Télécharger l’application
0.23% MMORPG: Kelahiran Semula Pelindung Legenda / Chapter 2: Kelahiran Semula

Chapitre 2: Kelahiran Semula

Éditeur: EndlessFantasy Translation

"Hu!" Zhang Yang tiba-tiba terjaga. Nafasnya laju dan dia hanya terasa peluh sejuk yang membasahi seluruh tubuhnya. Dia membuka mata dan melihat sekeliling, terus terkejut dengan keadaan di hadapannya.

Di hadapannya ialah sebuah kelas. Sebuah bilik yang boleh memuatkan beratus-ratus orang. Namun, hanya 30 orang sahaja yang mengisi bilik tersebut. Beberapa daripada mereka sedang membaca, berbual, atau membuat bising tentang sesuatu hanya mereka yang tahu. Setiap satu daripada mereka ialah wajah yang dia kenali. Mereka semua rakan universitinya!

Adakah ini… universiti?

'Kenapa aku dekat sini? Aku sepatutnya dah mati.' Fikiran Zhang Yang penuh dengan soalan bertubi-tubi yang tiada jawapannya.

"Zhang Yang, apa yang berlaku? Awak tak sihat?" tanya seseorang.

Zhang Yang memusing kepalanya untuk melihat. Dia merenung satu wajah sentimental yang terukir satu senyuman ikhlas itu. Ia satu perasaan biasa padanya tetapi kelihatan aneh. Dia Li Shang Yuan, wakil kelasnya semasa dia di universiti dahulu, tetapi… dia telah mati 3 tahun lalu dalam satu kemalangan kapal terbang!

Zhang Yang mengangguk kepalanya tanpa disedari seperti dia sedang bercakap dalam tidur. "Saya okey!" Dia mencubit dirinya sendiri dan terasa bibit pedih dari cubitan itu. Zhang Yang membuka luas mulutnya dan menarik satu nafas udara yang sejuk ini!

Ini memang bukan mimpi!

Maksudnya aku belum mati! Dan nampaknya aku telah mengembara ke beberapa tahun yang lepas! Zhang Yang mengeluarkan telefon bimbitnya dan mendapati tarikh yang tertera di situ adalah 16 Jun 2034.

Lima tahun!

Tuhan telah memberinya satu peluang untuk mengubah nasib!

Zhang Yang berasa bimbang dan juga teruja pada ketika itu. Dia tidak peduli bagaimana dia boleh mengembara ke 5 tahun yang lepas. Dia hanya tahu ini satu peluang untuk dia kembali! Untuk seseorang yang 'telah mati', tidak ada apa yang lebih berharga daripada itu.

Ini tahun terakhir dia di universiti dan dalam 7 atau 8 hari lagi, dia akan tamat pengajian dan memperoleh kerja. Jika segalanya mengikut hala tuju yang sepatutnya, dia akan bekerja di sebuah syarikat perisian dan hidup senang tanpa apa-apa pencapaian yang membanggakan.

Hanya 2 tahun selepas itu baru dia mula bermain permainan dalam talian 'Keajaiban Tuhan', yang diperkenal oleh rakan sejawatnya. Pada waktu itu, 'Keajaiban Tuhan' telah mula beroperasi lebih dari 2 tahun. Pada mulanya, hanya 4 juta pemain berhubung pada waktu yang sama, tetapi jumlah tersebut melonjak ke berbilion-bilion pemain dalam talian pada satu-satu masa dalam sehari dan berterusan melonjak naik saban hari! Setengah tahun selepas 'Keajaiban Tuhan' diperkenal dalam talian, Syarikat Mimpi, pasukan yang membangunkan 'Keajaiban Tuhan', telah menyediakan Liga Profesional Kelas-A dan Kelas-S di mana pemain profesional boleh mempamer kemahiran masing-masing.

Seperti mana-mana sukan elektronik, kemasyhuran pemenang juga akan meningkatkan kemasyhuran permainan tersebut. Syarikat global mula melabur dalam 'Keajaiban Tuhan' sehingga sanggup menaja pasukan yang menggunakan nama mereka sebagai maskot jenama mereka. Malah, sesetengah daripada mereka membentuk pasukan mereka sendiri untuk menghantar penyertaan. Pendapatan pemain profesional meningkat dengan stabil sama seperti selebriti sukan tradisional yang lain. 

Dalam fasa terakhir pemantapan permainan tersebut, tidak pelik apabila 'Keajaiban Tuhan' menjadi sangat bernilai dalam industri berkenaan. Jumlah transaksi mayanya mampu membuat syarikat global cemburu! Dengan penubuhan pasukan elit yang tersendiri, syarikat global tersebut telah memasuki perang komersial dalam dunia maya.

Zhang Yang memang seorang yang cergas sejak lahir. Dalam permainan maya yang bersifat realistik dan menggunakan gelombang otak untuk beroperasi, dia boleh mencapai potensi yang setanding dengan pemain-pemain profesional. Dia telah membentuk pasukannya sendiri dan menjelang tahun kedua, dia telah menyertai satu pasukan amatur Kelas-B. Akhirnya, setahun kemudian, dia telah menyertai Liga Profesional Kelas-A! 

Setelah menyertai Liga Kelas-A, Zhang Yang serta-merta menerima tajaan yang besar daripada sebuah syarikat besar bersama dengan pendapatan bulanan yang tinggi. Pada masa yang sama, dia berkenalan dengan Lin Yu yang mengguna nama-dalam-permainan (NDP) sebagai Air Jernih. Disebabkan konflik kecil yang menemukan mereka, perkenalan mereka bermula dengan teruk kerana mereka kadangkala berlawan sesama sendiri, tetapi mereka akhirnya menjadi kawan baik.

