Jun Wu Xie duduk diam dengan pandangannya ditundukkan. Dia tidak memandang sesiapa sekalipun dan duduk di situ seolah-olah kekecohan yang berlaku tidak ada kaitan dengannya. Dia kelihatan serius dan keseorangan dalam dunianya sendiri.
Anggun,suci dan kecantikan yang unggul. Perkataan-perkataan ini muncul di dalam minda mereka.
Semua perkataan itu sebelum ini digunakan untuk memperkatakan tentang Bai Yun Xian tetapi kini nampaknya lebih sesuai digunakan untuk Jun Wu Xie.
Sikapnya yang tidak banyak cakap itu membuatkan dia sukar didekati, namun menimbulkan keinginan di dalam hati seseorang untuk mahu terus menatapnya.
Walaupun mereka tidak mahu mengakuinya, tapi sebenarnya Jun Wu Xie yang pendiam itu menarik perhatian mereka, sama ada dari segi perilaku ataupun penampilannya.
Dia juga langsung tidak menonjolkan diri sehingga mereka hampir lupa tentangnya. Tetapi selepas terpandang Jun Wu Xie dan menyedari perubahannya, mereka tertarik dengannya.
Mereka mencuri pandang pada Jun Wu Xie dan kemudian mengalihkan pandangan mereka ke arah Bai Yun Xian.
Bai Yun Xian tidaklah begitu anggun seperti tanggapan mereka sebelum ini.
Nampaknya gelaran dewi dingin yang anggun akan diberikan kepada Jun Wu Xie. Sudah tiba masanya untuk Bai Yun Xian untuk bersara.
"Qian Yuan. Anakanda mabuk." Wajah Maharaja berkerut. Baginda tidak faham mengapa Putera Mahkota yang biasanya diam tiba-tiba bersuara mempertahankan Jun Wu Xie. Baginda masih ingat yang ini hanyalah kali kedua Putera Mahkota dan Jun Wu Xie bertemu. Sebelum ini, Mo Qian Yuan tidak mempunyai pandangan yang baik terhadap gadis itu.
"Ah, ya. Anakanda mabuk. Anakanda sudah terlalu banyak minum wain, dan membiarkan Ayahanda melihat sesuatu yang lucu. Izinkan Anakanda mengundur diri untuk berehat." Mo Qian Yuan menegakkan dirinya dan tersenyum sumbing.
"Pergi." Maharaja menempik.
Mo Qian Yuan tidak lagi teragak-agak dan segera bangun. Dia mengangkat tangannya dan memberi isyarat kepada hamba-hamba yang mahu menolongnya. Dia mengecilkan matanya dan mendesiskan amaran. "Beta masih boleh berjalan sendiri. Tak ada sesiapa dibenarkan untuk menyentuh Beta!"
Cara Putera Mahkota meninggalkan majlis telah menimbulkan perasaan tidak puas hati di kalangan ramai orang.
Jun Wu Xie melihatkan kelibat Putera Mahkota berlalu pergi dan dia berfikir sejenak sambil tetamu lain membuat ucap selamat. Dengan nada perlahan dia berkata kepada Jun Qing. "Pak Cik, saya mahu keluar mengambil udara segar."
Jun Qing terkejut seketika. Dia memikirkan betapa anak saudaranya ini begitu sayangkan Mo Xuan Fei. Melihatkan kemesraan di antara Mo Xuan Fei dan Bai Yun Xian pasti membuatkan Jun Wu Xie sedih. Jun Qing mengeluh dengan kuat dan berkata, "Pergilah berjalan-jalan, tapi jangan tinggalkan kawasan istana ini. Jangan pergi terlalu lama."
"Baiklah."
"Wu Xie."
"Ya?"
"Jangan terlalu sedih disebabkan Mo Xuan Fei. Dia tidak layak untuk kamu."
"....." Langkah Jun Wu Xie terus terhenti.
