"Mana bos kau ni Tasya? Masa cuti dia mungkir janji. Masa kerja macam ni lah dia nak jumpa." Safiyah bercekak pinggang.
Safiyah yang mengambil cuti secara tiba-tiba di pagi hari rabu itu. Rai mengajaknya bertemu di salah sebuah restoran, menggantikan janji temannya yang tidak tertunaikan di pagi hari ahad yang lalu.
Dia duduk di salah sebuah meja yang terletak di penjuru restoran itu dengan penuh ketegangan. Tasya yang sedang duduk berhadapan dengannya itu pula berulang kali cuba menenangkan emosinya.
"Sabar Fiy… aku pun tak tahu dia tiba-tiba nak jumpa kau pagi-pagi buta macam ni. Dia kata aje penting untuk kau sebagai seorang Pemimpi."
"Banyaklah dia punya Pemimpi. Kau tau apa director aku cakap tadi lepas Rai call dia? Dia minta aku make up cantik-cantik sebab Rai nak jumpa. Director aku jual aku sebab bos kau tau!"
Tasya tergelak kuat mendengar keluhan Safiyah.
"Fiy… okey la tu. Bos aku kaya tau. Kalau kau kahwin dengan dia, kau dah jadi macam heroin dalam novel melayu tu. Wanita biasa yang kahwin dengan bos yang kaya raya dan terkenal. Kau dah up sikit dari aku."
"Tasya!!!" Safiyah menggenggam kedua tangannya penuh geram. Sesudah Dr. Azwan, sahabatnya itu pula menjodoh-jodohkan dia dengan Rai. "Aku rela jadi wanita biasa tau dari kahwin dengan bos kau yang tak ada adab tu."
"Siapa yang tak ada adab?" seorang wanita berambut perang dan panjang, berpakaian serba hijau mengejutkan mereka berdua.
Kedua insan menoleh. Terlihat, wajah wanita itu cantik dengan kulitnya yang putih bersih namun terlihat bengis. Keningnya yang seakan dilukis itu menunjukkan yang karakter wanita itu mempunyai emosi yang tidak menentu.
"Kak…" Tasya tergamam.
"Kakak mana ni Tasya?" bisik Safiyah.
Wanita itu mencapai kerusi yang terletak di antara Safiyah dan Tasya. Punggung dihenyakkan di atas kerusi itu tanpa menghiraukan reaksi mereka berdua.
"Aku Suraya. Rai minta aku datang sini gantikan dia. Dia tak dapat datang." jelas wanita itu dengan tegasnya.
"Kak… Suraya?" soal Safiyah.
Suraya memandang tajam wajah safiyah.
"Habis? Aku sebut nama siapa tadi?"
Safiyah tersentak. Keberanian yang dia katakan sebelum ini menghilang sekelip mata.
"Bukannya… bos kata yang dia…" Tasya cuba mengajukan soalan.
"Dia kata dia tak datang kan, aku dah kata tadi. Kau nak apa lagi?" Suraya mengerutkan dahi.
Tasya tertunduk. Suasana sepi seketika apabila dia dan Safiyah mulai mendiamkan diri.
"Aku ni orangnya yang singkat dan padat. Tanya benda yang penting, jangan tanya benda yang aku dah terangkan." jelas Suraya.
Safiyah dan Tasya mengangguk-angguk.
"Tanyalah!" Suraya meninggikan nada suaranya.
Tasya dengan pantas menoleh ke arah Safiyah.
"Fiy… kau ada soalan kan. Kau kan Pemimpi?" Tasya tersenyum sinis.
Safiyah mengerutkan dahi. Akalnya mula ligat berfikir untuk mencari soalan dalam keterpaksaan.
"Kau Pemimpi baru tu kan. Tahniah. Sekarang, apa benda yang Rai tak bagi tahu kau lagi?" soal Suraya.
"Sebenarnya…"
"Kak. Order apa?" Tanpa mereka bertiga sedari, seorang pelayan wanita datang menghampiri mereka.
