Ya! Memang sebentar tadi, Marina menaiki sebuah teksi menuju ke Pangsapuri Seri Damai setelah dia dapat lari dari wanita-wanita itu. Namun, sebaik sahaja tiba dia menukar fikiran. Dia menukar arah dan terus menuju ke Hotel Pasadianka International.
Tatkala sampai sahaja di bilik, dia terus melayari internet dengan menggunakan computer yang terdapat di hotel itu. Kebanyakkan e-mail datang dari Gina dan Suraya. Dia membacanya satu persatu. Jelas sekali mereka risau dengan kehilangan Marina. Marina tidak bercadang untuk menelefon Gina pada malam ini kerana dia tidak larat hendak bersoal jawab dengan rakannya itu. Tetapi, apabila menyedari bahawa kehilangannya itu menjadi kebimbangan semua, dia terpaksa menghubungi Gina untuk memberi tahu khabar tentang dirinya.
Wajah Gina bermain-main dalam fikirannya. Dalam masa kurang dari satu jam, dia pasti akan sampai. Dia berharap tiada apa yang akan berlaku ke atas rakannya itu. Jika dihalang pun pasti tiada gunanya. Gina akan tetap datang ke hotel.