Télécharger l’application
73.8% Sfera / Chapter 31: Cowboy

Chapitre 31: Cowboy

Kegagalan temubual dengan Diana Sinclair memaksa kami melipat gandakan usaha untuk mencari isi yang menarik untuk diletakkan di dalam edisi terbaru Hey.

Dalam masa yang sama Diana Sinclair sentiasa hadir dalam fikiranku. Untuk beberapa hari, aku tidak henti-henti memikirkan tentang Diana Sinclair. Aku akui kecewa dengan apa yang berlaku di antara aku dan Diana. Entah di mana silapnya, temubual yang dirancang tidak menjadi. Apabila Daniel menghubungi pengurus Diana Sinclair, untuk mendapatkan penjelasan, dia memberitahu dengan selamba "Sepatutnya dia bertanya soalan yang lebih berfaedah dari soalan-soalan yang 'agak kurang cerdik'" atau dalam kata lain, dia cuba untuk mengatakan bahawa soalan-soalan yang aku halakan kepada Diana itu adalah soalan-soalan yang bodoh.

"Dalam kata lain, dia bengang dengan soalan-soalan kaulah..."

"Macam itulah nampaknya Gina."

"Okey. Tidak mengapa, nanti bila sudah sampai di KL kita sambung lagi cerita ini"

"Kau hendak aku tunggu pukul berapa nanti?"

"Pukul 11 okey?"

"Okey. Nanti aku tunggu kau"

"Jangan tidak datang pula Aku beli banyak barang dari Sarawak ini"

Pada keesokan hari, selepas mendapat izin dari Daniel, aku keluar awal dari pejabat dan terus menuju ke lapangan terbang.

Setengah jam dari waktu yang dijanjikan, aku tiba di lapangan terbang. Selepas mencari tempat yang sesuai untuk menunggu ketibaan Gina, aku mengeluarkan fail berisi draf yang ditunjukkan oleh Daniel kepadaku awal hari itu. Tujuanku adalah untuk melihat mana-mana bahagian yang perlu diperbaiki. Namun, belum sempat aku membaca walau satu baris ayat, seorang lelaki menegurku dari belakang. Aku segera menoleh. Betapa terkejutnya aku apabila melihat wajah lelaki itu. Aku dapat rasakan darahku naik ke muka.

"Norman?" kataku. Mataku tidak berkelip-kelip memandangnya. Bagaikan tidak percaya dia sedang berdiri di hadapanku.

"Ya. Ini saya Marina. Awak tidak bermimpi" Norman melayang-layangkan tangannya dengan lembut pada wajahku. Aku mentertawakan diriku yang serta-merta terkesima ketika itu. Norman berjalan ke hadapan dan mengambil tempat di sebelahku.

"Awak buat apa di sini Marina?"

"Tunggu kawan"

"Gina?" Norman meneka.

"Ya. Betul Gina" jawabku mengiakan tekaan Norman.

"Dia dari mana?"

"Dari Sarawak"

"Oh." Norman mengangguk. Tanda faham.

Buat seketika kami terdiam. Aku mula terfikirkan sesuatu. Inikah respon yang patut aku beri pada seorang lelaki yang telah memutuskan hubungannya denganku secara tiba-tiba?

"Awak pula dari mana Norman?"

"Dari Texas"

"Texas? Awak serius?"

"Ya" jawab Norman mengangguk.

"Wah! Kenapa pergi ke tempat Cowboy itu?"

"Haha! Makan Angin. Manalah tahu sangkut dengan mana-mana cowgirl" jawab Norman. Kemudian dia ketawa nakal. Aku pula hanya tersenyum.

"Jadi bagaimana dengan hidup awak sekarang Marina?"

"Biasa-biasa sahaja. Macam dahulu juga."

"Pasti awak seronok bekerja di Hey bukan?" aku tersenyum mendengar kata-kata Norman. Aku sangkakan selepas perpisahan kami, dia tidak lagi mengambil peduli akan apa yang terjadi padaku.

"Ya. Bolehlah. Banyak timba pengalaman baru" aku menjawab ringkas.

"Oh ya. Sebenarnya, apa yang awak buat di Texas? Benar awak cari jodoh dengan cowgirl?" tanyaku. Sengaja mahu bersenda.

