"Atuk… Pakcik menyuruh saya membawakan ini kepada kamu. Kami ingin mendoakan kamu mendapat kesejahteraan dan kehidupan yang baik."
Kapten Li tidak memberi banyak reaksi. Dia hanya tersenyum mesra dan berkata, "Kamu telah sediakan hadiah untuk atuk juga? Haha, ucapkan terima kasih kepada bapa saudaramu itu."
Golongan yang lebih tua harus sentiasa dihormati, jadi susunan untuk memberikan hadiah hendaklah bermula daripada datuk, kemudian barulah ibu mertuanya. Su Qianci melihat senyuman di wajah datuknya dan satu pandangan yang sukar ditafsir terlihat pada wajahnya. Pen itu bukan daripada bapa saudaranya, tetapi daripada dia sendiri.
Sebelum ini sewaktu dia membeli belah dengan Tang Mengying, dia amat tertarik dengan pen tersebut, jadi Tang Mengying telah mendesak dia untuk membelinya. Dia telah menghabiskan lebih daripada seratus dolar untuk pen tersebut, tetapi tidak pernah menggunakannya.
Namun selepas itu, Tang Mengying menggunakannya untuk menyebarkan kepada orang lain bahawa Su Qianci adalah seorang yang kuat berbelanja. Sekarang, dia akan memberikan pen itu dan berbohong di hadapan Tang Mengying. Berdasarkan apa yang dia tahu tentang Tang Mengying...
"Ah…" Tang Mengying kelihatan terkejut lalu berkata, "Bukankah ini pen yang saya temankan kamu membelinya ketika saya baru pulang ke sini? Bagaimana pula ia boleh menjadi daripada bapa saudara kamu?"
Sudah tentu. Seseorang seperti Tang Mengying tidak akan melepaskan peluang untuk mengenakannya. Su Qianci berpura-pura malu dan tergagap-gagap untuk bercakap. Tang Mengying yang melihatnya terus berkata dengan 'baik hati', "Mungkin saya tersalah ingat. Mungkin bungkusannya sahaja kelihatan serupa. Ia bukan pen yang kamu telah bayar sebanyak lebih daripada seratus dolar tanpa berfikir panjang itu, bukan?
"Lebih daripada seratus dolar"
"tanpa berfikir panjang?"
Mendengar kata-kata tersebut, dahi Puan Li dan Kapten Li sedikit berkerut.
Su Qianci terus menggelengkan kepalanya. "Tanpa berfikir panjang? Tidak, saya telah memilihnya dengan teliti…" Dengan serta merta, dia menutup mulutnya dengan wajah kelihatan bersalah.
Tang Mengying mendengarnya dan menyalahkan Su Qianci, "Qianci, mengapa kamu…"
Walapun Tang Mengying menghentikan percakapannya, dia meninggalkan lebih banyak ruang untuk orang lain berfikir bukan-bukan.
Su Qianci tahu bahawa muslihatnya telah berjaya. Itulah apa yang Su Qianci mahukan. Su Qianci berpura-pura gementar dan berkata perlahan, "Saya…"
Tuan Li merenung Su Qianci dan mulai membuka bungkusan hadiah tersebut. Di dalamnya ada sebatang pen berwarna hitam, sejuk dan berat tatkala dipegang. Bahagian badan dan hujung pen tersebut dihiasi berlian yang membuatkannya kelihatan begitu elegan.
Kapten Li tersenyum dengan gembira dan berkata, "Citarasa yang bagus. Kamu yang pilih pen ini?"
Su Qianci hanya mengangguk, mukanya menjadi merah padam. Dia berkata, "Rekaan pen ini kelihatan ringkas, tetapi ia mempunyai banyak makna yang tersendiri. Ia melambangkan ketenangan yang membuatkan saya rasa ia sangat padan dengan atuk. Itulah sebabnya saya…"
Dia sedang mengampu dalam diam dan membuatkan Kapten Li tersenyum lebih lebar.
"Kamu hanya memberikan sebuah hadiah. Mengapa kamu perlu menggunakan nama pakcik kamu? Kamu menjatuhkan maruah keluarga Li dengan berbohong di hadapan ramai orang," Puan Tang memandang ke arah Su Qianci dengan perasaan benci.
"Ia disebabkan saya tahu bahawa atuk seorang yang berjimat-cermat. Jika atuk tahu yang saya telah berbelanja besar untuk pen ini, atuk tidak akan menyukainya. Oleh itu saya mengatakan ia daripada pakcik yang pasti tidak akan tahu tentang perkara ini," Su Qianci memandang ke arah Kapten Li dengan takut-takut, "Atuk, atuk tidak marah kepada saya, kan?
"Oh, Qianqian!" Kapten Li berkata, "Atuk telah melihat ramai orang yang mengaku hak milik orang lain sebagai milik mereka sendiri. Tetapi kamu pula sebaliknya…"