Pada masa itu, Lin Yu mula terlibat dengan Liu Wei. Untuk menyelamatkan nasib dari perkahwinan yang dirancang, dia telah membuat perjanjian dengan keluarganya. Selagi dia mampu mencipta kerjaya yang membanggakan dalam 'Keajaiban Tuhan' dan berkongsi sebahagian daripada kemasyhuran dan keuntungan daripada rangkaian industri yang besar itu, keluarganya tidak akan campur tangan dalam urusan perkahwinannya. Jadi, Zhang Yang dan Lin Yu bersama-sama bekerja keras untuk membangun dan mengukuhkan persatuan Air Jernih untuk menyertai Liga Kelas-S.

Malangnya, Air Jernih telah terus-menerus digasak oleh Mitos, sebuah persatuan yang diketuai oleh Liu Wei. Kerana mereka tidak mampu menandingi jangkaan pangkat mereka, kedudukan Air Jernih kekal sebagai persatuan taraf kedua. Ini secara langsung telah menghalang perkembangan mereka dalam menjana pendapatan dan dari terus berkembang.

Berbanding pemain profesional yang lain, Zhang Yang telah menyertai permainan tersebut sedikit lewat dan ini menyebabkan dia ketinggalan dari segi alat kelengkapan dan peringkat. Walaupun dia punya kebolehan dan kecergasan yang lebih hebat, dia masih tidak dapat mengisi jurang kosong yang besar itu! Selain itu, dia juga seorang yang gemar bersendirian dan tidak mempunyai rakan sepasukan yang boleh diharap yang akhirnya membawa kepada kegagalannya untuk menembusi Liga Kelas-A.

Pada ketika itu, Liu Wei telah menggunakan Strategi Kuda Trojan. Dia telah menghantar wanita simpanan ke Air Jernih untuk menggoda Zhang Yang. Zhang Yang dan Lin Yu masih belum menyedari perasaan mereka antara satu sama lain. Jadi, sejurus selepas Zhang Yang terjebak dengan wanita itu, dia termasuk dalam perangkap mereka dan hampir menyebabkan pembubaran Air Jernih.

Zhang Yang mujur masih lagi berfikiran waras serta berasa bersalah dan tewas. Semasa dia murung, Lin Yu telah menentang cemuhan orang awam dan menyokong penuh Zhang Yang. Disebabkan kepercayaan dan sokongan penuh yang diberikan Lin Yu kepada dirinya, mereka menyedari perasaan mereka kepada satu sama lain dan akhirnya bersama.

Malangnya, perniagaan Lin Yu dalam 'Keajaiban Tuhan' akhirnya gagal sepenuhnya. Orang tua dalam keluarganya telah menetapkan perkahwinan dia dengan Liu Wei walaupun cadangan itu ditentang hebat oleh Lin Yu. Dia telah menentang kuat perkahwinan berunsur politik itu, namun tiada apa lagi yang boleh dia dilakukan. Satu-satunya hasil daripada tentangannya ialah penangguhan perkahwinan tersebut. Kejadian selepas itu telah menyebabkan Zhang Yang menghadiri perkahwinan tersebut dan akhirnya mati bersama Liu Wei.

'Hu!'

Zhang Yang memaksa dirinya menghela nafas. Memandangkan dia mempunyai satu lagi peluang untuk melalui semua itu sekali lagi, dia tidak akan membenarkan tragedi yang sama berulang. Jika satu-satunya sebab Keluarga Lin enggan menerima Zhang Yang kerana dia tidak punya kemewahan, jadi satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah ini dengan mencapai status yang sama seperti Keluarga Lin. Namun, mencapai status yang sama seperti Keluarga Lin bukanlah sesuatu yang mudah.

Walaupun Zhang Yang mempunyai sedikit harta dalam hidupnya yang lepas, dia sedar yang dia tidak sesuai dalam dunia perniagaan. Satu tugasan yang mustahil baginya untuk menjadi usahawan terkemuka atau ahli perniagaan berjaya walaupun dia mempunyai ilmu mengenai pembangunan dan perkembangan yang akan terjadi dalam masa 5 tahun akan datang. Sekiranya beberapa peristiwa boleh diingat kembali, mungkin dia dapat memperolehi beberapa ratus ribu dolar. Namun, itu masih belum cukup untuk menyaingi mereka.

Bidang yang dia paling mahir dan cekap ialah dalam 'Keajaiban Tuhan'!

Mengikut statistik rasmi 'Keajaiban Tuhan' dalam 'ulasan 5 tahun permainan', Hayunan Satu Pedang ialah pemain Liga Kelas-S dengan pendapatan tertinggi iaitu mencecah 420 juta dolar setahun!

Ulasan tersebut juga menyatakan dalam masa 5 tahun, keseluruhan transaksi mikro barangan maya yang diperdagang dalam platform permainan itu mencecah 7.9 trilion dolar!

Realitinya, Zhang Yang bukanlah seorang peramal, tetapi dia faham keseluruhan permainan itu. Dari naik turun harga apa-apa barangan, strategi bilik kurungan bawah tanah, strategi taktikal untuk bos dunia tersebut, hinggalah syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk mencapai misi tersembunyi, semua maklumat ini telah tertanam dalam benak fikiran Zhang Yang.

Rancangan utamanya, untuk membentuk persatuannya sendiri untuk mencipta kemasyhuran dan reputasi sehingga dapat mencapai kedudukan tertinggi dalam negara China dan seterusnya kedudukan 8 tertinggi dalam dunia. Dia kemudiannya akan memperolehi wang yang banyak dengan mengumpul dan menguasai barang-barangan. Dia tahu dia tidak akan dapat berkuasa jika dia seorang diri. Namun, sekiranya dia mempunyai persatuan, ada kemungkinan untuk dia memperolehi berbilion-bilion dolar dalam permainan berunsur tuhan ini.

Keluarga Lin akhirnya akan mula mencari alternatif lain untuk mengganti perniagaan mereka yang lapuk. Apabila sampai waktunya, Zhang Yang tidak perlu melakukan apa-apa dan mereka sendiri akan menyerahkan Lin Yu padanya untuk memperoleh sedikit bahagian daripada kemewahan industri maya ini!

Zhang Yang pula akan dapat mencapai impiannya untuk memasuki Liga Kelas-S dan bertanding untuk gelaran juara dalam Liga Pasukan Dunia!

