Dalam keterikan cahaya matahari itu, tapak tangannya terasa seperti telah dibakar oleh api dan seolah-olah sepotong ayat telah diukir di tangannya. Penglihatannya dikaburi oleh kesan darah apabila bukit dan tanah mula meruntuh di hadapan matanya. Wanita itu seperti sedang menyaksikan sebuah bencana yang kelihatan bak mimpi dengan rumput yang tumbuh berpanjangan dan tanah merekah yang menampakkan lautan di bawahnya. Dia telah ditinggalkan keseorangan, berdiri di atas dataran dengan api yang menyala di sekelilingnya seperti gelongsor yang luas dan bayangan tsunami yang membayangi dirinya serta menenggelamkannya ke bawah. Dia berasa sangat penat lalu dia memejamkan matanya dan tenggelam ke arah laluan bawah tanah yang gelap itu.
Ketika Chu Qiao bangun, hujan baru sahaja berhenti. Cahaya bulan yang bersinar dari belakang awan memantulkan cahaya yang lembut ke bilik tidur Kediaman Mihe. Cuaca terasa seperti berada di kemuncak musim luruh apabila titisan embun jatuh ke atas daun sycamore dapat didengari dengan jelas. Istana itu kelihatan kosong dan sepi seolah-olah seluruh dunia telah mati dan hanya tinggal dia seorang sahaja. Dia menggerakkan badannya perlahan-lahan kerana angin yang kering dan sejuk itu terasa menusuk ke dalam badannya lalu mengingatkannya dia masih hidup.
Di Istana Rou Fu kedengaran alat muzik yang sedang dimainkan dengan kuat. Li Ce sedang mengadakan sebuah parti bersama gundik-gundiknya pada malam itu. Setiap malam pada waktu ini, terdapat beberapa bentuk perayaan yang menghiasi istana yang hebat ini.
Ketika Chu Qioa pertama kali diselamatkan, dewan persidangan telah membangkang dengan tegas. Beratus-ratus pegawai tidak berhenti menyatakan ketidakpuasan hati mereka atas tindakan Maharaja Li. Selepas berdebat dengan mereka selama sepuluh hari, akhirnya Li Ce berundur dan mengambil keputusan untuk turun dari takhta. Dia berjanji untuk tidak akan menjadi maharaja lagi dan sesiapa sahaja boleh mengambil takhta itu daripadanya. Para pegawai mula berasa tidak tenang. Selepas mereka berlutut di luar Istana Chan Xin selama dua hari, barulah mereka dapat meyakinkan Maharaja itu yang telah bercuti selama 70 hari sejak dua tahun pemerintahannya. Sejak dari peristiwa itu, tiada sesiapa yang berani untuk menyebut nama Chu Qiao lagi.
Sebaliknya, tingkah laku Li Ce telah menghiburkan para pegawainya. Selain daripada bagaimana dia telah memberikan tumpuan khas terhadap Chu Qiao beberapa hari lalu, dia telah kembali menjadi seorang lelaki gatal. Para pegawai berasa lega apabila melihatkan dia kembali menjadi normal seperti dirinya dahulu. Ramai yang berfikir wanita Yan Bei itu tidaklah seindah mana dan Li Ce hanya menyelamatkannya atas kerana baik budinya saja.
Ketika Li Ce memasuki bilik Chu Qiao, wanita itu tidak membuat sebarang bunyi jadi dia beranggapan wanita muda itu sedang tidur. Jadi, dia berjalan menggunakan hujung kakinya dengan berhati-hati seperti seorang pencuri. Lagaknya itu telah mencuit hati para pembantu kediaman yang sedang melihatnya sambil menutup mulut mereka kerana tidak berani untuk ketawa. Selepas mengangkat kelambu katil itu, dia terkejut untuk melihat Chu Qiao yang sedang terduduk di atas katil lalu pemuda itu pun tersenyum sambil berjalan ke arah wanita itu. Dia memegang sebuah bakul dan berlakon seolah-olah sedang membawa harta lalu berkata, "Ada seseorang yang telah membawa buah delima segar, awak nak makan?"
