Akhirnya barulah Qiao Chu faham kenapa Jun Xie menyuruh binatang hitam itu membunuh Li Zi Mu. Jun Xie memang sudah merancangnya sejak mula lagi.
Hakikatnya, di dalam Hutan Roh Pertempuran, para pelajar sering diserang Binatang-binatang Roh. Kalau mereka tidak sempat mengelak, sebahagian daripada para pelajar ini akan kehilangan nyawa mereka di sini.
Di mata semua pelajar kampus utama, kumpulan kecil mereka ini ialah yang paling lemah sekali. Satu-satunya yang boleh dianggap sebagai berkemahiran iaIah Fan Jin. Namun Fan Jin seorang tidak akan mampu melindungi mereka semua daripada bahaya.
Jadi, kematian Li Zi Mu logik juga dan boleh diterima.
"Kejam, memang kejam." Qiao Chu hampir memberikan sembah hormat pada minda Jun Xie yang amat bijak itu. Jun Xie pasti telah memikirkan semuanya sebaik dia mula-mula bersetuju untuk membenarkan Li Zi Mu untuk menyertai mereka.
Jun Wu Xie memandang Qiao Chu tanpa perasaan. Dia tidak berkata apa-apa.
Dia lebih bimbang memikirkan tentang peningkatan pencapaian kuasa rohaninya. Sebelum membaham Serigala Perak, Jun Wu Xie agak lama tersekat di tahap jingga. Sepanjang tempoh itu, dia berterusan menyerap tenaga rohani, tetapi tahap kekuatan rohaninya tidak meningkat. Hasil peningkatan yang dicapainya tadi, segala tenaga rohani yang tersimpan di dalam badannya telah dilepaskan. Kuasa rohaninya meningkat secara mendadak. Walaupun dia baru sahaja mencapai tahap kuning, dia samar-samar dapat merasakan yang dia tidak jauh lagi untuk mencapai roh tahap hijau.
Kepantasan perkembangan kuasanya agak mengejutkan.
Jun Wu Xie menggenggam Penjara Roh dengan kuat. Kalau berpeluang, dia tidak kisah untuk membaham satu lagi roh berkontrak sebelum berakhirnya Perburuan Roh.
Jun Wu Xie tidak memberitahu rakan-rakannya tentang niatnya ini. Mereka mula bergerak dari situ selepas berbincang seketika.
Pada waktu siang, Hutan Roh Pertempuran mudah diterokai berbanding waktu malam. Titik semakan yang ditandakan pada peta juga kebanyakannya dapat ditemui. Pencapaian kumpulan kecil itu bagus dan tanpa disangka-sangka, mereka tidak mengalami kesukaran. Kadangkala ada Binatang Roh bergred rendah yang muncul. Namun Qiao Chu dan rakan-rakannya dapat menghapuskan semuanya dengan mudah.
Semakin lama Fan Jin berada di dalam kumpulan ini, semakin dia menjadi kagum. Pada mulanya, dia menyangkakan dengan adanya Jun Xie yang amat berbakat itu, kumpulan ini menjadi hebat. Tetapi tak lama kemudian dia menyaksikan kemahiran Qiao Chu dan rakan-rakannya yang lain. Fan Jin yakin bahawa dalam kalangan anak-anak muda ini, tak ada seorang pun yang berada di tahap kemahiran yang lebih rendah daripadanya.
Fan Jin selaku pemegang kedudukan keempat di Kejohanan Roh Akademi Zephyr serta seseorang yang amat dihormati, sentiasa mendapati dirinya terkejut sehingga terdiam disebabkan oleh pelajar-pelajar kampus cawangan ini. Dia benar-benar tidak tahu sama ada mahu ketawa atau menangis.
Ahli-ahli kumpulan ini menghapuskan semua Binatang Roh yang menghalang laluan mereka dan pantas meneruskan perjalanan. Sebelum waktu tengah hari, mereka tiba di tepi sebuah tasik dan membuat keputusan untuk berehat seketika.
"Seru Beruang Yin Yang dan Ular Tulang Berkepala Dua." Mereka baru sahaja berhenti dan Jun Wu Xie terus berpaling ke arah Hua Yao serta Qiao Chu.
Tadi sewaktu Jun Xie menakut-nakutkan Li Zi Mu, Qiao Chu dan yang lain sedar yang Jun Xie berupaya menyembuhkan kecederaan Beruang Yin Yang. Jadi, sewaktu mendengar kata-kata Jun Wu Xie ini, mereka terus merebut peluang itu dan tidak teragak-agak menyeru roh berkontrak mereka.
Disebabkan Beruang Yin Yang itu sudah pun mendapat rawatan dari Jun Wu Xie tadi, beruang itu kini lebih bertenaga berbanding Ular Tulang Berkepala Dua. Tidak dapat dipastikan sama ada rawatan Jun Wu Xie tadi yang telah membuatkan Beruang Yin Yang itu kagum sehinggakan sebaik diseru, beruang tersebut berjalan menuju Jun Wu Xie. Kemudian beruang itu, yang badannya sama seperti bukit kecil, duduk di depan Jun Wu Xie. Beruang itu mengangkat kaki depannya yang berbulu dan menghulurkannya pada Jun Wu Xie.
Seketika kemudian, muka Qiao Chu berubah menjadi merah padam.
"Tak guna! Si gemuk ni tak tahu malu betul! Boleh pula cuba membodek orang lain selain saya! Memalukan betul!" Mereka yang lain mungkin tidak tahu, tetapi Qiao Chu faham benar emosi apa yang sedang dialami oleh Beruang Yin Yang pada ketika itu. Beruang Yin Yang itu meminta untuk disembuhkan dan kaki yang dihulurkan itu mahu digunakan sebagai pertukaran!
[Saya akan benarkan kamu menyentuh dan mengusap saya kalau kamu sembuhkan kecederaan saya]