"Bagi aku milo ais. Aku tak makan." jawab Suraya.
"Saya teh ais. Saya tak makan juga." jawab Tasya.
"Sama." jawab Safiyah ringkas. Terkesan dengan ketegasan yang Suraya tunjukkan.
Pelayan wanita itu mengangguk seraya bergerak pergi daripada meja mereka bertiga.
"Sambung semula apa kau nak tanya tadi." arah Suraya.
Safiyah kembali fokus memandang Suraya.
"Saya… erm…"
"Cakap aje lah. Aku tak bunuh orang."
Untuk yang kali kedua, Safiyah dan Tasya tergamam. Ternyata, garangnya Suraya tidaklah sepertimana yang Tasya jelaskan. Ianya lebih daripada apa yang diperkatakan.
"Pemimpi… bunuh Pemimpi?" soal Safiyah.
"Pemimpi… bunuh Pemimpi…" Suraya berdiam diri, cuba merungkai persoalan yang Safiyah ajukan. "Sebelum tu, Rai ada kata macam mana Pemimpi boleh bawa Pemimpi yang lain masuk dalam Alafun Ain?"
"Erm… dia kata… sebab gelombang otak. Lepastu, ada satu jalur ghaib atau signal yang menghubungkan otak-otak Pemimpi dalam Alafun Ain."
Suraya mengangguk-angguk.
"Sebenarnya… yang menghubungkan otak Pemimpi dalam Alafun Ain tu pun adalah gelombang otak. Tapi, gelombang otak tu tak boleh dibaca oleh teknologi dan dilihat oleh manusia. Ianya yang digelar ghaib. Kau dah tahu apa nama gelombang otak yang mampu mencipta mimpi tu?"
Safiyah mengangguk.
"Kata Tasya… gelombang otak dengan nilai 201Hz yang digelar Alafun Ain. Kan?"
Suraya menoleh ke arah Tasya. Tasya menangguk membenarkan penjelasan Safiyah.
"Saya ada buat research sikit tentang Alafun Ain ni. Ada ilmuan yang kata, gelombang otak 201Hz tu menghilang lepas Alafun Ain diwujudkan dan otak Pemimpi menghasilkan gelombang otak seperti biasa." terang Tasya.
Suraya menggelengkan kepalanya menafikan penjelasan Tasya.
"Maksud… kak Suraya?" soal Safiyah.
"Maksud aku… research kau tu ada yang kurang. Apabila gelombang otak tu telah mewujudkan Alafun Ain dalam otak Pemimpi, gelombang otak tu tak akan menghilang. Dia ada cuma tak boleh dinampak walaupun guna teknologi yang canggih. Gelombang otak tu lah yang berubah menjadi jalur ghaib yang menghubungkan otak-otak Pemimpi. Atau lebih senang untuk difahami, gelombang otak yang laju tu yang akan menjadi senjata para Pemimpi menyerang otak musuh dia."
"Sebab tu… Pemimpi boleh bunuh Pemimpi?"
Suraya mengangguk.
"Gelombang otak tu akan berfungsi seperti sihir, ghaib tapi membunuh. Gelombang otak ni juga boleh membunuh otak musuh dia dengan cara memusnahkan gelombang otak atau fungsi otak orang lain sehingga boleh menyebabkan otak musuh dia tu mati. Selain tu, gelombang otak ni boleh menghantar maklumat palsu kepada otak orang lain seperti sakitnya dibunuh, tubuh terbelah dua ataupun perkara-perkara ngeri yang lain."
"Itu yang… memberi kesan kepada otak Pemimpi yang lain sehingga boleh menyebabkan koma, pendarahan tidak jelas dan… mati?" soal Safiyah.
"Itu kan yang aku terangkan tadi?" Suraya mengerutkan dahi. "Senang cerita, Pemimpi ni adalah manusia luar biasa atau psikik. Dia orang ada gelombang otak yang boleh digunakan untuk mencederakan otak orang lain dengan syarat, Pemimpi perlu menggunakan medium Alafun Ain atau alam mimpi."
