Istana diraja, Dewan Besar.
Putera Mahkota tergesa-gesa masuk dengan berpakaian jubah mewah. Dalam Dewan Besar itu, Maharaja sedang bersemayam di atas takhta dengan tak bermaya. Satu tangannya menongkat dagu. Badannya kadangkala menggigil bila dia batuk perlahan.
Bila Maharaja melihat Putera Mahkota melangkah masuk ke Dewan Besar, wajahnya tersenyum sambil dia berkata dengan lembut, "Anakanda Chengan sudah tiba. Daripada apa yang Ayahanda dengar daripada adindamu, Anakanda pergi ke tempat tauke Bu untuk menyediakan Masakan Eliksir untuk Ayahanda?"
Bila Ji Chengan terdengar kata-kata itu, ekspresinya berubah sedikit. Namun, dia masih tunduk hormat ke arah Maharaja dan berkata, "Ayahanda, Anakanda hanya risaukan kesihatan Ayahanda. Anakanda dengar yang Masakan Eliksir Tauke Bu boleh memanjangkan umur. Jadi, Anakanda menghantar orang-orang Anakanda untuk membeli Ayam Phoenix Merah Darah dari Tanah Belantara dan meminta Tauke Bu menyediakan Masakan Eliksir."
Raja Yu, Ji Chengyu, juga berada dalam Dewan Besar itu. Dia berdiri dari jauh sambil tersenyum melihat Putera Mahkota dengan penuh minat. Dia sengaja masuk ke istana diraja untuk memaklumkan ayahandanya tentang berita ini.
Ji Chengan bercadang menyembunyikan perkara ini daripada ayahandanya. Dia mahu Maharaja rasa kagum bila dia mempersembah Masakan Eliksir yang boleh memanjangkan jangka hayat. Namun… disebabkan Ji Chengyu sudah memaklumkan ayahanda mereka, kesannya pasti kurang mengejutkan.
Tetapi… apa yang lebih penting, disebabkan ayahanda mereka sudah mengetahui tentang Masakan Eliksir, dia pasti rasa berharap. Bila Masakan Eliksir itu dimusnahkan, harapan itu pun akan musnah bersama-samanya. Pada saat itu, perbezaan antara harapan dan hasil pasti akan memberi kesan kepada pandangan Maharaja terhadap Putera Mahkota.
Mata Raja Yu bersinar terang sambil dia memandang Putera Mahkota dengan senyuman gembira.
Putera Mahkota sudah berulang-kali menyumpah seranah Raja Yu dalam fikirannya. Macam mana dia boleh tak memahami pemikiran Raja Yu. Pada asalnya, dia merahsiakan perkara itu daripada Maharaja kerana hendak membuatkan Maharaja kagum. Tapi, disebabkan Raja Yu sudah masuk campur, hasilnya tak akan jadi sehebat yang diinginkan.
"Anakanda bertindak dengan penuh timbang rasa. Tapi Ayahanda sangat maklum tentang penyakit ini. Apa-apa pun, Ayahanda faham niat Anakanda itu." Maharaja tersenyum lembut dan wajahnya nampak baik dan ini jarang-jarang berlaku.
Putera Mahkota hanya mampu memaksa dirinya untuk senyum. Satu-satunya perkara yang dia boleh harapkan supaya Xushi dapat memindahkan Masakan Eliksir itu ke istana dengan selamat.
Namun, dia tahu yang Raja Yu tak akan biarkan perkara ini berjalan lancar.
...
Muka Bu Fang berkerut sedikit sambil tangannya diletakkan di atas penutup periuk tanah. Daya tulen yang terus menerus mengalir ke dalam periuk itu memberi kesan kepada ramuan di dalamnya.
Bu Fang masih tak berapa biasa dengan kulinari daya tulen, jadi dia tak boleh cuai walaupun sedikit.
Dia risau kalau sebarang kesilapan yang dia buat akan menjejaskan hidangan ini.
Titik-titik peluh mula kelihatan di dahinya tapi Bu Fang tak mengendahkannya dan terus memberi perhatian untuk memasak menggunakan daya tulen. Akhirnya, ekspresinya berubah sedikit dan mulutnya tersenyum.
Selepas menyebarkan daya tulen, Bu Fang menarik balik tangannya dan menghembus nafas dengan berat. Dia mengambil segelas air dari meja dan minum sepuas-puasnya.
Air sejuk, segar dan manis ini ialah mata air pergunungan yang disediakan sistem. Ia mengandungi tenaga semangat dan berkhasiat untuk badan.
Dia mengangkat periuk tanah dan melihat isinya. Ayam Phoenix Merah Darah itu terletak elok dalam periuk. Bila sup ayam itu menggelegak, dagingnya yang lut cahaya dan lembut seperti jeli itu bergetar-getar. Sup ayam itu berwarna oren kekuningan. Namun, warnanya tak begitu terang seperti apa yang dimasak oleh Bu Fang untuk Xiao Yanyu. Ini disebabkan perbezaan kualiti ramuannya dan Bu Fang tak mampu berbuat apa-apa tentangnya.
Pati Herba Sej dan ramuan berubat lain telah pun menyerap ke dalam daging dan sup ayam. Satu bau harum datang dari periuk tanah itu.
Masakan Sup Ayam Phoenix Herba Sej itu pun siap disediakan.
Setelah meletakkan semula penutup periuk, Bu Fang meregangkan badan dan tengkuknya sambil berjalan ke arah pintu masuk. Bila dia mengalihkan papan di pintu, angin sejuk bertiup ke mukanya. Bu Fang, yang keletihan selepas bekerja semalaman, rasa segar sedikit dan kurang rasa penat.
