Han Gemuk mula menyumpah-nyumpah dalam saluran pasukan, "Yang Kecil! Orang bedebah ni nak turunkan tahap aku hanya sebab bos mereka tak nak aku berada di kedudukan yang lagi tinggi daripada dia! Jahanam. Mereka siap hantar pesanan peribadi kepada aku dan memberi amaran supaya aku duduk di bandar dan jangan keluar dari sini, atau mereka akan membunuh aku kalau aku cuba keluar!"
Zhang Yang bertanya lebih lanjut, "Siapa bos mereka?"
"Lelaki bernama Bola Api Terapung, Ketua Persatuan Megah. Dialah yang berada di kedudukan pertama dalam Papan Kedudukan Tahap sebelum ni dan mereka marah sebab kita mengambil kedudukan itu daripada mereka! Mereka juga akan membunuh empat pemain lain yang berada di kedudukan yang lebih tinggi daripada dia!"
Drizzler menghantar jawapan balas dengan penuh perasaan, "Macam mana dia boleh jadi sombong begitu? Kedudukan pertama tu memang untuk dia seorang saja ke? Siapa yang mati dan buat dia raja dalam permainan video ni?!"
Bola Api Terapung? Zhang Yang berfikir sejenak. Dia tidak dapat mengingati siapa lelaki itu daripada kehidupannya yang lepas. Malah, antara semua persatuan, Megah bukan satu persatuan yang terkenal langsung! Mungkin semasa dia menyertai permainan ini sebelum ini, Megah telahpun rebah dan digugurkan.
"Kumpulan pemain ni… beraninya mereka!" Ratusan Tembakan seorang yang beradab, tetapi dia kini turut mula berang. "Hmm, baiklah. Kita musnahkan mereka ni!" ujar Zhang Yang sambil dia merenung ahli Megah yang masih di situ dengan marahnya. Ada 13 pemain di situ dan 4 antara mereka Berperisai Sutera. Mereka mungkin Ahli Sihir ataupun Paderi, tetapi dia tidak dapat menekanya dengan tepat.
Strategi paling ketara sekarang ialah memulakan serangan ke atas mereka yang Berperisai Sutera dan meneruskan serangan dari situ. Dia tidak perlu risau dengan serangan fizikal memandangkan dia tank yang berpertahanan tinggi. Zhang Yang menggunakan <Serangan>, meluru untuk menyerang, dan memegunkan pemain Berperisai Sutera bernama Undang-undang Kematian. Dengan hayunan pedangnya, dia menyebabkan satu teks kerosakan "-402" terapung di atas kepalanya dan menurunkan HPnya ke 228!
"Tak guna! Ada orang serang aku!" jerit Undang-undang Kematian sambil dia cepat-cepat mengambil posyen merah dan menjampi <Panahan Fros>.
"Ini mesti kawan pemburu tu. Bunuh mereka semua!" Pemain yang lain nampak Zhang Yang yang sedang mara dan menjerit menandakan bermulanya pertarungan sambil menyerangnya. Mereka semua berpendapat yang Zhang Yang pernah ditendang keldai melihat dirinya menyerang mereka walaupun dia hanya bersendirian!
Nasihat Bermaruah, Pengasuh Bayi Bermaruah, dan Seluar Pendek Berbunga terus pucat melihat raut wajah Zhang Yang. Ingatan mereka tentang memori pahit semasa mereka dibunuh hingga turun ke Tahap 3 muncul semula.
Disebabkan dia masih berasa trauma daripada serangan dulu, Seluar Pendek Berbunga memberi cadangan kepada yang lain-lain melalui saluran persatuan itu, "Abang Khinzir, pahlawan ni sangat hebat! Aku rasa dia guna program menggodam! Baik kita berundur buat masa ni!"
Khinzir Bermaruah menjerit kembali, "Godam apa. Hanya genius yang boleh godam permainan video ni! Cepat pergi dan bunuh dia! Kita akan bertahan!"