Safiyah dan Tasya mengangguk-angguk. Faham dalam masa yang merasakan suatu kengerian tentang Alafun Ain.
"Jika seorang Pemimpi boleh menyerang Pemimpi yang lain… itu juga bermaksud, Pemimpi boleh menyerang manusia biasa dengan cara memaksa manusia biasa tu masuk dalam Alafun Ain." terang Suraya.
"Paksa!" Safiyah dan Tasya tergamam.
"Mmm… paksa. Pemimpi boleh menyerang otak manusia biasa hanya dengan menggunakan pandangan kedua mata ataupun melalui sentuhan. Ianya sama sepertimana pukau atau hipnotis berlangsung. Apabila berlakunya contact tubuh di antara si Pemimpi dengan manusia tersebut, si Pemimpi boleh memaksa otak manusia itu untuk masuk ke alam Alafun Ain yang dia telah ciptakan. Manusia biasa tu akan terhubung dengan Alafun Ain melalui gelombang otak 201Hz yang dialirkan oleh si Pemimpi ke otak si manusia biasa kerana contact tubuh yang aku katakan tadi."
Akal Safiyah dan Tasya semakin sukar menerima hakikat alam mimpi yang berada di luar kotak fikiran tersebut. Kekeliruan membuai-buai fikiran mereka berdua.
"Jika manusia biasa dipaksa masuk ke alam Alafun Ain, ada dua kesan yang akan berlaku. Pertama, manusia itu tidak akan mengingati semua kejadian yang berlaku sewaktu dia berada dalam alam Alafun Ain kerana dia hanya akan beranggapan bahawa Alafun Ain ni hanyalah hayalan dan mimpi dia. Kedua, jika si Pemimpi menyerang manusia tu, kesannya sama sepertimana dia menyerang seorang Pemimpi." sambung Suraya.
"Koma… dan mati…" Safiyah dan Tasya tergamam kembali.
"Cumanya, manusia biasa tak akan mampu melindungi diri mereka sendiri apabila diserang oleh Pemimpi ataupun menyerang Pemimpi kerana mereka tak ada kekuatan gelombang otak yang sama macam Pemimpi. Sekarang, aku dah jawab soalan kau macam mana Pemimpi boleh bunuh Pemimpi. Aku bagi extra lagi, macam mana Pemimpi boleh menyerang manusia biasa. Soalan kau yang seterusnya."
Safiyah kembali tersedar. Dia menggeleng kecil meletakkan fokusnya semula ke arah Suraya.
"Erm… apa kelebihan… yang membuatkan Pemimpi boleh mencederakan otak orang lain dalam Alafun Ain?"
Suraya menghela nafas yang panjang. Pada masa yang sama, pelayan membawa air yang mereka pesan sebentar tadi. Seketika, Suraya membiarkan terlebih dahulu pelayan itu menghidangkan air terbut pada mereka bertiga. Setelah pelayan itu berlalu pergi, dia menghirup sedikit airnya.
"Mmm… sedap air ni. Apa soalan kau tadi?" Suraya menyoal kembali.
"Kelebihan Pemimpi dalam Alafun Ain kak." jawab Tasya.
"Haah. Kelebihan tu. Kelebihan tu dibahagi kepada dua. Pertama kelebihan yang setiap Pemimpi ada iaitu Lucid Dream. Setiap Pemimpi bebas mencipta sesuatu dalam Alafun Ain berdasarkan imiginasi dia sendiri. Imiginasi tu akan terhasil dengan syarat, Pemimpi perlu melafaz kata-kata yang jelas."
"Contohnya kak?" soal Safiyah.
