PUSAT SAINS TEKNOLOGI DAN SENI KEBANGSAAN MELETUP
Seri berfikir tentang apa yang baru dibacanya tadi. Ianya satu perkara yang boleh dikatakan ganjil di Pasadianka. Tidak pernah lagi terjadi perkara sedemikian rupa di negara ini. Ini satu insiden yang benar-benar mencemarkan nama Pasadianka yang selama ini dianggap satu negara contoh di benua Utopia. Mengapakah mereka sanggup melakukan perkara-perkara yang mendatangkan mudarat kepada orang ramai. Tidakkah mereka yang pintar itu terfikir baik buruknya perbuatan mereka itu? Apakah yang mendorong mereka? Apa yang mempengaruhi seseorang untuk berkelakuan sebegitu rupa? Akal manusia yang waras tidak mungkin tergamak melakukannya. Tentu ianya berakar-umbi daripada perjalanan hidup mereka.
Barangkali, ada satu unsur gelap yang menyelubungi semua ini.
Hitam dan putih.
Hitam dan putih.
Dua warna yang selalu mewarnai dunia. Dua warna yang telah mencorakkan masa yang pantas berlalu. Ya. Masa akan berlalu… Memikirkan tentang masa, Seri mempercepatkan kayuhannya. Dengan penuh berhati-hati, dia mengayuh sehinggalah sampai di hadapan rumahnya.
Sebelum membelok memasuki kawasan rumah, dia terlihat sebuah buku yang terbiar di tepi jalan. Buku itu berwarna putih dan pada kulit muka hadapannya tertulis satu perkataan yang ditulis dengan warna hitam iaitu 'Oyama'. Dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Tiada siapa yang kelihatan. Lantas, dia turun daripada basikal dan mengambilnya. Dia segera meletakkan basikalnya dan duduk di beranda rumah. Dengan penuh rasa ingin tahu, dia membuka buku itu. Nampaknya, ia adalah sebuah buku catatan yang dijadikan sebagai diari. Ada juga surat-surat yang terselit di beberapa bahagian buku itu. Seri membuka muka surat pertama dan membacanya.