Chu Qiao tidak menjawab. Dia kelihatan masih mengantuk, tidak bangun sepenuhnya lagi. Li Ce kemudian mengambil tempatnya di sebelah wanita itu sambil memerhatikan wajahnya yang masih pucat dan kurus itu. Kening Li Ce berkerut sedikit sebelum kembali seperti biasa, lalu dia mengambil buah delima itu dan mengupasnya untuk menampakkan isinya yang berwarna merah. Dia tersenyum melihat Chu Qiao sambil membawa buah delima itu ke mulut Chu Qiao. Dia membuka mulutnya seolah-olah memberitahu Chu Qiao untuk membuka mulutnya juga dan makan sebelum berkata, "Qiao Qiao, buka mulut macam saya. Ahhh…"
"Li Ce, saya dah sembuh sepenuhnya." Seperti air yang tidak terusik, suaranya kedengaran sangat tenang.
Li Ce yang sedang memandang wajah Chu Qiao itu selalu terlupa tiga tahun telah berlalu dari hari di mana wanita itu tinggal di istananya dan terlalu banyak perkara yang telah berubah. Wanita muda itu tidak lagi bercerita dengan yakin mengenai impian dan cita-citanya serta tidak lagi bercerita mengenai pemuda itu dengan matanya yang bercahaya. Malah,dia juga tidak lagi menaruh harapan dan hasrat untuk masa depannya. Matanya juga sudah tidak bersinar seperti dahulu seolah-olah anak matanya yang jernih seperti kristal itu telah dilitupi oleh selimut kabut yang tebal.
"Ya, awak sudah sihat."
"Saya mahu pergi dari sini."
Li Ce sama sekali tidak terkejut apabila dia berkata sebegitu. Dengan penuh rasa ingin tahu, dia bertanya, "Awak nak pergi mana?"
Chu Qiao menggeleng kepalanya seolah-olah dia masih belum membuat keputusan dan dia mengakui dengan jujur, "Saya masih tak tahu. Tetapi dunia ini besar. Pasti ada tempat untuk saya tinggal. Jika saya tak menjumpainya, saya akan menuju ke tanah tandus di luar sempadan."
"Ada beza ke kalau awak pergi ke luar sempadan dan tinggal di sini?"
"Li Ce, Empayar Xia tak akan lepaskan saya begitu saja. Selagi awak biarkan saya tinggal di sini, awak akan ditimpa kesusahan. Saya telah membunuh ramai tentera Xia dan menggagalkan dua kempen mereka. Tambahan lagi, saya telah membunuh Putera Ketiga iaitu Zhao Qi dengan tangan saya sendiri. Walaupun tak ada peperangan di antara Empayar Xia dan Empayar Tang, awak akan ditimpa masalah sekiranya mereka membebaskan tentera mereka."
Li Ce tidak bersuara dan hanya terus memandang Chu Qiao. Pandangan matanya yang kelihatan seperti bermain-main sebelum ini memudar dan bertukar menjadi tenang dan damai. Selepas teragak-agak buat masa yang lama, dia bertanya, "Demi Keluarga Jing, awak dah menjadi musuh Keluarga Zhuge. Untuk membalas jasa baik Yan Xun, awak mengikutnya selama lapan tahun di Istana Sheng Jin dan hidup sebagai seorang hamba. Awak telah melalui segala kesusahan dan kepayahan berkali-kali demi rakyat Yan Bei. Awak memarahi Yan Xun untuk Garison Utusan Barat Daya. Demi Zhuge Yue, awak telah bersembunyi dari hal duniawi selama dua tahun dan demi Kesatuan Da Tong, awak telah berjauh hati dengan Yan Xun. Sekarang, untuk mengelakkan saya daripada masuk campur dalam urusan ini, awak nak pergi ke tanah tandus di luar sempadan itu?" Suara lelaki itu berubah mendalam kerana keletihan yang tidak dapat disembunyikan lagi. Dengan senyap dia bertanya, "Qiao Qiao, dalam seluruh kehidupan awak, awak rasa awak akan capai sesuatu untuk diri awak sendiri ke?"
