"Boleh saya tanya satu soalan?" Inspektor David bersuara.
"Apa dia Inspektor?"
"Sejak dari tadi saya asyik mendengar tentang Doktor Fendi. Bagaimana pula dengan Doktor Sarah?"
"Ya. Bagaimana pula dengan dia? Secara jujurnya. Kami sudah mendengar sebahagian penjelasan ini dari dia dan faktanya lebih kurang sama. Cuma apa yang kamu katakan tadi lebih terperinci" Marina mengiyakan apa yang dikatakan oleh Inspektor David.
"Jadi kamu sengaja berdiam diri? Kamu hendak menguji saya ya?" kata Ikran. Dia tersenyum penuh makna.
"Jangan salah faham Ikran, kami sedang menjalankan penyiasatan. Jadi kami terpaksa menggunakan helah ini"
"Saya tahu Doktor Adam sering bercakap mengenai Doktor Fendi dengan kamu. Bukankah begitu Marina?" tanya Ikran. Marina hanya mengangguk. "Dan saya tahu Doktor Sarah telah pun memberitahu mengenai kebenaran yang Doktor Fendi telah pun meninggal dunia pada tahun 1983. Mengikut laporan, dia meninggal akibat keracunan makanan. Kamu pula hanya pernah mendengar suaranya melalui telefon sahaja. Tetapi tidak pernah berjumpa dengannya bukan?"
"Ya. Tetapi, apa sebenarnya yang telah berlaku? Kami agak keliru dengan fakta-fakta tersebut"
"Doktor Fendi sebenarnya tidak mati. Jika tidak masakan awak pernah berbual dengannya. Mayat yang dijumpai pada ketika itu bukan Doktor Fendi. Itu adalah klon Doktor Fendi. Dia yang sengaja melakukannya."
"Apa tujuan Doktor Fendi sebenarnya?"
"Tujuan utama dia mengklonkan dirinya adalah untuk mengelirukann pihak berkuasa dan menghapuskan identiti Doktor Fendi."
"Mengelirukan pihak berkuasa?" dahi Marina berkerut.
"Dia sebenarnya mengambil keputusan untuk mengubah dirinya secara menyeluruh. Dia ingin mengubah identiti dirinya. Hanya Doktor Adam sahaja yang tahu mengenainya." Jelas Ikran.
"Selama ini, dia telah menggunakan identity... Sarah Faridah Darius."