Unduh Aplikasi
2.98% Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 23: Sumber Kuasa

Bab 23: Sumber Kuasa

Editor: EndlessFantasy Translation

"Cuba lekatkan dua kepingan ini bersama," kata Roland.

Anna melunjurkan jari-jemarinya dan menekan tempat pertemuan dua keping plat besi. Api menyembur keluar dari hujung jarinya dan kedua-dua besi itu cair dengan sangat pantas.

"Kurangkan kepanasan api dan mula sekali lagi."

Anna mengangguk dan melaksanakan arahan Roland. Akhirnya dua plat besi itu melekat dengan kuat pada sudut 90 darjah.

Roland meneliti dua plat besi yang melekap itu dan hasilnya memang sama seperti yang dia bayangkan – kimpalan yang sempurna tanpa sebarang cacat cela. Jika kesan kisaran besi pada besi itu boleh dihapuskan bila besi itu melebur, kedua-dua plat besi itu akan kelihatan seperti satu objek yang sama, bukan dua objek yang digabungkan.

"Syabas, Cik Anna. Sangat luar biasa." Roland memuji hasil kerja Anna. "Seterusnya, kita lekatkan dua lagi plat besi pada kepingan besi ini."

"Apa ini? Nampak macam… baldi besi?"

"Bukan, ini sebuah silinder." Roland memperbetulkan Anna.

"Silinder?" Perkataan yang begitu asing pada telinga Anna.

"Ya, ia boleh digunakan untuk mengalirkan udara." Roland menunjukkan pada empat plat besi yang dikimpalkan untuk membentuk sebuah kotak tanpa dasar. "Tengok lohong di atasnya ini? Udara akan mengalir dari lohong ini ke dalam silinder lalu menggerakkan omboh. Omboh ini pula ialah satu lagi plat besi yang lebih kecil daripada diameter silinder dan boleh bergerak bebas dalam silinder ini."

Anna mula pening mendengar begitu banyak perkataan yang pelik-pelik. "Jadi… silinder… dan omboh ini… apa guna mereka?"

"Ia akan digunakan untuk membina sebuah jentera yang boleh bergerak sendiri."

Inilah enjin wap, kuasa penggerak revolusi perindustrian pertama dalam sejarah moden manusia dan membebaskan kita sepenuhnya daripada kebergantungan terhadap tenaga haiwan.

Diagram skematik bagi ciptaan ini tentu tidak asing bagi mana-mana jurutera mekanikal. Secara ringkasnya, ia boleh dikatakan berfungsi seperti sebuah cerek. Wap air panas yang terhasil akan dihalakan masuk ke dalam silinder, menolak omboh serta batang besi yang bersambung padanya lalu menukar tenaga haba kepada tenaga mekanikal.

Prinsipnya sangat mudah tetapi ini tidak bermakna ia mudah untuk dihasilkan. Kesukaran yang biasa memastikan tiada sela langsung antara silinder dengan omboh serta pembuatan paip gas itu. Jika tiada kaedah pemprosesan logam yang cukup canggih dan mereka terpaksa bergantung pada unggun api untuk memanaskannya, mustahil mereka dapat menghasilkan silinder yang cukup jitu dan sekata.

Namun begitu kebolehan Anna mengambil alih kekurangan teknologi pada zaman ini.

Roland hanya perlu mereka empat keping plat besi yang sama terlebih dahulu, meminta tukang besi menempanya hingga ia rata dan kemudian pastikan ia boleh muat elok pada sudut tegak. Bila keempat-empat plat besi ini dikimpal bersama oleh Anna, Roland akan mendapat sebuah silinder empat segi yang kukuh. Dengan bantuan ahli sihir itu, dia tidak perlu melakukan proses pembuatan tradisional iaitu dengan membuat mesin batang laras, membuat silinder membulat dan kemudian mengetuknya menjadi bentuk empat segi. Sebaliknya, ia sama saja dengan pembuatan bahagian besar lain. Kita hanya hasilkan bahagian kecil dan kemudian kita gabungkannya. Dengan cara ini bengkel tukang besi pun boleh diminta untuk bekerjasama bagi menghasilkan sebuah enjin wap dengan semua bahagian yang diperlukan.

