Kapal ialah aspek penting dalam pelan strateginya. Tanpa kapal yang pantas dan mudah, dia tidak boleh membawa meriam ke medan perang. Duke Kubu Longsong biasanya mengerahkan petani, kesateria dan askar upahan yang akan berjalan perlahan. Tetapi tentera Pekan Sempadan akan jadi lebih perlahan daripada mereka. Seperti dikatakan Carter, jika meriam itu terjerumus ke dalam lopak, meriam itu tidak boleh ditarik walau satu langkah ke hadapan sekalipun. Zaman ini masih tidak ada jalan berturap tar lagi, malah jalan batu juga masih belum wujud lagi. Ada begitu ramai orang berjalan atas tanah sehingga denai-denai terbentuk dengan kekal. Jika hari panas, ini tidak mendatangkan masalah tetapi jika hari hujan, denai-denai ini akan berlopak.

Mungkinkah dia patut membina kapal sendiri?

Roland menghamparkan sekeping kertas kekulit dan menulis semua syarat yang dia fikirkan.

Pertama, kapal itu mesti mampu membawa satu atau dua meriam serta kira-kira 30 orang. Kapal-kapal zaman ini digerakkan dengan layar dan masih tiada sistem janaan kuasa lagi. Kedua, kapal itu hanya akan belayar dalam sungai pedalaman. Ia mesti stabil dan kukuh. Jika ada arus kuat di tempat cetek, kapal ini tidak boleh mudah terbalik atau tenggelam. Ketiga, mesti mudah dikendalikan agar askar tentera awamnya boleh memahirkan diri dengannya walaupun hanya selepas latihan singkat.

Setelah mempertimbangkan ketiga-tiga syarat ini, hanya ada satu penyelesaian sahaja untuknya – sebuah tongkang.

Dalam hayat lepas Roland, tongkang mudah ditarik dan titik gravitinya rendah jadi ia banyak ditemui di mana-mana sahaja sepanjang semua jalan air. Pada zaman dahulu, tongkang memuatkan berkampit-kampit pasir atau kerikil sehingga hampir tenggelam sama paras dengan air. Asalkan ada bot tunda, ia boleh menarik beberapa tongkang sekaligus seperti kereta api.

Selepas Roland memutuskan jenis kapal, sekarang dia perlu memutuskan bahan binaan untuk kapal itu.

Roland menulis tiga pilihan: kayu, besi, dan konkrit.

Manusia mula-mula membina kapal menggunakan kayu. Daripada rakit sehingga ke kapal armada perang, daripada pelayaran di sungai sehingga pelayaran di samudera, kapal buatan kayu sentiasa menjadi pilihan bagus. Malangnya Roland tidak tahu cara membuat kapal tongkang dengan kayu balak, dan tidak ada tukang kapal pula di Pekan Sempadan. Jika dia mendapatkan khidmat tukang kayu, mereka hanya boleh membina rakit gergasi yang akan terlerai bila-bila masa.

Kapal besi dibina seperti cara membina rumah. Lunas kapal dibuat daripada rusuk utama dan rusuk kedua dipasang bersilang dan dilitupi kepingan besi. Jika Anna boleh mengimpalnya, itu akan memastikan keutuhan rangka kapal itu. Namun ia perlu menggunakan banyak bijih besi yang sudah semakin berkurang sekarang. Lebih baik Roland menggunakan bijih besi itu untuk menghasilkan enjin wap dan laras senjata.

Akhirnya pilihan terakhir adalah kapal konkrit. Pembinaan tembok kota sudah selesai, dan masih ada bekalan bahan binaan tertinggal. Jika Anna boleh mengeringkannya sekali atau dua kali lagi, mereka akan dapat konkrit mencukupi. Pembinaan bot konkrit jauh lebih mudah berbanding bot besi. Mereka hanya perlu membuat acuan kayu yang diperkukuhkan dengan palang besi, dan kemudian mengisinya dengan konkrit cair. Di kampungnya sendiri, penduduknya boleh membina beberapa bot konkrit untuk digunakan untuk memancing. Bot besi perlu dicat dan sentiasa dibersihkan daripada karat, sementara bot konkrit tidak memerlukan penjagaan cerewet. Ia boleh dibina dengan kos rendah tetapi masih kuat dan tahan lama. Walaupun Roland tidak pernah belajar cara membuat sebuah kapal laut, pembinaan tongkang konkrit untuk digunakan di sungai pendalaman hanya memerlukan pengetahuan teknologi rendah, jadi ia tentu tidak begitu sukar, bukan?

Roland mengambil sebatang pena dan cepat-cepat melakarkan rekaan sebuah tongkang.

...

Sebuah bengkel berdinding dibina di sepanjang Sungai Air Merah.

Untuk memudahkan pelancaran kapal itu nanti, Roland membina limbungan kapal kecil ini sehampir mungkin dengan tebing sungai.

Bengkel itu boleh memberi perlindungan daripada angin dan salji. Pada masa sama, dua kawah arang diletakkan dalam bilik bagi mengurangkan kesan suhu rendah ke atas proses pengerasan konkrit.

Tukang kayu telah membuat rangka asas bagi badan kapal. Haluannya yang membulat akan mengurangkan kerintangan dari hadapan dan buritannya yang bersegi memberi ruang kargo luas. Kelebaran kapal itu kira-kira 8 meter manakala nisbah bidangnya 3:1. Jika dibandingkan dengan ukuran kapal konvensional bernisbah 8:1, ia boleh dikatakan agak besar. Di tengahnya ada dua tiang layar. Tiangnya dibenamkan ke perut kapal dan disambungkan kepada rusuk besi merentasi bahagian tengah kapal. Di buritannya ada pancang untuk dipasangkan kemudi. Tempat lain disilang-silangkan dengan palang besi.

Mereka tidak perlukan dawai besi untuk penggelangan badan kapal. Semua persilangan palang besi telah dikimpal kuat oleh Anna, lalu membentuk jaring besi melitupi bahagian dasar kapal.

Apabila acuan dan keluli pengukuh sudah siap, Roland mengarahkan pekerja untuk mula menuang konkrit.

Konkrit yang sudah diadun sebati itu dituangkan ke dalam acuan. Bahagian tengah acuan itu leper dan dindingnya setinggi satu setengah meter, lalu membentuk dinding kabin. Sekali imbas, ia kelihatan seperti tab mandi sangat besar.

Semua orang yang terlibat dalam proses pembinaan, termasuk Anna, tidak menyangka sebatian aneh yang dahulunya digunakan untuk membina tembok kota mereka akan dibentuk menjadi sebuah kapal pula.


Load failed, please RETRY

Hadiah

Hadiah -- Hadiah diterima

    Status Power Mingguan

    Rank -- Peringkat Power
    Stone -- Power stone

    Membuka kunci kumpulan bab

    Indeks

    Opsi Tampilan

    Latar Belakang

    Font

    Ukuran

    Komentar pada bab

    Tulis ulasan Status Membaca: C74
    Gagal mengirim. Silakan coba lagi
    • Kualitas Terjemahan
    • Stabilitas Pembaruan
    • Pengembangan Cerita
    • Desain Karakter
    • Latar Belakang Dunia

    Skor total 0.0

    Ulasan berhasil diposting! Baca ulasan lebih lanjut
    Pilih Power Stone
    Rank NO.-- Peringkat Power
    Stone -- Batu Daya
    Laporkan konten yang tidak pantas
    Tip kesalahan

    Laporkan penyalahgunaan

    Komentar paragraf

    Masuk