Doktor Sarah mundar-mandir menunggu penerbangannya yang dilaporkan ditunda selama setengah jam. Dia kelihatan begitu resah sekali. Dia bimbang kalau-kalau apa yang menganggunya selama ini muncul secara tiba-tiba di lapangan terbang itu. Pasti ianya akan merbahayakan semua orang yang berada di situ.
Doktor Sarah sememangnya tidak mahu menerima nasib yang sama seperti Doktor Adam. Dia tidak mahu riwayatnya berakhir dengan cara sebegitu. Dia tidak sanggup menghadapinya. Walaupun dia tahu maut itu sesuatu yang pasti bagi semua makhluk tetapi dia tidak boleh berdiam diri. Situasinya kini umpama seorang pengembara yang dikejar oleh seekor harimau. Dia tidak boleh hanya berserah. Dia harus pergi mencari perlindungan dan berdoa untuk keselamatan dirinya.
Doktor Sarah juga sentiasa berdoa untuk Marina. Harapannya agar dia sentiasa selamat dari malapetaka yang tidak diingini. Bagaimana pula dengan Fendi sekarang? Adakah benar dia yang terlibat dalam pembunuhan Doktor Adam? Bagaimana jika Shahril yang melakukannya? Jika benar Shahril yang melakukannya, bagaimana agaknya keadaan Fendi sekarang? Tentu dia juga dalam bahaya. Atau dia juga telah….
Doktor Sarah tidak berani menjawab semua soalan-soalan itu yang sedang bermain di fikirannya itu. Dia sudah terputus hubungan dengan Fendi. Entah kenapa lelaki itu tidak dapat dihubunginya sejak akhir-akhir ini.
Nampaknya segala rahsia yang disimpannya selama ini telah mula memakan dirinya sendiri. Namun, dia berasa amat lega dengan apa yang diberitahunya kepada Marina tempohari. Sekurang-kurangnya sebahagian dari apa yang disembunyikan untuk sekian lama sudah tidak menjadi rahsia lagi. Dia tidak mahu lagi terlibat dengan semua ini. Biarlah Marina sahaja yang menguruskannya. Dia yakin, wanita muda itu boleh menghadapinya. Mungkin, Doktor Adam telah meninggalkan sesuatu kepada Marina.
Dia pun tidak bercadang untuk berada lama di Zuria. Bila keadaan sudah reda dan segala-galanya telah tamat. Pasti dia akan pulang semula ke tanah air. Lagipun, Yayasan Rahsia Hati masih lagi memerlukannya. Di sebalik kebimbangannya, dia berasa amat gembira kerana dia akan berjumpa dengan seseorang yang telah banyak memberi sumbangan kepada yayasan tersebut. Sokongan dan bantuan individu tersebut memang Semoga dia tidak putus-putus memberi sokongan kepada yayasan itu.
Apabila berfikir tentang Yayasan Rahsia Hati, fikirannya menerawang pula memikirkan Cammy. Sebelum dia pergi, dia telah berpesan kepada Cammy untuk melihat-lihat keadaan rumahnya yang bakal ditinggalkan sepanjang keberadaannya di Zuria. Dia juga menyuruh Cammy memantau keadaan yayasan. Namun, terbit juga perasaan risau dihatinya. Cammy telah cuba dihubunginya beberapa kali. Tapi malangnya, tiada satu pun panggilan yang dibuatnya itu berjawab.