Doktor Sarah baru sahaja memeriksa keadaan pesakitnya. Seorang wanita tua yang ditemani oleh anak perempuannya. Setelah membuat pemeriksaan rapi, Doktor Sarah mendapati keadaan wanita itu agak baik. Kesihatannya agak stabil dan dia hanya perlu membekalkan ubat-ubatan biasa yang diberikan kepada wanita yang berada dalam lingkungan umur tujuh puluhan itu.
"Bagaimana dengan keadaan ibu saya doktor?" tanya anak kepada pesakitnya itu.
"Keadaannya stabil. Tetapi dia kena banyak berehat. Mesti cukup tidur dan jangan lupa habiskan ubat yang saya bekalkan nanti."
"Baiklah doktor"
"Satu lagi. Kawal pemakanannya. Beri apa yang saya cadangkan tu dan jangan biarkan dia buat kerja-kerja yang berat ya. Kalau boleh banyakkan minum susu." Tambah Doktor Sarah lagi. Anak pesakit itu menganggukkan kepalanya sebagai tanda faham.
"Terima kasih banyak-banyak Doktor"
"Sama-sama" balas Doktor Sarah sambil melemparkan senyuman manis. Mereka berdua keluar dari bilik itu. Sejurus sahaja kedua beranak itu keluar dari bilik rawatan itu, telefon yang berada di atas mejanya bordering. Dia mengangkat gagangnya dan menjawab panggilan itu.
"Doktor…" suara Rohani, seorang wanita yang bekerja di Yayasan Rahsia Hati kedengaran.
"Ya Rohani."
"Doktor. Saya ada sesuatu yang nak diberitahu" suara Rohani kedengaran cemas. Seperti sedang menghadapi satu masalah besar.
"Apa dia Rohani?" tanya Doktor Sarah.
"Salah satu fail dalam rekod simpanan kita dah hilang doktor."
"Apa?! Hilang?! Bagaimana boleh hilang?!" Doktor Sarah terkejut. Dia tidak percaya dengan apa yang didengarnya. "Entah-entah awak ni silap pandang tak. Cuba awak semak sekali lagi. Tak mungkin fail tu boleh hilang tiba-tiba."
"Saya dah semak berkali-kali doktor. Saya pun tak tahu bagaimana fail itu boleh hilang. Saya baru sahaja membuat semakan fail dan akaun. Saya dah cuba cari di merata tempat tetapi tak jumpa. Entah-entah yayasan kita ni kena pecah masuk semalam tak?" terang Rohani. Dia cuba membuat andaian.
"Fail apa yang hilang sebenarnya Rohani?"
"Fail Armitale Corporation"
"Armitale Corporation?!" Doktor Sarah sekali lagi terkejut.
"Ya, doktor. Fail Armitale Corporation"
"Habislah kita macam ni. Armitale Corporation tu antara penderma terbesar kepada yayasan kita"
"Apa yang perlu kita buat sekarang doktor? Tanpa fail tu, kita tiada rekod mengenai sumber derma daripada Armitale Corporation"
"Apa kata awak buat laporan polis. Mungkin ada betulnya apa yang awak cakapkan tu. Kemungkinan besar, tempat kita tu kena pecah masuk semalam"
"Baiklah doktor."
"Terima kasih ya Rohani"
"Sama-sama"