7 Julai 1974
Ayame,
Aku berasa sangat gembira hari ini kerana masalahku telah selesai. Lelaki yang mencuri barang-barangku tempohari telah pun aku hantar ke neraka. Dia bersama-sama betina yang selalu dibawanya ke hulu dan ke hilir telah aku 'selesaikan'.
Petang tadi dia memenuhi ajakan untuk datang ke rumahku yang pada ketika itu tidak berpenghuni. Hanya ada aku dan suara-suara yang berbisik membantuku dalam misiku yang suci ini. Dia datang dengan membawa seorang perempuan. Aku berlakon dengan baik sekali di hadapan mereka. Dia menyuruh aku membancuhkan air kopi untuk mereka berdua. Meluat aku melihat gelagat mereka di ruang tamu. Ketika itu aku dah siap sedia dengan ubat pelali yang aku curi dari makmal. Aku larutkan ubat itu ke dalam air kopi dan hidangkan kepada mereka.
Aku menunggu hamper 20 minit dan akhirnya mereka terbaring tidak sedarkan diri. Selepas itu, aku campakkan mereka di sungai yang sama di mana aku lemaskan lima jembalang itu.