Ayame,
Satu malam, aku bermimpi. Aku sedang berjalan di sebuah taman sambil menghirup udara yang segar. Taman itu sungguh cantik. Aku berlari keriangan dan melompat-lompat di sana sini.
Tiba-tiba, mataku ternampak sebuah pokok yang paling besar di taman itu. Aku berlari menuju ke arah pokok itu. Baru aku sedar terdapat lubang besar pada pokok itu. Semakin aku mendekatinya, semakin terang cahaya itu bersinar. Aku menjengah ke dalam. 'Masuklah' tiba-tiba satu suara berkata kepadaku. Aku memasukinya dengan perasaan ragu-ragu. Tetapi perasaan ingin tahuku mengatasi segala-galanya. Nampaknya tiada bezanya antara mimpi dan realiti.
Aku seolah-olah dibawa ke sebuah lagi taman. Tetapi keadaan taman itu sungguh tidak menyenangkan. Ia dipenuhi dengan daun-daun kering yang gugur, burung-burung gagak berterbangan di angkasa.
Seorang budak lelaki berjubah hitam datang kepadaku. Aku tidak mengecamnya dari jauh kerana mukanya terlindung dengan penutup kepala. Dia perlahan-lahan mendekati aku dan membuka penutup kepalanya. Aku terkejut. Rupanya dia adalah adikku Borhan. Dia melihat tepat ke mataku dan memandangku dengan wajah yang sayu. Air mata mengalir di pipinya. Dia kemudian bertanya kenapa? Kenapa? Kenapa? Berulang kali.
Aku cuba berkata-kata tetapi mulutku seperti dikunci. Aku tidak dapat berkata-kata. Aku ingin pergi ke arahnya dan memeluknya tetapi badanku juga kaku tidak dapat bergerak. Perlahan-lahan segala-galanya menjadi kabur. Aku lantas bangun dari tidur.
Aku tertanya-tanya. Apa maknanya mimpiku itu tadi? Aku langsung tidak mengerti. Kenapa dia bertanya 'kenapa' berulang kali? Adakah aku melakukan sebarang kesalahan?