"Hahaha! Lucu benar awak Marina. Saya cari peluang perniagaan di sana. Kalau jodoh di Malaysia pun boleh cari."

"Jadi bagaimana?" tanyaku lagi.

"Apa?"

"Sudah jumpa apa yang di cari?"

"Perniagaan atau jodoh?"

"Haha! Perniagaanlah."

"Bolehlah. Ada beberapa tempat yang nampak berpotensi"

"Hmmm... Texas? Jarang saya dengar orang kita cari peluang di Texas. Selalunya kalau di Amerika Syarikat, orang suka pilih tempat seperti D.C, New York, California. Tetapi awak pilih Texas"

Norman hanya tersenyum. Untuk seminit dua, kami kembali diam. Norman nyata tidak mahu menjelaskan alasannya memilih Texas kepadaku.

"Jodoh pula bagaimana?" aku memberanikan diri bertanya walaupun Norman nampak jelas tidak begitu menyenanginya. Namun, dia bijak menyembunyikan perasaannya. Dia hanya tertawa kecil.

"Saya hantar banyak surat lamaran tetapi sampai sekarang masih belum ada jawapan daripada mereka. Mungkin awak boleh bantu saya Marina

"Maaflah. Saya bukan pakar dalam hal-hal ini. Tetapi kenapa perlu hantar surat lamaran? Itu tidak gentleman okey"

"Eh itu Gina!" Norman menunjuk kepada Gina yang sedang berjalan menuju ke arah kami. Gina membesarkan matanya apabila dia melihat kelibat Norman di situ. Riak mukanya seolah-olah bertanya kepadaku 'Apa yang sedang berlaku di sini?'

"Helo kamu berdua. Amboi. Bukan main seronok lagi berbual. Memang sudah berjanji untuk berjumpa di sinikah?"

"Eh. Tidak. Kami baru sahaja terserempak tadi" jelasku. Sedikit gugup kerana aku tahu Gina kurang percaya dengan apa yang aku katakan ketika itu.

"Bagaimana dengan emak dan ayah kau Gina?" tanya Norman.

"Baik-baik sahaja. "

"Ha. Balik Sarawak ini mesti mereka bincang pasal kau bukan? Pasal kahwin" Norman meneka.

"Apa kau ingat mereka hendak fikir pasal jodoh aku sahajakah? Banyak lagi benda lain yang hendak difikirkan. Aku cuma cuti biasa sahaja,"

"Jadi mereka tidak pernah bising tentang itu?"

"Ada juga. Tetapi aku hanya beri jawapan-jawapan standard 'belum jumpa yang sesuai' 'Kurang itu' 'kurang ini'... "

Sambil Norman dan Gina berbual itu dan ini mengenai hidup masing-masing, kami perlahan-lahan bergerak menuju ke arah bulatan menunggu teksi. Ketika itu ada beberapa orang yang sedang beratur menunggu teksi.

"Oh ya. Tentang jawapan-jawapan standard yang kau beri pada ibu dan bapa kau. Hhhmm... Aku rasa dari dahulu itu sahaja jawapan kau bukan?"soal Norman. Sekali lagi membangkitkan isu jodoh Gina.

"Hei. Perkara macam ini perlukan masa. Mana boleh main redah sahaja. Ha! Kau tanya aku macam-macam. Kau pula bagaimana?" tanya Gina sambil mencekak pinggang.

"Eh. Lelaki lain. Makin tua makin laku" jawab Norman seolah-olah bangga dengan kenyataan yang baru dikatakannya.

"Ceh! Kau ingat perempuan tidak laku bila sudah berusia? Ha? Kau tidak pernah dengar tentang kugar?"

Apabila aku terdengar sahaja perkataan 'kugar' dari mulut Gina, hatiku mula berkata-kata 'Oh. Tidak. Bukan di sini. Jangan bincang semua ini di sini'

"Jadi kau hendak jadi kugar?" tanya Norman

"Tidak salah bukan?"

"Gina.. Aku rasa kau amat jelas sekali apabila seorang perempuan mencapai peringkat umur tertentu tahap seksual..."

"Norman. Gina. Malulah orang dengar!" aku yang sedari mula hanya memerhatikan sahaja gelagat mereka mencelah apabila mereka mula bercakap tentang isu yang aku kira akan membawa mereka ke arah perbualan mengenai topik-topik yang tabu.