Bagaimana Pak Cik boleh buat kesimpulan itu? Mata yang mana Pak Cik gunakan untuk melihat dia sedih disebabkan oleh Mo Xuan Fei yang tak berguna tu?
Cahaya bulan di dalam taman itu menyinari pavilion di mana Mo Qian Yuan berada. Dia sedang minum wain terus dari jag. Lelaki itu duduk di atas kerusi batu sambil tersenyum pahit.
"Kalau mahu mati cepat, minumlah lagi!" Satu suara yang lunak tetapi dingin memecah keheningan malam.
Mo Qian Yuan sangat terkejut. Di bawah sinaran cahaya bulan, kelihatan seorang gadis yang cantik, berpakaian broked sutera berwarna kuning. Gadis itu memegang seekor kucing hitam kecil. Dikelilingi bunga-bungaan dan dengan cahaya bulan menyinari lembut ke tubuhnya, penampilannya yang lembut membuatkan dia kelihatan seperti bidadari yang baru turun ke dunia manusia.
"Jun Wu Xie?" Mo Qian Yuan tersenyum dalam keadaannya yang mabuk.
"Beta tertanya-tanya siapa yang begitu berani menyumpah Putera Mahkota untuk mati awal?"
Jun Wu Xie berjalan ke arah pavilion itu. Bau arak menusuk ke hidungnya. Dia berhenti sebelum memasuki pavilion.
"Kalau saya tak sebut sekalipun, kamu memang akan mati. Lagipun... berapa lama lagi kamu mampu mempertahankan gelaran Putera Mahkota?" jawabnya dengan dingin.
Ekspresi Mo Qian Yuan tiba-tiba berubah. Matanya yang kelihatan kabur terus menjadi tajam. Suasana menjadi sunyi dan udara di sekeliling mereka melemaskan. Mo Qian Yuan seolah-olah bertukar menjadi harimau kumbang yang menunggu di dalam kegelapan, sedia untuk menerkam mangsanya.
"Apa kamu cakap?" Matanya ada sinar berbahaya.
Jun Wu Xie membelai bulu kucing hitam kecilnya dengan bersahaja. Tanpa mengangkat kepalanya dia berkata dengan nada dingin, "Sesetengah orang tidak mahu kamu terus menjadi Putera Mahkota dan berharap kamu akan mati cepat. Kalau kamu juga fikir begitu dan mahu mencari jalan untuk melepaskan diri lebih awal, hentak sahaja kepala kamu ke meja batu itu. Tak perlu bazirkan masa semua orang."
Mulut Mo Qian Yuan bergerak sedikit. Dia selalu menganggap gadis ini sedikit melampau. Tetapi setelah merasai sendiri kesan daripada lidah yang berbisa itu, barulah Mo Qian Yuan sedar yang dia telah memandang rendah terhadap gadis ini.
Budak ni, tak bolehkah bersopan sedikit dalam berkata-kata? Perlukah menyampaikan kata-katanya dengan cara begitu?
"Ayat seperti ini tidak boleh disebut secara melulu. Beta anggap saja tidak mendengar apa-apa." Dia menggosok-gosok keningnya yang berkerut.
"Melulu? Memandangkan saya sudah mengatakannya, baik saya teruskan saja. Kalau Tuanku mahu membalas dendam untuk Bonda Tuanku serta keluarganya, Tuanku perlu terus hidup dan mengekalkan kedudukan sebagai Putera Mahkota." Perlahan-lahan Jun Wu Xie mendongak. Matanya yang penuh semangat merenung tepat pada Mo Qian Yuan dan membuatkan lelaki itu terkejut.
"Apa yang kamu tahu?" Mata Putera Mahkota kelihatan panik.
"Patik tahu Tuanku seorang yang penakut serta lelaki yang tidak berguna." Jun Wu Xie mengangkat keningnya.
"Kamu!" Mo Qian Yuan menjadi marah. Dia tidak sepatutnya membela gadis ini sebentar tadi!