Malah sebelum proses kimpalan dicipta, orang hanya bergantung pada bolt atau pasak untuk menghubungkan bahagian-bahagian jentera. Bahagian dalaman silinder itu pula mesti rata sepenuhnya dan ini tidak boleh dicapai sekiranya mereka menggunakan bolt atau pasak.

Sekarang masalahnya paip gas. Sebenarnya proses pembuatannya tidak susah. Sekeping plat besi yang panjang akan dipanaskan sehingga merah membara, kemudian diletakkan atas acuan berbentuk batang dan akan diketuk dengan tukul hingga ia mengikut bentuk acuan itu. Ini juga kaedah yang digunakan untuk membuat laras senapang batu. Tetapi laras itu juga perlu dipastikan lurus walaupun selepas digerudi dan dibuat alur pilin jadi itu yang menyumbang kepada kesukaran proses ini.

Satu lagi masalah, Roland tidak boleh memanggil tukang besi untuk datang ke laman istananya kerana dia tidak mahu mereka melihat ada ahli sihir di sana. Dia pula tidak mahir menempa besi. Jadi dia terpaksa meminta Ketua Kesaterianya melakukan kerja ini.

Akhirnya selepas tiga hari yang menjerihkan, Roland menghasilkan enjin wap pertama di dunia pada zaman itu di laman belakang kediamannya.

"Jadi inilah ciptaan hebat Tuanku?" Carter menjeling mesin yang aneh itu. Dia yakin jentera ini tidak ada kaitan dengan sebarang ilmu hitam. Ia lebih mirip kepada sebuah ketuhar tertutup dan setiap bahagiannya dipasang sendiri oleh Carter. Memang ia tidak disentuh langsung oleh syaitan mahupun iblis.

Tetapi bagaimana keping-keping besi ini boleh bergerak? Ia nampak macam selonggok besi buruk dan tak ada kaki pun. Adakah ia boleh terbang?

Namun di mata Roland, mesin yang kelihatan ringkas ini dilihat sebagai suatu keindahan dan simbol kemajuan teknologi perindustrian. Dengan pengetahuan sains yang dia miliki dalam hayatnya sebelum ini, memang dia tidak berkeupayaan menghasilkan enjin stim Newcomen, enjin stim Watt, mahupun enjin stim biasa. Sebaliknya, hasil eksperimen pertamanya ini ialah sejenis enjin wap bertekanan tinggi dengan batang besi berganda yang bersambung dan injap gelangsar. Proses pembuatannya tidak jauh beza daripada enjin stim yang primitif tetapi ada sesetengah prosesnya dibuat dengan idea inovatif.

"Tengoklah nanti!"

Roland menuang sebaldi air ke dalam ruangan wap itu dan mengarahkan Anna menyalakan kayu api.

Sepuluh minit kemudian, air itu mula menggelegak dan permukaannya terus berbuih-buih. Tidak lama kemudian, ada bunyi gemeresik kedengaran dari silinder dan Roland tahu itu bunyi pengembangan terma dalam silinder itu. Plat besi omboh itu sangat nipis, pengembangan isipadu besi itu akan jadi lebih besar daripada bongkah silider itu dan akhirnya ia akan melekap pada dinding silinder.

"Mahu jerang air saja? Tak sangka ini hanya cerek gergasi," Carter bergumam tak puas hati.

Bila silinder itu sudah dipenuhi wap, apa yang terjadi seterusnya membuatkan Roland hampir melompat keriangan. Omboh itu bergerak lalu menolak batang besi yang disambungkan padanya ke luar. Bila batang besi itu sampai ke bucu ruang, batang besi di sebelahnya menarik pula injap gelangsar dan menyebabkan wap yang terhasil tadi menolak omboh ke dalam. Kedua-dua batang itu menarik dan menolak secara bergilir-gilir dan ini membuatkan roda besi itu berputar dan semakin banyak wap panas yang dihasilkan, semakin pantas ia mencapai puncak kuasanya.

