Seri baru sahaja selesai menikmati makan malam bersama-sama dengan keluarganya. Nasi ayam yang dimasak oleh Puan Julia tadi benar-benar menaikkan selera mereka berempat. Banyak kali juga dia menambah.
Ayah dan adiknya sudah ke ruang tamu menonton rancangan televisyen kegemaran mereka. Manakala Seri, sedang mencuci pinggan-mangkuk yang kotor di sinki dapur rumah mereka. Puan Julia pula begitu sibuk sekali mengelap lantai dapur yang melekit-lekit kerana dikotori percikan minyak ketika dia menggoreng ayam tadi. Selalunya, Puan Julia akan mengelap dahulu lantai dapur sebelum makan. Namun, pada malam itu perutnya terasa begitu lapar sekali. Lantas, dia menangguhkan dahulu niatnya itu. Puan Julia melihat anaknya Seri yang begitu khusyuk membuat kerja dapur.
"Kamu dah siapkan semua kerja sekolah kamu Seri?" soal Puan Julia.
"Lagi sikit je lagi. Lepas habis buat kerja ni nanti Seri sambunglah semula kerja sekolah Seri tu." Terang Seri kepada ibunya.
"Seri, nanti tolong buangkan sampah-sampah tu ke tempat perun ya" pinta Puan Julia.
"Baiklah ibu" jawab Seri tanpa banyak soal.
Seri segera menghabiskan basuhanny. Setelah selesai, dia mengangkat bakul sampah yang terletak di sebelah sinki itu. Dia membuka pintu dapur rumahnya lalu menyarungkan terompah kayu dan berjalan menuju ke tempat perun yang terletak tidak jauh dari dapur rumahnya. Setelah membuang semua sampah, dia berpatah balik menuju ke dapur.
Ketika sedang berjalan, matanya menjeling rumah bangle yang terletak jauh di sebelah kiri rumahnya itu. Gelap. Seolah-olah tidak berpenghuni. Dia terus berjalan.
Langkah Seri terhenti seketika apabila sebuah kereta dan sebuah van lalu di hadapan rumah mereka. Seperti biasa, kereta itu adalah milik penghuni rumah banglo berkenaan.
Namun malam ini, dia tidak berseorangan, ada sebuah van berwarna putih yang mengekorinya dari belakang. Ini kali pertama Seri melihat van itu dan daripada apa yang dilihat, pemandu van itu bersama dengan penumpangnya yang duduk di sebelah kiri adalah wanita. 'Siapa wanita itu?' fikir Seri sendirian. Isterinyakah? Atau mungkin wanita yang menyerupai Marina Adam yang dilihatnya tempoh hari. Tetapi mustahil kerana rambut wanita itu kelihatan agak panjang. Wanita yang dilihatnya tempohari berambut pendek paras bahu. Mungkinkah ada dua wanita yang menyerupai Marina Adam?
Seri memerhatikan mereka dengan penuh teliti sekali. Kereta itu memasuki halaman rumah itu dan pemandunya keluar dari kereta berkenaan. Seketika kemudian, van itu pula yang memasuki halaman dan terus memarkir di sebelah kiri kereta itu. Lampu halaman tidak dibuka dan ianya dibiarkan bergelap. Namun, Seri masih dapat melihat gerak geri mereka. Kedua-dua wanita yang berada di dalam van itu keluar dan bergegas membuka bonet belakang van itu. Lelaki tadi juga ada bersama-sama mereka. Mereka dilihat sedang mengeluarkan beberapa bungkusan panjang dan besar dan membawanya masuk ke dalam rumah. Setelah selesai, mereka segera masuk ke dalam rumah. Beberapa ketika kemudian, lampu bahagian belakang di tingkat bawah pula dibuka.
Seri tidak berlengah lagi, dia meluru masuk ke dapur dan meletakkan bakul sampah yang dipegangnya di tepi sinki. Puan Julia yang telah selesai mengelap lantai berasa begitu hairan sekali melihat gelagat Seri.
"Kenapa dengan kamu ni Seri? Lamanya kamu buang sampah" kata Puan Julia. Dia melihat Seri yang pucat lesi.
"Mak, Seri nampak sesuatu yang pelik di rumah banglo tu" Seri memberitahu Puan Julia. Dia kelihatan begitu bersungguh-sungguh.
"Apa yang pelik?"