"Kalau kamu tidak sanggup, carilah pelbagai cara untuk bertahan. Kalau tidak, angkat tangan dan menyerah sahaja." balas Jun Wu Xie.
Mo Qian Yuan tergamam. Gadis kecil ini benar-benar tahu cara terbaik untuk menyakitkan hatinya! Oleh kerana dia telah minum wain, kepalanya pening sedikit dna merasakan darahnya naik ke kepala. Dia berdiri dan membaling jag wain di tangannya ke lantai.
Jag itu pecah dan bau wain yang kuat tersebar ke persekitaran mereka.
"Kamu fikir ini yang Beta mahu? Huh? Kamu fikir Beta minta semua ni? Ada apa dengan gelaran Putera Mahkota? Hah! Beta tak mahu apa-apa! Hidup Beta, kedudukan Beta, semuanya bukan milik Beta! Ayahanda Beta sendiri mahukan Beta mati! Semua orang fikir Beta ini putera yang tak berguna! Siapa lagi dalam dunia ini boleh selamatkan Beta! Jadi kalau Beta tak sanggup lagi hidup, apa lagi yang Beta boleh lakukan?"
Dia menjerit dengan matanya yang kemerahan serta meluahkan segalanya yang telah menghantuinya selama ini. Emosinya yang dipendam selama bertahun-tahun terluah bagaikan mata air yang mengalir deras.
"Apa kamu kata itu betul! Beta akan mati tak lama lagi! Mati! Apa lagi boleh Beta lakukan? Anggap saja Beta sudah mati! Beritahu Beta, apa yang boleh dilakukan?"
Jun Wu Xie memandang lelaki yang sedang mengamuk itu dengan dingin.
"Kalau kamu tak perlu mati?"
"Apa?" Dia memandang Jun Wu Xie dengan mata terbeliak. Seolah-olah telah dipanah petir.
"Lebih tepat lagi kalau saya katakan, bukan sahaja kamu tak mati sekarang, kamu tak akan mati dalam masa beberapa tahun atau dekad." Jun Wu Xie membetulkan kata-katanya sendiri.
"Kamu…kamu…apa maksud kamu?" Mo Qian Yuan menelan air liurnya sambil dia bertanya dengan gelisah. Dia tidak sanggup mengharapkan dapat mendengar apa yang sangat diimpikannya.
Jun Wu Xie tidak menjawab pertanyaan itu sebaliknya berkata dengan nada tidak sabar, "Kamu telah diracun, bukan?"
"Macam mana kamu tahu?" Siapa gadis kecil ini? Mo Qian Yuan benar-benar terkejut.
Jun Wu Xie mengerutkan keningnya. Dia tidak begitu pandai menerangkan apa-apa, lebih baik dia buktikan sahaja.
"Hitam Kecil, pegang dia." kata Jun Wu Xie sambil tiba-tiba mencampakkan kucing hitam kecil di dalam dakapannya.
Di bawah cahaya bulan yang terang, kucing hitam kecil itu yang bersaiz sekecil tangan Jun Wu Xie tiba-tiba berubah bentuk. Badan kucing itu menjadi besar dalam sekelip mata sehingga menjadi seekor harimau kumbang yang besar dan kuat. Harimau kumbang ini menerkam Mo Qian Yuan.
Mo Qian Yuan yang tadinya berdiri tanpa mengesyaki apa-apa kini dihimpit di atas tanah oleh harimau kumbang yang besar itu. Dia terpaku dan hanya memandang harimau kumbang yang berada di atasnya. Matanya terbeliak dan mulutnya ternganga sambil dia cuba memahami apa yang telah berlaku.
Commentaire de paragraphe
La fonction de commentaire de paragraphe est maintenant disponible sur le Web ! Déplacez la souris sur n’importe quel paragraphe et cliquez sur l’icône pour ajouter votre commentaire.
De plus, vous pouvez toujours l’activer/désactiver dans les paramètres.
OK