Bu Fang membawa Mi Beras Gulung yang nampak seperti jed yang indah terukir itu ke ruang makan. Bila dia melihat Mi Beras Gulung yang berkilauan, perutnya mula berbunyi.
Bau harum Mi Beras Gulung itu tak begitu kuat - mungkin kerana intinya berbungkus dalam kulit mi beras - tapi rupanya sangat menyelerakan. Sekurang-kurangnya, sajian itu membuatkan Bu Fang rasa tak dapat menahan diri.
Mi Beras Gulung itu dimakan dengan sos istimewa. Hanya dengan membayangkan Mi Beras Gulung yang dicicah sos masam enak itu sudah cukup membuatkan seseorang teruja.
Selepas dia menggigit Mi Beras Gulung itu, minyak meleleh keluar dari inti dagingnya. Bau harum yang tersembunyi tadi terus menyerang muka Bu Fang, menyebabkan dia terhenti seketika disebabkan rasa teramat gembira. Bungkusan Mi Beras Gulung itu sangat licin dan teksturnya sangat baik. Mi itu melonjak sedikit dalam mulutnya dan agak kenyal bila dia mengunyahnya.
Seperti yang dijangka, kualiti produk yang disediakan sistem memang terbaik. Rasa Mi Beras Gulung itu sedap dan berbaloi dengan harga sepuluh kristal. Bu Fang mengangguk sambil terus menyuap hidangan itu.
"Wah! Tauke Bu, akhirnya kamu buka kedai! Rindu betul saya dengan kamu sepanjang dua hari ni!"
Sementara Bu Fang menikmati Mi Beras Gulung, satu suara kasar kedengaran dari luar kedai. Si Gemuk Jin dan rakan-rakannya sudah tiba dengan megah dan mereka serta merta nampak Bu Fang bila masuk ke dalam restoran.
Mata Si Gemuk Jin bersinar dan dia nampak tak sabar bila terhidu bau enak dalam restoran itu.
"Tauke Bu, ada hidangan baru ke?" Si Gemuk Jin bertanya.
"Oh… Ya betul." Bu Fang menggumam dengan mulut yang penuh dengan Mi Beras Gulung sambil dia memandang Si Gemuk Jin sekilas.
Si Gemuk Jin menelan air liur sambil perutnya berkeroncong bila dia melihat Bu Fang menghabiskan hidangan itu. Dia menoleh ke arah menu di dinding.
"Hidangan baru ni… Mi Beras Gulung, bukan? Eh? Ada sajian tahap tinggi macam Nasi Goreng Telur?" Fatty Jin berkata. Bila dia melihat harganya, dia nampak yang Mi Beras Gulung biasa berharga sepuluh kristal sepinggan. Mi Beras Gulung tahap tinggi pula… Ya Tuhan! Enam puluh kristal sepinggan?!
"Tauke Bu… Perbezaan harga ni melampau!" Si Gemuk Jin berkata sambil memandang Bu Fang, yang sedang mengemas meja.
"Bila kamu dah rasa, kamu pasti faham kenapa harganya macam tu." Bu Fang membalas bersahaja sebelum masuk ke dapur. Dia meletakkan pinggan ke dalam mesin basuh pinggan automatik sebelum kembali semula ke ruang makan.
Si Gemuk Jin rasa berbelah-bagi. Walaupun dia kaya, dia tak sanggup membelanjakan beratus-ratus kristal sehari walaupun keluarga dia memiliki lombong kristal.
"Saya nak pesan sepinggan Mi Beras Gulung biasa dulu, dan juga sepinggan Tulang Rusuk Masam Manis dan Daging Masak Merah. Oh, saya nak Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi juga! Selepas makan Nasi Goreng Telur Tauke Bu, tahap pertapaan saya meningkat laju." Si Gemuk Jin berkata sambil tergelak.
"Baiklah, tunggu sekejap." Bu Fang berkata sambil mengangguk. Selepas dia mengambil pesanan, dia berpusing masuk ke dapur.