"-1!"
"-5!"
"-9!"
"..."
Mereka semua mencuba sedaya upaya, tetapi sekuat manapun serangan mereka, mereka tak mampu mencapai jumlah kerosakan berganda!
"Tak guna!" Kerosakan 'besar' yang dikenakan membuatkan mereka semua terpinga-pinga!
"Gemuk! Giliran kau sekarang! Guna <Panahan Bertalu-talu>!" jerit Zhang Yang dalam saluran pasukannya sambil dia menjampi <Sambaran Mendatar>.
"-683!"
"-727!"
"-689!"
"-1452!"
"….."
10 teks kerosakan teruk muncul! Dua serangan kritikal! Dengan hanya satu serangan, hanya tinggal dua pemain dengan baki 50 HP! Mereka hanya pada Tahap 13 hingga 15 dengan peralatan Keluli Hitam Tahap 5 yang diperolehi dari Mod Normal di Dungeon Makam Bangar. Kalau mereka menggunakan semua AP pada Vitality merekapun, mereka hanya mampu memperolehi 1,000 HP. Mereka tidak akan mampu bertahan dengan kemahiran tahap dewa Zhang Yang!
Semua ini terjadi sekelip mata hingga ia memeranjatkan bukan sahaja ahli Megah, malah ahli pasukan Zhang Yang sendiri! Mereka hampir lupa menahan diri dalam serangan mereka!
"Yang Kecil! Jangan bunuh semua dulu! Tinggalkan sikit untuk Si Gemuk ni!" Han Gemuk memulihkan dirinya dan sesaat kemudian, dia menarik busurnya, menggunakan <Panahan Bertalu-talu>, dan menyebabkan kerosakan yang cukup untuk membunuh dua pemain yang tinggal itu. <Panahan Bertalu-talu> satu kemahiran AoE yang boleh dipelajari seorang pemburu pada Tahap 20.
[Panahan Bertalu-talu]: Memanah secara rawak ke kawasan sasaran. Menyebabkan 200% kerosakan jarak jauh kepada semua musuh dalam kawasan tersebut selama 10 saat. Kemahiran ini memerlukan penyaluran. Kemahiran ini akan terbatal jika pemain menerima apa-apa kerosakan pada pergerakan.
Kos: 100 Fokus
Dalam masa yang singkat itu, 13 ahli Megah tadi hanya tinggal tiga penyerang jarak jauh.
"-175!"
Ratusan Tembakan kembali beraksi dan menarik busurnya untuk menyerang pihak musuh sambil mengarahkan haiwan peliharaannya untuk menyerang pada masa yang sama. Drizzler juga ahli pasukan yang bagus. Selepas terpaku melihat kejadian tadi, dia dengan bersemangat menggunakan <Serangan> untuk menyerang mereka. Si Salji pula dengan pantas membaca jampi untuk memulihkan Han Gemuk.
"+392!"
Peralatan sedia adanya sudah cukup mengagumkan dan kerosakan magiknya kini meningkat ke 300 mata selepas dia memperolehi tongkat ajaib Tembaga Hijau Tahap 20. Selepas tundaan 2 saat dalam membaca jampi penyembuhan itu, dia telah berjaya meningkatkan semula separuh HP Han Gemuk.
"Salji comel! Si Gemuk ni sayang pada kau!" Han Gemuk menghantar layangan ciuman ke arahnya dan terus menyerang 3 pihak musuh yang masih tinggal itu.
Walaupun 3 pemain yang tinggal itu berada pada tahap lebih tinggi daripada Tahap 20 dengan peralatan Tembaga Hijau mereka, kuasa serangan mereka tidak sehebat kuasa serangan Zhang Yang. Pemain biasa mungkin menganggap mereka pemain tahap dewa, tetapi melihatkan keadaan ketika itu, mereka sebenarnya tidak dapat menandingi Zhang Yang.
