Memang betul! Bu Fang orang yang berkecil hati!
Dia bukan seorang lelaki budiman. Walaupun dia bercita-cita untuk menjadi Tuhan Masakan tetapi itu tidak mengubah hakikat dia hanyalah seorang manusia biasa dari Bumi.
"Sila nikmati hidangan ini," Tanpa emosi, Bu Fang berkata kepada Sun Qixiang yang tidak sabar-sabar melihat Nasi Goreng Telur itu.
"Berambus! Jangan ganggu waktu aku makan!" Sun Qixiang melambai tangan menghalau Bu Fang.
Bu Fang mengetap bibirnya dan berfikir. "Mari kita lihat jika kau masih boleh sombong selepas satu suapan."
Sun Qixiang tidak lagi memberi perhatian kepada Bu Fang dan mula untuk makan. Tiba-tiba, dia terfikir sesuatu dan berpaling kepada Xiao Yanyu yang sudah mengenakan vel. Gadis itu telah bertukar semula menjadi seorang gadis yang bermaruah dan anggun. Dia bertanya Xiao Yanyu, "Saya telah pesan banyak hidangan, mahu makan bersama saya?"
Xiao Yanyu tanpa disedari mengerut kening, teragak-agak sambil teringat rasa Nasi Goreng Telur tadi. Dia mahu memesan hidangan ini sekali lagi tetapi tidak mempunyai duit yang cukup. Lagipun, peraturan restoran hanya membenarkan satu hidangan untuk setiap pelanggan.
Ini satu cadangan yang baik jika seseorang mahu belanja dia makan.
Namun, sebelum Xiao Yanyu dapat menjawab, Bu Fang yang duduk berdekatan membuka mulut dan berkata, "Hanya pelanggan yang memesan Nasi Goreng Telur dapat makan hidangan itu. Jika orang lain makan, maka itu akan dianggap sebagai pelanggaran peraturan kami dan pelanggan itu akan dimasukkan ke senarai hitam."
"Apa?! Kau fikir aku takut? Jika aku mahu makan, siapa peduli peraturan kau, aku akan cari orang untuk belasah kau sehingga separuh mati, kemudian paksa kau memasak! Apa restoran kecil seperti ini boleh buat pada aku?! "
Sun Qixiang dengan marah merenung Bu Fang. Dia hampir boleh makan bersama dengan Xiao Yanyu yang cantik jika tidak diganggu tadi!
"Oh, ada satu lagi perkara yang saya terlupa beritahu, bukan sahaja kamu akan disenarai hitam, jika Xiao Yanyu juga makan sekali, dia juga akan disenarai hitam. Kamu mungkin tidak faham betapa serius senarai hitam itu, tetapi... tiada masalah untuk mencuba, "kata Bu Fang bersahaja.
Selepas Bu Fang selesai bercakap, Xiao Yanyu segera menolak ke tepi pelawaan Sun Qixiang untuk makan bersama.
Sun Qixiang mendengus. Dia tidak ambil berat langsung ancaman remeh Bu Fang itu. Bagaimana kaki perempuan seperti dia takut kepada cef sebuah restoran kecil? Jadi apa kalau dia disenarai hitam? Ini hanya satu jenaka kepadanya.
Sun Qixiang diam tidak menjawab. Apabila memandang hidangan lazat di hadapannya, seleranya tiba-tiba melonjak. Nasi Goreng Telur yang memancarkan cahaya keemasan begitu menyilaukan matanya.
Ketika dia mengaut sesudu Nasi Goreng Telur dengan sudu tembikar biru putih, aroma kaya yang datang daripadanya, seperti bom aromatik yang meletup dan menerjah ke rongga hidungnya. Hatinya tertawan.
Tanpa ragu-ragu dia menyuap sudu itu ke dalam mulutnya. Nasi seperti mutiara berguling di antara gigi dan lidahnya, seperti satu urutan sedang berlaku dalam mulutnya.
