"Nampaknya segala yang kita lakukan belum lagi mendatangkan hasil, tuan." Kata Sarjan Lim yang memandu kereta peronda yang mereka naiki kepada Inspektor David.
"Kita buat perlahan-lahan. Jika dia diculik pun saya pasti dia tidak akan dibawa jauh dari Lembayung. Saya yakin dia masih ada di sekitar kawasan ini." Kata Inspektor David. Mereka berdua sedang memperkatakan tentang Marina.
Inspektor David bersama dengan Sarjan Lim mula melakukan rondaan dan tinjauan di sekitar Lembayung setelah mendapat persetujuan daripada pegawai atasan.
Pada ketika itu, anggota-anggota polis di bahagian jenayah sedang membuat sekatan jalan raya di jalan-jalan utama yang merupakan pintu masuk ke ibu kota Pasadianka, Lembayung.
Beberapa orang detektif telah diarahkan untuk menjalankan siasatan secara rambang di beberapa tempat di sekitar Lembayung. Selain mencari dan mengesan Marina, ia juga bertujuan untuk menjaga keselamatan orang ramai yang berada di situ. Langkah ini perlu diambil untuk melindungi keselamatan orang ramai yang mungkin terdedah kepada bahaya selepas kejadian dahsyat yang berlaku di PRASASTI.
Sarjan Lim dengan perlahan membelol memasuki Jalan Centaur. Dia memberhentikan kereta di hadapan Utopia Studio setelah mendapat arahan dari Inspektor David.
Inspektor David melihat jam pada para kereta peronda itu. Waktu kini sudah pukul 10 malam. Sebentar tadi, detektif yang bertugas baru sahaja memberi laporan kepadanya. Detektif yang berada di Bukit Lembayung pada ketika itu mendapati orang yang dicari tak kelihatan. Semua kawasan telah diperiksa. Dia telah memerintahkannya untuk menukar lokasi. Beberapa orang detektif lain juga telah diarah untuk mencari di kawasan-kawasan sulit di sekitar bangunan yang berhampiran.
Sambil itu dia sempat menoleh ke arah sarjan yang duduk di sebelahnya. Diam dan berfikir sejenak.
Telefon bimbit milik Inspektor David yang berada di tangan Sarjan Lim sejak dari tadi bordering. "Helo… selamat malam, boleh saya bercakap dengan Inspektor David?" suara seorang wanita kedengaran.
"Siapayang bercakap ni?" tanya Sarjan Lim.
"Ini Gina" wanita itu memperkenalkan diri.
"Tunggu sekejap." Sarjan Lim menyerahkan telefon kepada Inspektor David.
"Siapa?" soal Inspektor David.
"Gina" jawab Sarjan Lim pendek.
Inspektor David mengambil telefon itu.
"Helo Gina"
"Helo Inspektor David. Maaf kalau saya menganggu. Saya ingin bertanya, ada apa-apa berita mengenai Marina?"
"Setakat ni masih belum ada apa-apa lagi, tapi Cik Gina jangan risau, kami sedang melakukan rondaan di sekitar kawasan Lembayung" jawab Inspektor David.
"Hemmm…tak apalah," kata Gina. "Maaf kerana terpaksa menganggu. Umm…kalau ada perkembangan apa-apa, telefon saya ya inspektor," katanya lagi.
"Baiklah. Cik Gina janganlah bimbang. Kalau ada apa-apa nanti saya akan hubungi cik…" kata Inspektor David dengan perlahan.
"Baguslah kalau macam tu. Terima kasih lah inspektor…maaf kalau saya menganggu."
"Tak mengapa. Dah memang tugas saya"
"Kalau macam tu saya minta diri dulu. Bye"
"Bye."
Mereka menamatkan perbualan mereka. Inspektor David menarik nafasnya dalam-dalam. Dia kembali memikirkan cara yang lebih berkesan untuk mencari wanita itu. Telefon bimbitnya berbunyi sekali lagi. Kali ini, ianya datang dari salah seorang detektif yang bertugas menghubunginya.
"Detektif." Jawab Inspektor David.
"Kami baru sahaja menjumpai dua mayat terdampar di belakang lorong Bukit Lembayung 2, tuan" lapor detektif itu.
"Dapat kenal pasti identiti diri mereka?"
"Tidak tuan. Tetapi salah seorang daripada mereka ialah Marina, tuan"
"Marina?" tanya Inspektor David. Air mukanya nampak tegang. Ada dua kemungkinan bermain dalam kotak fikirannya. Boleh jadi dia adalah Marina dan boleh jadi juga dia bukan Marina sebenar yang mereka semua sedang cari.
"Ya tuan. Marina."
"Bagaimana dengan seorang lagi"
"Tiada pengenalan diri yang dijumpai tuan"
"Baiklah. Kamu tunggu di lokasi. Saya akan datang segera." Kata Inspektor David.