Awal-awal pagi lagi Marina sudah bangun. Begitu juga dengan Gina. Selalunya jika Marina tidak bekerja, dia akan meluangkan sedikit masa untuk bersenam di taman rekreasi yang berdekatan. Namun, entah kenapa kakinya terasa begitu berat pada pagi itu. Lantas, dia mengambil keputusan untuk duduk-duduk sahaja di rumah menolong Gina mengukus kuih pau yang memang menjadi kegemaran mereka berdua sejak dari dahulu lagi.
Seketika, dia memandang dinding yang bertentangan dengan meja makan. Ada sesuatu yang lain pada ruangan itu hari ini. Sesuatu yang menarik perhatiannya. Nampaknya, Gina telah menggantung sebuah gambar hitam putih yang kelihatan begitu menarik sekali di situ. Di bahagian bawah sebelah kanan gambar tersebut tertulis 'Yoshizawa Ayame'. Dia menoleh ke arah Gina. Bibirnya mula bergerak untuk bertanyakan soalan mengenai gambar itu. Kring! Kring!. Telefon bimbit Marina tiba-tiba berbunyi. Pandangannya ke arah gambar itu dialihkan. Dia yang berada di dapur pada ketika itu mempercepatkan langkah mendapatkan telefonnya yang diletakkan di ruang tamu.
"Helo" Marina menjawab panggilan itu.
"Helo. Adakah ini Cik Marina Johan" satu suara lelaki yang tidak dikenali kedengaran.
"Ya saya. Siapa yang bercakap di sana?"
"Saya Inspektor David. Saya berharap cik bertenang apabila saya beritahu berita ini kepada cik."
"Berita mengenai apa?"
"Mengenai bapa saudara Cik Marina. Doktor Adam Raufal "
" Kenapa dengan dia? Apa yang terjadi?"
"Saya ingin memberitahu Cik Marina yang Doktor Adam Raufal telah pun meninggal dunia. Dia telah ditembak mati malam tadi di pejabatnya"
"Apa! B…b… betulkah apa yang awak katakan ini?"
"Ya Cik Marina. Cik boleh datang ke Pusat Sains Teknologi dan Seni Negara sekarang. Kami masih lagi sibuk melakukan penyiasatan. Kami mahu cik datang ke sini untuk mengenal pasti mayatnya"
"Mayatnya masih di PRASASTI?"
"Ya Cik Marina. Penyiasatan masih lagi dijalankan"
"Baiklah. Terima kasih" Marina meletakkan telefonnya. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya sebentar tadi. Marina termenung dan tergamam seketika. Tanpa disedari, air matanya mengalir membasahi pipi.