"Lazat!"
Mata Sun Qixiang bersinar sambil menyuap sudu demi sudu Nasi Goreng Telur ke dalam mulutnya tanpa henti.
Wajah tanpa ekspresi Bu Fang akhirnya tersenyum apabila dia melihat Sun Qixiang makan dengan gelojoh hidangan itu.
Xiao Yanyu sedang melihat Nasi Goreng Telur yang sedang dimakan oleh Sun Qixiang, apabila tiba-tiba dia terasa suatu kedinginan datang dari tubuh Bu Fang. Dengan pelik dia menoleh pada Bu Fang dan ternampak senyuman kaku yang muncul di wajahnya.
"Eh? Hmm? Dia... Dia sedang tersenyum?"
Xiao Yanyu rasa agak terkejut. Sejak dia masuk ke restoran ini, Bu Fang memberi satu imej seorang chef yang dingin dan angkuh. Sungguh sukar membayangkan dia tersenyum.
"Ah!!!"
Ketika tumpuannya Xiao Yanyu diberikan sepenuhnya pada Bu Fang, Sun Qixiang yang sedang menikmati hidangannya tiba-tiba berhenti makan dan matanya membesar.
Dalam beberapa saat, wajahnya berubah dari putih menjadi merah, kemudian merah ke ungu!
Dengan satu jeritan, Sun Qixiang membuka mulut dan nasi yang dimakan tadi dimuntahkan. Sambil meloncat-loncat, kedua-dua tangan memegang leher dengan lidah yang dijulurkan.
"Pedas... Pedas! Sangat pedas!"
Air mata Sun Qixiang mengalir kepanasan itu. Seluruh tubuhnya rasa seperti di belit sehingga dia mula mempersoal kewujudan dunia ini.
Bagaimana tahap kepedasan yang menakutkan seperti ini wujud di dunia?
"Air, aku perlu cari air!" Sun Qixiang berlari mengelilingi restoran kecil untuk mencari air. Rasa terbakar di dalam mulutnya membuatnya berasa seperti seluruh mulutnya mula kebas dan mukanya penuh dengan lelehan air mata.
Bu Fang yang sedang duduk di kerusi melihat Sun Qixiang berlari-lari tanpa minat.
Tiba-tiba, Sun Qixiang meluru ke dapur. Oleh kerana dia tidak dapat mencari air di kawasan itu, dia mahu masuk ke dapur untuk mencari air.
Baru sahaja Sun Qixiang mahu melangkah masuk, satu lengan mekanikal muncul, memegang dia dan melempar keluar.
"Dapur ialah kawasan yang terhad untuk kakitangan sahaja, orang luar tidak dibenarkan masuk."
Pembantu robot Bu Fang berdiri di pintu masuk dapur dan bercakap dengan suara mekanikal.
Xiao Yanyu dan Xiao Xiaolong tergamam menonton kejadian ini berlaku.
Xiao Yanyu tiba-tiba berpaling melihat Bu Fang. Dia berfikir, 'Adakah dia yang buat semua ini? Adakah ini cara dia membalas dendam? Menakutkan betul... Bagaimana dia boleh tambah cili yang mengerikan itu ke dalam makanan, tak ada hati perut!'
"Tuan muda... Air!"
Anak buah Sun Qixiang yang sudah boleh agak ketika memerhati kelakuan tuannya. Melihat Sun Qixiang meloncat-loncat mencari air, dia sudah pun berlari ke luar dan kembali dengan satu beg air.
Gulp gulp!
Sun Qixiang menghabiskan satu beg air itu sekaligus, sebelum rasa pedas di dalam mulutnya hilang. Dia bernasib baik dia tidak makan terlalu banyak, jika tidak, rasa itu akan bertahan lebih lama.
"Kau mahu menempah maut, berani kau mengubah makanan aku!" Sun Qixiang dengan marah membuang beg air kosong itu ke atas lantai.