Disebabkan Bu Fang sudah memiliki Pisau Dapur Tulang Naga, teknik pemotongannya sudah meningkat sedikit. Sekarang, dia lebih pantas menguruskan ramuan-ramuan itu. Selepas seketika, dia selesai memproses semua ramuan untuk sajian-sajian yang dipesan dan dia mula memasak.
Bau harum sekali lagi meresap keluar dari dapur dan masuk ke ruang makan restoran itu. Bau enak itu menyebabkan Si Gemuk Jin dan rakan-rakannya terkesima kerana terlampau gembira.
"Bau enak sajian yang dimasak Tauke Bu ni memang terbaik. Dapat hidu bau saja pun dah cukup buat orang rasa puas." Si Gemuk Jin bersenandung dengan rasa senang hati.
Selepas seketika, Bu Fang berjalan keluar dari dapur sambil membawa hidangannya. Sajian pertama diberikan kepada Si Gemuk Jin iaitu Mi Beras Gulung yang dia paling inginkan. Disebabkan itu sajian baru, dia ingin sangat mencubanya.
"Ini Mi Beras Gulung kamu. Selamat menjamu selera." Bu Fang berkata sambil meletakkan pinggan Mi Beras Gulung dan semangkuk kecil sos.
Bila Si Gemuk Jin nampak Mi Beras Gulung yang jernih bak kristal dan secantik hasil seni itu, dia tak dapat menahan diri daripada menjilat bibirnya. Dia terus mengambil sekeping mi dan mencicahnya ke dalam sos sebelum menyuapnya dengan tak sabar.
Dia menggigit pembalut kenyal berinti daging babi semangat beraroma. Sambil itu, minyak daging meleleh masuk ke dalam mulutnya dan menyebabkan badan Si Gemuk Jin menggeletar kerana seronok. Matanya juga terus bersinar.
"Sedap! Sajian Tauke Bu ni semuanya sedap!" Si Gemuk Jin menjilat bibirnya sebelum dia meneruskan makan Mi Beras Gulung. Namun, disebabkan cara dia makan, keseluruhan hidangan itu habis dengan tiga kali suapan.
Sambil Si Gemuk Jin menghisap jari-jemarinya, mukanya berkerut-kerut. Disebabkan saiz hidangan itu kecil, dia masih tak puas.
Namun, Restoran Kecil Fang Fang hanya membenarkan setiap sajian dipesan sekali saja...
"Tauke Bu, berikan saya Mi Beras Gulung Tahap Tinggi!" Si Gemuk Jin sudah tak mampu menahan godaan dan memesan hidangan itu sambil mengetap giginya. Harganya enam kali ganda daripada Mi Beras Gulung biasa.
Bu Fang, yang berada di dapur, agak terperanjat. Kemudian, dia tersenyum sambil mengangguk.
Bu Fang hanya mula memasak Mi Beras Gulung Tahap Tinggi selepas selesai menyediakan pesanan Si Gemuk Jin yang selebihnya dan juga hidangan pelanggan-pelanggan lain.
Cara penyediaan Mi Beras Gulung Tahap Tinggi tak ada beza dengan yang biasa kecuali daripada segi intinya. Bahan yang digunakan ialah daging Lembu Naga Kelana yang Bu Fang sendiri tangkap.
Bu Fang menghiris sebahagian kecil daging lembu itu yang sangat segar dan lembut. Kemarmaran di permukaan daging itu berkilauan dengan warna yang terang. Isinya juga padat dengan tenaga semangat.
Bu Fang menggunakan Pisau Dapur Tulang untuk mencincang daging itu. Disebabkan pisau itu ada keupayaan mengekalkan tenaga semangat dalam bahan-bahan masakan, tenaga semangat daging Lembu Naga Kelana itu akan terpelihara dengan sempurna.
Selepas selesai memasak, aroma daging meletus seperti bom dalam dapur itu. Lelaki-lelaki gemuk di ruang makan itu semuanya tertarik dengan bau enak itu. Mereka semuanya menelan air liur sambil memandang Bu Fang.
'Daging apa ni… Kuat betul harumannya! Aku tak pernah terhidu bau daging yang aromatik seperti ini!' Itulah yang bermain dalam fikiran lelaki-lelaki gemuk itu. Mereka menanti hidangan Bu Fang seterusnya dengan harapan yang tinggi..