'Ta ta ta'

Bunyi kasut tumit tinggi yang semakin menghampiri tenggelam dalam bunyi deringan loceng tamatnya sesi. Seorang wanita yang cantik memasuki kelas tersebut. Badannya yang tinggi dan langsing itu dihiasi dengan baju sut formal. Kulitnya jelas menunjukkan umurnya yang dalam lingkungan 23 hingga 24 tahun. Rambut panjangnya diikat dengan gaya sanggul yang membuat dia kelihatan agak matang. 

"Pelajar semua, anda semua akan memulakan langkah pertama ke dalam masyarakat dan ke alam pekerjaan dalam masa kurang dari 10 hari. Sebagai guru anda, saya ucapkan selamat maju jaya dalam pekerjaan anda…"

Zhang Yang yang begitu asyik dengan memorinya apabila senyuman manis Lin Yu yang tertanam jauh di dalam memorinya tiba-tiba meletus keluar seperti gunung berapi! Walaupun dia kini sedang berada di dalam kelas, dia terus bingkas bangun dan menuju ke luar kelas. Pelajar lain yang terkejut, merenung ke belakang tubuhnya. Guru cantik itu pula menggigil kemarahan. 

Namun, langkah Zhang Yang tiba-tiba terhenti sebelum dia sempat keluar dari kelas tersebut. Dia dan Lin Yu masih tidak mengenali satu sama lain pada ketika itu. Dia tidak boleh pergi berjumpa dengannya dan terus katakan, "Hei, saya kekasih awak pada masa akan datang yang akan mati dan kembali pada masa lampau. Mari, kita bercinta semula!" 

Aku pasti akan dianggap gila. Aku hanya boleh bersabar!

Mengikut 'sejarah', Lin Yu hanya akan menyertai 'Keajaiban Tuhan' setahun selepas ia mula beroperasi. Satu-satunya pilihan yang dia ada kini hanyalah menunggu. Zhang Yang mengeluh. Semasa dia berpusing untuk pulang ke tempat duduknya dalam kelas itu, dia mendapati guru cantik itu sedang menghalang pintu kelas dengan wajah yang menakutkan dan tangan yang dicekak ke pinggang. 

"Zhang Yang!" Dia mengetap giginya sambil memanggil namanya. Dua tangannya dibuka dan digenggam bersilih-ganti.

Zhang Yang hanya menyedari sesuatu pada ketika itu. Guru cantik itu adalah Yu Li, wanita yang dia lakukan hubungan seks malam sebelum dia mati. Dia mabuk pada waktu itu dan tidak mengingati banyak perkara yang berlaku malam itu. Namun sekarang, baru dia teringat dengan jelas betapa mengghairahkan tubuh wanita itu! Bentuk tubuhnya yang disembunyikan di bawah sut itu cukup menggiurkan!

Matanya lantas merenung bahagian atas dada wanita itu apabila dia melihat lehernya yang putih bak batu jed. Sebagai seorang pelajar, Zhang Yang tidak pernah melihat gurunya 'sedemikian rupa'. Satu perasaan yang membara menguasainya, seperti 'hubungan hebat' yang terjadi antara mereka tidak lama dahulu. Justeru, walaupun dia hanya dapat melihat sedikit ketika itu, dia mampu melihat lebih dari itu dengan jelas! 

Dia tersenyum lebar dan berkata, "Cikgu, saya mahu ke tandas!"

Yu Li rasa seperti hampir gila!

Budak nakal ini bukan sahaja ingin keluar semasa waktu kelas tanpa meminta kebenaran, malah dia berani merenungnya dengan pandangan yang gatal. Ia membuat dia berasa seperti bertelanjang dan tidak boleh melakukan apa-apa, ibarat seperti dia boleh melihat tubuhnya menerusi pakaian formalnya. 

Dengan perasaan marah dan malu, Yu Li menunjuk ke arah tandas dan berkata, "Pergi!"

Zhang Yang mengangguk dan berlari pergi seperti angin. Dia kembali ke kelas setelah berlegar-legar seketika. Dia menyapa Yu Li dan kembali ke tempat duduknya. Zhang Yang mengangkat kepalanya dan menyedari Yu Li masih lagi marah kepadanya. Walaupun wajahnya kelihatan muram, kelihatan sedikit tanda merah yang menggoda pada kulit putihnya. 

Yu Li memang seorang wanita yang cantik. Dia tumpuan pelajar lelaki yang nakal. Gayanya pada ketika itu yang seakan lemah membuatkan pelajar lelaki terus-menerus tergoda. Zhang Yang salah seorang pelajar lelaki yang meminati Yu Li. Namun, setelah waktu terus berjalan dan lebih banyak masalah dihadapi, dia mula meninggalkan cinta remajanya.

Dia tertanya-tanya. 'Cik Yu sangat cantik, kenapa dia bekerja sebagai pelacur? Sia-sia betul! Jika ada peluang, aku pasti akan tolong dia!'

Yu Li mengumumkan kelas dua waktu itu telah tamat. Dia merenung geram kepada Zhang Yang sebelum keluar dari kelas.

Para pelajar mula membuat bising sejurus selepas guru itu keluar.

"Zhang Yang, awak akan buat apa selepas tamat pengajian?" Li Shang Yuan menyerahkan buku alamat kepada Zhang Yang. Kebiasaannya, orang akan menulis nombor telefon apabila mereka semakin menghampiri masa tamat pengajian supaya mereka dapat terus berhubung pada masa akan datang. 

Zhang Yang mengambil buku tersebut dan menulis nombor rumahnya dengan bersahaja. Dia berkata, "Mungkin pemain permainan video profesional!"

"Pemain video prefesional?" Seorang yang gempal bernama Zhao Xiao Song datang mencelah. Gelarannya adalah 'Si Tiang Gemuk'. Dia bertanya, "Awak boleh dapat duit dengan bermain permainan video?"