"Pui!" Han Gemuk meludah dalam kemarahannya. "Si bedebah ni dapat apa yang mereka patut dapat! Aku susah payah usaha untuk capai Tahap 21, tapi sekarang aku dijatuhkan pula orang tak guna ni!" Ratusan Tembakan mencelah dengan gurauannya, "Hei Si Kurus, orang yang bersusah payah tu Zhan Yu. Bukan ke kau cuma pejam mata dan main serang saja sepanjang masa tadi?"
"Patut ke kita kawal semua jasad ni?" soal Si Salji. Walaupun dia tidak begitu teruja dengan pertarungan, dia berasa tidak sedap hati dengan keadaan ini.
"Mestilah!" jawab Han Gemuk. "Aku nak si tak guna ni semua ingat pengajarannya: Jangan sekali-kali buat Si Gemuk ni marah!"
Di titik kebangkitan semula, ketakutan jelas kelihatan pada wajah Kucing Liar Terpinggir. Matanya jelas menunjukkan ketakutan sehingga dia membayangkan dibunuh Zhang Yang. "Abang Khinzir, patut ke kita panggil bantuan?"
"Tak guna!" Pencinta Khinzir Bermaruah melempangnya, tetapi memandangkan mereka dalam keadaan roh, lempangan tersebut hanya melalui keadaan mereka yang telap itu. "Kita diarahkan membunuh mereka, tapi kita pula yang dibunuh. Macam mana kau boleh fikir nak panggil bantuan! Panggillah kalau kau tak tahu malu, sebab aku malu nak panggil bantuan!"
"Abang Khinzir! Zhan Yu tu memang hebat! Dulu, Abang Bulu dan kami bertiga dibunuh dan jatuh daripada Tahap 10 ke Tahap 3!" Nasihat Bermaruah betul-betul takut dengan Zhang Yang. Bagaimana dia boleh mengangkat pedangnya dan bertarung dengan Zhang Yang lagi?
"Sudahlah! Kau memang tak guna! Bedebah! Apa masalahnya kalau kau mati beberapa kali? Ikut aku! Aku nak semua berpecah dan abaikan tank noob tu dan serang empat yang lain! Kita akan serang dia akhir sekali. Serangan AoEnya yang kuat tu tak ada gunanya kalau kita serang mereka satu persatu. Apa lagi yang dia boleh buat?!" Selepas cemuhan Pencinta Khinzir Bermaruah itu, kumpulan roh itu mendekati jasad mereka. Semua boleh melihat yang Zhang Yang dan empat pemain lain sedang berbual dengan gembira, tetapi mereka tidak dapat mendengar apa-apa dan mereka hanya mampu melihat semua dalam hitam putih semasa dalam kedaaan menyerupai hantu ini.
"Dalam kiraan tiga, bangkitkan diri kau dan serang mereka sehabis-habisnya!"
"Baik!" Semua mengangguk, tetapi Seluar Pendek Berbunga dan gengnya memandang satu sama lain.
"1!"
"2!"
"3!"
10 tubuh, tidak termasuk Seluar Pendek Berbunga, Nasihat Bermaruah, dan Pengasuh Bayi Bermaruah, muncul di mana jasad tadi terbaring.
"Bunuh semua!"
Seperti kata pepatah, pengalaman ialah guru terbaik. Seluar Pendek Berbunga dan dua pemain lagi telah membuat keputusan yang tepat! Dalam masa hanya dua minit, Pencinta Khinzir Bermaruah dan yang lain-lain sekali lagi bergelimpangan di atas lantai!
"Seluar Pendek Berbunga! Apa yang kau bertiga buat ni! Kenapa kau tak bangkit semula?!" jerit Pencinta Khinzir Bermaruah dengan berang sambil dia kembali ke titik kebangkitan semula.
"Tangan aku menggigil. Aku tak boleh nak tekan butang bangkit semula!"
"Aku pun!"
"Hm. Hm."