Selepas membuka restoran seperti biasa, Bu Fang meletakkan sepinggan Tulang Rusuk Masam Manis di depan Si Hitam dan mengusap bulunya yang bersih. Kemudian, Bu Fang berdiri, menarik kerusi dan berlingkar di atasnya. Dia hendak berehat seketika.
Namun, rehatnya tak panjang kerana tak lama kemudian, Si Gemuk Jin dan rakan-rakannya sampai. Bu Fang tiada pilihan selain memulakan hari sibuknya.
Di jalan utama bandar diraja, Xushi menuju ke arah restoran Bu Fang bersama sekumpulan orang. Aura kumpulan ini begitu kuat. Daya tulen mereka yang naik turun itu menolak-nolak udara.
Xushi tak boleh cuai walau sedikit pun dalam menjalankan operasi memindahkan sup itu. Putera Mahkota sudah tak berpuas hati dengannya. Kalau dia gagal misi ini, lebih baik dia berambus.
Jadi, dia membawa lima Raja Pertempuran bersama-samanya untuk memindahkan sup itu, sebagai langkah berjaga-jaga. Lagipun, lima Raja Pertempuran sudah dikira kuasa bertarung tahap tinggi di bandar diraja.
Jalan masuk ke lorong itu sunyi dan aman. Bila Xushi melangkah masuk ke lorong itu, mukanya berkerut. Dia merasakan satu letusan daya sejuk yang datang dari bawah kakinya.
Adakah dia membayangkan sesuatu? Xushi menundukkan kepalanya dan melihat ke atas lantai. Ia masih lantai kuarzit lama yang sama dengan lumut tumbuh di celah-celah jubin itu. Semuanya sama seperti biasa.
'Mungkin perasaan aku saja.' Xushi berkata dalam hati sambil menggelengkan kepalanya dan tertawa dengan pahit. Dia kemudiannya membawa kumpulannya ke restoran Bu Fang.
Dalam restoran itu, ada beberapa orang pelanggan sedang menikmati hidangan mereka dengan gembira. Mereka semuanya orang kaya dan berpengaruh dalam bandar diraja. Seperti Si Gemuk Jin, mereka sentiasa berduit.
"Oh, kamu sudah sampai." Bu Fang mengangguk tanpa perasaan bila dia nampak Xushi melangkah masuk ke restoran.
"Tunggu sebentar, tauke busuk sedang memasak." Ouyang Xiaoyi berkata dengan comel sambil dia menyuruh Xushi untuk tunggu.
Xushi berasa agak gementar tapi dia mengangguk dengan tenang.
Selepas seketika, Bu Fang selesai memasak hidangan terakhirnya dan menyuruh Xiaoyi menghidangkannya kepada pelanggan. Dia kemudiannya membawa keluar periuk tanah dari dapur. Periuk itu masih berwap dan bau harum tersebar di sekeliling.
Mata Xushi terus bersinar sambil dia berkata dalam hati, "Ini sememangnya Masakan Eliksir Tauke Bu! Tak silap lagi!"
Xushi mengambil periuk tanah itu dengan berhati-hati daripada Bu Fang. Selepas menyatakan rasa terima kasihnya, Xushi mengucapkan selamat tinggal kepada Bu Fang dan meninggalkan restoran. Lima Raja Pertempuran itu pun mengikutnya dengan wajah serius.
Daripada saat Xushi menerima Masakan Eliksir, dadanya rasa berat dan dia menjadi lebih peka.
Daya tulen ganas yang terbit daripada setiap Raja Pertempuran itu mengelilingi Xushi untuk membentuk halangan pelindung.
Si Hitam yang sedang berbaring malas di pintu masuk, memandang ke arah kumpulan itu dengan mamai. Ia kemudian mendengus dan kembali tidur.
Tiba-tiba, angin yang teramat sejuk bertiup dari jalan masuk lorong itu.
Xushi dan lain-lain yang sedang membawa Masakan Eliksir itu, baru saja sampai di situ bila mereka rasa meremang bulu roma. Mereka membeliakkan mata yang bercahaya sambil mengamati kawasan sekeliling.
"Siapa di situ?! Keluar!!"
Dengan satu jeritan, seorang pakar Raja Pertempuran mengumpulkan daya tulen di penumbuknya dan menghentamnya dengan ganas ke satu arah.
Ooom.
Bila penumbuk yang penuh dengan daya tulen itu menghentam udara, anak mata Raja Pertempuran itu mengecil. Dia baru sedar yang lantai di lorong itu memancarkan cahaya hitam.
Dua bulatan hitam berisi simbol-simbol muncul di lantai kuarzit itu dan berputar-putar ke arah lawan jam.
"Tak guna! Ini susunan membunuh Sekta Jiwa, iaitu Susunan Meruntun Jiwa Raja Neraka!"
Wajah Xushi pucat dengan serta merta dan anak matanya hampir tak bermaya.
Tiba-tiba, cahaya hitam memancar ke atas dan menyelubungi seluruh kumpulan itu, seolah-olah mereka ditarik ke dunia lain.
Bunyi tapak kaki kedengaran dan beberapa kelibat berjubah hitam muncul dan memenuhi lorong itu. Aura mereka begitu berkuasa manakala aura ketua mereka yang bongkok itu lebih menakutkan.
Dengan dua gumpalan api yang meluap-luap, Hun Qianyun membuka mulutnya dan berkata, "Mangsa sudah masuk ke dalam susunan magik… Mulakan penghapusan."