"Saya tak pasti permainan yang lain, tetapi jika 'Keajaiban Tuhan', tidak mustahil untuk mendapat duit yang banyak!" Seorang yang kurus dan tinggi bernama Zhou Xiang menyertai perbincangan itu dan menyambung, "Saya ada seorang saudara yang bekerja di Syarikat Mimpi. Mengikutnya, topi keledar untuk bermain 'Keajaiban Tuhan' telah terjual lebih dari 500 juta unit!"

"Topi keledar apa?" Beberapa orang datang bertanya bersahaja.

"Tch, jangan kata awak tak tengok televisyen atau melayari laman sesawang? Iklan 'Keajaiban Tuhan' telah tersebar ke seluruh dunia. Ia satu permainan maya berunsurkan realiti terulung dan pertama di dunia yang tercatat dalam sejarah. Ucapkan selamat tinggal kepada permainan video tradisional. Kini kita boleh menyertai permainan ini di mana-mana dan pada bila-bila masa saja dengan topi keledar itu! Semua ini kerana Syarikat Mimpi yang memperkenal permainan video itu tahun ini setelah 10 tahun ia dalam ujian beta!" Salah seorang peminat permainan video itu bersuara dengan penuh semangat. 

"Jika ia sangat menyeronokkan, saya akan pergi beli dan mencubanya nanti."

"Mari, kita kira kepala. Siapa yang nak main 'Keajaiban Tuhan', sila daftar. Kita akan bentuk satu persatuan dan menjelajah 'Keajaiban Tuhan' bersama-sama!"


Chapitre 3: Saudara Sejiwa

Éditeur: EndlessFantasy Translation

Tujuh ke lapan hari kemudian, Zhang Yang kembali ke rumahnya selepas menerima sijil tamat pengajian. Dalam perjalanan pulang, dia singgah sebentar ke kedai permainan video dan membeli topi keledar untuk permainan video. Setelah semua kelengkapan disediakan, dia hanya perlu menunggu 'Keajaiban Tuhan' bermula. Menurut pengumuman di internet, permainan itu akan dilancarkan ke seluruh dunia pada 10 haribulan bulan ini.

'Dong dong dong!' Seseorang mengetuk pintu.

Bukannya Zhang Yang tiada loceng pintu di rumahnya, tapi, alat itu sudah berusia lebih sepuluh tahun, jadi ia telah rosak sejak beberapa tahun yang lalu.

"Siapa tu?" Zhang Yang menuju ke pintu dan mengintai ke luar melalui lubang intip. Seorang lelaki gempal yang kelihatan sudah berpeluh berdiri di muka pintu, sambil mengipas dirinya dengan kipas kertas berulang-kali. Dia segera membuka pintu dan menyapa lelaki itu sambil tersenyum, "Si Gemuk Han, lama tak nampak!"

Han terkejut dengan reaksi Zhang Yang yang terlebih teruja. Dia berteriak, "Kenapa kau teruja sangat ni? Aku tak pinjam duit kau pun. Hey, hey, hey! Kau tak terlibat dengan gejala homoseksual kan?!"

Han Guang kawan baiknya sejak kecil lagi. Mereka berdua bersekolah di tempat yang sama dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah. Tahun berganti tahun, persahabatan mereka menjadi semakin akrab apabila mereka sama-sama terlibat dalam pergaduhan jalanan. Walaupun Zhang Yang melanjutkan pelajaran di universiti dan Han Guang memilih untuk bekerja, persahabatan mereka tidak pernah terjejas. Zhang Yang masih ingat lagi suatu ketika dulu, Han Guang terlibat dalam satu pergaduhan dan mengalami kecederaan parah. Dia hampir maut jika tidak sempat dihantar ke hospital. 

Kejadian tersebut telah meninggalkan parut yang dalam dihati Zhang Yang pada masa itu. Dia tidak mampu tersenyum selama setengah tahun lamanya.

Kini, dia tidak akan biarkan sesuatu terjadi pada sahabat karibnya. Zhang Yang kelihatan tenang dan ceria sambil bersumpah di dalam hati. Sambil menenangkan dirinya seperti tiada apa-apa yang berlaku, dia bertanya pada Si Gemok Han, "Hari ni bukannya hari cuti, kau buat apa kat sini?"

Sebenarnya, Zhang Yang tidak mahu sesiapa pun tahu kejadian yang menimpanya. Jika dia beritahu pun, tiada siapa yang akan percaya kepada dirinya. Kedua, kalau rahsianya terbongkar, dia mungkin ditangkap dan dijadikan bahan kajian. Akhirnya, dia membuat keputusan untuk menyimpan rahsianya hingga ke lubang kubur.

Han Guang mencebik dan berkata, "Mana ada cuti, aku dah berhenti kerjalah! Pengurus bangsat tu sebenarnya binatang. Dari dulu lagi aku tahu dia suka mengganggu pekerja wanita. Semalam, aku tangkap dia tengah mencabul seorang perempuan di pantri. Aku tak dapat tahan marah, aku terus belasah dia. Dia naik angin terus pecat aku dan pekerja perempuan tu!"

Zhang Yang menggeleng kepala dan berkata, "Pekerja tu salahkan kau ke sebab heret dia sekali kena buang kerja?"

"Eh macam mana kau tahu?" Han Guang melepaskan marahnya. "Perempuan sial tu mesti dah hilang akal. Hari tu, aku jadi orang baik dan cuba selamatkan keadaan, tapi tak dihargai langsung. Kalau aku tak bertindak, pengurus bangsat tu mesti dah dapat…"

Zhang Yang tersenyum kecil, sudah tentu tekaannya betul. Han Guang sendiri yang beritahu kejadian itu padanya sebelum ini. Zhang Yang menepuk bahu Han Guang dan berkata, "Ini dunia jahanam yang kita hidup sekarang!"

Han Guang mengeluh. "Betul cakap kau, kita hidup di dunia yang semakin jahanam!"

Setelah mereka berdua masuk ke dalam rumah, Han Guang pergi ke peti sejuk dan mengambil sebotol bir. Dia membuka penutup botol dengan giginya. Dalam dua hingga tiga teguk sahaja, dia berjaya menghabiskan sebotol bir itu seperti seekor lembu minum air. Selepas menghabiskan air itu, dia mengelap mulut dan menjerit, "Hebat!"

