"Senior, inilah Lembah Phoenix Rebah." Tang Yin berkata sambil dia menunjuk ke arah lembah seindah syurga di kejauhan sambil mereka berdiri di atas batu tongkol yang besar.
Lembah Phoenix Rebah itu terletak di sempadan yang memisahkan lapisan pinggir dan dalam Tanah Belantara. Selepas melalui hutan batu, mereka ibarat melangkah masuk ke dalam syurga. Terdapat banyak tumbuhan bernilai dalam lembah itu dan bahan berubat yang berharga ada di serata kawasan. Aroma berubat yang kuat itu muncul dari dalam lembah dan nampak seperti langsir berwarna-warni dan berterbangan di langit.
"Tempat ni memang luar biasa." Bu Fang berkata. Hanya pemandangan cantik sebegini saja yang secocok dengan dunia fantasi dalam hati Bu Fang. Selepas dia sampai di Benua Naga Tersembunyi tak lama dulu, inilah kali pertama Bu Fang merasai keajaiban dunia fantasi.
"Bukankah kamu kata ada binatang semangat bergred lebih tinggi daripada Babi Semangat Api Kilat di sini? Mana dia?" Bu Fang bertanya. Selepas selesai memuji keindahan pemandangan itu, fikiran Bu Fang terus kembali kepada bahan yang dicari.
"Senior, binatang semangat itu bersembunyi dalam lembah ini! Kita perlu masuk ke dalam sebelum menjumpainya." Sebelum Tang Yin dapat menjawab, Lu Xiaoxiao cepat-cepat membalas pertanyaan Bu Fang.
Tang Yin mengerutkan muka sambil memandang ke arah junior perempuannya. Dia memandang ke arah Bu Fang dan berkata, "Senior, bahagian dalam Lembah Phoenix ini bukannya selamat kerana lokasinya yang unik… Entah-entah, ada binatang semangat kelas ketujuh di situ."
Disebabkan Lembah Phoenix Rebah itu terletak di sempadan antara lapisan pinggir dan dalam, ada kemungkinan yang binatang semangat kelas ketujuh akan muncul...
"Oh… Binatang semangat kelas ketujuh? Bahan ini sudah pastinya bergred lebih tinggi daripada Babi Semangat Api Kilat." Bu Fang berkata dengan bersahaja.
Tang Yin termangu.
Seperti yang dijangkakan daripada seniornya, binatang semangat kelas ketujuh pun hanya dianggap sebagai satu bahan... Kekaguman Tang Yin terhadap Bu Fang sudah sampai tahap memuja.
Manusia Santo Pertempuran kelas ketujuh sekalipun akan rasa sukar bertarung dengan binatang semangat kelas ketujuh. Namun, bila mendengar kata-kata senior ini, binatang semangat itu hanyalah sejenis makanan. Sangat mengagumkan!
Paling mengagumkan, seniorku!
Tang Yin berjalan di hadapan sambil ketiga-tiga mereka melewati hutan batu dan masuk ke Lembah Phoenix Rebah.
Dalam lembah yang tenang itu, tumbuhan subur ada di merata-rata tempat. Sekali pandang nampak seperti lautan hijau. Namun, dalam kehijauan ini, terdapat juga pohon-pohon bunga yang mekar dengan indah dalam musim sejuk ini.
Walaupun sekarang sedang musim sejuk, Lembah Phoenix Rebah ini nampak seperti dunia lain. Tak ada langsung angin sejuk atau salji yang turun. Lembah yang menghijau ini berasa panas lembap dan sangat selesa.
Ini juga kali pertama Tang Yin dan Lu Xiaoxiao masuk ke dalam Lembah Phoenix Rebah. Mata mereka penuh dengan rasa ingin tahu sambil mereka memandang di sekeliling.
"Abang Ngah! Tengok tu, Herba Daun Rama-rama! Itu herba semangat kelas ketiga!" Lu Xiaoxiao berkata dengan gembira bila dia ternampak herba yang menyerupai kepak rama-rama.
Bukan sekadar Herba Daun Rama-rama yang ada di situ. Malah, di lembah itu, terdapat banyak jenis herba berharga yang tumbuh melata. Sekurang-kurangnya, herba-herba yang digunakan dalam Sup Ayam Phoenix Herba Sej itu pun kelihatan di serata kawasan.
Bunyi air terjun yang bergemuruh kedengaran di telinga sambil mereka memetik herba di sepanjang laluan kecil. Tak lama kemudian, mereka sampai di air terjun.
Bila angin kencang bersama dengan wap air bertiup ke arah mereka, lengan dan hujung baju mereka berkibar-kibar dengan kuat. Mereka terpaksa mengecillkan mata sambil memandang ke depan.
"Hmm? Itu Herba Sej ke?" Bu Fang mengangkat keningnya sambil memandang ke arah tompokan dedaun ungu di pinggir air terjun. Herba Sej itu berada di bawah dedaun.
"Betul, inilah herba semangat kelas kelima, Herba Sej Syurgawi. Saya tak sangka yang Lembah Phoenix Rebah ini ada Herba Sej!" Tang Yin menarik nafas dalam dan nampak begitu gembira.
Bu Fang mengangguk dan berjalan ke arahnya. Sudah tentu dia tak akan lepaskan peluang untuk mendapatkan Herba Sej yang dia sudah biasa guna. Nilai herba itu sememangnya tak dapat dipertikaikan dan ia juga merupakan bahan istimewa yang jarang dijumpai.