"Yalah! Norman ini buat malu sahaja! Kau yang mulakan semuanya"

"Eh, tidak ada apa-apakah untuk kami?" Pinta Gina.

"Ah! Kau dari dahulu kalau aku balik sahaja dari mana-mana mesti tagih buah tangan!"

Norman membuka beg dan mengambil sebuah kotak kecil bewarna hijau. Dia memandang ke arahku.

"Nah!" dihulurkan kotak itu ke tangan Gina.

"Huh! Sebenarnya buah tangan itu bukan untuk kau tetapi untuk awek aku!" kata Norman.

Namun Gina tidak peduli. Dia tahu Norman hanya bergurau. Dengan perasaan yang teruja, Gina membuka kotak itu bagi melihat isi di dalamnya.

"Wow! Ukiran kapal dari kayu!" kata Gina teruja. Untuk beberapa saat, mulutnya terlopong.

Aku akui ianya amat cantik. Tetapi aku cuba mengawal perasaan terujaku. Di saat itu, terdetik juga di dalam hatiku jika tidak kerana Gina, mungkin Norman akan memberikan kapal itu kepadaku.

"Serius kau hendak hadiahkan kapal ini pada aku?" tanya Gina.

"Yalah. Kalau kau tidak mahu. Beri semula pada aku"

"Ish! Mana boleh. Buruk siku namanya. Ha!Marina pula bagaimana Norman? Tiada apa-apa untuk dia?" Gina menjeling ke arahku.

"Eh. Itu ada teksi."Norman menunjuk ke arah teksi yang sedang menyusur perlahan ke arah kami yang berada di hadapan barisan menunggu. Tanpa dipinta, Norman membantu kami memasukkan beg ke bonet.

"Jaga diri semua" Norman menutup pintu teksi sambil melambaikan tangannya.

Kami membalas lambaian itu.

Aku dan Gina menyandarkan badan ke kerusi.

"Huh... penatnya" kata Gina. Dia memejamkan mata.

"Marina. Kau perlu jelaskan apa yang berlaku tadi" kata Gina. Matanya masih tertutup.

"Okey. Aku sebenarnya..."

Tidak sempat aku menjawab pertanyaan Gina, telefonku berbunyi.

"Siapa pula itu Marina?"

"Daniel"

"Haish! Tadi Norman. Sekarang Daniel. Kejap lagi Syam pula. Player.. Player"

"Ah. Kau mengarut sahajalah Gina!" itu sahaja respon yang aku dapat beri kepada Gina sebelum menjawab panggilan Daniel.

"Helo bos!"

"Marina. Awak ada di mana?"

"Saya dari airport. Dalam perjalanan ke rumah"

"Boleh awak ke pejabat segera?"

"Oh. Kenapa? Kalau ada apa-apa yang awak hendak saya edit. E-mel sahaja kepada saya"

"Bukan. Ini tentang Diana. Diana Sinclair"

"Kenapa dengan Diana Sinclair?"

"Begini. Saya telah pun menghubungi pengurusnya dan dia telah pun bersetuju untuk ditemuramah untuk kali kedua"

"Awak pasti?"

"Ya! Sudah tentu?"

"Boleh awak datang Marina?"

"Okey. Tidak ada masalah!"

"Ada berita baik Gina. Diana Sinclair hendak jumpa aku sekali lagi." kataku kepada Gina. Namun, Gina diam seribu bahasa.

"Alahai. Sudah terlelap. Hmmm" kataku sendirian apabila melihat Gina yang terlena.

Belum sempat aku terbang berkhayal tentang pertemuan aku dan Norman, aku kini dipaksa untuk mengalih tumpuanku kepada Diana Sinclair.

Aku cuba sedaya-upaya untuk mengalih fokusku. Diana Sinclair! Diana! Diana! Diana!Sepanjang perjalanan, aku mengingati semula temubualku dengan Diana dan mula menulis nota minda bertajuk 'Diana Sinclair : Di mana silapnya?'"

Okey. Seingat aku, apabila Diana cuba mengingati satu perenggan dari buku Michael Crichton aku juga mula bercakap mengenai buku yang diperkatakannya di dalam Secret Garden iaitu Eleven Minutes karya Paolo Coelho yang mana dia memperkatakan beberapa perkara tentang seks berdasarkan apa yang diperkatakan oleh Coelho di dalam Eleven Minutes.