Bu Fang tanpa perasaan, duduk di kerusi dan menunjuk pada hidangan. "Jika kamu tidak habiskan makanan ini, ia akan dianggap sebagai pembaziran makanan dan kamu akan disenarai hitamkan."
"Senarai hitam? Jangan cakap pasal senarai hitam bodoh kau! Aku akan tutup restoran kau hari ini!" Sun Qixiang berasa sangat marah sambil menunjuk Bu Fang dengan kipas kertasnya.
"Aku mahu hancurkan restoran ini!!"
Sun Qixiang mengarahkan anak buah yang berada di belakangnya.
Anak buah Sun Qixiang terus bersemangat kerana kerja menghancurkan kedai ialah perkara yang paling digemarinya. Dia mengangkat kerusi dengan penuh pengalaman dan bersedia untuk melemparkan ke arah satu meja. Tetapi, sebelum dia sempat membaling kerusi itu, dia terasa lengannya sedang dipatahkan.
Dia menjerit kesakitan. Sebuah robot muncul dari belakang, dengan mudah menghulurkan tangan dan mematahkan lengan anak buah Sun Qixiang.
"Pembuat masalah! Kamu telah dimasukkan ke dalam senarai hitam dan dengan ini dilarang daripada melangkah masuk ke Restoran Kecil Fang Fang." Suara mekanikal itu mengumum dengan serius.
Annak buah Sun Qixiang itu kemudian diangkat oleh robot dan dilemparkan keluar dari restoran dengan perlahan. Dia terjatuh muka dahulu ke lumpur, menjerit dalam kesakitan.
"Berani kau menentang aku?! Aku boleh dapatkan seratus orang dalam masa seminit untuk meruntuhkan restoran ini!"
Sun Qixiang menggigil marah, dia tidak percaya ada orang biasa berani menentang dia dalam bandar diraja ini.
"Si Putih, tanggalkan baju dia dan campak ke luar. Dia patut dihukum kerana membazir makanan." Bu Fang berdiri sambil menguap setelah mengarahkan robot berkenaan. Kemudian, dia menggumam sendirian, "Waktu berniaga hampir tamat, sudah tiba masanya untuk menutup kedai."
"Berani kau mengabaikan aku, aku seorang Maniak Pertempuran Kelas Ketiga, membunuh kau tak ada beza dengan menghancurkan seekor semut!" laung Sun Qixiang marah. Jubah berwarna-warni di tubuhnya mula beralun-alun dan sinaran cahaya keluar dari seluruh tubuhnya.
"Bang!"
Robot, Si Putih, menampar kepala Sun Qixiang, membuat dia tersembam ke lantai dan mengejutkannya, daya tulen yang dikumpulkan dalam tubuhnya terus hilang.
Selepas itu, bunyi kain yang dikoyak mula kedengaran di dalam restoran kecil itu!
"Celaka! Kau betul-betul bogelkan aku? Tahu tak siapa aku?! Aku ialah..."
"Bang!" Mata Si Putih bersinar dan menampar kepala Sun Qixiang sekali lagi, membuatkan dia pening.
Akhirnya baju Sun Qixiang berjaya ditanggalkan kecuali pakaian dalam dan semua benda berharga juga telah dirampas. Dengan perlahan dia dicampak ke luar restoran.
Sun Qixiang yang bingung, duduk di sana sambil menggigil kerana angin sejuk.
Kemudian dia tiba-tiba terdengar derap kaki dan sepasang kasut bercorak kulit naga emas muncul di sudut matanya ...
Zhao Ruge memandang Sun Qixiang yang hampir telanjang dan hanya memakai sekeping cawat dan membuat bunyi tsk-tsk.
"Bagaimana tuan muda Qixiang yang hebat berakhir dalam keadaan memalukan sebegini hanya kerana makanan?"