Zhang Yang duduk di hadapannya dan bertanya, "Apa rancangan kau selepas ni? Cari kerja baru?"

"Sebab tu aku ada dekat sini!" Han Guang berbisik, "Kau pernah dengar "Keajaiban Tuhan?"

"Iklan dalam televisyen tu?" balas Zhang Yang sambil tersenyum sinis. 

Han Guang semakin teruja dan berkata, "Ya, yang tu! Aku dapat tahu daripada sepupu aku yang jual topi keledar untuk permainan tu. Dia cakap ramai orang akan main permainan tersebut, dan melaluinya, kau boleh buat duit yang banyak!"

"Oh, macam mana?" Zhang Yang cuba mengingati cara Han Guang memujuknya untuk menyertai permainan tersebut, tapi dia menolak ajakan itu. Bila dia berfikir semula sekarang, kalau dia terima nasihat Han Guang dan setuju untuk sertai permainan tersebut pada hari pelancarannya, mungkin dia tidak dapat penamat yang menyedihkan sebegini!

Dengan muka yang penuh keyakinan selepas berfikir panjang, Han Guang berkata, "Sepupu aku cakap ada satu jalan. Setelah kau capai tahap 20, kau akan dapat kebolehan untuk guna Sistem Pertukaran Wang Sebenar (PWS)1. Kau boleh tukar nilai mata wang permainan kepada nilai mata wang sebenar. Asalkan kita dapat kumpul emas yang secukupnya, kita boleh jadi kaya."

"Okey, aku setuju. Aku pun dah lama nak main permainan tu," kata Zhang Yang sambil mengangguk gembira. Pelbagai cara dan strategi untuk mengaut keuntungan sudah pun berada di hujung jarinya. Jika dia mengajar si gemuk itu satu atau dua cara sekalipun, tetap tidak akan menjejaskan kebolehannya untuk mengaut untung yang banyak. Hakikatnya, demi seorang sahabat, dia tidak akan kedekut dengan perkara itu.

Han Guang penuh gembira. "Apabila kita berkerja sama mengatasi semua halangan, kita mesti mampu mengalahkan musuh-musuh kita dan tiada siapa dapat menghentikan kita! Betul, Yang, apa jadi kalau kita betul-betul dapat duit yang banyak? Macam mana kita nak belanja semua duit tu? Adakah kita akan penuhkan sebuah rumah dengan sekumpulan gadis berbikini untuk aku tenung sepanjang hari?"

"Berambus, lelaki gatal!" Zhang Yang berpura-pura marah.

Han Guang tersengih seperti kerang busuk, menampakkan barisan giginya yang putih. Sejak kecil lagi, si gemuk ini sentiasa mengimpikan dunia terlarang yang penuh keasyikan. Keinginannya semakin membuak-buak setelah membaca sebuah manhua1, 'Raja Gundik. 

"Baiklah, jadi…" Zhang Yang berpura-pura bertanya dengan bersahaja, "Kaum dan kelas apa yang kau akan pilih?"

"Kaum Orang Bunian, Pencuri!" Han Guang menjawab tanpa ragu-ragu. Dia mesti sudah dapat beberapa maklumat tentang permainan ini, kalau tidak dia tidak akan mengeluarkan kata-kata tersebut.

Zhang Yang tidak dapat mengingat kembali golongan yang telah Han Guang pilih dalam kehidupan sebelumnya, tetapi seorang Pencuri… Zhang Yang berkata, "Aku rasa baik kau pilih golongan lain. Hm… aku rasa Pemburu lagi sesuai dengan kau!"

"Kenapa?" tanya Han Guang.

"Sebabnya kau ada personaliti tubuh yang besar dan sasa. Personaliti kau tak sesuai dengan ciri-ciri Pencuri yang licik dan lincah. Lagi satu, bukan sahaja golongan Pencuri tapi setiap jenis serangan jarak dekat pun tak sesuai langsung dengan kau! Aku rasa kau patut pilih jadi Pemburu… hm seorang Penguasa Haiwan. Dengan menguasai musuh di bahagian hadapan, kau boleh berdiri kukuh dan menyerang mereka. Bukankah dengan cara ini lebih selamat?! Untuk golongan Penguasa Haiwan, mereka memiliki kemahiran serangan Dungeon yang bagus, daya tahan kerosakan yang baik, dan kemahiran luar biasa yang dikenali sebagai <Kematian Palsu>. Kebolehan ini merupakan kemahiran pembersihan-aggro1, kemahiran paling berkuasa yang sangat berguna!" tekan Zhang Yang. 

Han Guang mengangguk kepala sambil berfikir lama. Dia tiada pilihan lain selain bersetuju dengan kenyataan Zhang Yang. "Aku tak sangka kau sangat berpengetahuan dalam hal ini"

Zhang Yang tersenyum sambil cuba mencari satu alasan. "Semasa aku buat keputusan untuk main permainan ini, aku dah buat kajian dekat forum."

"Oh... " Si Gemuk yang tidak tahu apa-apa itu segera mengiyakan kata-katanya. "Kalau macam tu, aku cuba guna Pemburu untuk kelainan!"

"Bila kau dah capai tahap 5, beli beberapa botol [Wiski Porto] dan cuba serahkan kepada seorang WBP yang dikenali sebagai 'Si Mabuk Tua Si Wang'.

"Kenapa?"

"Aku ada baca pasal dia. WBP tersebut akan mengeluarkan satu cabaran tersembunyi sebagai tugas seorang Pemburu!" Zhang Yang cuba memberi alasan lain.

"Betul?" kata Han Guang berhati-hati.

"Pernah ke aku tipu kau?" tanya Zhang Yang.

"Setiap masa."

"Sial, kali ini betul. Percaya cakap aku!" Zhang Yang menggaru kepalanya, menahan diri dari perasaan ingin memukul seseorang.