Menurut Diana, tujuan utama dia memperkataknnya adalah untuk memberi kesedaran tetapi akhirnya ia disalah ertikan, Ramai juga yang mengatakan Diana sengaja memanipulasi skandal-skandal yang berlaku dan dengan memperkatakan perkara taboo seperti ini secara eksplisit, Diana telah berjaya 'mengotorkan' seks dan seksualiti. Dalam kata lain, Diana menambah debu kepada isu yang baru sahaja menerima toleransi dari masyarakat.

"Jadi apa kenapa awak mahu tulis perkara-perkara ini Diana?"

"Sebab saya memang hendak buat. Ini bukan pendapat saya sahaja. Saya yakin ramai yang bersetuju dengan beberapa perkara yang saya katakan di dalam Secret Garden. Jika mereka malu untuk menulisnya. Biar saya mulakan revolusi"

"Malu?"

"Ya. Malu dengan fantasi dan pendapat mereka, tidak kiralah fantasi apa pun, seks, kemasyuran, kekayaan, minum kopi di puncak KLCC dan saya mahukan sesuatu yang dibuat dari pandangan seorang wanita. Tetapi saya tidak sangka pula mereka memutar belitkan fakta.

"Maksud awak ahli-ahli politik dan rakan-rakan awak di dalam media?"tanyaku lagi. Namun, Diana hanya tersenyum sinis.

"Awak tahu atau pun tidak Marina? Sesetengah orang mengatakan "Oh! berani betul dia tulis perkara-perkara seperti ini" dan ada juga yang cakap "alah... tidak ada apa yang hendak dihairankan"

"Jadi. Apa yang awak cuba katakan di sini?"

Sekali lagi Diana tidak menjawab. Dia hanya mengurut-urutkan kepalanya. Mungkin di situ aku tersilap kerana cuba berlagak seperti seorang ahli psikologi.

Sesiapa sahaja yang mahu membincangkan perkara ini dengan bersifat memperlekeh, mempermain atau mengkritik secara negatif akan dilihat sebagai seorang musuh walau siapa pun individu tersebut.

Apabila di ingat kembali, aku berpendapat yang dia sudah penat bercakap mengenai Secret Garden. Mungkin juga dia merasakan terlalu banyak tentang dirinya yang 'didedahkan'.

Aku nyata rasa bersalah apabila memikirkan tentang cara aku membangkitkan perkara ini kepada Diana. Tetapi aku juga terfikir: jika kita melakukan sesuatu yang pelik di khalayak ramai, bolehkah kita marah-marah kalau orang lain bertanya dan inginkan penjelasan. Jika kita sengaja meninggalkan komputer riba di atas motosikal. Bolehkah kita marah-marah kalau ianya dicuri?

Telefonku berbunyi sekali. Aku membiarkan soalan-soalan dari monologku tidak berjawab.

"Ya Daniel?"

"Marina. Nampaknya kita kehilangan Diana. Dia membatalkan pertemuan ini."

"Apa yang dia kata?"

"Katanya pertemuan ini tidak akan membuahkan hasil" jelas Daniel. Hampa. Aku mengeluh kecil.

Keesokan petang , aku menghabiskan masaku di dalam pejabat. Memeriksa apa yang telah kami lakukan untuk Hey setakat waktu itu.

Malam Sebelumnya, aku baru sahaja menonton filem S.O.S yang diterbitkan oleh Diana Sinclair. Secara jujurnya, aku menyukai filem itu, aku juga sukakan buku yang diterbitkan yang juga diberi tajuk SOS. Kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain. Di saat itu, aku mula menyalahkan diriku kerana gagal menemuramah Diana. Aku sepatutnya bercakap berkenaan dengan S.O.S, bukan kontrovesi yang memeningkan kepala.

Telefonku berbunyi. Satu nombor yang tidak dikenali menghubungiku. Aku teragak-agak untuk menjawabnya.

"Helo. " aku menjawab panggilan itu. Suaraku perlahan dan dalam.

"Helo. Marina?" suara seorang wanita kedengaran. Tona suaranya sedap di dengar. Namun, aku tidak dapat mengecamnya.