Chu Qiao sangat terkejut dengan soalan itu. Angin malam yang bertiup menerbangkan hujung pakaiannya. Li Ce memegang lembut bahu wanita itu sambil tangan yang sebelah lagi sedang mengusap kepalanya dengan lembut. Dia menarik Chu Qiao ke dalam pelukannya tanpa sebarang nafsu. Kemudian dia menghela nafasnya dengan lembut dan berbisik, "Qiao Qiao, banyak cara lagi untuk awak teruskan kehidupan dalam dunia ini. Awak boleh hidup dalam kemiskinan tetapi itu juga masih satu kehidupan. Awak boleh bergembira semahu-mahunya dan itu juga masih satu kehidupan. Awak boleh menjalani kehidupan tanpa tujuan dengan tidak melakukan banyak perkara namun itu juga masih satu kehidupan. Awak juga boleh hidup dengan melakukan perkara-perkara hebat yang akan menempah nama dalam sejarah buat selamanya bahkan itu juga ialah kehidupan. Walaupun banyak cara lagi untuk hidup, kenapa awak masih terus memilih untuk melakukan sesuatu yang akan menyusahkan hidup awak? Lihatlah keadaan awak sekarang. Mungkin rakyat biasa hidup dengan lebih baik daripada awak."
Suara Li Ce perlahan-lahan menyusup ke dalam telinganya dan merayap ke dalam fikirannya. Chu Qiao lantas bersandar di dada pemuda itu dan dia juga tidak dapat berfikir apa-apa lagi. Tiba-tiba dia merasakan apa yang diucapkan pemuda itu semuanya betul. Sekiranya dia menjalani kehidupan seperti orang biasa, dia pasti tidak akan menghadapi banyak kesukaran, tanpa banyak pembunuhan dan kesedihan, tanpa pengkhianatan dan penindasan, penipuan dan peninggalan, dia pasti tidak akan patah hati serta tiada tempat untuk pergi.
Cahaya bulan yang lembut menyinari bahu mereka. Chu Qiao tiba-tiba berasa sangat letih. 'Tetapi Li Ce, saya mengambil masa selama sepuluh tahun untuk mendaki ke puncak gunung kerana seseorang pernah memberitahu saya ada sejenis bunga yang jarang ditemui berada di atas gunung tersebut. Tapi, selepas saya menghabiskan segala masa dan usaha saya untuk mendaki ke atas puncak gunung itu, saya dapati gunung itu kosong tiada apa-apa. Saya dah mempertaruhkan segalanya untuk sampai ke puncak gunung tersebut. Bagaimana saya harus turun dengan perasaan kecewa ini?'
"Qiao Qiao, harapan sentiada ada di tangan awak. Kalau awak tak bagi masa untuk diri awak berehat, tiada siapa yang boleh menyelamatkan awak."
Ketika hari bertukar ganti, musim sejuk pun bermula. Cuaca di Empayar Tang tidaklah begitu sejuk walaupun sudah tiba musim sejuk. Chu Qiao masih berada di Istana Jinwu. Walaupun dia tidak mempunyai pangkat atau sebarang pelantikan, wanita sepertinya itu sangat biasa dilihat berlegar-legar di dalam istana ini. Ditambah lagi dengan reputasinya dahulu kala, tiada sesiapa yang berani untuk membuat sebarang masalah dengannya.
