Fan Qi menggelengkan kepala lalu berkata, "Itu orang yang Gu Li Sheng pilih sendiri. Mestilah Ayah percaya padanya."
Fan Jin amat terkejut.
"Ayah tahu?"
Fan Qi memandang tepat ke mata anaknya kemudian berkata, "Ayah ni mungkin sudah tua, tapi tidaklah bebal. Kamu fikir tanpa kebenaran ayah, Gu Li Sheng mampu menukar-nukar pelajar di dalam Akademi Zephyr? Ayah bukan saja tahu yang Jun Xie itu pelajar sebenar yang dipilih oleh Gu Li Sheng, malah Ayah juga sedar tentang khabar angin jahat tetapi tidak berasas yang sedang bertiup di seluruh kampus. Kamu tahu tak Ayah sendiri yang mengeluarkan lambang jed fakulti Roh Binatang yang ada pada tangan Jun Xie tu?"
Selepas mendengar kata-kata ayahnya, Fan Jin tiba-tiba ketawa.
"Memandangkan Ayah percaya pada Jun Xie, mudah saja nak uruskan semua ni. Pak Cik Gu tu memang tajam betul matanya. Jun Xie yang dipilihnya itu mampu mengatasi dia dalam teknik Pemulihan Roh! Ini membuktikan yang Jun Xie itu tak boleh dinilai dengan cara yang sama seperti pemuda biasa yang lain. Ayah, biarlah Jun Xie mencubanya!"
Atas desakan Fan Jin yang bersungguh-sungguh dan tidak mengalah itu, Fan Qi akhirnya bersetuju untuk membenarkan Jun Xie merawat Fan Zhuo buat sementara waktu. Tetapi kalau ada timbulnya situasi yang di luar kemampuan Jun Xie, dia mestilah memberitahu Fan Jin dan Fan Qi. Jun Xie tidak dibenarkan menyembunyikan apa-apa tentang keadaan Fan Zhuo dari Fan Qi.
Setelah mendapat jawapan yang dia mahukan, Fan Jin tersenyum sewaktu berjalan keluar dari pejabat Guru Besar.
Ah Jing yang bersembunyi berdekatan pejabat itu masih memegang pipinya yang bengkak. Dia memikirkan nasib dirinya yang menjadi mangsa sambil memandang Fan Jin yang berlalu pergi.
Dia melihat wajah Fan Jin yang kelihatan gembira lalu hatinya kecewa. Berdasarkan reaksi Fan Jin, Ah Jing risau yang Guru Besar pasti mempercayai kata-kata Tuan Muda Sulung. Ini bermaksud Jun Xie pasti akan terus tinggal di hutan buluh itu di masa akan datang.
Apabila terfikirkan perkara ini, Ah Jing tiba-tiba menjadi takut.
Kalau Guru Besar sekalipun percaya pada pembohongan Jun Xie, siapa lagi yang akan menyelamatkan Tuan Muda?
"Ah Jing? Kamu buat apa di sini?"
TIba-tiba satu suara yang penuh tanda tanya kedengaran dari belakang Ah Jing.
Ah Jing terkejut lalu terus berpaling. Dia melihat seorang lelaki yang agak tua, sama usia dengan Fan Qi, memandangnya dengan lembut.
"Naib Guru Besar!" Ah Jing menyedari siapa lelaki tersebut lalu terus memberikan tunduk hormat.
Naib Guru Besar itu melambaikan tangannya untuk membalas tunduk hormat itu. Dia kemudiannya terpandang pipi Ah Jing yang merah dan bengkak. Dia bertanya dengan nada terkejut, "Apa yang dah berlaku?"
Mata Ah Jing menjadi merah dan dia memandang wajah Naib Guru Besar Ning yang lembut dan mesra.
Nama Naib Guru Besar Akademi Zephyr itu ialah Ning Rui. Dia juga rakan seguru Guru Besar Fan Qi. Mereka berdua belajar di bawah Tuan Guru yang sama. Dia dikenali sebagai seorang lelaki yang baik dan jujur.
Fikiran Ah Jing penuh dengan perasaan risau terhadap keadaan Tuan Mudanya dan Ah Jing tiba-tiba merayu, "Naib Guru Besar Ning, bolehkah Tuan selamatkan Tuan Muda saya?"
"Penyakit Fan Zhuo berulang lagi?" Kening Ning Rui berkerut dan dia bertanya dengan risau.
Ah Jing menangis teresak-esak sehingga berhingus sewaktu dia menceritakan kepada Ning Rui segala butir kejadian yang telah berlaku. Ning Rui ialah Naib Guru Besar dan Fan Qi amat percaya padanya. Ah JIng berharap yang Ning Rui mampu menasihati Fan Qi dan meyakinkan dia untuk menghalau Jun Xie keluar dari hutan buluh.
Setelah mendengar kata-kata Ah Jing, wajah Ning Rui kelihatan terkejut.
"Membiarkan seorang budak berusia empat belas tahun merawat Fan Zhuo itu nampaknya seperti tindakan yang agak cuai," kata Ning Rui.
"Bukan itu saja. Reputasi Jun Xie di akademi sangat buruk! Macam mana mereka boleh biarkan Tuan Muda berada dalam tangan orang seperti itu? Guru Besar pasti sudah keliru," kata Ah Jing sambil menangis.
Ning Rui memujuk Ah Jing dan berjanji untuk berbincang dengan Guru Besar mengenai hal ini, kalau-kalau Fan Qi nanti akan mengubah fikirannya.
Setelah diyakinkan oleh Ning Rui, Ah Jing berasa lega. Dia bersungguh-sungguh mengucapkan terima kasih pada Ning Rui dan akhirnya berlalu sambil mengesat air matanya.
Sambil memerhatikan susuk tubuh Ah Jing yang semakin menghilang, perasaan simpati di mata Ning Rui tiba-tiba lenyap tanpa sebarang kesan.