Jentera itu kemudiannya berdentum kuat dan menghamburkan sejenis gas putih yang menderu-deru keluar dengan penuh garang.

"Jadi inilah maksud Tuanku bila Tuanku kata… kuasa alam semula jadi yang tersembunyi?" tanya Anna dengan mata yang terbeliak.

Ketua kesateria itu seakan-akan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Dia memasang roda besi besar tadi dengan penuh susah-payah tetapi sekarang ia berpusing dengan begitu mudah sehingga rambutnya terbang-terbang ditiup angin yang terhasil daripada putarannya. Tidak syak lagi, jentera besi yang aneh ini mempunyai kekuatan yang luar biasa.

Dalam diam, hatinya mula bergetar resah.

Baginda Putera Roland berkata ia mampu menggantikan tenaga manusia dan tenaga haiwan. Jika kata-katanya benar, bila ia dapat mengambil alih kerja kuda-kuda dan kereta kuda kelak, sepuluh orang kesateria pun takkan mampu menandingi kekuatan jentera ini.

Lima belas tahun diperlukan untuk melatih seorang kesateria sehingga dia layak berperang tetapi relau besi itu dicipta dalam masa tiga hari sahaja. Jika dikira masa yang diperlukan untuk tukang besi menempa bahagian tertentu, ia masih akan memakan masa seminggu paling lambat.

Ia tidak memerlukan makanan, tidak takut dengan kesejukan atau kelaparan, dan tidak gentar dengan anak panah, pedang, mahupun kapak. Asalkan pelantak pelancar dipasangkan padanya, ia boleh mengamuk tanpa henti di medan perang.

Jika begini keadaannya… apa gunanya golongan kesateria wujud lagi?

*******************

Pada malam itu, sekembalinya Roland ke kamar tidurnya, dia terserempak dengan Nightingale sekali lagi.

Kali ini dia tidak memakai kerudung kepala. Dia duduk di meja sambil tersenyum dan memegang beberapa keping kertas kulit dalam tangannya. "Rupa-rupanya khabar angin tentang Tuanku tidak benar belaka. Kononnya Putera Roland ialah seorang anak manja hingusan yang dangkal, pemalas, dan suka berfoya-foya tapi Tuanku rupanya lebih cerdik daripada golongan bijak pandai istana. Jadi ini rekaan sebuah relau besi? Apa nama yang Tuanku berikan padanya? Enjin wap, bukan?"

"Awak tak boleh asyik buat begini! Awak menceroboh privasi saya! Awak ingat ini rumah awak atau apa?" Roland hanya mampu menjerit dalam hati. Pada hakikatnya dia cuba memendam perasaan marahnya dan bercakap dengan suara mendatar. "Ia hanya rekaan biasa tetapi tanpa bantuan Anna, ia hanya lukisan atas kertas saja."

"Apa gunanya?"

"Banyak. Untuk pengangkutan, penyaliran, peleburan, penempaan. Ia boleh digunakan untuk apa-apa kerja yang memerlukan kuasa tinggi."

"Kalau begitu, izinkan Patik menyimpannya." Nightingale bingkas menggulung kertas kulit itu dan menyelitkannya dalam jubahnya. "Ada seseorang dalam Persekutuan Kerjasama Ahli Sihir yang boleh mengawal api juga."

"Tapi…"

Roland baru mahu membuka mulut untuk menghalang dia tapi Nightingale mengangkat tangannya. "Takkan Patik mahu ambil barang Tuanku sesuka hati saja. Cuba Tuanku tengok ini dahulu." Dia meletakkan segumpal benda putih di atas meja.