"Contohnya… kau berimiginasi untuk mencipta seekor katak yang lidahnya beracun. Kau perlu jelaskan secara terperinci ciri-ciri katak yang kau inginkan. Seekor katak menjelma di hadapan tubuhku. Sentuhan lidahnya sangat beracun. Macam tu. Kalau kau sebut katak aje, katak aje lah yang muncul. Kau nak buat apa dengan katak yang tak ada perasaan dan tak boleh menyerang musuh kau." Suraya tergelak kecil.
Safiyah dan Tasya juga turut tergelak dengan gurauan Suraya itu.
"Tapi, Alafun Ain mengenakan syarat pada imaginasi yang kita cipta. Setiap imaginasi perlulah logik seperti di alam nyata ni dan ianya akan terhasil sebatas kekuatan imaginasi kau."
"Apa maksud dia?" soal Tasya.
"Maksud dia… kerana Alafun Ain tercipta sewaktu pemikiran kita masih terhubung dengan realiti, apa sahaja yang kita cuba cipta dalam Alafun Ain perlulah logik macam dalam alam nyata. Kau tak boleh mencipta seekor katak yang ada sayap. Benda tu tak logik dan Alafun Ain tak akan menghasilkannya."
Safiyah menangguk-angguk.
"Sebatas kekuatan imaginasi tu pula?"
"Tu maksud dia… manusia tak akan mampu membayangkan sesuatu yang diluar kotak pemikiran dia. Contohnya, letupan nuklear. Kau tak akan mampu membayangkan peluru nuklear tu berguguran ke bumi, lepastu bom nuklear tu meletup sekali dengan kau mati. Mustahil." Suraya tergelak lagi.
Bahkan Safiyah dan Tasya turut terikut dengan rentaknya. Ternyata, dalam garangnya tenaga pengajar Safiyah itu, ada kalanya dia mampu untuk bergurau.
"Sebelum aku terangkan yang kelebihan yang kedua, aku nak terangkan tentang perbezaan masa dalam Alafun Ain dengan empat cara untuk keluar daripada Alafun Ain."
"Tiga cara tu Rai dah jelaskan kak." balas Safiyah.
"Tiga? Empat kan aku kata?" Suraya mengerutkan dahi.
"Empat? Rai kata tiga." balas Safiyah lagi.
Suraya dibuai kejutan.
"Ermmm… mungkin cara yang keempat tu cara yang paling sadis. Sebab tu Rai tak nak bagi tahu. Kalau macam tu, aku jelaskan aje lah tempoh masa dalam Alafun Ain dengan alam realiti. Tempoh masa dalam Alafun Ain sejam, ianya sama dengan lima minit dekat alam realiti."
Safiyah mula mengimbas kembali memorinya dikejutkan sewaktu Rai membawanya masuk ke alam Alafun Ain. Serasa, dirinya seakan berada dalam Alafun Ain selama setengah jam. Lalu setelah Tasya mengejutkan dia di alam nyata, Tasya menjelaskan bahawa baru dua minit lebih dia menghilang di alam realiti. Safiyah dan Tasya berpandangan muka.
"Kenapa dengan kau orang berdua?" soal Suraya.
"Tak ada kak." Safiyah dan Tasya menggeleng kecil.
"Kalau tak ada, aku nak bawa kau masuk dalam Alafun Ain. Aku nak ajarkan kau cara hidup dalam tu."
Kedua mata Safiyah bersinar dengan penuh keterujaan.
"Saya kak?" soal Tasya.
"Kau tak boleh masuk. Kau kena kejutkan kawan kau ni lepas lima minit kepala dia tak gerak-gerak. Kau genggam tangan kanan dia. Cara tu, cara yang paling senang nak guna. Caranya vivid dream. Boleh?"
Tasya mengangguk. "Macam cara yang bos ajar tu kan. Boleh." jawabnya.
"Maksudnya kak, kita sejam la dalam tu? Lepas…" soal Safiyah.
Tak!
Tanpa sempat Safiyah menyambung bicaranya. Suraya mencipta Alafun Ain dan memindahkan mereka berdua sekelip mata ke alam mimpi tersebut dalam kepantasan sekelip mata.