Gu Ying dan Ning Rui tidak menyangka Jun Xie akan memberikan reaksi sebegitu. Situasi yang mereka bayangkan dan ingin lihat langsung tidak terjadi.
Gu Ying berdiri dengan kecewa. Dia memandang Ning Rui dan berkata, "Jenaka kejam kamu tu akhirnya tak ada hasil pun." Sebaik meluahkan kata-kata itu, Gu Ying berlalu pergi untuk mendapatkan Jun Wu Xie.
Wajah Ning Rui menjadi herot kerana marah. Mulutnya menggerenyet tanpa henti. Tiba-tiba dia bingkas bangun dari kerusinya dan menterbalikkan meja. Semua lauk-pauk dan sup di atas meja itu tumpah ke atas Fan Jin.
Fan Jin terbaring di atas tanah sambil badannya menggigil dengan kuat.
"Hantar dia balik ke sana! Jangan lupa bersihkan dia dan ganti pakaiannya. Pastikan Wen Xin Han tak menyedari apa-apa," bentak Ning Rui sambil mengetap gigi.
Gongcheng Lei tersentak tapi cepat-cepat mengangguk. Kemudian dia mengheret Fan Jin yang berbau busuk itu pergi dari situ.
Sebaik Jun Wu Xie sampai kembali ke hutan buluh itu, dia masuk ke biliknya lalu menutup pintu. Gu Ying datang dan mahu berbual-bual seketika tetapi Jun Wu Xie menolak dengan tegas.
Setelah mendengar bunyi tapak kaki Gu Ying berlalu pergi dari sebalik pintu, Jun Wu Xie duduk di kerusi. Dia terasa seperti tercungap-cungap disebabkan kemarahan yang membara di dalam dadanya. Hampir-hampir sahaja dia hilang kawalan. Penumbuknya yang digenggam erat itu diletakkan ke atas meja. Jun Wu XIe menyedari yang kukunya menusuk tapak tangannya dengan begitu kuat sehinggakan darah mengalir keluar.
"Meow." Hitam Kecil muncul dan dapat mengesan kemarahan membara di dalam hati Jun Wu Xie. Kucing hitam kecil itu berjalan mendekatinya dan mula meleset-leset di tangan serta menjilat-jilat luka Jun Wu Xie untuk menenangkannya.
"Saya tersilap," kata Jun Wu Xie secara tiba-tiba.
Hitam Kecil duduk di atas meja lalu memandang mata Jun Wu Xie yang kelihatan dingin.
"Sepatutnya saya aturkan untuk bertemu dengan Wen Xin Han malam ini. Jun Wu Xie tak faham mengapa dia begitu marah. Dia merasakan seolah-olah ada seketul batu yang besar sedang menekan dadanya. Kalau diikutkan kata hatinya, mahu sahaja Jun Wu Xie terus meluru mendapatkan Ning Rui ketika ini dan merobek-robeknya sehingga berkecai.
"Semuanya akan berakhir esok. Akan berakhir esok. Sebaik tiba hari esok, Cik akan dapat jawapan yang jelas sama ada orang Alam Pertengahan yang lain ada di Akademi Zephyr atau tidak. Kemudian Cik boleh bertindak." Hitam Kecil terus meleset-leset di lengan Jun Wu Xie. Selain dapat merasakan kemarahan Jun Wu Xie, Hitam Kecil juga dapat mengesan niat membunuh yang Jun Wu Xie sedang mencuba sedaya upaya sembunyikan.
Jun Wu Xie menarik nafas dalam-dalam untuk cuba meredakan niat membunuh yang sedang membara di dalam hatinya.
[Esok, tunggu sajalah hari esok!]
…..
Awal pagi esoknya, Gu Ying datang ke bilik Jun Wu Xie dan mengetuk pintu. Jun Wu Xie sudah pun dapat menenangkan diri sebaik terlihat kehadiran Gu Ying. Wajah Jun Wu Xie sudah tenang dan tidak berperasaan seperti sebelum ini.
Mereka berdua kemudiannya bergerak menuju fakulti Pemulih Roh. Jun Wu Xie sekali lagi meminta untuk bercakap sendirian dengan Gu Li Sheng. Gu Ying hanya mengangkat bahunya dengan selamba tanpa membantah.
Sewaktu Gu Ying meninggalkan hutan buluh kecil itu semalam dan pergi ke fakulti Pemulih Roh, dia tidak menemui apa-apa yang pelik. Dia tidak fikir yang Jun Xie hanya berbual-bual kosong dengan Gu Li Sheng tetapi Jun Xie berjaya menyembunyikan hal itu dengan baik. Gu Ying masih tidak dapat menemui sasaran sebenar Jun Xie. Kini Gu Ying mengikut sahaja kehendak Jun Xie untuk menggalakkan pemuda itu memulakan langkah.
Tetapi Gu Ying tak tahu yang Jun Wu Xie sentiasa berhati-hati dan teliti dalam membuat perancangan. Jun Wu Xie tidak akan benarkan Gu Ying mendapat masa yang cukup untuk menemui atau mengesan apa-apa daripadanya.
Jun Wu Xie berseorangan masuk ke pejabat Gu Li Sheng. Gu Ying meninjau keadaan di sekeliling pejabat. Setelah mendapati hanya Gu Li Sheng berada di situ, Gu Ying tersenyum dan menggumam seketika sebelum berlalu pergi.
Sebaik pintu itu ditutup, senyuman kaku di wajah Gu Li Sheng terus lenyap. Dia berjalan ke pintu lalu menekapkan telinganya ke pintu sambil mendengar dengan teliti. Setelah memastikan Gu Ying tidak berada di pintu untuk mencuri dengar perbualan mereka barulah Gu Li Sheng akhirnya mengeluh lega dan dapat memberikan senyuman yang ikhlas pada Jun Wu Xie.
"Kamu ni Jun Xie?" Satu suara yang aneh bergema di dalam mindanya. Jun Wu Xie mengangkat kepalanya dan tiba-tiba terlihat Wen Xin Han yang memakai jubah berwarna biru berjalan keluar dari satu rak buku yang tertutup rapat.