Dia ingat kembali pada masa itu Si Pemburu tahap 100 ke atas telah menghadapi masalah teknikal apabila dia berjaya melengkapkan cabarannya. Selain daripada Pemburu yang telah melengkapkan cabaran, salah seorang dari ahli kumpulannya turut menerima ganjaran. Ganjaran tersebut ialah Phoenix, haiwan peliharaan legenda.

Bukan sahaja Phoenix itu memiliki daya tahan kerosakan yang tinggi, malah haiwan tersebut juga boleh dijadikan alat tunggangan. Bayangkan menunggang seekor Phoenix, yang diekori oleh api yang marak. Bukankah ia satu perkara yang mengagumkan?! Jika mereka berdua menyeru Phoenix kepunyaan mereka di tengah bandar utama, berapa ramai pemain yang akan berasa kagum melihat keajaiban tersebut?

Malangnya, cabaran tersembunyi tersebut ada satu kekurangan. Kekurangan tersebut, selain daripada dua pemain terawal yang menerima ganjaran, tiada lagi pemain yang dapat memiliki Phoenix. Kelas Bukan-Pemburu hanya boleh menaiki tunggangan mereka di dunia luar sahaja. Mereka tidak boleh menyeru kenderaan mereka di bawah tanah ataupun dalam arena perlawanan. Hal ini kerana masalah program dalam permainan tidak seteruk yang dijangka oleh para pemaju, oleh itu mereka telah membuat keputusan untuk membenarkan Pemburu dan rakan sekumpulannya untuk menyimpan haiwan peliharaan mereka yang unik itu.

Sekarang, giliran mereka pula untuk memiliki haiwan peliharaan yang hebat ini. Pemburu dan rakannya yang memiliki haiwan tersebut di kehidupan Zhang Yang yang lepas ialah orang Korea. Zhang Yang tidak pernah menyukai orang Korea, jika dia berjaya mendapatkan kembali haiwan peliharaan tersebut, dia akan percaya pada satu pepatah, 'Siapa cepat, dia dapat'.

"Baiklah! Aku percaya sepenuhnya pada kau sekali lagi!" Han Guang akhirnya bersetuju untuk menerima tawarannya. "Kau dah beli topi keledar untuk bermain?"

"Aku dah lama bersiap sedia. Aku hanya menunggu untuk permainan tersebut bermula!"

"Hey, hey, mari pergi ke restoran di seberang jalan dan lepak minum! Kau tau, ada gadis baru di sana. Dia bagaikan seorang bidadari. Aku rasa dia ada perasaan pada aku. Setiap kali aku datang sana, dia pandang aku dengan pandangan menggoda!"

"Bukankah kau cakap begitu juga sebelum ni?"

"Celaka, berani kau persoalkan tarikan aku sebagai seorang lelaki! Ah baiklah, kau nak bermain sebagai golongan apa nanti?"

"Kau akan tahu bila masa yang sesuai tiba nanti!"

"Tch! Kenapa kau berlagak sangat? Aku harap kau disambar petir nanti!"

Beberapa hari sudah berlalu dan hari terakhir bulan Jun telah pun tiba.

Pada pukul 8.45am, 'Keajaiban Tuhan' akan bermula serentak di seluruh dunia, para pemain boleh mendaftar akaun mereka dan mencipta karakter masing-masing. Pada pukul 9 pagi, pelayar bagi 8 kawasan di dunia akan berada di atas talian, menandakan integrasi antara sistem digital raksasa dan futuristik dengan kehidupan manusia.

Zhang Yang memakai topi keledar dan merasakan suatu aliran elektrik yang pelik dan tidak dapat dijelaskan dengan kata-kata mula mengalir merentasi kulit kepalanya. Zhang Yang menunggu selama 3 ke 4 minit sebelum satu pantulan cahaya yang terang muncul, kedengaran bunyi yang sangat dikenalinya.

"Selamat datang ke dunia 'Keajaiban Tuhan'!"

"Akaun permainan anda sedang dijana...sila tunggu sebentar!"

"Gelombang otak dan biometrik anda sedang dihantar serentak ke akaun anda. Harap maklum yang anda tidak perlu memasukkan kata kunci untuk masuk ke akaun anda buat kali yang seterusnya. Sistem ini akan mengimbas gelombang otak dan memadankan anda dengan akaun permainan anda secara automatik!"

"Sila ingat yang seorang pemain dibenarkan mencipta satu karakter sahaja! Jika anda ingin mencipta karakter yang lain, anda mesti memadamkan karakter yang lama sebelum mencipta karakter yang baru! Setelah anda mencipta karakter yang baru, anda tidak boleh mencipta karakter baru yang lain selama 15 hari dan anda tidak boleh memadamkan karakter tersebut dalam masa 3 hari!"

"Akaun berjaya diaktifkan! Selamat datang ke benua Norlanda! Pahlawan, Kesatuan memerlukan pertolongan anda." Suara lembut seorang gadis bergema di telinganya. Satu senario yang amat dikenali sedang dimainkan di hadapannya. Kelihatan pelbagai jenis syaitan dan hantu menghujani turun dari kayangan dan merangkak keluar dari dalam bumi untuk menyerang satu demi satu bandar manusia tanpa belas kasihan.

'Keajaiban Tuhan' mengisahkan kaum Manusia yang bergabung tenaga dengan kaum Bunian, Manusia Separa Haiwan dan orang Kerdil untuk menentang penguasaan syaitan dan hantu. Zhang Yang telah melihat situasi itu beberapa kali yang menyebabkan dia menekan butang 'Langkau' untuk melangkah ke ruang layar untuk mencipta karakter.

"Sila pilih kaum anda!" kata suara lembut dan feminin dalam sistem itu. 

"Manusia"

"Pemilihan kaum, Manusia telah disahkan!" sambung suara lembut itu. "Sila pilih kelas anda!"

"Pahlawan"

"Pemilihan kelas, Pahlawan telah disahkan! Sila pilih pengkhususan anda!"

"Bagi setiap kelas, akan ada satu pilihan untuk pengkhususan. Antara pengkhususan yang ada untuk seorang Pahlawan ialah Tukang Amuk dan Pelindung.