"Goyang kaki! Itu yang kau buat tadi kan! Permainan ini dikawal menggunakan gelombang otak, bukannya tetikus! Kau semua ni penakut! Kalau kau semua turut serta tadi, kita boleh menang!"
Mereka bertiga memandang satu sama lain dan terfikir. 'Kalau kau semua tewas teruk macam anjing jalanan, apa gunanya tiga pemain tambahan? Itu cuma akan menambah tiga lagi kematian.' Walaupun mereka tahu kata-kata itu dapat melukai perasaan seseorang, mereka mengambil keputusan untuk mendiamkan diri dan tidak berkata apa-apa.
Pencinta Khinzir Bermaruah akhirnya bertenang setelah dia meluahkan perasaan marahnya. Dia bukan bodoh. Dia tahu mereka tiada peluang menewaskan Zhang Yang selepas pasukan itu dua kali ditewaskan. Dia cepat-cepat membuka peti pesanan suara dan menghubungi Bola Api Terapung.
"Abang Api! Aku ni! Ketua Khinzir!"
"Hm. Macam mana kerja yang aku suruh kau buat?"
Lu Min telah mengumpulkan ramai ahli pada tahap tinggi bagi membantunya dalam penarafan dan mendapatkan kedudukannya kembali. Disebabkan dia telah mencapai Tahap 20, dia berjaya mempelajari kemahiran AoE Ahli Sihir dipanggil <Hujan Api> yang meningkatkan kadar pembunuhannya dengan berlipat kali ganda.
"Pemburu di kedudukan pertama yang kau suruh kami bunuh tu. Kami dah bunuh dia, ya… tapi dia panggil bantuan dan mereka semua dalam Papan Kedudukan Tahap! Mereka bunuh kami semua! Abang Api, kami semua jatuh 4 tahap. Kami dah tak boleh bertarung!"
"Ada berapa pemain di sana?"
"… 5 pemain!"
"Tak guna! Kau ada lebih daripada 10 orang di sana!"
"Abang Api, hantarlah lebih ramai orang dan aku akan bunuh mereka semua!"
"Ah! Pemain pada tahap tinggi dalam persatuan kita ni tengah tolong penarafan aku. Kalau aku hantar lebih ramai orang ke sana, boleh ke kau bagi ganti rugi untuk kadar perlahan penarafan aku? Macam mana aku nak perlahankan kadar aku dengan ramainya pemain yang cuba menduduki kedudukan tertinggi?!" Lu Ming tidak teragak-agak menolak untuk menghantar bantuan. Kalau dia mahu menduduki kedudukan tertinggi, dia tidak boleh bergantung sepenuhnya pada cubaan membunuh sesiapa yang mendahuluinya, tetapi dia sekurang-kurangnya boleh bersaing untuk mendahului mereka!
Kalau semua ahli persatuan turut serta sekalipun, mampukah mereka membunuh pemain itu berkali-kali? Sebab itulah dia perlu mengekalkan kemajuannya yang terkini! Itu cara yang sepatutnya.
"Habis tu macam mana, Abang Api?" Walaupun Pencinta Khinzir Bermaruah bertutur dengan penuh rendah diri dan hormat, dalam hatinya penuh dengan sumpahan dan herdikan.
"Macam ni… Pisau Pendominasi dan pasukannya baru sertai 'Keajaiban Tuhan'. Aku akan suruh mereka uruskan mereka yang tak guna tu!"
"Abang Api, bukan ke pemain profesional tu tengah bermain permainan video 'Zaman Naga'?"
"Tak mungkin. Tengoklah betapa popularnya 'Keajaiban Tuhan' beberapa hari ni! Mereka tak akan lepaskan peluang ni! Ini peluang baik. Mereka akan buat apa saja untuk mendapat bayaran tinggi. Baik, semua dah selesai. Kau semua pergi grind dan naikkan semula tahap kau! Kita akan dapatkan pencapaian penyelesaian pertama untuk dungeon seterusnya!"