Bu Fang berada hanya beberapa meter jauh dari Herba Sej Syurgawi itu bila dia keningnya berkerut kerana terdengar bunyi satu objek yang berlayar di udara.
Ekspresi Bu Fang tak berubah. Sambil dia mengibaskan tangannya, Pisau Dapur Tulang Naga yang nampak biasa itu muncul di tangannya dan dihayun ke arah kelibat yang menghampiri dengan laju.
Dengan kemunculan pisau itu, kelibat yang mengampirinya tiba-tiba kaku dan terbelah dua.
Darah merah tumpah di atas lantai, sementara badan yang terbelah dua itu terkokol-kokol.
"Hiss..." Bila Tang Yin nampak apa yang berlaku, dia menarik nafas dalam.
Itu binatang semangat kelas kelima, Ular Kapak Mata Lembing Berhantu! Binatang ini merupakan antara binatang semangat kelas kelima paling menyusahkan!
Selepas Bu Fang membunuh ular kapak itu, dia memutarkan pisaunya. Tak ada langsung debu atau darah yang melekat padanya. Pisau itu terus bertukar menjadi asap hijau dan kembali ke masuk ke dalam tanda di pergelangan tangan Bu Fang.
Dia menarik keluar Herba Sej. Herba yang penuh berisi itu padat dengan tenaga semangat. Walaupun ia tak sehebat Herba Sej yang disediakan sistem, kualitinya lebih bagus daripada apa yang diberikan oleh Putera Mahkota.
"Sistem, boleh tak kamu berikan saya fungsi tempat simpanan? Takkanlah kamu nak suruh saya bawa herba semangat ni dengan tangan, betul tak? Bahan yang saya akan tangkap nanti mungkin bersaiz besar. Kalau saya dapat tangkap sekalipun, saya tak boleh nak bawanya pulang." Bu Fang berkata kepada sistem.
Sistem tidak terus membalas dan diam seketika.
"Fungsi beg dimensi sedang diaktifkan. Pengaktifan bermula dalam kiraan 3, 2, 1… Pengaktifan selesai. Sekarang, Tuan boleh gunakan fungsi beg dimensi." Suara bersungguh sistem kedengaran.
Mulut Bu Fang tersenyum lebar. Dengan menggunakan tenaganya, Herba Sej di tangannya disimpan ke dalam beg dimensi. Kapasiti beg dimensi yang disediakan sistem itu bukannya kecil. Ruang di dalamnya sebesar sebuah kedai.
Selepas menyimpan Herba Sej dan bahan-bahan lain dalam beg dimensinya, kening Bu Fang berkerut dia memandang Tang Yin sekali lagi.
"Di mana bahan berkualiti tinggi yang kamu sebut tu?" Bu Fang bertanya tanpa ekspresi.
"Senior, tunggu sebentar… Binatang semangat itu ada dalam lembah ni!" Tang Yin membalas dengan segera. Dia tak berani menyakitkan hati Bu Fang. Sepanjang perjalanan, satu perasaan menakutkan yang tak dapat difahami datang dari Bu Fang.
"Abang Ngah! Tengok! Itu… Herba Darah Phoenix?!"
Tiba-tiba, Lu Xiaoxiao, yang berdiri di sebelah Tang Yin, menjerit seronok sambil menunjuk ke arah bukit di sebelah air terjun.
Herba Darah Phoenix? Apa bendanya tu? Bu Fang mengerutkan keningnya sambil memandang ke tempat yang ditunjukkan Lu Xiaoxiao. Dia nampak herba merah darah yang menyerupai bulu pelepah ekor burung phoenix yang beralun ditiup angin di atas bukit. Tenaga semangatnya yang padat dapat dirasai pada herba itu.
'Herba Darah Phoenix herba semangat kelas keenam. Menurut legenda, herba itu bermutasi selepas terkena darah Phoenix Purba. Sesiapa yang makan herba ini akan mendapat peluang untuk bangkit semula selepas gagal. Bahan ini sangat bagus untuk Masakan Eliksir. Sistem mencadangkan supaya Tuan mendapatkan bahan ini.'
Mata Bu Fang bersinar. Herba Darah Phoenix nampak bagus.
"Herba Darah Phoenix ni baru saja hendak matang. Bila tiba masanya, binatang-binatang semangat yang bersembunyi dalam lembah ini pasti akan muncul… Senior, binatang semangat yang kamu cari pasti akan muncul juga."
"Herba Darah Phoenix ni bahan yang bagus. Tak sangka saya dapat hadiah yang tak dijangka." Bu Fang berkata dengan senyuman. Herba Darah Phoenix itu beralun ditiup angin dan nampak lebih cantik. Tenaga semangatnya yang tebal meresap keluar ke kawasan sekeliling dan membentuk kabus putih.
Bila Lu Xiaoxiao mendengar kata-kata Bu Fang, ekspresinya berubah. Dia bertanya, "Senior… Kamu nak ambil Herba Darah Phoenix juga?"
Bu Fang mengerutkan keningnya dan menoleh dengan rasa hairan. Dia memandang Lu Xiaoxiao dan bertanya, "Salah ke?"
Selepas mendengar jawapannya, riak wajah Lu Xiaoxiao jadi tak senang. Pada masa yang sama, pergerakan naik turun tenaga semangat dapat dirasai dari dalam lembah dan aura menakutkan terus mengalir keluar.
Tiba-tiba, ekspresi Tang Yin berubah. Sambil dia memandang di sekelilingnya, sekumpulan kelibat binatang semangat sudah mengepung mereka tanpa disedari...