"Pelindung!" Zhang Yang melemparkan senyuman yang penuh nostalgia.

Dalam kehidupannya yang lepas, dia telah memilih Pelindung sebagai pengkhususannya. Zhang Yang memilih kelas yang sama kerana dua sebab, yang pertamanya dia sangat menyukai kelas tersebut. Sebab yang kedua, dia sangat memahami kelas tersebut dengan teliti. Setiap kelas mengandungi cabaran tersembunyi yang berkaitan. Cabaran yang tidak boleh dilakukan berulang kali ini mempunyai pelbagai ganjaran yang mewah. Zhang Yang membuat keputusan ini kerana cabaran-cabaran tersebut ada hubung kait dengan kelas dan Zhang Yang telah memahami kelas Pahlawan dengan sepenuhnya.

"Pengkhususan, Pelindung disahkan!" sambung suara tersebut. "Sila masukkan nama karakter anda!"

"Zhan Yu1!"

"Nama karakter, Zhan Yu telah disahkan!"

Setelah bunyi sistem berhenti seketika, pemandangan berubah dan satu susuk tubuh yang kelihatan seperti dirinya telah muncil. "Karakter ini dicipta berpandukan ciri-ciri fizikal anda, anda boleh mengubah kulit wajah dengan menggunakan sistem layar pengguna."

Walaupun sebarang perubahan tidak dapat dilakukan pada tubuh badan, semenjak Zhang Yang mula fokus bersenam, tambahan pula ketinggiannya yang berukuran 180cm, dia tidak mempunyai sebarang masalah berkenaan fizikal karakter miliknya. Dia berfikir sejenak dan membuat sedikit perubahan pada bahagian muka. Buruk atau baik, dia hanya mahu membuat dirinya sukar untuk dikenali oleh orang lain.

Selepas selesai membuat perubahan pada karakternya, dia memilih 'Pasti'

"Penciptaan karakter sudah lengkap, sila tunggu sebentar untuk sambungan diwujudkan! Sementara menunggu, anda boleh menyemak panduan keupayaan karakter untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai watak anda bagi mengalami pengalaman permainan yang lebih baik! Permainan yang bagus!"

Suatu ruang layar karakter telah muncul di hadapannya. Karakter yang baru diciptanya itu memakai satu set peralatan yang telah lusuh dan memiliki sebilah pedang pendek yang terikat pada pinggangnya. Sebagai seorang Pelindung, dia tidak memiliki sebuah perisai. Dia tahu apabila karakternya berada di tahap 5 dan melengkapkan cabaran kelas yang diperlukan, dia akan menerima sebuah perisai Keluli.

Ketika ini, dia ada 3 jenis peralatan sahaja.

[Pelindung Dada lusuh] (Kayu-Putih, Baju Perisai)

Pertahanan: +1

Keperluan Tahap: 0

[Pelindung Lutut lusuh] (Kayu-Putih, Baju Perisai)

Pertahanan: +1

Keperluan Tahap: 0

[Pedang Pendek Pemula] (Kayu-Putih, Pedang Sebelah tangan)

Serangan Senjata: 1-3

Selang Masa Serangan: 2 saat

Keperluan Tahap: 0

Selang Masa Serangan memastikan kekerapan atau kadar serangan. Selepas melakukan serangan biasa, tempoh masa sebelum memulakan serangan lain adalah Selang Masa Serangan. Senjata pisau belati mempunyai selang masa terpendek, diikuti senjata sebelah tangan dan alatan menembak. Jenis senjata bagi kedua-dua belah tangan mempunyai selang masa terpanjang.

Peralatan dari jenis kayu juga dikenali sebagai peralatan Putih berperingkat. Hanya ciri-ciri pertahanan oleh peralatan Putih berperingkat boleh dipertingkatkan lagi. Bagi senjata Putih berperingkat, senjata-senjata ini mempunyai kadar serangan yang amat sederhana. Peringkat seterusnya dari Kayu-Putih peralatan adalah Keluli Hitam, diikuti oleh Tembaga-Hijau, Perak1-Kelabu, Emas-Kuning, Platinum-Ungu, Mitos, Kayangan, Suci, Kenaikan dan akhirnya, Cakerawala, peringkat tertinggi dan peralatan terkuat telah ada di dalam permainan ketika ini. Kualiti kadar yang terhasil daripada alat-alat ini juga amatlah meluas disebabkan perbezaan di antara peralatan tersebut. Hal ini memaksa para pemain untuk grind2 secara berterusan bagi meningkatkan keperluan mereka.

Ciri-ciri karakter Zhang Yang ialah seperti berikut,

[Pemain: Zhan Yu]

Tahap :0

HP (Nilai Nyawa) : 50/50

Rage : 0/100

Pertahanan : 2

Vitality : 0

Kekuatan : 4

Ketangkasan : 1

Kepintaran : 0

Semangat : 0

Nasib : 0

Kerosakan Jarak Dekat : 5-8

Selang Masa : 2 saat

Serangan Jarak Jauh : NIL

Vitality, Kekuatan, Kepantasan, Kepintaran dan Semangat ialah 5 ciri-ciri asas pemain.

Vitality : Meningkatkan HP Maksimum karakter. 10 HP akan ditambah pada setiap mata yang dilaburkan.

Kekuatan : Meningkatkan kerosakan fizikal karakter. Sebahagian jumlah kerosakan akan ditambah pada setiap 2 mata yang dilaburkan.

Kepantasan : Meningkatkan kelajuan pergerakan karakter dan kadar kritikal serangan fizikal. Tambahan pula, untuk Pencuri dan Pemburu, ciri ini akan meningkatkan kerosakan kemahiran.

Kepintaran : Meningkatkan kerosakan sumpahan karakter, NM Maksimum dan kadar kritikal sumpahan. 10 NM dan sebahagian jumlah kerosakan akan ditambah pada setiap mata yang dilaburkan.

