Marina ketika itu baru sahaja memasuki kawasan menara. Dia mempercepatkan langkahnya menuju ke kafe. Sebaik sahaja sampai, dia mencari-cari kelibat Encik Murukesh. Encik Murukesh yang sememangnya sudah berada di situ melambai-lambaikan tangannya ke arah Marina.
"Encik Murukesh. Sorry I'm late. The traffic congestion in the city becoming worse by the years." Kata Marina. Dia meminta maaf atas kelewatannya. Dia pantas menyambut salam yang dihulur oleh lelaki itu. Dia lewat sampai. Tidak seperti mana yang dijanjikan.
"Tak apa. Saya pun baru sahaja sampai. Saya ingatkan saya yang lambat" kata Encik Murukesh. Dia mempersilakan Marina duduk.
"Jadi apa yang encik nak tunjukkan kepada saya?" tanya Marina sejurus sahaja dia mengambil tempat berhadapan dengan Encik Murukesh.
"Tak payahlah nak ber 'encik-encik' dengan saya pula. Bukankah kita sudah kenal antara satu sama lain sebelum ini. Panggil sahaja uncle"
"Baiklah uncle" ujar Marina. Dia tersenyum mendengar kata-kata Encik Murukesh.
"Saya bersimpati dengan apa yang berlaku ke atas ayah kamu. Kes ini sungguh luar biasa. Saya belum pernah melihat kes seumpama ini berlaku di negara kita" Encik Murukesh meluahkan rasa simpatinya.
"Saya sendiri pun masih terkejut dengan apa yang terjadi. It happened in front of my eyes."
"Bersabarlah Marina, kuatkan semangat. Ini semua dugaan Tuhan untuk awak." Encik Murukesh cuba menenangkan Marina. Mereka terdiam buat seketika.
"Terima kasih uncle. Apa kata kalau kita mulakan sekarang"
"Baiklah. Sebelum saya tunjukkan surat kamu yang diberikan oleh ayah awak, saya bacakan dulu wasiat ayah awak" Encik Murukesh mengeluarkan sampul surat berwarna coklat dari dalam beg bimbit hitam yang diletakkan di atas meja. Sejurus, dia membawa keluar beberapa helai kertas dari sampul itu.
"Oleh kerana awak adalah waris tunggal Doktor Adam. Lapan puluh peratus dari harta peninggalan beliau menjadi hak milik kamu dan selebihnya diberikan kepada baitumal." Encik Murukesh memulakan penerangannya. Marina mendengar penerangan yang diberikan dengan teliti. Setelah selesai, Encik Murukesh mengeluarkan satu lagi sampul surat.
"Apa pula tu?" Soal Marina, sejurus melihat Encik Murukesh mengeluarkan sampul surat itu.
"Marina. Ini dia surat yang ayah awak berikan kepada saya lima hari sebelum pembunuhan itu berlaku." Encik Murukesh menghulurkannya kepada Marina.
Dengan pantas Marina membaca isi kandungan surat itu.
*************************
ARHEB FVF
No 56 Jalan Melar, Jeroro
21800 Laguna Selatan.
'kamu' adalah kunci kepada pemula rangkaian ini
Klon
Kentofes
Pemburu Emas
Derof
**************************
"Pelik!" dahi Marina berkerut.
"Kenapa Marina?" soal Encik Murukesh yang menyedari perubahan rawak muka Marina.
"Kenapa ayah tulis begini?" soal Marina. Dia menunjukkan surat itu kepada Encik Murukesh.
"Mungkin dia tak mahu sesiapa tahu tentang apa yang hendak disampaikan" Encik Murukesh member pendapat.
"Walaupun uncle?"
"Sudah semestinya, saya faham benar dengan perangai Dr Adam. He didn't really trust people." Jelas Encik Murukesh. Marina terus meneliti surat itu dengan tekun.
"I suppose these are either scientific or historic terms" kata Marina. Tangannya menunjuk perkataan-perkataan pelik itu.
"Ya. Boleh jadi" Encik Murukesh mengangguk-anggukkan kepalanya.
"Apa yang dia cuba beritahu ni...?" kata Marina yang cuba memahami isi kandungan surat itu. Fikirannya ligat berfikir. Namun dia masih tidak boleh memahami maksudnya.
"Apa yang ayah saya katakan semasa dia menyerahkan surat ini kepada uncle?" Soal Marina.
"Dia kata, sekiranya terjadi apa-apa ke atas dirinya, dia meminta supaya uncle menyerahkan surat ini kepada kamu dan kalau terjadi apa-apa ke atas diri kamu, dia minta supaya uncle untuk pergi ke alamat yang tertulis di dalam surat itu. Sebab itulah uncle segera berjumpa dengan kamu" terang Encik Murukesh.
"Uncle tak tanya kenapa?"
"Tanya… tapi dia hanya mendiamkan diri"
"Hmm… ayah apa yang terjadi sebenarnya ni" Marina mengeluh halus. Dia mula membuat pelbagai andaian. Encik Murukesh hanya memerhatikan gelagat Marina. Dia menghirup kopi panas yang dipesannya tadi.
"Marina, rasanya hari sudah lewat petang. Ada baiknya kalau kita balik sekarang" Encik Murukesh mengingatkan Marina. Dia mula mengemas dokumen-dokumen yang dikeluarkan tadi.
"Ya lah… dah pukul 6.15 petang rupanya" Marina melihat jam di pergelangan tangannya.
"Uncle minta maaf Marina, Uncle terpaksa minta diri dulu. Ada perkara yang perlu diselesaikan. Kalau ada apa-apa hubungi uncle ya" ujar Encik Murukesh. Dia sudah bersiap-siap untuk pergi.
"Baiklah terima kasih. Baik-baik ya…" pesan Marina kepada Encik Murukesh.
Encik Murukesh yang sudah melangkah menoleh dan melemparkan senyuman kepada Marina. Dia meninggalkan Marina yang masih lagi tidak jemu-jemu membelek surat itu. Marina memerhatikan Encik Murukesh yang berlalu menuju ke kawasan parkiran. Perhatiannya ditumpukan semula kepada surat yang bertajuk 'Arheb FvF' itu. Dia mula merancang sesuatu. Dia perlu mencari seseorang untuk membantunya.