Nampaknya Empayar Xia sudah tidak berdendam dengannya. Mereka seolah-olah merasakan dia sudah tidak berguna lagi dan melupakan semua kebencian masa lalu mereka. Empayar Xia langsung tidak menghantar walaupun seorang pendakwah untuk bertanyakan mengenai wanita itu. Chu Qiao berasa sangat hairan kerana dia merasakan situasinya sekarang ini sama dengan Tahanan Jepun ketika perang zaman dahulu. Memandangkan kemarahan penduduk dan sifat anti-perang dalam Empayar Xia, kenapa mereka tidak mengambil peluang ini untuk memastikan kematiannya?
Dia telah pergi berjumpa Mei Xiang untuk bertanyakannya namun Mei Xiang menjawab dengan angkuh, "Jika mereka berani datang, kami akan beritahu Jeneral He Xiao untuk memenggal kepala mereka!" Mei Xiang pernah menjadi pelayannya di Gunung Hui Hui suatu ketika dahulu. Kedua-dua ibu bapa Mei Xiang telah meninggal dunia dalam peperangan dan dia juga pernah menjadi hamba sebelum Chu Qiao berjumpa dengannya. Selepas Chu Qiao tiba di Empayar Tang, pembantunya itu menunggang kuda berseorangan untuk mengejarnya.
Qiu Sui, pelayan wanita yang dihantar oleh Li Ce kepada Chu Qiao tersenyum sambil meletakkan secawan air pear segar lalu berkata dengan sombong, "Tepat sekali, Saudari Mei Xiang itu betul. Tuanku telah melayan Cik Puan dengan begitu baik sejak dari awal lagi, siapa yang berani untuk buat masalah dengan Cik Puan?"
Chu Qiao menggeleng kepalanya dengan perasaan bimbang di dalam hatinya. Perkara ini tidak sepatutnya begitu mudah. Adakah Li Ce terpaksa membuat perjanjian untuk Empayar Xia?
Chan'er berkata dengan gementar, "Saya dengar ada beberapa orang Marshal Besar dari Empayar Xia mahu mewujudkan hubungan yang mesra dengan Empayar Tang jadi, Empayar Xia tidak akan datang mencari masalah dengan Cik Puan lagi."
Marshal Besar? Chu Qiao mengerutkan keningnya. Setahunya, Marshal Besar dari Empayar Xia adalah Ketua dari Majlis Ketua-ketua Terhormat, jadi adakah Wei Guang yang telah melepaskannya pergi?
Chu Qiao tidak pernah bertanyakan mengenai hal duniawi untuk masa yang lama dan hanya merangkak melalui kehidupannya. Di Kediaman Mihe, para pelawat tidak dibenarkan masuk jadi dia benar-benar hidup "tanpa tujuan" seperti yang Li Ce katakan.
Lebih separuh daripada kehidupannya berkait rapat dengan Yan Xun dan dia telah mengharungi pelbagai situasi termasuklah kegelapan dan pengabaian, ajal dan maut, berlawan dan membunuh bersama dengannya. Akhirnya, tiada lagi jalan yang tinggal untuk mereka berdua bersama kerana jalan yang tinggal hanya membawa kepada jalan kebuntuan.
Selepas itu, dia bertanya kepada Li Ce tentang sebab di sebalik perunduran Empayar Xia daripada mengejarnya. Pada masa itu, Li Ce sedang bergembira melihat lukisan-lukisan wanita baru yang dipilih untuk menjadi gundiknya. Li Ce yang mendengarkan soalan itu memberikan pandangan yang memukau dan sambil tersenyum tertawa, "Mungkin Maharaja Xia masih berharap dengan saya."
Walaupun keadaan fikirannya masih lagi tidak stabil untuk menerima lawak jenaka pemuda itu, Chu Qiao masih tertawa kegembiraan dan menemani pemuda itu dalam melihat gambar para wanita yang terpampang di atas skrol yang berukuran tiga kaki tingginya. Chu Qiao yang melihat tatapan mata para wanita muda yang terpampang jelas kesucian dan keanggunan mereka, dia lantas merasakan yang mereka ini sedang memerhatikannya dari dunia yang berbeza.
