"Apa tujuan kamu bawa kami ke sini?" soal Inspektor David. Matanya masih lagi meneliti bilik itu. Walaupun apa yang diceritakan Ikran itu nampak menarik, perkara utama yang mahu didengarnya adalah mengenai Doktor Adam.
"Saya pasti Doktor Adam telah pun menyerahkan surat itu kepada kamu kan?" tanya Ikran kepada Marina.
"Maksud kamu 'Ahreb FvF'?" Marina menunjukkan surat yang berada ditangannya itu.
"Ya. Ahreb FvF. Dan nampaknya formula i-chip telah pun berada di tangan kamu sekarang." Ikran merujuk kepada apa yang dipegang oleh Marina. "Tak sia-sia Doktor Adam menyerahkannya kepada kamu".
"Boleh kamu terangkan apa sebenarnya i-chip ini dan kenapa ianya disorok di tempat yang begitu sulit sekali?" Profesor Kardiff membangkitkan soalan. Berpura-pura tidak pernah mendengar mengenai cip itu.
"Boleh. Tapi sebelum itu. Biarlah saya terangkan serba sedikit mengenai Kentofes. Kerana segala-galanya bermula dari penyelewengan akal fikiran yang dilakukan oleh Kentofes." Ikran cuba menenangkan Profesor Kardiff. Dia nampaknya begitu teruja untuk mendengar penjelasan Ikran.
"Jika kamu tanya sesiapa sahaja mengenai Kentofes. Mereka akan mengatakan yang fokus utama Kentofes adalah mengkaji tentang penggunaan seni, sains dan teknologi terkini untuk meningkatkan potensi manusia. Ianya lebih kepada satu pertandingan" skrin di dalam bilik itu dihidupkan. Ikran menunjukkan beberapa gambar mengenai Kentofes. "Setiap tahun, mereka akan berkumpul dan menyatakan pendapat mereka dan membentangkan cadangan ataupun penemuan mereka. Mereka akan memberi idea yang boleh membawa perubahan kepada kehidupan manusia dan dunia."
"Doktor Fendi merupakan seorang yang pintar dan unik. Sewaktu mereka belajar, mereka telah mula mendekati Kentofes dan setelah menghadiri beberapa perjumpaan, mereka mula bergiat serius. Dalam masa yang sama, dia memulakan satu projek rahsia. Doktor Fendi pernah membentangkan ideanya kepada beberapa buah institute dan organisasi di Zuria dan Pasadianka. Namun kebanyakkan mereka tidak bersetuju dengan idea Doktor Fendi. Mereka amat kecewa sekali dengannya.
"Kenapa?" tanya Marina pula. Seperti Profesor Kardiff, dia berpura-pura seperti tidak pernah mendengar cerita ini daripada Doktor Sarah.
"Menurut mereka, ianya sesuatu yang mustahil dan tidak masuk akal. Tambahan pula, projek itu memerlukan kos yang tinggi. Namun, Doktor Fendi tidak mengalah. Dia tidak pernah berputus asa. Dia bersungguh-sungguh mahu membuktikan yang ideanya itu adalah sesuatu yang boleh dilakukan. Malah bukan itu sahaja, dia mahu buktikan yang ia boleh membawa satu pembaharuan kepada kehidupan manusia. Dalam hal ini, hanya Doktor Adam sahaja yang percaya dengan idea Doktor Fendi. Dia memberi sokongan penuh kepada Doktor Fendi. Dia begitu yakin dengan idea Doktor Fendi. Maka bermulalah projek itu secara rahsia."
"Bukankah ketika itu mereka masih lagi belajar. Daripada mana mereka dapat dana bagi menjalankan penyelidikan itu? Bukankah penyelidikan sebegitu memerlukan wang yang banyak" soal Puan Leela pula.
"Doktor Fendi mempunya orang yang amat mengambil berat mengenainya. Dialah yang menanggung pengajian Doktor Fendi selama ini."
"Siapa? Teman wanitanya?" tanya Marina.
"Tidak. Dia seorang lelaki"
"Siapa agaknya lelaki itu?"
"Namanya Shahril."