Tak lama kemudian, satu susuk tubuh yang tinggi lampai berjalan keluar dari dapur. Jari-jemarinya yang runcing memegang pinggan porselin berisi Mi Beras Gulung sejernih kristal...
Mata semua pelanggan yang penuh mengharap tadi semuanya kecewa. Nampaknya, hidangan itu masih lagi Mi Beras Gulung...
Si Gemuk Jin langsung tak kisah. Lagipun, dia yang hendak makan. Jadi, dia terus menunggu Mi Beras Gulung Tahap Tinggi dengan ceria.
"Bodoh! Ini Mi Beras Gulung Tahap Tinggi yang berharga enam puluh kristal sepinggan! Macam mana kamu boleh menilai kualiti daripada rupanya? Kamu perlu fokus kepada kecantikan dalaman!" Wajah montel Si Gemuk Jin terus bergetar.
"Mi Beras Gulung Tahap Tinggi. Selamat menjamu selera." Bu Fang berkata dengan mudah.
Si Gemuk Jin memandang Bu Fang sebelum mengambil sekeping Mi Beras Gulung dan mencicahnya dengan sedikit sos. Tangannya menggeletar sambil dia menyuap mi itu.
Sesuap ini… berharga dua puluh kristal!
Si Gemuk Jin merasakan yang dia sedang makan esen kristal yang mahal dan bukannya Mi Beras Gulung!
Jadi, dia sangat berhati-hati. Selepas menyuapnya, dia memuncungkan bibir supaya tak membazir walau secebis pun daging cincang.
Bila Mi Beras Gulung itu masuk ke dalam mulutnya, Si Gemuk Jin terus dapat merasai kelainannya. Matanya memang asalnya sepet. Tapi, bila orang melihat dia, mata sepetnya itu terbeliak sebesar mungkin dalam masa sesaat.
Lubang hidungnya mengembang dan dua aliran wap panas berhembus keluar. Dalam wap panas itu terdapat tenaga semangat yang padat!
Gluk!
Selepas mengunyah seketika, Si Gemuk Jin menelan sekeping Mi Beras Gulung di dalam mulutnya. Dia mengeluh dengan rasa lega seolah-olah baru lepas menaiki roller-coaster.
"Macam mana rasanya?" Bu Fang bertanya. Dia sendiri pun belum rasa Mi Beras Gulung Tahap Tinggi itu. Tapi, Bu Fang yakin yang rasa daging Lembu Naga Kelana itu sedap.
Bibir Si Gemuk Jin bergetar sambil tenaga semangat meresap keluar dari lubang hidungnya. Dia memandang Bu Fang dan mengangkat dua ibu jari tanda sedap.
"Hidangan ni tak ada bandingannya! Sangat sedap!" Si Gemuk Jin tersengih sambil berkata, "Tenaga semangat yang padat ni… membuatkan daya tulen dalam badan saya meningkat sampai ke hujung. Saya lebih yakin untuk capai tahap seterusnya!"
Selepas Si Gemuk Jin selesai memuji hidangan itu, dia terus terdiam. Dia menghabiskan Mi Beras Gulung itu dan membayar bilnya secepat mungkin sebelum beredar dengan rakan-rakannya.
Dia hendak pulang dan maju ke tahap seterusnya.
Bu Fang menghembus nafas lega dalam hatinya juga. 'Nampaknya, reaksi untuk bahan yang aku tangkap sendiri ni agak bagus…'
Selepas mengemas meja, restoran itu kembali lengang.
Bu Fang menarik kerusinya ke pintu masuk dan berlingkar di atasnya. Dia memandang ke arah lorong yang kosong itu - yang sudah dibaiki oleh orang suruhan Putera Mahkota - dan satu persoalan timbul dalam fikirannya.
'Selalunya budak perempuan ni ada di sini pada waktu macam ni. Kenapa dia belum sampai? Dia lupa ke restoran dah buka semula hari ni?'
Bu Fang berkata dalam hati sambil menguap.