Semangat: Mengurangkan masa menjampi karakter dan meningkatkan kelajuan pertumbuhan semula MP.

Nasib ialah ciri khas yang tidak boleh dipertingkat melalui bonus peralatan. Nasib boleh diperolehi sebagai ganjaran selepas melengkapkan sebahagian cabaran utama atau tahap kesukaran yang tinggi bagi cabaran tersembunyi. Ciri ini mempunyai banyak kegunaan, seperti berpotensi untuk membenarkan pemain melakukan serangan yang menyebabkan tiga kali ganda kerosakan, dikenali sebagai <Serangan Bertuah>.

Setiap karakter baharu akan memiliki sejumlah 5 mata yang akan dimasukkan secara automatik pada ciri-ciri asas mereka. Pahlawan tidak memerlukan Kepintaran dan Semangat, ciri-ciri ini akan bermula dengan mata 0 dilaburkan. Kekuatan dan Ketangkasan, sebaliknya, dua ciri ini akan diperuntukkan mata yang lebih.

Rage hanya diperolehi oleh Kelas Pahlawan. Semasa di luar pertempuran, Rage Pahlawan boleh berkurang kepada 0. Selepas memasuki pertempuran, Rage akan sentiasa mengumpul 1 mata setiap saat. Rage juga boleh dipertingkat bergantung pada aliran kerosakan daripada serangan biasa dan tahap suatu karakter. Kemahiran yang digunakan sepenuhnya akan mengurangkan Rage dan lebih dikenali sebagai Pengeluaran Rage.

  1. Pertukaran Wang Sebenar (PWS) merujuk kepada amalan menukar matawang maya, barangan, akaun atau perkhidmatan kepada wang tunai dunia sebenar. Salah satu contoh yang baik tentang PWS ialah transaksi termahal bagi produk maya iaitu Kelab Neverdie di Alam Angkasa Entropia. Menurut sumber-sumber atas talian, Kelab Neverdie telah diurusniagakan dalam jumlah sebanyak 5,000! Perkhidmatan PWS yang terkenal juga termasuklah peningkatan kuasa karakter pelanggan ke tahap penutup, atau menyediakan mata wang permainan dalam jumlah yang besar kepada seseorang pelanggan.
  2. Manhua (漫画) merupakan terjemahan secara langsung kepada komik. Walau bagaimanapun, disebabkan pertambahan pelbagai jenis komik yang berlainan yang biasanya boleh dipecahkan kepada beberapa kategori mengikut kawasan yang berbeza, para pembaca telah menggunakan istilah manhua (orang China), manga (orang Jepun) dan manhwa (orang Korea) untuk mengenali mereka secara amnya. Oleh itu, terjemahan ini akan menggunakan manhua berbanding komik untuk menunjukkan watak-watak yang berpandukan komik Cina.
  3. Aggro ialah istilah internet dan permainan yang selalu digunakan oleh para pemain yang menyertai perlawanan secara berkumpulan dalam sebuah permainan atas talian. Aggro menyamai permusuhan seorang WBP kepada mana-mana pemain tertentu. Para pemain boleh mengumpul aggro yang menyebabkan WBP memfokuskan serangan mereka terhadap pemain yang memiliki aggro tertinggi apabila melakukan sebahagian aksi yang boleh membahayakan WBP. Kelas kereta kebal kebiasaannya mempunyai kemahiran membina aggro untuk memastikan serangan WBP terhadap mereka, manakal sebahagian kelas akan ada kemahiran membersihkan aggro untuk menghalang WBP daripada menyasarkan serangan terhadap mereka.
  4. Zhan Yu (战御) diterjemahkan secara terus bermaksud Perang Empayar. Tetapi, sebagai salah satu nama watak baik, Perang Empayar tidak sesuai digunakan kerana nama watak tersebut akan muncul berulang kali. Oleh itu, saya membuat keputusan untuk mengekalkan ejaan Cina nama tersebut.
  5. Perak - Kelabu (白银, baiyin) sepatutnya diterjemahkan kepada Perak - Putih. Walau bagaimanapun, penulis menggunakan nama warna/bahan silih berganti, pembaca akan keliru antara Perak - Putih dan Kayu - Putih. Salah satu contoh ialah penulis menggunakan peralatan Putih berperingkat. Adakah penulis merujuk kepada keanehan Kayu - Putih, atau keanehan Perak - Putih? Oleh yang demikian, saya telah mengambil kebebasan untuk menterjemah 'Putih' dalam Perak - Putih kepada 'Kelabu'. Peringkat tersebut adalah seperti berikut: Putih, Hitam, Hijau, Kelabu, Kuning, Ungu.
  6. Grind dalam istilah permainan ialah aksi membunuh raksasa yang dilakukan secara berterusan atau melengkapkan cabaran yang berulang untuk mencapai matlamat tertentu seperti melangkah ke tahap seterusnya atau mengumpul sebahagian barang yang jatuh dari permainan.

Load failed, please RETRY

Cadeaux

Cadeau -- Cadeau reçu

    État de l’alimentation hebdomadaire

    Chapitres de déverrouillage par lots

    Table des matières

    Options d'affichage

    Arrière-plan

    Police

    Taille

    Commentaires sur les chapitres

    Écrire un avis État de lecture: C2
    Échec de la publication. Veuillez réessayer
    • Qualité de la traduction
    • Stabilité des mises à jour
    • Développement de l’histoire
    • Conception des personnages
    • Contexte du monde

    Le score total 0.0

    Avis posté avec succès ! Lire plus d’avis
    Votez avec Power Stone
    Rank 200+ Classement de puissance
    Stone 0 Pierre de Pouvoir
    signaler du contenu inapproprié
    Astuce d’erreur

    Signaler un abus

    Commentaires de paragraphe

    Connectez-vous

    tip Commentaire de paragraphe

    La fonction de commentaire de paragraphe est maintenant disponible sur le Web ! Déplacez la souris sur n’importe quel paragraphe et cliquez sur l’icône pour ajouter votre commentaire.

    De plus, vous pouvez toujours l’activer/désactiver dans les paramètres.

    OK