"Ini siapa?" Mo Qian Yuan berundur sedikit daripada Jun Wu Yao yang berdiri di belakang Jun Wu Xie. Dia dapat mengesan aura bahaya yang melampau daripada lelaki itu.
"Jun Wu Yao, Abang saya." Inilah kali pertama Jun Wu Xie memperkenalkan Jun Wu Yao kepada orang lain.
Abang? Mo Qian Yuan berasa amat curiga. Dia tidak ingat yang Keluarga Jun ada orang seperti ini. Tetapi dia nampak pancaran kegembiraan yang muncul seketika di dalam mata lelaki berbahaya itu sewaktu Jun Wu Xie menyebut perkataan "Abang".
Pada malam itu, sewaktu Jun Wu Yao menyelamatkan Jun Xian dan membawanya ke Pintu Pagar Istana, semua mata tertumpu pada Jun Xian. Tak ada sesiapa yang perasan kehadiran Jun Wu Yao ketika itu.
"Apa yang penting sangat sehingga kamu datang berjumpa saya lewat malam begini?" Secara separa sedar, Mo Qian Yuan berundur menjauhi Jun Wu Xie, untuk menjauhkan dirinya daripada Jun Wu Yao yang berbahaya.
Jun Wu Xie menjawab ringkas, "Jed Roh"
"Jed Roh? Kamu benar-benar…"
Jun Wu Xie tahu apa yang Mo Qian Yuan mahu katakan dan dia menggelengkan kepalanya dengan tegas.
"Saya tak akan serahkan Jed Roh kepada Kumpulan Qing Yun dan saya mahu separuh lagi kepingan Jed Roh yang ada dengan kamu."
"Apa?" kata Mo Qian Yuan sambil matanya terbeliak kerana terkejut. Dia memandang Jun Wu Xie seolah-olah tidak percaya.
Dia mahu menyimpan Jed Roh milik Keluarga Jun dan...dia mahukan separuh lagi kepingan milik Keluarga Diraja juga?
Dia sudah hilang akalkah?
"Wu Xie, kamu mahu buat apa dengan Jed Roh? Jed itu cuma kepingan jed biasa yang simbolik. Kalau kamu mahu, saya boleh suruh orang dapatkan jed yang lebih berkualiti untuk kamu! Menentang Kumpulan Qing Yun demi jed biasa ini bukan keputusan terbaik boleh kamu lakukan." Mo Qian Yuan selalu mempercayai keputusan Jun Wu Xie, tetapi kali ini di merasakan seperti mahu menarik-narik rambutnya kerana kecewa.
Jun Wu Xie pasti sedar akibat yang akan berlaku, bukan?
"Kamu nak beri atau tak?" tanya Jun Wu Xie sambil mengecilkan matanya. Memandangkan Jed Roh ialah Jed Penenang Roh, Jun Wu Xie tidak berniat mahu menerangkan hal ini kepada Mo Qian Yuan. Dia tidak boleh cuai dalam perkara yang membabitkan Jun Gu.
Ini kali pertama Jun Wu Xie memberikan renungan mata yang dingin terhadap Mo Qian Yuan dan dia dapat merasai kegerunan yang dirasai oleh Mo Xuan Fei dan sekutunya sebelum ini.
Dahinya berpeluh sejuk. "Kalau kamu mahu, saya boleh berikan pada kamu, tapi…macam mana dengan Kumpulan Qing Yun?Kamu sudah lihat sendiri. Mereka bertekad mahukan Jed Roh dan sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkannya."
"Berikan pada saya dan saya akan uruskan mereka." Jun Wu Xie tidak berniat mahu berbaik-baik dengan Kumpulan Qing Yun.
Sewaktu dia meracuni Bai Yun Xian, dia sedar yang dia dan Kumpulan Qing Yun tidak boleh bekerjasama.
Mo Qian Yuan hilang semangat mendengarkan kata-kata Jun Wu Xie. "Kamu mahu menentang Kumpulan Qing Yun? Tidak! Wu Xie! Kamu dah lihat kuasa Jiang Chen Qing! Walaupun dengan adanya Tentera Rui Lin, kita tak boleh menentang lebih dua puluh orang pakar dalam delega…"
Mo Qian Yuan tidak dapat menghabiskan kata-katanya. Seluruh bilik itu tiba-tiba dipenuhi tekanan yang melampau. Seketika kemudian, satu tekanan seberat gunung menghentam bahunya. Pada saat itu, seluruh badannya menggigil, sehingga kakinya longlai dan dia terjatuh ke atas lantai dengan bunyi yang kuat. Peluhnya tidak henti-henti mengalir sehingga membasahi lantai.
"Buat apa yang dia suruh." Suara yang kedengaran di telinganya itu begitu berkuasa. Suara itu tidak kuat, tetapi membuatkan telinganya berasa sakit seperti dicucuk-cucuk. Darah mengalir daripada sudut mulutnya, menitis ke lututnya.