Sebelum Li Ce keluar dari bilik itu, dia berdiri di depan pintu dan tiba-tiba berpaling lalu tersenyum ke arah Chu Qiao dan memberitahu, "Qiao Qiao, saya nak awak fikirkan perkara ini betul-betul. Dalam dunia ini siapa yang layan awak dengan baik? Demi awak, dia sanggup berkorban apa sahaja. Demi awak, dia sanggup sehidup semati. Demi awak, dia sanggup meninggalkan segala kekayaan dan statusnya. Bukan itu sahaja, dia juga telah menyelamatkan awak tetapi tidak memberitahu awak. Orang seperti itu sangat susah untuk dijumpai. Awak mesti fikirkan perkara ini dengan berhati-hati. Selepas awak sudah membuat keputusan awak mesti beritahu saya dan saya akan menyiapkan sebuah perkahwinan yang meriah untuk awak."
Daun Sycamore yang berwarna merah kekuningan itu memenuhi ruang langit dan hanya membenarkan sedikit sahaja cahaya matahari untuk menembusi masuk bersinar ke atas tanah itu.
Chu Qiao berdiri di dalam istana yang sunyi sambil memikirkan mengenai apa yang telah Li Ce katakan sebelum dia keluar sebentar tadi. Dia berfikir mengenai pertempuran terakhirnya ketika di Yan Bei. Masa serangan, pertahanan, pengunduran, perlindungan, bersama-sama dengan sejumlah pasukan yang terlibat dalam kekejaman, pemintasan, penyebaran maklumat dengan cepat dan juga keupayaan orang yang tiba-tiba muncul dalam wilayah Yan Bei. Seperti yang Li Ce cakap sebentar tadi, siapa saja yang boleh berbuat baik kepadanya?
Ada sesuatu pemikiran yang meresap masuk dan tumbuh seperti tumbuhan yang menjalar seolah-olah menutupi dirinya. Ketika bulan naik dan tenggelam semula di kaki langit, matahari terbit semula membawa cahaya yang tak akan pernah hilang menyinari dunia. Dia hanya berdiri di sana sepanjang malam sambil berulang kali memikirkan tentang persoalan itu sementara terus mencari bukti untuk hipotesisnya yang mengejutkan. Matanya mula beransur-ansur bercahaya seperti air mata mutiara yang menitis ke dadanya sebutir demi sebutir. Namun, dia tidak berasa sedih ataupun sakit. Malah, dia berasa gementar kerana diselubungi rasa terkejut sehingga menggeletar seluruh tubuhnya.
Pada ketika itu, cahaya matahari yang keemasan menembus masuk ke dalam biliknya melalui tingkap dan menyinari wajahnya yang putih pucat itu. Dia ketawa seperti kanak-kanak riang sambil air matanya mengalir laju di pipinya.
Pada hari Chu Qiao berangkat pergi, cuaca masih hujan. Dia tidak berkata apa-apa kepada Li Ce dan hanya membawa barang-barangnya yang sedikit lalu menunggang kudanya menuju ke Pintu Gerbang Zheng Yang. Walaupun hujan gerimis membasahi bahunya, ia kelihatan seperti dipenuhi dengan kehidupan dan keyakinan.
Li Ce masih orang kuat Maharaja. Pada masa ini, dia yang berpakaian baju sutera merah sedang bergembira duduk di atas bumbung istana. Di luar istana, terdapat ramai pegawai yang sedang menangis kerana risau dan bimbang namun dia seperti tidak melihat kelibat Chu Qiao. Angin yang bertiup membawa aroma minyak wangi mengenai pakaiannya lalu menampakkan sulaman di dalam lengan bajunya. Dia memandang ke arah Jalan Diraja Ros di mana dia dapat melihat kain kapas wanita muda itu ketika dia menunggang di atas kuda putihnya, dengan pohon Sycamore yang penuh di tepi jalan. Keseluruhan pemandangan kelihatan seperti sebuah lukisan yang sangat sempurna.