"Kenapa Ikran? Kenapa?" tanya Marina. Dia nampak cemas sekali.
"Marina, masa saya telah tiba" kata Ikran. Matanya mengeluarkan cahaya berwarna hijau.
"Maksud kamu?" Marina segera mendapatkan Ikran. Dia mula cemas melihat keadaan Ikran yang sebegitu rupa.
"Saya akan musnah Marina. Melti-G berjangka di dalam badan saya telah teraktif sebaik sahaja saya menjejakkan kaki ke sini. Ini adalah apa yang Doktor Adam mahukan. Sekarang kamu adalah pemilik radar konsti ini..." Ikran menyerahkan radar itu kepada Marina. Jika kamu mahu datang ke sini, tekan sahaja butang berwarna hijau ini. Kamu akan terus dibawa ke Pulau Rasfa seperti mana yang saya lakukan tadi."
"Untuk apa saya datang ke sini?" soal Marina.
"Terpulang. Segalanya bergantung kepada kamu. Esperanza menjadi milik kamu sekarang" jawab Ikran. Dia tidak memberi jawapan yang spesifik kepada Marina. Pada masa yang sama, warna kulit Ikran telah bertukar menjadi kebiru-biruan. Badannya pula menjadi semakin lembik dan mencair.
"Ikran!" Marina bertambah cemas melihat keadaaan Ikran.
"Marian, masa saya telah sampai. Saya terpaksa pergi dahulu. Ingat Marina segalanya berada di tangan kamu. Saya hadiahkan juga Maya kepada kamu. Dia juga hasil daya kreativiti Doktor Adam Raufal. Kamu boleh menutup segala 'lubang-lubang' itu di sini. Jaga diri kamu baik-baik" kata Ikran. Dia tersenyum dan akhirnya seluruh anggota badannya bertukar menjadi cecair berwarna biru.