Roland mendekati meja itu, mengambil benda putih itu dan mendapati ia segumpal kertas yang dikeromotkan.

Perlahan-lahan dia membuka gumpalan itu dan membaca sepintas lalu. "Ini…"

"Surat yang dihantar oleh burung merpati." Suara Nightingale seperti sedang berseloroh dengan Roland. "Penerimanya ialah ketua orang gaji Tuanku, Tyre, dan nampaknya Tuanku ada musuh dalam selimut."

"Tapi Beta tak pernah sentuh dia pun," kata Roland sambil mengerutkan keningnya.

Menurut memori Roland yang asal, Tyre sudah lama berkhidmat bawah dia. Pada mulanya putera itu cuba memikat Tyre tetapi gagal selepas berkali-kali mengganggu Tyre. Selepas ketibaan mereka di Pekan Sempadan, Roland terus menaikkan pangkatnya menjadi ketua orang gaji agar dia boleh melayan Roland sepanjang masa. Malah biliknya juga ditempatkan di sebelah kamar tidur Roland. Dia tidak sangka rupanya Tyre ialah pengintip yang dihantar kekanda-kekandanya.

Walaupun surat itu tidak ditandatangani, tapi kalau mengikut isi kandungannya, ini tentu dikarang salah seorang kekanda Putera Roland. Menurut surat itu, "cik tuan" sangat kecewa dengan kegagalan rancangan sebelum ini. Kingfisher diarahkan untuk mencuba sekali lagi semasa rusuhan di Kubu Longsong dan dia tidak dibenarkan untuk gagal lagi. "Ya, memang dia berjaya bunuh Roland yang sebenar," fikir Cheng Yan, "kalau tidak, saya takkan dilahirkan semula sebagai Roland Wimbledon."

Mustahil Nightingale memalsukan surat ini kerana hanya orang yang bersekongkol dalam rancangan ini tahu tentang komplot pembunuhan Roland yang pertama. Lagipun Nightingale tidak perlu bersusah-payah begini hanya untuk membunuh dia.

"Jadi awak curi ini daripada dia?"

"Ketua orang gaji Tuanku tidak sebodoh yang disangka. Sebenarnya dia mahu membakarnya tetapi mujurlah Patik sempat muncul di belakang dia." Nightingale menggerakkan tangannya seolah-olah dia menukar sesuatu. "Apa tindakan Tuanku selepas ini? Tuanku mahu Patik uruskan masalah ini?"

Roland cukup sedar apa yang dimaksudkan Nightingale dengan kata-kata "mengurus masalah". Dia teragak-agak sebentar tetapi kemudian dia mengangguk. "Beta dahului dengan ucapan terima kasih." Dia memang tidak yakin langsung mahu buat sesuatu seperti ini. "Tapi jika boleh, selidik dulu siapa dalang yang sebenarnya."

"Perintah dijunjung, Tuanku," balas Nightingale sambil menguntumkan senyuman. "Dan ganjaran untuk Patik ialah pelan rekaan ini."


Load failed, please RETRY

Hadiah

Hadiah -- Hadiah diterima

    Status Power Mingguan

    Rank -- Peringkat Power
    Stone -- Power stone

    Membuka kunci kumpulan bab

    Indeks

    Opsi Tampilan

    Latar Belakang

    Font

    Ukuran

    Komentar pada bab

    Tulis ulasan Status Membaca: C23
    Gagal mengirim. Silakan coba lagi
    • Kualitas Terjemahan
    • Stabilitas Pembaruan
    • Pengembangan Cerita
    • Desain Karakter
    • Latar Belakang Dunia

    Skor total 0.0

    Ulasan berhasil diposting! Baca ulasan lebih lanjut
    Pilih Power Stone
    Rank NO.-- Peringkat Power
    Stone -- Batu Daya
    Laporkan konten yang tidak pantas
    Tip kesalahan

    Laporkan penyalahgunaan

    Komentar paragraf

    Masuk