"Siapa di sana?" soalku kembali.

"Ini Diana Sinclair. Itu Marinakah?"

Dug! Dug! Dug! Jantungku berdegup kencang.

"Diana? Diana Sinclair?" aku bagaikan tidak percaya.

"Ya." jawabnya ringkas

"Um. Ya. Ini Marina." aku hilang kata-kata.

"Apa khabar Marina?"

"Saya sihat. Awak?"

"Sihat juga. Gembira"

"Baguslah kalau begitu. Dari mana awak dapat nombor saya"

"Dari maklumat yang awak serahkan kepada kami sebelum kita jumpa tempohari"

"Oh. Ya. Mmm... Diana. Saya minta maaf kalau ada.."

"Tidak mengapa Marina. Saya tidak marah dengan awak. Cuma saya harapkan sesuatu yang berbeza dari Hey"

"Maksud awak?"

Diana mula menyatakan ketidakpuasan hatinya tentang pertemuan kami tempohari. Menurutnya, dia merasakan yang dia menghabiskan masa dalam temubual dengan memberi komen kepada perkara-perkara yang telah lepas dan tidak lagi relevan. Dia seolah-olah sedang disoal-siat oleh sepasukan anggota polis: seksualiti, parti politik yang disokong, lelaki yang diminati. Dia juga tidak berpuas hati kerana tidak diberi peluang untuk bercakap tentang kerjaya dan visinya dalam hidup.

"Saya tahu ramai yang ingin melihat saya jatuh. Mereka mahu melihat segala kelemahan-kelemahan saya. Selalunya yang rasa seronok melihat semua ini adalah orang yang mempunyai kehidupan yang teruk dan membosankan!"

Aku menyusun kata-kataku. "maafkan saya kalau awak rasa begitu. Sejujurnya awak adalah antara wanita pertama yang..."

"Cukup. Awak cuba menggoda sayakah? Ini bukan kali pertama saya mendengar kata-kata manis dari seseorang yang..."Diana tidak menghabiskan ayat. Mungkin mula terfikir tentang kebenaran anggapan yang dibuatnya terhadap aku. Aku pula tidak percaya dengan apa yang aku dengar. Diana sangkakan aku tertarik dengannya secara seksual? Wow!

"Lupakan sahaja. Awak sepatutnya buat saya rasa selesa. Kita sepatutnya jadi seperti adik-beradik. Seperti dua orang yang sedang berkasih." Aku menelan air liurku beberapa kali apabila mendengarnya.

"Saya sangkakan saya tidak perlu bersedia dengan jet pejuang atau pun kereta kebal berserta dengan perisai-perisai yang selalu saya sediakan apabila saya ditemubual oleh Hey. Sepanjang temubual kita, saya tertanya-tanya sama ada awak sedang menghukum saya dan memandang saya sebagai seorang perempuan murahan"

"Maaf Diana. Saya tidak pernah berniat pun untuk..."

"Nanti dulu Marina. Biar saya habiskan apa yang tersimpan di dalam hati saya"

Dengan penuh emosi, Diana meluahkan isi hatinya. Aku memberi perhatian penuh kepada apa yang dikatakan oleh Diana. Nyata dia hanya manusia biasa.

"Saya akan ke Kuching esok, saya akan hubungi aku semula. Saya mahu berjumpa dengan awak sekali lagi." kata Diana mengakhiri perbualan kami melalui telefon.


Load failed, please RETRY

État de l’alimentation hebdomadaire

Rank -- Classement Power Stone
Stone -- Power stone

Chapitres de déverrouillage par lots

Table des matières

Options d'affichage

Arrière-plan

Police

Taille

Commentaires sur les chapitres

Écrire un avis État de lecture: C31
Échec de la publication. Veuillez réessayer
  • Qualité de l’écriture
  • Stabilité des mises à jour
  • Développement de l’histoire
  • Conception des personnages
  • Contexte du monde

Le score total 0.0

Avis posté avec succès ! Lire plus d’avis
Votez avec Power Stone
Rank NO.-- Classement de puissance
Stone -- Pierre de Pouvoir
signaler du contenu inapproprié
Astuce d’erreur

Signaler un abus

Commentaires de paragraphe

Connectez-vous