"Tadi penghuni rumah tu balik dan ada van putih yang ikut dia. Tapi yang Seri hairan, mereka bawa keluar banyak bungkusan keluar dari van itu"
"Bungkusan apa?" tanya Puan Julia, dia mula berminat mendengar cerita Seri.
"Tak tahulah. Tapi nampak besar dan panjang. Bungkusan-bungkusan itu dibalut dengan begitu rapi sekali" Seri meneruskan penjelasannya.
"Apa lagi yang kamu nampak?"
"Itu sahaja mak"
"Memang ada yang tak kena dengan rumah banglo tu. Entah apalah yang ada dalam tu" kata Puan Julia. Dia dengan Seri bersependapat tentang rumah banglo itu.
"Mak. Hari tu kan Seri… um… Seri… pergi ke sana" Seri teragak-agak ingin memberitahu Puan Julia.
"Ke rumah banglo tu!" Puan Julia terkejut.
"Ya" angguk Seri perlahan-lahan.
"Apa yang kamu buat?!" Puan Julia kelihatan bimbang. Nadanya tinggi.
"Saya kejar Donny. Dia pergi main dekat rumah banglo tu" jawab Seri. Takut juga dia sekiranya dimarahi oleh ibunya.
"Hati-hati Seri. Bahaya kalau kamu ke sana" kata Puan Julia.
"Dan… Seri nampak sesuatu dalam rumah tu"
"Apa yang kamu nampak?"
"Nanti ya. Seri tunjukkan sesuatu" Seri bergegas ke biliknya dan mengambil keratan akhbar yang disimpan di dalam laci meja belajarnya. Dia kemudiannya ke dapur semula dan menunjukkan keratan akhbar yang disimpannya di dalam laci meja belajarnya. Dia kemudiannya ke dapur semula dan menunjukkan keratan akhbar itu kepada ibunya.
"Marina Adam?" riak wajah Puan Julia penuh tanda tanya. "Seri nampak dia di situ" tanya Puan Julia sekali lagi.
"Ya, Seri nampak wanita ni"
"Kamu nampak dia! Biar betul!" Puan Julia antara percaya dan tidak percaya dengan apa yang diberitahu oleh Seri.
"Betul… Seri nampak dia di dalam rumah tu. Tapi yang peliknya dia tak bergerak dan matanya terbuka luas. Dia macam patung."
"Pelik juga. Ataupun dia ni....." mereka berpandangan antara satu dengan yang lain.
"Klon!" mereka bersama-sama menyebut perkataan itu.
"Ya mungkin juga. Ingat tak kejadian letupan yang berlaku di PRASASTI tempohari?" Puan Julia cuba mengingati apa yang dibacanya dalam surat khabar tempohari.
"Orang yang membunuh Doktor Adam Raufal adalah wanita yang menyerupai Marina Adam. Dia jugalah yang menyebabkan letupan di PRASASTI" kata Seri dengan bersungguh-sungguh.
"Adakah selama ni kita berjiran dengan seorang penjenayah?" Puan Julia tertanya-tanya. Kebimbangan mula menyelinap dihatinya. Apa tidaknya, jika benarlah apa yang mereka fikirkan ini berlaku, keluarganya akan terdedah bahaya kerana rumah mereka adalah yang paling hampir dengan banglo itu.
"Apa yang patut kita lakukan sekarang mak? Patutkah kita hubungi pihak polis?" soal Seri kepada Puan Julia.
"Jangan, kita tunggu dulu. Apa-apa pun kita kena buktikan yang klon Marina Adam yang kamu katakan tadi tu memang ada di rumah tu"
"Baiklah." Seri menganggukkan kepalanya tanda setuju.
Di ke biliknya menyelesaikan segala kerja sekolah yang perlu diselesaikan. Selesai sahaja menyiapkannya dia menghenyakkan diri di atas katil dan cuba melelapkan matanya yang masih terkebil-kebil. Namun, dia tidak dapat melelapkan mata. Fikirannya masih lagi memikirkan tentang apa yang dilihatnya tadi. Seri cuba mengingati semula apa yang dilihatnya sebentar tadi. Bungkusan itu kelihatan panjang dan bersaiz seperti ... badan manusia! Ya! Ianya diikat rapi dan mempunyai bentuk badan manusia. Hati Seri resah, dia tidak sabar menanti hari esok. Matanya memandang kea rah diari yang diletakkan di atas meja yang terletak bersebelahan katilnya. Dia kemudian membukanya...